28 November 2012
Malaysia VS KOREA
Korea Selatan baru sahaja maju iaitu awal 70an baru negara ini mengecap nikmat kekayaan. Sebelum ini kebuluran menjadi suatu lumrah dalam kehidupan warga Korea. Ini diakibatkan oleh peperangan. Akibat kebijaksanaan pemimpinnya maka negara Korea telah berjaya membuat reformasi. Pemimpinnya meminta rakyat supaya menabung dan mengutamakan pendidikan anak-anak. Dua faktor itu telah membolehkan Korea Selatan bangkit sebagai negara maju. Negara kita juga boleh semaju negara Korea Selatan andainya kita memberi keutamaan kepada aspek tabungan keluarga dan pendidikan anak-anak. Tapi cabaran lebih besar ialah mencari keikhlasan pemimpin dalam memimpin negara ke arah kejayaan. Kita boleh menabung dan duit daripada tabungan itu jikalau dapat disalurkan untuk menggerakkan ekonomi negara alangkah moleknya. Kita tidak mahu duit tabungan itu digunakan untuk menggerakkan 'ekonomi kroni', dan itulah sebab mengapa kita amat memerlukan pemimpin yang ikhlas. Bagi aspek pendidikan anak-anak pula, kita perlu mengutamakan aspek pendidikan tanpa memperjudikan masa depan anak-anak. Pendidikan merupakan akar tunjang bagi tumbesaran anak-anak. Pendidikan bukan 'eksperimen untuk percubaan'. Kita perlu bersedia untuk berkorban demi masa depan anak-anak. Setiap pihak tidak boleh mementingkan diri sebaliknya harus ikhlas dalam memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak diperoleh. Biasiswa memang diperlukan tetapi hanya untuk yang berhak sahaja. Sewaktu AR menuntuk di UKM, seorang profesor menyarankan agar mereka yang sudah punya pendapatan besar harus bersedia untuk membiayai sendiri pendidikan anak-anak mereka sehingga ke luar negara tanpa perlu memohon biasiswa daripada sesiapa pun. Kita tidak boleh mengambil hak orang lain! Tapi kita amat sedih kerana apabila kita baca di media massa, masih juga kelihatan anak datuk-datuk dan tan sri-tan sri yang begitu berbangga kerana anak mereka memperoleh biasiswa itu dan ini.Tidakkah mereka berasa malu? Persoalannya sudahkah kita bersedia untuk menjadi manusia seikhlas itu iaitu sanggup menolak biasiswa apabila merasakan pendapatan kita sudah jauh daripada mencukupi? Tepuk dada tanya iman diri.
18 November 2012
Perjalanan AR Ke Seoul, Korea
Alhamdulillah AR selamat sampai ke Seoul. Pujangga mengatakan jauh perjalanan luaspandangan dan bertambah pengalaman. Itulah yang ingin AR cari di kota Seoul ini. Biar pun perjalanan untuk berwisata namun pengalaman akan cuba dikutip untuk meluaskan pengalaman sebagai seorang penulis. InsyaAllah AR akan berada di sini selama 10 hari. Cabaran utama berada di sini ialah suhunya sejuk dan orang Korea tidak tahu berbahasa Inggeris. Cuma beberapa orang sahaja yang tahu berbahasa Inggeris iaitu kakitangan di pusat maklumat pelancongan atau di hotel, yang lain hanya menggeleng kepala atau menggunakan bahasa isyarat (tapi bersungguh-sungguh ingin membantu).
18 October 2012
Panduan Mencari Maksud Sesebuah Sajak
Ramai peminat puisi menghadapi masalah untuk memahami
sesebuah sajak. Berikut beberapa cara untuk anda memahami sajak yang anda
hadapi. Anda boleh menggunakan salah satu cara atau gabungan cara-cara ini
untuk mentafsir atau memahami apa yang cuba dibawakan oleh seseorang penyair
melalui cara yang disarankan Prof. Dr. Mursal Esten dalam bukunya Memahami Puisi.
1. 1. Lihat pada judul/tajuk sajak.
Lihat pada judul sajak dan itu dapat
memberikan gambaran tentang apa yang cuba dibawakan oleh penyair itu.
2. 2.
Perhatikan
kata-kata yang dominan (kata-kata yang sering diulang).
