20 November 2010

Ekspedisi ke Negara Kangaroo

Malam ini insyaAllah AR akan berangkat ke Australia. Tempat yang menjadi pilihan ialah Melbourne. Tujuan ke sana ialah ingin meluaskan pengalaman selaras dengan tuntutan junjungan mulia kita Nabi Muhammad SAW iaitu 'tuntutlah ilmu walau sampai ke negara China'. Biarpun tujuannya untuk melancong namun yang menjadi tersirat di sebaliknya ialah ingin membuat penyelidikan kerana AR bercita-cita hendak menghasilkan sebuah novel yang berlatar belakangkan negara Australia. Sekadar membaca rasanya tidak mencukupi untuk tujuan penghayatan dan sebab itulah AR mengambil keputusan untuk ke Melbourne. AR akan ke sana selama 10 hari bersama isteri serta 3 orang anak. Rangka ceritanya sudah ada berdasarkan pembacaan melalui buku dan internet. Selepas dapat penghayatan cerita maka mudahlah AR menulis cerita itu nanti. Dan cuti sekolah ini akan digunakan oleh AR untuk menulis. Doakan kejayaan ekspedisi ini nanti.

16 November 2010

Salam Aidiladha

Pada kesempatan ini AR ingin ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca blog ini. Biarpun sambutan Hari Raya Aidiladha ini tidak semeriah sambutan Hari Raya Aidilfitri namun sambutan Hari Raya Aidiladha diadakan dengan bersebab. Hari Raya Aidiladha disambut sebagai memperingati pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya iaitu Nabi Ismail. Nabi Ismail pula amat sabar dan sanggup dikorbankan demi perintah Allah SWT. Sebagai umat Islam maka kita dituntut agar sedia berkorban. Berkorbanlah demi agama tercinta. Salam Aidiladha.

13 November 2010

TAHNIAH KEPADA CALON UPSR


AR ingin mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR yang baru diumumkan. Kepada adik-adik yang kurang berjaya maka diharapkan usah berputus asa. Ingatlah bahawa hidup ini bukan berkisar kepada UPSR semata-mata. Perjalanan hidup masih jauh lagi.
Adik-adik yang berjaya mendapat keputusan 5A pasti teruja untuk masuk ke sekolah berasrama penuh. Sama ada sekolah berasrama penuh atau tidak, itu bergantung kepada adik-adik sendiri. Kelebihan sekolah berasrama penuh ialah suasana atau persekitaran belajarnya yang kondusif berbanding dengan di rumah sendiri(mungkin). Apapun alasannya tetapi yang paling penting ialah kesediaan diri kita untuk belajar. Kepada yang kurang berjaya, usah berputus asa. Jadikanlah episod duka ini sebagai suatu cabaran kepada diri adik-adik untuk berjaya dalam PMR nanti.

01 November 2010

KURSUS PENULISAN KREATIF SMK GHAFAR BABA




Hari ini AR telah diundang untuk memberikan ceramah penulisan kreatif di SMK Ghafar Baba. Para peserta terdiri daripada 197 orang pelajar yang sedang menantikan keputusan PMR. AR telah diberikan peluang untuk memberikan ceramah selama 3 jam. Guru yang turut sama menyertai sesi ini ialah Pn Norazah, Pn Rohana,Pn Zahara, Pn Azlida, Pn Suhaila serta beberapa orang guru lain. Pn Azlida merupakan guru kaunseling yang bertanggungjawab dalam program ini. Oleh kerana AR cuma diberikan masa selama 3 jam maka AR cuma memfokuskan ceramah penulisan kreatif kepada penghasilan cerpen.
Pelajar diminta menyiapkan sebuah cerpen pada minggu hadapan iaitu sewaktu pertandingan menulis diadakan dan ini pastinya dapat memberikan ruang kepada pelajar untuk mencari ilham. AR ingin mengucapkan tahniah kepada para pelajar, guru dan pengetua SMK Ghafar Baba. Para pelajar didapati menunjukkan komitmen yang tinggi dan menunjukkan minat yang mendalam dalam hal penulisan ini. Para gurunya pula telah memberikan kerjasama penuh sewaktu sesi ceramah ini diadakan. Tahniah juga kepada Pengetua Cemerlang Pn Hjh Nubah Aton kerana menyediakan slot untuk penulisan kreatif ini. Usah kita 'pening kepala' memikirkan aktiviti apakah yang ingin kita penuhkan untuk pelajar sesudah tamatnya peperiksaan PMR. Banyak sekolah hanya menyediakan program sukan semata-mata tetapi SMK Ghafar Baba mengorak langkah mengadakan program penulisan kreatif bersesuaian dengan gagasan MBMMBI. Sekalung budi dan ucapan tahniah yang tidak terhingga buat anda semua.

