10 February 2014

Sinopsis Novel Dari Lembah Ke Puncak



Jalil merupakan pelajar Tingkatan 5. Beliau telah melalui pelbagai pahit getir selepas bapanya, Pak Teh meninggal dunia. Ibunya seorang wanita kampung yang selalu bertindak mengikut fikirannya tanpa memikirkan kesan dan akibat tindakannya itu. Kisah cerita ini bermula, apabila Biah, seorang gadis dari Kampung Bukit Nibung, di Bukit Jenun melarikan diri selepeas ditunangkan. Penduduk Kampung Bukit Nibung gempar apabila mendakwa Biah dilarikan oleh Muhsin, iaitu abang Jalil. Sejak itu, Mak Teh menjual tanah bendang dan Tanah pusaka peninggalan Pak Teh kepada sepupu Pak Lang Ali. Pak Lang Ali mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku kepada Mak Teh. Pak Lang Ali menjual tanah bendang Mak Teh sebanyak 5 relong kepada sepupunya Pak Amat di Guar Chempedak dengan harga RM10 ribu sedangkan dia membayar kepada Mak Teh dengan harga RM5 ribu. Oleh kerana terdesak Mak Teh menjual dengan harga murah kerana dia hendak menghapuskan keaiban yang dilakukan oleh anak lelaki kesayangannya dan menghilangkan malu dengan orang kampung. 


     Mak Teh menumpang di rumah sepupunya Pak Long Ayob. Jalil tidak mahu mengikut ibunya berpindah kerana dia hendak meneruskan pelajaran. Dugaan pertama yang dihadapi oleh Jalil ialah ibunya telah merobohkan rumahnya dan semua kayu rumahnya dibawa ke Guar Chempedak kerana hendak didirikan rumah baru di Bagan Lalang. Jalil terpaksa mendirikan dangau untuk beliau berteduh. Dengan kudrat yang ada, Jalil cuba mengusahakan tanah arwah bapanya dengan berbincang semula dengan pembeli tanah itu, Pak Amat. Jalil berjanji dia akan pulangkan duit RM10,000 kepada Pak Amat dalam masa 10 tahun. Detik-detik kesukaran yang dilalui oleh Jalil ialah semasa diganggu oleh Kudin, abang Biah dan semasa dia hendak membayar yuran peperiksaannya. Jalil juga dipulaukan oleh penduduk kampung kerana perbuatan abangnya Muhsin. Namun, Latifah anak Pak Lang Ali menjadi penyelamat kepada kehidupan Jalil. Latifah ketika itu dalam tingkatan 3 amat menyanjungi keketanlan semangat juang Jalil. Latifah juga yang memujuk ayahnya agarnya membantu Jalil membayar yuran peperiksaan SPM. 


      Selepas membayar yuran itu, Jalil menyerahkan resit yurannya agar disimpan oleh Latifah sebagai bukti dia telah membayar yuran kepada gurunya. Latifah juga membantu Jalil semasa kakinya luka ketika menanam padi dalam petak sawahnya kerana Kudin telah dengan sengaja melemparkan kaca di dalam bendangnya. Selepas peperiksaan SPM, Jalil meninggalkan kampung halamannya dengan berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tanahnya itu sudah jadi milik orang. Namun, Pak Amat membiarkan Jalil mengusahakan tanah sawahnya sendiri. Semasa Jalil mahu ke Kuala Lumpur dia memajak padinya yang baru menguning kepada Ah Bee sebanyak RM400. Dengan duit itu, Jalil membeli tiket keretapi ke Kuala Lumpur. sebelum pergi ke KL, Jalil telah membeli batu nisan untuk diletakkan di kubur ayahnya di kedai Hameed dengan harga RM15. Di Kuala Lumpur Jalil bertemu dengan Abang Joe di Pasar Budaya dan seterusnya dia bekerja dengan Abang Joe. Abang Joe beruntung kerana Jalil mahir melukis. Selepas itu, mereka mengusahakan projek dengan menghantar lukisan ke hotel-hotel. 


      Kejayaan yang diperoleh oleh Jalil tidak berhenti di situ kerana dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Dia melanjutkan pelajaran di UPM dalam bidang Lanskap. Jalil belajar sambil bekerja dengan Abang Joe. Akhirnya mereka menubuhkan Syarikat Alam Hijau. Syarikat Jalil berkembang sehinggalah mereka membina empayar perniagaan berasaskan landskap dan dekorasi. Semasa temuduga pegawai akaun, Jalil bertemu semula dengan Latifah setelah berbelas tahun dia meninggalkan Kampung Nibung. Akhirnya Jalil dan Joe telah melancarkan Projek Taman Tema Kampung Nibung. Latifah menjadi pendorong dan inspirasi kehidupan Jalil telah membantu Jalil mendapatkan kepercayaan orang kampung untuk menjual tanahya mereka kepada Jalil. Akhirnya kesengsaraan hidup Jalil dalam usaha menebus semula tanah pusaka ayahnya berbaloi.
(diubah suai daripada beberapa laman blog)