Kata-kata yang diulang sering menjadi
kata-kata yang dominan. Kata-kata terpilih itu akan dapat menggambarkan suasana
yang dominan terhadap sesebuah puisi. Dengan memerhatikan kata-kata yang
dominan itu akan terbuka pula kemungkinannya untuk anda memahami makna
keseluruhan puisi yang cuba anda fahami itu.
3. 3.
Hayati
makna konotatif (punya makna lain selain daripada makna yang tersurat)
Bahasa puisi merupakan bahasa yang melangkaui
batas maknanya yang biasa/lazim. Bahasanya juga melangkaui makna harfiah.
Bahasa konotatif digunakan sebagai cara untuk membentuk imej atau citra
tertentu dalam puisi itu. Makna konotatif dibentuk dengan menggunakan bahasa
kiasan (figure of speech). Bahasa kiasan termasuklah kiasan perbandingan
(metafofa, kiasan, personafikasi, analogi, perumpamaan), kiasan pertentangan
(ironi, hiperbola, litotes), dan kiasan pertautan (metanime, sinedoke,
eufemisme). Oleh kerana konotatif menjangkaui maknanya yang biasa maka berlaku
kemungkinan kita memahami sesuatu perkataan di dalam puisi itu dengan
bermacam-macam makna. Untuk tidak sampai menyesatkan kita maka kita kena
berpegang kepada makna konotatif yang umum. Dengan yang demikian makna
konotatif yang dipegang haruslah maknanya yang telah disepakati atau yang
paling mungkin berdasarkan hubungannya dengan kata, frasa atau kalimatnya yang
ada.
4. 4.
Cari
makna yang terungkap di dalam baris atau bait.
5. 5.
Kita
boleh memahami makna puisi itu melalui baris atau bait puisi.
Makna yang paling hampir adalah makna yang
sesuai dengan struktur bahasa.
Cuba perhatikan sajak karya Supardi ini,
Perahu Kertas
Waktu masih kanak-kanak kau membuat perahu
Kertas
dan kau layarkan di tepi kali; alirnya sangat
Tenang,
dan perahumu bergoyang menuju lautan
“Ia akan singgah di bandar-bandar besar,”
kata seorang
Lelaki
tua. Kau sangat gembira, pulang dengan
berbagai gambar warna-warni di kepala. Sejak
itu
kau pun menunggu kalau-kalau ada kabar dari
perahu yang tak pernah lepas dari rindumu
itu.
Akhirnya kau dengar juga pesan si tua itu,
Nuh,
katanya, “Telah
kupergunakan perahumu itu
dalam sebuah
banjir besar dan kini terdampar
di sebuah
bukit”.
Cuba perhatikan bait 3. Mengapa
Supardi menggunakan kata “itu” sesudah “Si Tua” kerana orang itu juga sudah
disebutnya dalam bait 2. Siapakah “si tua” itu? Si tua itu ialah Noh.
Berdasarkan struktur yang ada maka
“itu” sesudah “si tua”, dan “nuh” orangnya adalah sama. Oleh hal yang demikian
maka puisi Supardi ini dapatlah kita mengerti. Puisinya bermaksud ada seorang
lelaki yang arif akan alam kanak-kanak. Meskipun alam kanak-kanak dan fikiran
kanak-kanak itu sering dianggap sebagai berfikiran kosong namun fikiran
kanak-kanak juga harus dihargai. Jarang orang tua yang mahu hargai fikiran
seorang kanak-kanak. Tapi dalam puisi ini dunia kanak-kanak dan khayalan mereka
telah dihargai oleh seorang lelaki tua. Noh ialah seorang nabi. Perahu kertas
yang dibuat kanak-kanak itulah katanya yang ia pakai sewaktu ada banjir besar
yang melanda umat Nabi Noh dahulu. Oleh itu tanpa petunjuk daripada struktur
bahasa maka orang yang satu itu harus sahaja mengatakan ada tiga orang berbeza
dalam sajak itu (lelaki tua, si tua dan Nuh). Jika itulah anggapannya maka
maknanya juga sudah menjadi lain (sudah salah).
6. 6. Prosakan
puisi itu terlebih dahulu jika mahu mengetahui maksudnya.
Usaha memprosakan
ini hanya sekadar untuk menangkap maksudnya bukan untuk tujuan menikmati
keindahan sajak itu.