24 October 2010

Novel berbentuk Teen atau Young Adults

Novel-novel untuk pembacaan golongan remaja berusia belasan tahun dapat dirujuk kepada beberapa istilah. Antara istilah yang sering digunakan ialah Teen atau Young Adults. Golongan remaja merupakan golongan yang aktif membaca. Ini disebabkan oleh sifat mereka yang ingin mencari pengalaman hidup sebenar. Mereka juga membaca untuk mengetahui contoh-contoh yang boleh dijadikan panduan sebagai satu model dalam kehidupan. Mereka juga membaca sebagai suatu hambatan untuk memperbaiki keperluan bahasa mereka (menambah perbendaharaan kata, membentuk ayat yang gramatis dan lain-lain) serta sebagai ilmu tambah untuk mendalami budaya.

Di benua Eropah dan Amerika, istilah 'young adults' (YA) digunakan oleh perpustakaan dan penerbit buku di negara itu bagi merujuk kepada remaja belasan tahun, atau 'teen'. Pada suatu masa dahulu, buku-buku untuk bacaan remaja belasan tahun dikategorikan sama dalam kelompok 'remaja' ataupun 'kanak-kanak'. Hanya sekarang buku-buku mereka diasingkan sebagai genre tersendiri.

Dalam dunia sastera Inggeris, trend mengasingkan pembaca teen bermula semenjak tahun 1960-an apabila novelis seperti S. E. Hinton, Walter Dean Myers, dan Judy Blume mula menulis novel-novel yang 'challenging' untuk bacaan remaja. Semenjak itulah konsep buku YA tercipta.

Ciri utama genre YA adalah di mana penulis menulis novel-novel yang secara langsung menyorot, menganalisis dan memahami dunia remaja belasan tahun dari sudut pandang remaja itu sendiri.

YA berbeza dengan novel yang ditulis oleh orang dewasa, ditujukan kepada remaja, tetapi menggunakan sudut pandang orang dewasa, yang tujuannya adalah mengajar-ngajar remaja, dengan cara memaksakan ke atas remaja supaya mereka memandang dunia dan berfikir macam orang dewasa.

Dalam kesusasteraan Melayu, PTS adalah pelopor dalam usaha membangunkan pasaran Laut Biru bagi novel-novel YA, apabila PTS mula-mula memperkenalkan karya novelis Faizal Dzasrik dan kemudian Bahruddin Bekri.

Pada masa ini PTS menerbitkan minimum 2 judul YA setiap bulan dalam siri "Syok!"

Disebabkan genre YA masih sangat baru dalam sastera Melayu, perbincangan berkenaan genre ini belum dilakukan, malah konsepnya pun belum difahami dengan baik oleh penulis, editor dan pengkritik.

Beberapa ciri terdapat pada karya YA yang berada dalam pasaran saat ini:

(i) Ciri 'challenging' pada karya yang sudah terbit itu masih belum mantap.

(ii) Penerbit dan pengarang lebih cenderung melebihkan unsur hiburan santai dalam karya mereka.

(iii) Penggunaan alat-kerja sastera (literary devices) oleh pengarangnya masih belum cukup.

Genre YA adalah sub-kategori dalam karya genre sastera. Ciri inilah yang membolehkan genre YA dibaca serta dinikmati keindahannya baik oleh pembaca remaja mahupun pembaca dewasa. Genre YA juga dapat dinilai dan dikritik menggunakan teori-teori sastera.

YA yang bernilai sastera mempunyai potensi kekal lama dalam pasaran. Ini yang berlaku dengan novel The Catcher In the Rye oleh JD Salinger, yang terbit pada tahun 1951, sudah diterjemahkan ke dalam 70 bahasa, dan sehingga sekarang masih terjual.

