25 March 2012

Majlis Meraikan Penerimaan Watikah SN Kepada Kemala






SASTERAWAN Negara (SN) Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama pena Kemala, telah diraikan pada majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara (ASN) jam 8 malam di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan berkata, Dr Kemala yang dinobatkan sebagai SN Ke-11 tahun lalu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, di samping wang tunai RM60,000.
“Majlis pengurniaan terbabit akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan turut akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran,” kata DBP dalam kenyataan itu.

ASN dikurniakan kerajaan kepada sasterawan yang berkarya dalam bahasa Melayu dan memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya bermutu tinggi.

Pemilihan Dr Kemala sebagai SN Ke-11 dilaksanakan panel pemilih yang dianggotai Muhyiddin sebagai Presiden; bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz sebagai Timbalan Presiden; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Sallehuddin Abang Shokeran sebagai Setiausaha dan Zaiton Ajamain serta Mohamad Yussop Ishak sebagai Penolong Setiausaha.

Panel turut dianggotai Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, Prof Datuk Dr Hashim Awang, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, Prof Datuk Dr Zainal Kling, Prof Dr A Wahab Ali, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan, Prof Madya Datuk Dr Baharudin Ahmad, Prof Madya Dr Krishanan Maniam dan Dr Wong Soak Koon.
Dr Kemala yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1986 dilahirkan di Gombak, Selangor pada 30 Januari 1941 akan turut menerima kemudahan 50,000 naskhahnya RM500,000 akan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga akan memperoleh kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing,” katanya.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di Tanjung Karang dan Teluk Gong, Pelabuhan Klang selain menjadi penyunting di DBP, Pemangku Ketua Bahagian Sastera di Redaksi Dewan Sastera, Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan dan editor jurnal puisi, Perisa.

Kumpulan puisinya, Meditasi diterbitkan pada 1972, Titir Zikir (1995) dan MIM (1999) pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana 1972, 1995 serta 1999.

Dr Kemala pernah menjadi Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dari 1982 hingga 1984, Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) dari 1983 hingga 1986 dan Presiden Persatuan Bandingan Malaysia (PKBM) sejak 1993.

Ubah suai daripada Adli Shahar, Berita Harian.

23 March 2012

Perkampungan Penulis Muda Wilayah 2012




Program Perkampungan Penulis Muda Wilayah Persekutuan 2012 telah diadakan pada 20 hingga 22 Mac 2012. Seramai 54 orang pelajar tingkatan 4-6 dari sekitar Wilayah Persekutuan telah berkampung di D'Village Resort, Ayer Keroh, Melaka untuk mengikuti program ini. Tiga orang penceramah telah diundang untuk menjayakan program iaitu AR dipertanggungjawabkan untuk bahagian cerpen. TN Hj Rani Embi untuk bahagian puisi manakala penulis terkenal Cik Salina Ibrahim untuk bahagian novel. Tahniah kepada Pengarah DBP Wilayah Tengah serta staf, penceramah, pegawai JPN dan barisan fasilitator seperti Encik Amiruddin Ali dan beberapa orang guru yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini. Tidak dilupakan juga kepada para peserta. Harapan AR moga ilmu yang bermanfaat akan digunakan sepanjang hayat. Ingat selagi karya anda belum diterbitkan anda belum layak digelar "penulis".

10 March 2012

Majlis Anugerah Sasterawan Negara- Kemala



AR menerima kad undangan untuk ikuti Majlis Anugerah Sasterawan Negara kepada SN Kemala (bukan senang nak dapat undangan ini tambahan pula Ke Bawah Duli sanggup mencemar duli untuk hadir). Majlis ini akan diadakan pada 20 Mac 2012. Tahniah kepada SN Kemala. Semoga majlis ini akan menyemarakkan lagi hati bakal sasterawan yang lain.