7. 7. Susur kepada siapa yang dimaksudkan kata ganti
yang ada dan siapa pula yang mengucapkan ayat yang ada di dalam tanda petik
( “ ...”jika ada tanda petik).
8. 8.
Lihat
antara baris dengan baris atau bait dengan bait.
Kadang kala jika
kita melihat antara satu baris dengan satu baris yang lain atau antara satu
bait dengan bait yang lain boleh membantu kita menemukan maksud sajak itu. Baris atau bait itu boleh membantuk satu
kesatuan makna. Cubalah lihat pertalian makna antara baris atau bait-bait
tersebut.
9.
9. Perhatikan
maknanya yang tersembunyi.
Sesebuah sajak
yang baik selalunya mempunyai makna tambahan dari apa yang tersurat. Makna
tambahan itu hanya mampu diperoleh setelah kita membaca dan memahami sajak itu.
Sesudah merenung dan melalui proses konsentrasi dan intensifikasi barulah kita
akan faham maksudnya.
10. Perhatikan
corak sajak itu.
Ada sajak yang
mementingkan unsur formal dan ada pula sajak yang lebih mementingkan unsur
puitis. Puisi yang mementingkan unsur formal akan terlihat dari segi penonjolan
rima, pola-pola baris (dengan suku kata yang relatifnya sama), dan baik.
Selalunya ini dapat dilihat pada puisi tradisional atau kepada penulis yang
terpengaruh dengan puisi tradisional.
Puisi yang
mementingkan unsur puitis tidak terikat dengan unsur formal. Tidak ada baris
malahan baitnya juga tiada. Puisi ini lebih mementingkan suasana puitis melalui
imej-imej yang diciptakan.
Contohnya sajak
ciptan Sitor Situmorang,
Gembala
Perasaan siapa tidak nyala
Melihat anak berlagu dendang
Seorang sahaja di tengah padang
Tiada berbaju buka kepala
Begini nasib anak gembala
Berteduh di bawah kayu nan rindang
Semenjak pagi meninggalkan kandang
Pulang ke rumah di senja kala
Jauh sedikit sesayup sampai
Terdengar olehku bunyi serunai
Melagukan alam nan moleh permai
Wahai gembala di segara hijau
Mendengar puputmu menurutkan kerbau
Maukah aku menurutkan dikau
(Sitor Situmorang).
111.
Setiap
tafsiran yang dibuat harus berdasarkan teks sajak itu.
Ini bermaksud
apapun tafsiran sajak itu maka tafsiran
maksudnya harus dapat dikembalikan kepada teks sajak itu. Kita harus dapat
menunjukkan mana perkataannya atau baris mana atau bait mana yang menjadi
sumber kepada tafsiran kita.
Kesimpulannya bahasa sajak memang
ambiguiti namun dalam mencari maksudnya kita tidak boleh membuat
sewenang-wenangnya. Dasarnya tetap dipegang kepada kata, baris ataupun bait
yang ada di dalam sajak itu.
12 October 2012
Novel Kasih Seharum Manisah dalam Berita Harian 12 OKT 2012.
09 October 2012
Proses Penciptaan Dan Mengenal Puisi
Terdapat beberapa proses sewaktu kita menghasilkan puisi. Sama ada kita sedar atau tidak kita sebenarnya mengikuti proses-proses ini. Proses tersebut ialah,
1. Proses konsentrasi.
Dalam proses ini segenap unsur puisi iaitu unsur musikalitas, korespondensi dan unsur bahasa dipusatkan kepada satu permasalahan atau kesan tertentu. Dalam proses intensifikasi, unsur-unsur puisi itu berusaha menjangkau segala masalah/permasalahan atau hal yang lebih mendalam atau mendasarinya. Kadang kala proses ini menyebabkan sesebuah puisi menjadi sebegitu pelik sehingga lebih sukar difahami jikalau dibandingkan dengan prosa.
2. Proses pengimejan (imagery).
Segala unsur puisi (musikalitas, korespondensi dan bahasa) berfungsi untuk mencipta atau membangunkan sesuatu imej atau citra tertentu. Bunyi dan rima, hubungan satu baris dengan baris yang lain atau satu bait dengan bait yang lain, dan pilihan kata serta idiom-idiomnya, kesemuanya berfungsi membangunkan imej atau gambaran tertentu yang terkesan oleh puisi itu. Imej inilah kemudian yang melahirkan makna utuh terhadap sesebuah puisi.