NOTA: Istilah Melayu bagi 'young adults' YA adalah 'dewasa muda' (DM)

Petikan ini disalin daripada www.universitipts.com

11 October 2010

BEGINIKAH BERAKHIRNYA MODAL INSAN KITA?

101010 mencatatkan tragedi menyayat hati apabila 12 orang terbunuh manakala 40 orang tercedera kebanyakannya parah. Tragedi ini berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan di Simpang Empat, Alor Gajah. Klisenya ialah ‘kita akan membuat siasatan’ atau ‘pemandunya cuai’ atau ‘kita akan menguatkuasakan undang-undang’ atau ‘kita akan mencari punca’. Masalah kemalangan jalan raya ini sudah menjadi lumrah sehinggakan terlalu biasa berlaku di Malaysia. Agaknya tidak bolehkah kita adakan ‘Sehari tanpa kemalangan jalan raya’. Berita di dalam surat khabar kita setiap hari melaporkan kejadian kemalangan jalan raya. Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa ini bakal menyebabkan hasrat negara untuk mencapai sasaran 70 juta penduduk akan terhalang. Pelaburan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk menyediakan modal insan menjadi suatu benda yang sia-sia sahaja.
Tahukah kita berapakah kos yang terpaksa dikeluarkan oleh kerajaan untuk menyediakan modal insan ini? Seawal bayi di dalam kandungan kerajaan telah menyediakan juru rawat dan doktor terlatih untuk memastikan ibu dan bayi dalam kandungan sihat. Apabila bayi itu keluar sahaja maka bayi itu akan disambut oleh bidan terlatih kemudiannya bayi itu disuntik BCG dan beberapa sunyikan lain menyusul menjelang bayi itu membesar. Di alam persekolahan pula, kanak-kanak diberikan pendidikan percuma. Kerajaan menanggung gaji guru, pentadbiran dan segala kelengkapan sehinggalah pelajar ini ke pusat pengajian tinggi. Seorang rakyat Malaysia yang telah disediakan segala perbelanjaan dan pembiayaan bagi menghasilkan modal insan untuk membangunkan negara Malaysia tiba-tiba mati akibat kemalangan jalan raya. Maka sia-sialah sahaja segala perbelanjaan dan pembiayaan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia. Impian kita untuk menikmati hasil modal insan ini membangunkan negara Malaysia dipersiakan dek kemalangan jalan raya yang sebenarnya boleh kita halang.
Kita ada pegawai JPJ, JKJR dan polis. Kita juga ada segala macam kemudahan pemantauan bertaraf dunia. Namun mengapakah kadar kemalangan ini meningkat? Adakah agensi yang dipertanggungjawabkan masih malu untuk mengaku akan kelemahan mereka? Kita sering melihat akan peralatan sofistikated yang dibeli bertujuan untuk mengatasi masalah ini tetapi kenapakah kita masih gagal? Pada AR kemalangan ini bukan sahaja disebabkan oleh kegagalan agensi yang terlibat tetapi kemalangan juga diakibatkan oleh faktor manusia.
Faktor manusia yang ingin disentuh oleh AR rasanya mungkin dipersetujui oleh pembaca budiman. AR selalu berulangalik antara Melaka ke KL menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan. Jikalau melibatkan bas ekspres rasanya semua pembaca budiman alkamlum akan gelagat pemandu bas ekspres. Lihatlah cara bas ekspres dipandu iaitu dipandu secara melulu, laju, tanpa disiplin pemanduan, berbahaya dan seolah-olah merekalah raja di jalan raya! Katanya mereka mengejar masa. Faktor mengejar masa inilah puncanya. AR fikir pihak JPJ dan JKJR boleh memantau jadual perjalanan bas agar usah benarkan pengusaha terlalu mendesak pemandu untuk membawa bas dalam lingkungan yang melangkaui kemampuan pemandu itu. Sebab itulah ada dalam kalangan pemandu bas yang mengambil dadah, air daun ketum dan sebagainya bagi membolehkan mereka mendapat tenaga untuk menggalas beban yang diberikan oleh pengusaha bas. Jikalau juruterbang kapal terbang dikira pada berapa jam perjalanan mereka maka kenapakah kita tidak boleh meletakkan ukuran yang sama terhadap pemandu bas? Ini pasti akan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat kecuaian manusia.
Faktor kedua melibatkan ganjaran. Pada fikiran AR, rakyat Malaysia telah banyak berkorban untuk pembangunan negara ini tetapi sayang ganjaran yang diperoleh masih kurang mencukupi. Menjelang pembentangan Bajet 2011 didapati terlalu banyak permintaan daripada peserta industri. Kita akur bahawa peserta industri di Malaysia berhak menyuarakan permintaan mereka tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga haruslah melihat kebajikan dan upah yang diterima oleh pekerja di Malaysia. Apalah yang hendak dibanggakan dengan kemajuan yang dicapai oleh industri kita jikalau ini menyebabkan terjadinya punca kemalangan jalan raya! Pada AR mungkin ini ada kaitannya. Apabila kadar upah rendah dan ditambah dengan harga barangan yang semakin naik maka ini akan menimbulkan tekanan kepada pekerja. Apabila tekanan berlaku maka id, ego dan superego akan berperanan di dalam minda bawah sedar. Tanpa disedari, minda bawah sedar manusia berperanan mendorong tekanan diri untuk memandu secara laju, membuat aktiviti merempit serta melakukan aktiviti keganasan bagi melampias tekanan ini. Sebab itulah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin iaitu Timbalan Menteri Kesihatan menyatakan 1:4 penduduk Malaysia menghadapi masalah kemurungan malahan Raja Nazrin Shah sendiri meminta agar rakyat negara ini meningkatkan kesedaran mengenai penyakit mental (Berita Harian, 16 Oktober 2010). Rasanya sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan mengkaji masalah ini secara mendalam. Usah kita terlalu taksub mengejar pembangunan fizikal negara kita sehingga kita mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata. Apalah gunanya kita berbangga dengan pencapaian negara yang menjulang ke langit andainya rakyat negara ini sendiri hidup merana tanpa disedari. Ingatlah, modal insan yang kita bina ini amat mahal harganya. Usah dipersiakan modal insan yang semahal ini.

