07 January 2012

Hadiah Sastera Berunsur Islam


AR baru menerima sepucuk surat daripada pihak DBP. Surat ini memaklumkan AR menang Hadiah Sastera Berunsur Islam Kali Ke-13. Pertandingan ini dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Islam. Alhamdulillah, suatu lagi pengiktirafan yang AR terima. AR telah menang tempat kedua bagi kategori cerpen dengan cerpen bertajuk Jalan. Hadiah dijangka disampaikan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 20 Januari 2012 di Kuala Lumpur.
Apa yang ingin dikongsi oleh AR ialah sebelum surat ini diterima, AR telah menerima panggilan telefon daripada pegawai DBP. Pegawai itu cuma memaklumkan AR telah menang Hadiah Sastera Berunsur Islam Kali Ke-13 (itu sahaja tanpa memaklumkan tempat keberapa dan cerpen mana yang menang). AR telah menghantar 3 buah cerpen. Tajuk cerpen yang AR hantar ialah Jalan, Papa Ingin Sempurna, dan Buraq. AR fikir tentu Papa Ingin Sempurna yang akan menang pertandingan ini kerana tema dan persoalan yang dibawa serta aspek plot yang baik. Selain itu cerpen ini juga ada sentuhan di jiwa pembaca (agaknya) namun anggapan AR meleset. Rupa-rupanya cerpen Jalan yang menang. Cerpen Jalan juga agak baik dari segi plot dan persoalan yang cuba dibawakan. Kemungkinan besar (dan tak syak lagi) cerpen Jalan menang kerana pertandingan ini dianjurkan oleh DBP dan Yayasan Pendidikan Islam. Bukankah AR pernah terangkan iaitu kita harus melihat siapakah penganjurnya dan apa tema yang dikehendakki oleh penganjur dan tulislah cerpen itu mengikut dua kehendak itu jikalau mahu menang. Cerpen Jalan membawa konflik golongan tua dengan golongan muda. Konflik si anak yang cuba mengubah si ayah dengan cara yang betul. Bagaimanakah si ayah yang sudah tegal dengan pegangan agamanya yang dulu-dulu boleh berubah? Mampukah si anak mengubah si ayah tanpa menyakitkan hatinya sedangkan kita sebagai anak tidak dibenarkan untuk menyakiti si ayah. Mungkin di sini letaknya kekuatan cerpen ini. Apa pun sama-samalah kita dengarkan pandangan yang arif hakim pertandingan ini yang akan memberikan ulasannya pada majlis penyampaian hadiah tersebut.

01 January 2012

Selamat Menyambut 2012

Apa azam baru anda? Itulah yang sering ditanya apabila tahun baharu hadir. Persoalannya adakah azam kita yang dahulu sudah tercapai? Apapun AR ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2012. Azam itu ialah cabaran diri kita untuk mencapai sasaran diri. Dengan adanya azam maka kita bermotivasi untuk mendapatkan matlamat yang kita sasarkan. Elok jugalah dibuat azam setiap kali tahun baharu menjelang tiba namun fikir-fikirkanlah azam lama sama ada sudah dicapai atau tidak. Jikalau azam lama belum tercapai eloklah dibuat muasabah diri atau setidak-tidaknya jadikan azam lama itu sebagai azam baharu!Apa azam AR tahun ini? AR ingin mengadakan paling kurang 6 kursus penulisan sepanjang tahun ini dan menerbitkan sekurang-kurangnya 2 buah buku. Selamat menyambut tahun baru....

27 December 2011

Kursus Penulisan Berita & Rencana

AR ingin maklumkan Kursus Penulisan Berita Dan Rencana akan diadakan pada 30 & 31 Disember 2011. Mulanya kursus itu dijangkakan pada 24 & 25 Disember tetapi ditunda pada 30 & 31 Disember ini. Kursus ini akan diadakan di Muara Sungai Duyong. Kursus ini dianjurkan oleh PENAMA dengan kerjasama pihak DBP. Khabarnya makan minum dan penginapan adalah gratis. Eloklah kita meramaikan kursus ini sekurang-kurangnya menghadirkan diri dalam majlis ilmu beroleh pahala. Ilmu ini pula pastilah bermanafaat. AR dimaklumkan seorang Profesor akan mengendalikan kursus ini. Kepada penduduk Melaka dan sekitarnya dipersilakan hadir beramai-ramai.

