04 December 2011

Hari Terakhir di Jeddah




Hari terakhir AR berada di Jeddah, AR berpeluang berkunjung ke masjid terapung di Laut Merah. Pasangan di dalam gambar ini merupakan rakan AR sewaktu di Jeddah.

09 October 2011

Ibadat Haji

InsyaAllah AR akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini. AR akan bertolak menggunakan KT36 pada 10.10.2011 hingga 24.11.2011. Pada kesempatan ini AR ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan dan doakan semoga AR dan isteri memperoleh haji mabrur.

01 October 2011

Bicara Karya

Hari ini AR mengikuti acara bedah karya di Dewan Tun Fatimah, IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Dewan penuh sesak dengan peserta yang ingin mendengar atau mendapatkan pengalaman bagaimana acara bedah karya itu dijalankan. Terdapat dua golongan peserta iaitu orang muda yang terdiri daripada penuntut IPG dan orang lama yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan penulis iaitu IPM dan PENAMA yang agak ramai juga menghadirkan diri. Sekalung tahniah atas usaha penganjur majlis ini.
Karya pertama yang terpilih ialah Antologi Puisi Iga yang ditulis oleh Zaen Kasturi pada 2005. Karya ini telah dibicarakan oleh Pensyarah UPM iaitu Shamsuddin Othman.(maaf sebab sebelum ini berlaku kesilapan ejaan, terima kasih kepada pembaca blog yang peka dan sudi memaklumkan kepada AR)
Karya kedua yang terpilih ialah Antologi Cerpen Masitah yang ditulis oleh Mawar Shafie. Karya ini telah dibicarakan oleh bekas peguam merangkap penulis iaitu Puan Nisah Haron.
Karya ketiga ialah Novel Wajah Rahsia yang ditulis oleh Puan Hanita Hassan. Karya beliau telah dibicarakan oleh pensyarah IPG Melaka iaitu Mohamad Musip.
Secara keseluruhannya AR agak berpuas hati dengan cara bicara karya itu berjalan tambahan pula mendapat sentuhan pengerusi majlis yang berpengalaman iaitu Tn Hj Mohd Zazmi Mohd Zin iaitu Ketua Bahagian Rancangan Radio Malaysia Melaka FM. Semoga acara ilmu ini lebih kerap diadakan di Melaka.

27 September 2011

Sajak AR terbit dalam Dewan Sastera Sept 2011

Alhamdulillah sajak hasil penulisan AR bertajuk 'JENDELA' telah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran September 2011. AR sungguh gembira dan hati begitu teruja kerana sajak ini berjaya memaut hati editor DS. Bukan senang untuk sesuatu hasil sastera itu menembusi majalah DS yang AR anggap sungguh luar biasa. Mungkinkah ini langkah pertama? Jikalau pembaca budiman sekalian ingin menikmati sajak ini maka jangan lupa dapatkan majalah Dewan Sastera September 2011. Selamat membaca.

30 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Pada kesempatan ini AR ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR BATIN. AR ingin memohon maaf sekali lagi kerana agak lama menyepi. Biasanya AR update blog 2 minggu sekali tapi ini sudah berlanjutan sebulan. AR sebenarnya kena menyiapkan manuskrip novel untuk dihantar kepada pihak MASTERA dan penerbit. Apabila kena siapkan mengikut tarikh akhir maka AR kenalah bertungkus lumus untuk menyiapkannya. Alhamdulillah manuskrip itu telah pun siap tetapi malangnya pihak penerbitan tidak bersetuju untuk menerbitkannya. Kenapa ye? Inilah pengajarannya iaitu apabila kita menulis sesebuah cerita maka kita harus menghantar manuskrip itu kepada penerbit yang sesuai. Oleh kerana cerita AR bertemakan sosiobudaya maka kenalah cari penerbit yang boleh menerbitkan novel yang sebegitu rupa. Kesimpulannya AR akan mencari penerbit lain untuk menerbitkan manuskrip novel ini.

31 July 2011

Selamat Menyambut Ramadhan





AR telah mengikuti LDP di Hutan Rekreasi Sungai Udang, Melaka pada hari Sabtu. Kami telah meredah laluan di hutan sejauh 2.4km. Rupanya ada beratus nama pokok kayu balak yang kekadang kita sukar percaya bahawa itu nama pokok kayu balak. Antara nama pokok itu ialah petaling, antoi, kandis, kelat, nyatuh, keruing, kelulut, sentul, merbau, balau, bintangor, seraya dan seribu satu nama lagi. Pak Ahmad Tohari (penulis terbaik Indonesia 2008) menyatakan seseorang penulis novel harus sedar bahawa manusia tidak hidup keseorangan di dunia ini. Kita berkongsi ruang dengan makhluk Allah yang lain.
Salam ceria dan Selamat Menyambut Ramadhan Yang Mulia.