07 February 2014

The Lord Of The Rings vs Hikayat Langlang Buana

Dalam cerita Hikayat Langlang Buana, Raja Indera Bumaya boleh bertukar menjadi burung bayan, burung nuri dan bunga. Keistimewaan Raja Indera Bumaya yang lain ialah baginda boleh mencita geliga daripada Raja Johan Syahperi dengan menyeru empat jin untuk menewaskan hulubalang Raja Bahrum Dewa. Apabila mendapat tentangan daripada Raja Bahrum Dewa maka Raja Indera Bumaya mencita pula geliga hikmat itu untuk mendapatkan bantuan empat ribu jin bagi melawan segala raja, menteri, hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Puncanya kerana rasa cinta Raja Indera Bumaya terhadap Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
     Sebenarnya kita tidak ketandusan cerita untuk dipersembahkan sama ada ke layar perak atau diolah untuk tujuan penulisan moden. Masyarakat Melayu dahulu kaya dengan khazanah alam tetapi sayang tidak dipugar dengan baik sehingga terperap di dalam buku. Masyarakat kita lebih mendewa-dewakan Lord Of The Ring biarpun ceritanya tidak masuk akal. Sebenarnya yang tidak masuk akal itulah permulaan kepada tercetusnya idea kreatif untuk masa hadapan. Masyarakat kita suka merendah-rendahkan apa yang kita ada sambil menyanjung tinggi khazanah luar negara yang dikatakan elit dan moden. Mereka menganggap segala macam dewa dan perkara karut marut itu tidak sesuai dengan budaya, agama dan negara ini (penulis bersetuju bahawa  hukum Islam tetap hukum Islam dalam penentuan akidah). Tetapi dalam masa yang sama mereka menyanjung tinggi cerita karut marut dari luar negara. Soalnya adakah perkara ini adil untuk penggiat seni di negara ini apabila berhadapan dengan isu ini?
     Apa yang AR harapkan agar kita harus bersikap terbuka (tetapi dalam masa yang sama akidah dan soal iman tidaklah dipinggirkan) dalam menangani isu ini. Kita harus menggiatkan usaha menggali khazanah cerita-cerita lama dan mengetengahkan cerita ini hingga ke peringkat antarabangsa. Inilah yang menuntut komitmen daripada penulis sama ada penulis novel, skrip atau cerpen. Kita harus bertanya mengapakah sehingga sekarang kita di rantau nusantara ini masih belum lagi meraih hadiah Nobel setelah Prem (yang pernah diwara-warakan untuk pencalonan) pergi meninggalkan kita. Adakah kita sibuk mengejar apa yang ada di barat untuk dipersembahkan kepada khalayak dan akhirnya kita gagal sedangkan permata berharga itu ada di rumah kita sendiri dan cuma menunggu masa untuk digilap lalu dipersembahkan kepada khalayak antarabangsa sehingga kita mampu memperoleh anugerah tersebut.

09 January 2014

Keputusan Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi anjuran ITBM-PENA, BH

Alhamdulillah teka-teki siapakah pemenang Sayembara Novel, Cerpen dan Puisi anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), PENA dan Berita Harian terjawab juga pada jam 4.30 petang 7 Januari 2014. Tahniah AR ucapkan kepada para pemenang. Seperti sudah dijangk kebanyakan pemenang yang tersenarai sudah ada nama dalam dunia penulisan dan kesusasteraan Tanah air. Lebih membanggakan ialah karya yang memenangi sayembara ini diterbitkan dalam bentuk buku perseorangan. AR bersyukur memperoleh saguhati bagi kategori novel kerana daripada 642 manuskrip yang dihantar oleh peserta cuma 30 masuk senarai akhir dan AR salah seorang finalis. Sebelum melangkah ke Dewan Bangkuet Sri Satria, Putrajaya itu AR sebenarnya tidak tahu nama-nama mereka yang masuk finalis. Apabila duduk di dalam dewan itu barulah AR sedar akan tokoh penulis yang mengelilingi AR. Dalam hati AR dapat agak kedudukan AR itu. Apapun tahniah buat mereka yang berjaya dan yang kurang bernasib baik jangan mudah putus asa. Anggap ini sebahagian daripada cabaran dalam dunia penulisan.

