29 May 2010

Reunion Dan Kepentingan Ilmu Pengetahuan.



Hari ini 29.5.2010, AR dapat menghadiri Majlis Perjumpaan Pelajar JESES/SMDB sempena Ulang Tahun Ke-50. AR dapat berjumpa dengan pelajar senior yang dah berusia hampir 70 tahun dan AR juga dapat berjumpa dengan rakan satu batch 1983-1987. Apa yang ingin dikongsikan oleh AR ialah apabila AR maklumkan AR sudah menulis 7 novel masing-masing terkejut. Katanya sewaktu bersekolah dahulu AR bukanlah seorang kaki tulis cuma suka membaca buku sahaja. Seingat AR memang benarlah apa yang diberitahu itu. Apa yang AR ingat ialah AR mula berani untuk menulis ketika berada di UPM. AR banyak menulis sajak tetapi tidak tahu hendak hantar ke mana. Mujur AR kenal dengan saudara Androd Sardian (satu kolej di KK7). Dapat jugalah hasil tulisan AR keluar di majalah. Apa yang ingin diberitahu oleh AR ialah kita perlu banyak membaca buku sebagai persediaan untuk menulis. Bukan membaca buku sewaktu menulis (takut nanti terikut gaya penulis lain), tetapi sebelum daripada itu ilmu pengetahuan perlu mantap. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang mantap maka kita akan ada keyakinan untuk menulis, insyaAllah.

23 May 2010

Berguru Dengan Pak Latip


Alhamdulillah hari ini AR dapat berguru dengan Pak Latip atau Abdul Latip Talib iaitu Penulis Novel Sejarah No.1 Malaysia. Banyak yang dapat AR pelajari hari ini berkenaan cara menulis novel sejarah. Dalam kepala AR sudah ada cerita yang ingin ditulis. Sebenarnya AR sudahpun siap menulis sebuah novel dan akan dihantar kepada editor pada 29.5.2010 ini. Rasanya ingin sahaja berehat sebelum ambil keputusan untuk menulis lagi tapi apabila melihatkan semangat Pak Latip maka hati AR berkobar-kobar. Tambahan pula kata-kata motivasi daripada Pak Latip iaitu penulis merupakan Kalam Allah. AR tabik dengan Pak Latip kerana Pak Latip mampu menyiapkan novel sejarahnya dalam masa 2 minggu. Apakah rahsianya? Sebab itulah kita digalakkan mengikuti bengkel penulisan.

10 May 2010

Apakah idea yang boleh dijual




Pernah atau tidak anda mengalami keadaan sebegini :

i). “benda ini aku sudah fikirkan dahulu lagi kenapa dia dapat buat”. Atau
ii). “Kalau aku buat benda ini dahulu pasti aku sudah terkenal tetapi sekarang ini dia sudah buat dahulu dan aku terpaksa menjadi penonton sahaja (sambil melihat orang itu menikmati hasil ciptaannya). Atau
iii) “Eh, samalah idea dia dengan idea yang ada dalam otak aku”.

Ketiga-tiga situasi ini berlaku akibat kelalaian kita. Bukan sahaja disebabkan kelalaian tetapi juga akibat kelemahan kita menguruskan diri. Akibatnya maka kita sentiasa berada di dalam kerugian.
Kita lemah kerana tidak yakin akan kemampuan diri kita. Akibatnya maka kita hanya mampu melihat orang mencipta kejayaan kerana orang itu dapat merealisasikan idea tersebut sedangkan kita hanya berputih mata.
Bagaimanakah cara untuk kita merealisasikan idea kita dalam bidang penulisan? Selalunya penerbit buku takut untuk menanggung risiko. Penerbit buku lebih selesa menerbitkan buku yang sudah tersedia acuannya. Sebab itulah apabila novel cinta laris di pasaran maka berlumba-lumbalah penerbit buku yang lain memasuki pasaran novel cinta. Kita tidak nafikan sebab hakikatnya penerbit mengejar bisnes. Manalah ada orang bisnes yang hendak melihat bisnesnya lingkup! Situasi ini menyebabkan pembaca disajikan dengan konsep buku yang sama sahaja.
Persoalan utama ialah bagaimanakah kita hendak menulis buku berkonsep baru? Untuk menjayakannya maka kita harus membuat kajian. Cuba lihat trend pembaca. Atau jikalau perlu cuba buat soal selidik ringkas tentang konsep baru yang cuba kita buat. Melalui soal selidik ini kita akan dapat lihat keputusannya. Cara mudah ialah melihat pasaran luar negara. Idea baru di sana mungkin boleh diguna pakai di Malaysia. Sebab itulah apabila diadakan pesta buku di luar negara maka penerbit berlumba-lumba menghantar deligasi ke sana. Rasanya peniruan konsep ini tidak salah kerana ia mampu menyajikan sesuatu yang baru kepada pembaca kita dan secara tidak langsung pembaca kita turut sama mengikut trend bahan bacaan dunia.
Berbalik kepada persoalan tadi iaitu bagaimanakah kita mampu menjadi pencipta idea dan bukannya menjadi peminjam atau peniru idea luar dalam mengetengahkan konsep baru bahan bacaan? Ini merupakan suatu cabaran kepada penulis dan penerbit di Malaysia. AR sendiri berasa teruja apabila membaca sebab PT Gramedia dari Indonesia melesenkan buku ‘Usahawan Cilik’ termasuk Novel Kerepek AF.