Pertandingan Menulis Cerita Sempena Hari Guru




Pada 8 Mac 2012, AR telah berpeluang menyampaikan ceramah kepada guru dan pelajar dari negeri Melaka yang ingin menyertai Pertandingan Menulis Cerita sempena Hari Guru 2012. Ceramah ini telah diadakan di Dewan SM Teknik Jasin, Melaka. Seramai 205 peserta telah hadir dengan ada antara peserta yang terpaksa berdiri kerana dewan penuh. Sungguh luar biasa kerana pada tahun ini ramai yang ingin sertai bengkel penulisan ini. Bengkel ini telah diselenggarakan oleh PPD Jasin. AR telah dijemput untuk memberikan ceramah bagaimana cara menulis cerpen. Dalam ceramah itu AR lebih menekankan tentang cara-cara untuk menang dalam pertandingan menulis itu. Biasalah adat pertandingan tentulah ada peserta yang kalah dan ada peserta yang menang tapi kita masuk pertandingan tentulah bermatlamat hendak menang. AR memfokuskan bagaimana hendak menang dalam pertandingan menulis ini. Sayang sebab AR cuma diberi masa selama 45 minit sahaja!

Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka 2012




Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka 2012 anjuran DBP/JPN Melaka telah berjaya diadakan pada 5-7 Mac 2012. Program ini telah diadakan di Beruang Hill Resort, Melaka. Program ini telah disertai 48 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4-6 dari sekolah-sekolah negeri Melaka.
Selama tiga hari dua malam, para peserta telah dibimbing cara-cara menulis sajak dan cerpen. Penceramah bahagian sajak ialah Encik Azahar iaitu Munsyi Dewan dari Johor manakala bahagian cerpen penceramahnya ialah saya sendiri serta Tn Hj Rani. Selain itu peserta juga telah didedahkan dengan puisi tradisional (pembimbingnya ialah Puan Hjh Rohaya dan Puan Kamariah). Pada akhir kursus para peserta diwajibkan menghantar 3 buah sajak dan sebuah cerpen. Saya sendiri selaku penceramah bahagian cerpen berasa agak berpuas hati dengan mutu cerpen yang dihantar. Saya amat percaya bahawa ada dalam kalangan pelajar perkampungan ini yang akan menjadi penulis mapan suatu hari nanti.
Selain itu Pengarah DBP Wilayah Selatan telah sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan peserta dari mula kursus hingga akhir malahan telah sudi untuk memberikan ceramah mengenai motivasi penulis. Beliau tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman sebagai orang lama yang telah banyak berjasa dalam bidang editorial bahan sastera.
Harapan kami semoga peserta kursus dapat manafaatkan ilmu penulisan ini dan berjaya menjadi penulis yang berjaya suatu hari nanti, minsyaAllah.

04 March 2012

Kemelut Sastera Kanak-Kanak, Remaja di Malaysia

Bacaan kelompok terbabit didakwa tidak menepati piawaian pembaca

KESUSASTERAAN kanak-kanak dan remaja tempatan masih belum berada pada tahap memberangsangkan untuk membentuk jati diri dan budaya bangsa pembaca kelompok itu bagi mengharungi era globalisasi kerana judul bahan bacaan untuk mereka di pasaran hari ini kurang digemari dan tidak mampu menarik perhatian. Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Arbaie Sujud berkata, kajian mendapati ada pembaca yang menganggap bahan yang disajikan dalam genre itu tidak menepati kehendak mereka. “Kanak-kanak dan remaja pada hari ini kurang menggemari karya tempatan genre ini kerana berpendapat cerita yang disampaikan sukar difahami dan tidak menepati kehendak mereka. Ini mengakibatkan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai wadah hiburan dan pendidikan,” katanya ketika mengupas Cabaran Sastera Kanak-kanak dan Remaja Pada Era Kini pada Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja 2011.