28 September 2010

HADIAH BUKU CERITA MENGGANTIKAN ANGPAU



Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih lagi diadakan. Sana sini heboh orang kita mengadakan majlis rumah terbuka. Majlis rumah terbuka ini pun bukanlah salah satu daripada adat ataupun budaya turun temurun nenek moyang kita. Seingat AR, majlis rumah terbuka ini baru 13 tahun diperkenalkan. Sebelum ini kita bebas berkunjung ke rumah kenalan pada bulan Syawal dan sekarang ini kebebasan ini seakan sudah hilang. Risau jikalau pergi ke rumah kenalan takut-takut tuan rumah tidak bersedia sebab itulah kita lebih selesa berkunjung pada majlis rumah terbuka. Namun sesuatu yang harus difahami ialah baik tetamu ataupun pihak tuan rumah hendaklah menerima keadaan seadanya sahaja. Juadah pun usah diperumitkan sangat. Apa yang tuan rumah sediakan maka itulah yang dimakan oleh tetamu dan tuan rumah pula usah terlalu gusar akan hal menunya. Bukan juadah itu yang menjadi matlamat kunjungan tetapi matlamat untuk mengeratkan silaturahim itulah yang utama.
Pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, AR telah membuat suatu kelainan. Pengunjung yang berkunjung ke rumah AR diberikan sebuah buku sebagai pengganti angpau. Tetamu cilik yang berkunjung tercengang kerana mereka tidak sangka mendapat buku. Apabila ditemu bual oleh AR tentang buku-buku cerita yang ada di dalam simpanan mereka ada pula yang mengeluh. “Ayah ada buku agama yang tebal-tebal di dalam almari tapi buku cerita untuk saya tidak ada di rumah.” Sedih AR mendengar keluhan tetamu cilik ini. Inilah mentaliti orang kita.
Terukir wajah girang pada muka tetamu-tetamu cilik ini apabila mendapat buku-buku cerita daripada AR. Apabila mereka dapat sahaja buku-buku ini maka mereka terus membacanya. Harapan AR semoga amalan memberi buku ini menjadi suatu adat atau budaya dalam kalangan masyarakat kita bagi menggantikan angpau suatu hari nanti, amin.