Cabaran paling utama mengeksport judul ke Indonesia adalah kualiti buku.
Rahsia kejayaan siri "Usahawan Cilik" dilesenkan ke Jakarta adalah pada konsep di sebalik siri itu.
Konsep fiksyen remaja yang tujuannya adalah mendorong pembaca remaja menjadi usahawan sejak masih kecil adalah amat menarik bagi PT Gramedia. Siri seperti itu belum ada di Indonesia. (www.pts.com)

Sebab yang diberikan oleh PT Gramedia ialah konsep atau idea mendidik melalui bahan bacaan untuk menjadikan kanak-kanak berminat menjadi usahawan sejak kecil merupakan suatu idea yang baru dan tiada lagi di Indonesia. Sebab itulah pihak Indonesia bersetuju untuk melesenkan buku-buku siri ‘Usahawan Cilik’. Sebab itulah bagi AR disamping kita menulis maka kita juga harus menjadi pengeksport idea. Semoga dengan kemampuan kita menjadi pengeksport idea baru maka kita mampu untuk membangunkan masyarakat dunia bersama-sama, insyaAllah.

Mohon Restu Wanita Bergelar Ibu


“Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku. Bila kuderita engkau hiburkan selalu. Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku.” Itulah antara lirik lagu sebuah iklan.
Hari ibu disambut dengan pelbagai cara. Ada yang berkemampuan membawa ibunya ke hotel. Ada juga yang membawa ibunya makan di kedai. Ada memberikan hadiah. Semua ini dilakukan untuk mengenangkan jasa ibu.
Pada malam minggu, AR berkesempatan berkunjung ke Mahkota Parade, Banda Hilir, Melaka bersama keluarga. Sewaktu AR lalu di sebuah kedai makanan segera terlihat seorang pemuda cina (sekitar 45 tahun) memapah ibu dia yang sudah tua untuk duduk dan makan di situ. AR berasa terharu. Tersentuh hati dan perasaan AR melihatkan peristiwa itu. Hanya mereka berdua sahaja di situ (mungkin pemuda itu belum berkahwin lagi). AR perhatikan ibu dia sungguh gembira makan sambil sesekali mulut dia dilapkan oleh si anak dengan menggunakan tisu.
AR juga membawa ibu AR keluar tetapi pada minggu lepas. Kami sekeluarga membawa ibu makan di restoran ikan bakar di tepi laut (Sebab ibu tidak suka makan ayam). Kebetulan pula hari jadi ibu yang ke-75 tahun hampir dengan ‘Hari Ibu’ jadi AR memutuskan untuk menyambutnya secara serentak. Ibu AR sungguh gembira biarpun kekadang dia kata ‘buat apalah membazir’. Tapi bagi AR tidak mengapalah sebab yang penting dapat mengembirakan hati ibu.
Menghormati ibu amat penting. Kepentingan itu bukan sahaja bersebab kita ini beragama islam tetapi jauh dari itu sebagai seorang manusia. Fitrah manusia seharusnya disertakan dengan sifat kasih sayang terhadap seorang ibu. Binatang pun tahu menghormati ibu yang melahirkannya apatah lagi kita manusia yang dikurniakan akal fikiran. Doa ibu bapa kita mustajab sebab itulah setiap kali mendapat kejayaan maka AR tidak akan lupa untuk memberikan ucapan terima kasih kepada ibu. Sebagai penulis maka doa ibu (termasuk isteri) amat penting kerana inilah yang akan menentukan kelancaran pengaliran idea kita. Hormatilah ibu bapa dan sesiapa sahaja yang bergelar ibu semoga doa mereka akan mengiringi kejayaan kita walau dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Selamat Hari Ibu.