20 December 2011

Kursus Penulisan




Tahun 2012 bakal menjelma tidak beberapa hari lagi. Apakah azam bagi tahun baru ini? Sewaktu berada di Mekah, AR berasa bersyukur kerana pada usia agak muda AR telah dapat menjadi tetamu Allah SWT dan telah dapat menunaikan ibadat haji. Kemudian AR terfikir bahawa ini semua kurniaan Allah SWT dan AR tahu bahawa semuanya ini berkat sokongan rakan-rakan, rakan pembaca dan peminat buku-buku AR. AR perlu berbuat sesuatu dan AR terfikir alangkah bagus jikalau ramai orang boleh menulis. Dengan duit hasil menulis itu mereka boleh menunaikan ibadat haji atau melancong ke UK, Perancis, Indonesia, Australia dan yang terbaru menaiki helikopter seperti AR.
Oleh yang demikian AR berhasrat untuk mengendalikan kursus penulisan kreatif mulai tahun 2012. AR berhasrat untuk berkongsi pengalaman menulis ini dengan lebih ramai penulis muda. Mungkin pengetahuan AR yang sedikit ini dapat sama-sama menghasilkan penulis berbakat pada masa hadapan.Oleh yang demikian AR mengalu-alukan sebarang cadangan atau pandangan untuk dikongsi bersama.
Jikalau ada pihak yang berminat untuk mengadakan kursus atau bengkel penulisan di sekolah, institusi perguruan atau di mana sahaja nanti bolehlah menghubungi AR. AR bersedia membantu untuk mengendalikan kursus penulisan ini.
Tel : 016-2180423
Email: razak_adam07@yahoo.com

17 December 2011

Kajian Sarjana Terhadap Novel Kasih Seharum Manisah


AR telah menerima satu email daripada seorang pelajar Universiti Sains Malaysia. Pelajar universiti ini ingin membuat kajian ilmiah terhadap Novel Kasih Seharum Manisah. Alhamdulillah dan ini amat dialu-alukan oleh AR sebagai seorang penulis. Semoga lebih ramai lagi penyelidik membuat kajian ilmiah seperti ini....kecil tapak tangan nyiru AR tadahkan.
Inilah email yang telah dikirimkan itu.

Assalamualaikum...

Saya XXXXXXXXXXXX merupakan pelajar tahun akhir PJJ Usm Pulau Pinang. Tujuan saya mengirim email ini adalah untuk mengetahui tentang latar belakang En. A. razak sama ada dari segi latar belakang pendidikan sertamaklumat peribadi secara lebih terperinci kerana saya telah memilih Novel Kasih Seharum Manisah sebagai bahan untuk tesis di tahun akhir. Untuk itu saya amat berbesar hati jika En. razak dapat memberikan kerjasama dan membantu saya dalam merealisasikan kajian yang telah saya jalankan .Jika En. A.razak sudi menolong saya sila jawab ya nanti saya akan hubungi lagi. Sekian .Terima kasih.

04 December 2011

Menanti giliran untuk mengucup Hajar Aswad




Inilah pengalaman yang tidak boleh dilupakan iaitu saat ingin mengucup batu Hajar Aswad(batu dari syurga)di Kaabah. Gambar ini dirakam oleh AR sendiri menggunakan telefon bimbit sebab itulah agak pelik gambarnya. Kopiah....hilang sewaktu berebut hendak mengucup batu itu. Alhamdulillah, hajat dimakbulkanNya. Sebenarnya ini kali kedua AR dapat mengucup batu Hajar Aswad. Pertama ketika membuat ibadat umrah pada 2008 dan kedua sewaktu melaksanakan ibadat haji ini. Orang kata musim haji sukar untuk mengucup batu ini tapi AR dapati ada cara untuk kita mengucupnya. Bukankah Allah SWT suruh kita sabar, sabar dan sabar. Sembahyang hajat, minum air zam-zam sambil berdoa semoga diberikan kekuatan dan kesenangan untuk mengucup Hajar Aswad dan terus menuju ke Kaabah. Ikutlah laluan orang yang sedang beratur di sisi atas (1 kaki) dinding Kaabah itu insyaAllah akan berjaya.

Hari Terakhir di Jeddah




Hari terakhir AR berada di Jeddah, AR berpeluang berkunjung ke masjid terapung di Laut Merah. Pasangan di dalam gambar ini merupakan rakan AR sewaktu di Jeddah.