Hari ini seorang rakan telah menelefon dari Johor Bahru. Beliau memaklumkan tengah menunggu surat perjanjian untuk menerbitkan novel bersiri bagi cerita kanak-kanak. Alhamdulillah, hati terasa agak puas sebab sahabat itu berjaya menulis sebuah novel dan bakal diterbitkan. Kita perlu mengikis tanggapan bahawa ini suatu persaingan. Dunia buku ini terlalu luas dan sesiapa sahaja boleh menjadi penulis. Bimbingan daripada penulis yang telah berjaya(bukunya telah diterbitkan) amat penting kepada mereka yang baru ingin menulis. Saya sendiri pernah mengalami saat-saat sukar ini sebab itulah sudi menolong sahabat dari Johor Bahru ini. Biarpun pertolongan saya mungkin tidak seberapa namun ia amat penting kepada penulis baru. Kepada penulis baru, teruskan perjuangan anda.
21 October 2009
20 October 2009
'Alahai liatnya nak menulis di blog'
Apabila menjadi penulis sambilan seperti saya maka ada beberapa pilihan di dalam hidup ini. Pilihan utama sebagai penulis sambilan ialah untuk pastikan ada masa untuk menulis (bagi saya tentulah novel). Baki masa yang ada cuma sedikit sahaja oleh itu saya harus pastikan ia diisikan dengan aktiviti utama iaitu menulis. Menulis di sini bermaksud menghasilkan manuskrip untuk dijadikan sebuah novel. Penulis sambilan seperti saya harus ada 'target'. Satu hari cuma mampu siapkan 5 muka surat. Tapi jikalau masa darurat (sebab dikejar editor) kenalah siapkan lebih banyak lagi jumlah halamannya.... mungkin sehingga 10 muka surat. Tapi jikalau sudah merdeka (sudah hantar manuskrip) maka boleh lihat blog dan kemas kini blog dengan lebih aktif lagi (blog bukan tidak aktif sebelum ini cuma kurang aktif). Tanpa novel baru maka bukanlah penulis namanya! Sebab itulah hidup ini kena rancang dengan baik.
16 October 2009
Rumah Terbuka PTS
Antara yang sempat dirakam oleh lensa kamera sewaktu saya menghadiri Majlis Rumah Terbuka PTS di Batu Caves. Ramai tetamu yang hadir biarpun saya antara yang terlewat memenuhi undangan (sempatlah lihat acara susun kerusi). Saya hadir jam 4.45 ptg setelah hampir 20 minit tersesat. Mujur juga staf PTS begitu ceria menyambut ketibaan tetamu jadi lapang sedikit perasaan ini.
Antara yang sempat ditemui ialah penulis ngetop seperti Ain Maisarah. Beliau begitu sibuk ditemuduga oleh editor. Saya juga berkesempatan berjumpa dengan editor yang terlibat menerima dan mengedit manuskrip saya seperti Puan Nur Hafizah, Puan Asma, Cik Shiela, Cik Ann dan beberapa orang editor lain. Kesempatan berjumpa ini amat besar maknanya kerana sebelum ini kami hanya berurusan melalui email. Melalui perjumpaan secara bersemuka maka banyak ilmu yang diperoleh kerana dapat berbual panjang.
Apa yang paling penting ialah sempat menimba ilmu dari Puan Ainon. Di samping menimba ilmu, dapat juga menaikkan semangat untuk 'menambah bilangan pokok getah agar estate menjadi lebih besar selain mempelajari cara mendapatkan pokok getah bermutu tinggi'.
Melihat bangunan kilang yang baru dibeli oleh PTS, hati ini begitu berbangga...alhamdulillah semoga PTS semakin sukses.
14 October 2009
KEREPEK AF MASUK CARTA LAGI!

Alhamdulillah, Kerepek AF masuk lagi dalam carta PTS. Kerepek AF merupakan buku cerita yang paling banyak dipesan oleh kedai buku pada sepanjang September 2009 (Sumber dari web PTS). Agaknya orang sudah puas makan kerepek ubi pada bulan puasa sebab itulah ramai hendak mencuba Kerepek AF pula. Terima kasih kepada semua peminat.
*Gambar menunjukkan seorang peserta cilik sedang membaca sebahagian petikan di dalam Kerepek Af. Gambar ini di ambil di Bangunan Tabung Haji, Masjid Tanah, Melaka.
Majlis Rumah Terbuka PTS

Esok ada Majlis Rumah Terbuka PTS sempena Hari Raya Aidilfitri. Khabarnya khas untuk penulis dan mereka yang terlibat dengan bidang penerbitan. Pada kesempatan ini bolehlah berjumpa dengan rakan-rakan penulis, editor dan staf PTS. Lebih bahagian sekali jika dapat berjumpa Pn.Ainon. Dalam majlis ini bolehlah saya berkongsi pengalaman (tetapi lebih kepada menimba pengalaman rakan-rakan yang lain). Bukan selalu saya dapat peluang sebegini. Setahun adalah dua atau tiga kali sahaja. Harap-harap Allah S.W.T memudahkan perjalanan saya nanti.
10 October 2009
Merdeka
Alhamdulillah kedengaran sorakkan merdeka! Jika negara ini merdeka pada 31 Ogos 1957 maka saya pula terasa bahang kemerdekaan pada hari ini. Ini dikira separuh merdeka kerana selepas ini jika diizinkan mungkin terjajah lagi. Pada hari ini saya telah siapkan dan telah email manuskrip novel Manisah kepada editor. Sudah beberapa kali editor hantar pesan suruh email. Alhamdulillah hari ini kerja sudah siap. Minggu lepas saya sudah hantar manuskrip Siri Usahawan Cilik kepada editor lain. Tajuknya juga sudah siap iaitu JUTAWAN 3-R. Sama-samalah kita tunggukan hasilnya nanti, insyaAllah.
04 October 2009
Raya Oh Raya
Apabila sebut berkenaan hari raya maka tidak sah kalau tidak dikaitkan dengan rumah terbuka. Konsep rumah terbuka merupakan suatu konsep baru bagi menyambut hari raya. Apabila ada rumah terbuka maka barulah sahabat handai berani berkunjung ke rumah rakan-rakannya. Dahulu kita bebas berkunjungke rumah sahabat handai tetapi sekarang ini bagaikan suatu dilema apabila hendak berkunjung ke rumah sahabat handai. Takut tuan rumah tidak bersedia! Sepatutnya pengunjung menikmati apa sahaja yang disediakan walaupun sekadar adanya sahaja. Pada tahun ini dek terlalu sibuk menulis maka tidak banyak rumah yang sempat dikunjungi. Satu buku sudah siap dan akan diemail kepada editor sebentar lagi manakala satu buku lagi tinggal 40 muka surat. Editor kedua sudah mula menghantar email. Nasib baik dapat editor yang begitu memahami maka dapatlah menulis dengan tenang.
Subscribe to:
Posts (Atom)