30 April 2010

Alhamdulillah, Novel Kerepek AF Dilesenkan Ke Indonesia.



Seri Kecil-Kecil Jadi Pengusaha Sukses: Keripik Krisspi
Penulis : A. Razak Adam
Penerbit : Gramedia Pustaka Utama
Harga : Rp 33.000,- *
Ukuran : 12.5 x 19 cm
Tebal : 164 halaman
Terbit : April 2010
Soft Cover


Sahar adalah anak transmigran. Karena hidup sederhana, beberapa teman sekelas sering mengejeknya. Hal itu tidak membuat Sahar kecil hati. Dia malah bersemangat membantu orangtuanya mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Pada suatu hari, Allah memberikan jalan. Sebagai pengurus toko koperasi, Sahar dikirim mewakili SMP-nya mengikuti kursus. Dari sana dia mendapat ide mengolah singkong hasil kebunnya menjadi keripik agar harga jualnya lebih tinggi.

Bagaimana kisah Sahar selanjutnya? Berhasilkah dia membantu keluarganya keluar dari kesulitan?

ISBN : 978-979-22-4982-8; 20401100061

Terima kasih atas kerja keras Cik Ann, para editor dan staff PTS yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam usaha melesenkan novel ini ke Indonesia.Terima kasih tidak terhingga buat pembaca budiman yang memberikan sokongan terhadap novel-novel hasil tulisan AR. AR anggap ini sebagai suatu pengiktirafan kepada penulis.

27 April 2010

Sepetang AR Bersama Pelajar SMK Long Ghafar, Kota Bharu





Bertempat di Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka telah diadakan Program Sepetang AR Bersama Pelajar SMK LOng Ghafar, Kota Bharu. Ketibaan mereka disambut dengan hujan rahmat yang turun mencurah-curah. Mujur juga peserta sudah berada di bawah dewan sewaktu hujan turun. Para peserta terpaksa berkongsi dengan pengunjung hutan rekreasi yang lain yang terpaksa menumpang berteduh. Mereka turut sama mendengar sesi penerangan yang dibuat oleh AR. Seramai 84 orang pelajar SMK Long Ghafar serta 7 guru pengiring terlibat dalam program ini. Program ini telah dapat berlangsung dengan jayanya. AR telah memberikan penerangan mengenai proses penulisan novel, novel-novel yang dihasilkan serta perkembangan terkini diri AR dalam bidang penulisan. Turut diadakan ialah sesi 'screan test' untuk dialog Novel Homestay Bayu. Program ini telah dapat berlangsung selama sejam bermula 4.00-5.00 petang. Semoga sesi ini dapat mengeratkan hubungan AR dengan peminat/pembaca. Terima kasih buat Cikgu Rafi, Cikgu Rafaie, Cikgu Fauzi, Cikgu Normah dan beberapa orang guru pengiring serta tidak lupa kepada pelajar yang terlibat kerana menjayakan program ini.

25 April 2010

PENAMA

Hari ini AR menghadiri Mesyuarat Agung Ke-26 PENAMA (Persatuan Penulis Melaka).

Tarikh : 25 hb April 2010
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Taman Budaya Negeri Melaka.

Senarai Nama AJK PENAMA Sesi 2009-2010

Ketua 1 : YB Datuk Wira Hj Othman B Muhamad
Ketua 2 : Yn Hj. Mohd Raus B Hj. Md Sam

Setiausaha 1 : En Ahmad Zauawi B Hj Che Cob
Setiausaha 2 : En Hasan B Mohd Nor

Bendahari : En Mohd Nasir B Mahmud

AJK : Datin Halimah Binti Baba
Ab.Rahim B Ab Rauf
En Mohd Arshad B Ami
En Ibrahim B Idris
En Zainal Abidin B Hamzah
En Mohamed Noor B Idris
Tn.Hj. Mat Yusuf B Mat Yatim

Dilantik : En Mohd Isa B Maarof
Pn Masdura Bt Selamat
En Razali B Mohd

Pemeriksa Kira-kira : En Salleh B Ahmad
Tn Hj Safian B Mohd Shah.

*Salah satu yang dibincangkan di dalam mesyuarat ini ialah Pelancaran Novel Jutawan 3R pada bulan Jun nanti. Tunggulah perkembangannya nanti.