30 April 2014

Program Pembinaan Bakat Penulisan DBP


Program Pembinaan Bakat Tunas Muda 1Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2014 telah diadakan di  Kompleks Falak al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka. Program ini telah dianjurkan oleh DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama JPN Melaka. Seramai 27 orang pelajar sekolah rendah dan 30 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri Melaka telah berpeluang mengikuti program ini. Program ini telah dirangka khusus untuk melahirkan pelapis dalam bidang penulisan fiksyen dan non fiksyen. Para peserta telah didedahkan dengan ceramah dan bengkel teknik penulisan cerpen, puisi dan berita. Program ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam. AR telah diberi tanggungjawab untuk membimbing peserta Tunas Muda bagi bahagian cerpen. 8 orang peserta yang terpilih akan mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan iaitu 4 orang kategori sekolah rendah dan 4 orang kategori sekolah menengah. Para peserta telah menunjukkan kesungguhan bagi mempelajari selok belok bidang penulisan yang telah dibimbing oleh AR, Cikgu Mohammad Nor, Encik Azahar, Cikgu Kasim Mahmud, dan Cikgu Rohaya. Kami juga telah dibantu oleh Cikgu Soufrie dan Cikgu Norliza. Harapan kami semoga para peserta kursus akan menjadi penulis yang berwibawa serta prolifik suatu hari nanti. Terima kasih juga kepada pihak DBP Wilayah Selatan yang sudi mengadakan program seperti ini. Sememangnya kita amat yakin bakat muda jikalau diasah dan dipandu pasti akan menjadi penulis yang berjaya suatu hari nanti, insya-Allah.

22 April 2014

TEMUI AR DI PBAKL 2014

Berita gembira buat AR. AR telah diundang untuk sesi bersama peminat dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014.


Tarikh     : 25 April 2014
Masa       : 6.00 - 7.00 petang
Tempat    : Booth ITBM, Aras 3, Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL.


Kepada pengunjung blog ini diharapkan agar dapat turut sama memeriahkan acara itu nanti. Khabarnya pihak ITBM menyediakan hadiah lumayan kepada pembeli buku terbitan ITBM....peluang melancong ke Paris. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Untuk PBAKL kali ini AR membuat sandaran kepada 2 buah karya baru AR iaitu Novel Tujuh Keturunan dan Kumpulan Cerpen Buraq. Kedua-duanya telah diterbitkan oleh ITBM. Semoga bertemu di sana nanti.