Seminar bertema Hala Tuju Pembangunan Sastera Kanak-kanak dan Remaja di Malaysia anjuran bersama Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Malaysia dan Kementerian Pelajaran. di Perpustakaan Kuala Lumpur, baru-baru ini, membabitkan pembentangan 16 kertas kerja.

Dr Arbaie yakin hala tuju ke kesusasteraan kanak-kanak dan remaja pada hari ini boleh diperbaiki dengan menangani corak penyampaian kepada pembaca agar dapat diterima kelompok sasaran, termasuk memastikan pemilihan bahasa bertepatan dengan tahap pembacaan mereka, serentak itu menyelitkan unsur daya tarikan.

“Bahasa yang terlalu tinggi dalam genre ini akan menyukarkan pemahaman mereka. Penulis dan penerbit juga perlu bijak menyelitkan unsur yang boleh menarik perhatian mereka. Ini termasuk mewujudkan karya penuh maklumat dan ilustrasi yang menarik,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar diwujudkan pangkalan data yang mengumpulkan karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja tempatan agar lebih mudah dicapai pembaca, selain dapat menggalakkan kerjasama erat di antara penulis, penerbit dan semua pihak yang terbabit dalam untuk menghasilkan karya kategori ini.

Tidak ketinggalan, beliau turut melihat penerbitan kesusasteraan kelompok ini agak perlahan akibat persaingan daripada kesusasteraan antarabangsa serta bahan bacaan berbentuk digital, selain penerbit buku kanak-kanak Malaysia masih diselubungi isu seperti mutu karya dan penerbitan serta dihimpit dengan masalah promosi di samping pemasaran.

Seorang lagi Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr Jamayah Zakaria berkata, kajian yang dijalankan mendapati secara purata, syarikat penerbitan di negara ini menerbitkan antara lima hingga 12 tajuk setahun dengan jumlah cetakan antara 1000 hingga 3000 naskhah.

“Perangkaan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pula menunjukkan jumlah judul kesusasteraan dalam genre ini yang diterbitkan pada 1980-an adalah 188 judul dan mencapai lebih 2,000 judul pada 1990-an.

“Walaupun perangkaan menunjukkan peningkatan, ia masih kurang berbanding jumlah pembaca dalam kategori kanak-kanak dan remaja yang semakin ramai setiap tahun,” katanya ketika melapah Isu Dalam Penerbitan Buku Sastera Kanak-kanak di Malaysia.

Pandangan Dr Jamayah berhubung judul kesusasteraan kanak-kanak dan remaja di pasaran ketika ini kurang jati diri dan keaslian kerana disadur daripada karya antarabangsa disokong seorang lagi Pensyarah UPM, Shamsudin Othman, ketika membicarakan Di Mana dan Ke Mana Arahnya Masa Depan Kanak-kanak dan Remaja Malaysia?

Pada pengamatannya, setiap kali Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, banyak karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja muncul di pasaran, tetapi malangnya kurang identiti Malaysia kerana bersifat karya terjemahan cerita Cinderella, Arnab dengan Musang, Serigala yang Tamak, cerita keagamaan daripada al-Quran dan kisah nabi yang disadur dari Asia Barat atau cerita terjemahan negara lain.

“Di manakah cerita asli Melayu seperti Pak Kaduk, Lebai Malang, Sang Kancil, Hang Tuah, Sultan Alauddin Riwayat Shah, Panglima Awang, Tun Razak, Bangau Oh Bangau atau Bawang Putih Bawang Merah yang turut boleh dijadikan sastera untuk kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Shamsudin yakin karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja bermutu boleh diperoleh dengan mengolah semula sastera besar tempatan yang baik agar sesuai dibaca oleh golongan pembaca kelompok terbabit.

“Jika dilihat di barat, karya besar sasterawan mereka diolah semula, diturunkan arasnya dan dipermudah laras bahasanya agar sesuai dibaca oleh kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Dipetik dari Ruang Sastera Berita Harian