Hadiah yang ditawarkan


Kategori Novel
1. D.U.B.L.I.N - Wan Nor Azriq
2. Qalam Kalbu - Sri Rahayu Mohd Yusop
3. Pertemuan Musim Semi - Zubaidah Ishak

Sagu hati
4. Jajahan Bonda - Md Nizar Parman
5. Anatomi Rupert - Ruhaini Matdarin
6. Hari-hari Yuda - Neor Muhammad Azri
7. Nuansa Cinta - Mohd Fadzil Yusop
8. Tujuh Keturunan - Abd Razak Adam
9. S.P.Q.R - D.H. Danieyal
10. Semenanjung Menangis - Ariff Mohamad

Kategori Kumpulan Cerpen
1. Melawan yang Mustahil - Ruhaini Matdarin
2. Sayang Perahu Mudik Hilir - Mohd Azam Rezali
3. Sagu, Ikan Salai - Radzemah Bolhassan

Sagu hati
4. Hanya Beberapa Minit - Noridah Mohd Noor
5. Kuda-kuda Lembah Patagonia - Mohd Hafezin Khadiri
6. Serangga di dalam Kepala - Roslan Jomel
7. Langit Runtuh - Dayangku Mastura
8. Narasi Gua dan Raqim - Mawar Safie
9. Sekapur Sireh daripada Teja - Sharifah Aisiah Syed Mahazar
10. Konflik di Hati Enrique - Nazri Hussein

Kategori Kumpulan Puisi
1. Negeri Kunang-Kunang - Ridzuan Harun
2. Laut Tujuh Gelombang Buih - Rahimidin Zahari
3. Taman Maknawi - Shamsudin Othman

Sagu hati
4. Sidang Kultus - Raihani Mohd Saaid
5. Suara Bukit kepada Langit - Sahrunizam Abdul Talib
6. Mandala Sukma - Zulfazlan Jumrah
7. Perahu - Ramlah Abdul Rasid
8. Titik ke Titik, Hujan - Ariff Mohamad
9. Tentang Pertanyaan - Hani Salwah Yaacob
10. Kota Subuh - Fahd Razy

10 December 2013

Misi Mencari Tomoyuki Yamashita, Osaka

Alhamdulillah, AR telah sampai ke Lapangan Terbang Kansai Osaka di Jepun. Kali ini AR sekeluarga pergi tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong atau agensi pelancongan (kerana nak jimat duit). Memang kebiasaannya AR pergi keluar negara begini. Sebelum ini AR pergi ke UK, Paris, Korea dan Australia juga dengan cara begini. Apabila kita pergi sendiri (tanpa melalui agensi pelancongan) kita akan berjimat (banyak) selain itu kita bebas hendak pergi ke mana sahaja arah tuju kita tanpa sekatan masa. Kita juga dapat eratkan perhubungan keluarga apabila duduk berbincang arah tujuan. Apa yang menarik ialah sewaktu AR mengadakan ceramah penulisan di sebuah sekolah, ada peserta yang tulis dalam fb (selepas ceramah itu) "wah, boleh melancong ke Paris kalau kita tulis buku!". Sebenarnya hasil daripada duit royalty buku memang kita boleh gunakan sebagai modal untuuk menjana idea penulisan kita. Pepatah mengatakan 'jauh perjalanan luas pemandangan'. Berjalanlah semoga perjalanan itu akan menginspirasikan kita untuk menulis dengan lebih banyak lagi.

05 December 2013

Teka-Teki Tarikh Penyampaian Hadiah Sayembara ITBM

Alhamdulillah akhirnya tarikh bagi penyampaian hadiah Sayembara Menulis Novel, Cerpen dan Sajak anjuran ITBM, BH dan PENA diketahui juga. AR pun tak pasti boleh maklumkan atau tidak tapi rasanya tarikh ini bukan menjadi rahsia lagi. Secara kebetulan AR ada urusan di ITBM dan dimaklumkan akan perkara ini. AR dimaklumkan tarikh penyampaian hadiah ini akan disempurnakan pada 6 Januari 2014. Khabarnya TPM akan berangkat untuk menyempurnakan majlis tersebut. Tempatnya belum dimuktamatkan lagi. Tapi AR nak maklumkan juga bahawa info ini hanyalah info awal dan tertakluk kepada pindaan. AR tak pasti menang atau tidak pertandingan ini namun hanya berserah kepada Allah SWT. Sama-samalah kita nantikan majlis ini nanti. Rasanya sudah setahun kita menunggu pengumuman rasminya. Ramai juga yang bertanya akan hal ini, nah sekarang ini sudah terjawab semoga mereka yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini akan lena tidur selepas ini.

16 November 2013

Bicara Buku Anjuran IPM

Insya-Allah Sesi Bicara Buku anjuran IPM akan diadakan lagi. Kali ini 2 buah novel terpilih iaitu Novel Kasih Seharum Manisah (terbitan PTS) yang ditulis oleh AR serta novel Tiga Enigma Cinta  oleh Zamidah Hashim(terbitan DBP) akan dibual bicarakan.

Maklumat program ini;
       Tempat : Hotel Super Cobow (dulu Hotel St Meredian) Melaka (dekat Masjid Al Azim)
       Tarikh : 17 November 2013 (Ahad)
       Masa : 9.00 pagi
      Anjuran : IPM Melaka
      Bayaran : Percuma (Minum pagi disediakan).
Semua dijemput hadir untuk sesi perkongsian ilmu. Kami mengalu-alukan kehadiran penonton atau pendengar setia ke dalam majlis ilmu ini.