Proses penciptaan puisi juga akan terlihat melalui pemilihan perkataan, baris, dan bait
yang diciptakan penyair. Prof. Mursal Esten menyatakan terdapat tiga proses
dalam penciptaan puisi, proses itu adalah :
- Proses Konsentrasi
Konsentrasi bermaksud pemusatan. Si penyair akan mengalami proses konsentrasi dalam menciptakan puisinya. Dalam proses konsentrasi, setiap komponen dalam puisi harus terpusat, tertumpu, dan terfokus kepada suatu permasalahan atau satu kesan sahaja. Proses konsentrasi dapat dilihat dalam pemilihan kata, penyusunan baris, dan pembentukan bait yang diperhatikan dengan cermat untuk mengungkapkan satu permasalahan atau satu kesan. Oleh karena itu, pemakaian kata dalam setiap puisi selalu cermat dan padat, tidak ada satu perkataan pun yang membazir. Tambahan pula, dengan sengaja penyair melakukan pelanggaran terhadap tatabahasa tertentu (lisentia poetica) untuk tujuan mengkonsentrasikan puisi yang dihasilkan pada satu permasalahan atau satu kesan. - Proses Intensifikasi
Proses intensifikasi adalah pengungkapan satu permasalahan secara mendalam, mendasar, dan substansial. Semua komponen yang ada dalam puisi saling menunjang dalam pengungkapan tersebut. Semua permasalahan diungkap secara intensif dan mendalam sebagai hasil daripada suatu perenungan. - Proses Pengimejan
Imej bererti citra. Jadi, pengimejan disebut juga pencitraan yang bermaksud pembentukan gambaran tentang sesuatu di dalam fikiran penyair. sebuah puisi itu mencerminkan adanya proses pengimejan. Ertinya semua komponen puisi mulai dari rima, bunyi, baris, dan pilihan kata berfungsi untuk membangun suatu imej atau gambaran tertentu yang terbentuk dalam fikiran pembaca. Penyair membentuk imej dengan menggunakan kata konkrit dan abstrak, idiom, serta gaya bahasa tertentu.
Kesannya
Sesuatu perkataan di dalam prosa lebih cenderung mengikuti makna denotatif (harfiah). Perkataan di dalam puisi pula lebih cenderung untuk meninggalkan makna denotatif tersebut membentuk makna yang bersifat konotatif. Perkataan 'putih' di dalam prosa akan berbeza maksudnya dengan 'putih' di dalam puisi.
Oleh kerana puisi berbeza dengan prosa, maka tentu terdapat perbezaan dalam proses pemahaman dan membaca masing-masing karya tersebut. Oleh kerana puisi dibina melalui proses intensifikasi maka seseorang yang ingin memahami puisi juga harus melakukan proses itu pula. Mereka harus berkemampuan menemukan makna yang terdapat dalam setiap kata, frasa, baris, bait ataupun imej-imej yang terdapat dalam puisi itu. Seseorang pembaca puisi yang baik harus mampu menangkap makna yang terjauh dari sesuatu kata atau baris (berdasarkan makna konotatif yang mungkin dimiliki oleh kata atau baris tersebut).
Pemahaman terhadap puisi-puisi moden akan lebih pelik lagi. Ini kerana makna yang terkandung semakin tersembunyi. Sifat ambiguiti (mengandungi dwi atau kepelbagaian makna) menjadi semakin menonjol.
(Dipetik dan diubahsuai : Buku Memahami PUISI oleh Prof. Dr. Mursal Esten dan Blog Berbagi Ilmu)
08 October 2012
Selamat Menempuh Peperiksaan PMR 2012
Selamat menduduki peperiksaan PMR kepada calon-calon PMR 2012. AR ingin mendoakan kejayaan anda semua. Semoga kecemerlangan menjadi milik anda semua. AR cukup yakin jikalau anda seorang yang minat membaca tidak mustahil untuk anda berjaya dengan cemerlang. Banyak tokoh-tokoh yang luar biasa menyatakan kunci kejayaan mereka ialah membaca. Sekiranya anda suka membaca maka bukanlah sesuatu yang luar biasa jikalau anda berjaya dengan cemerlang. Selain itu banyak kunci lain untuk mengecap kejayaan cemerlang ini dan salah satu daripadanya ialah doa ibu bapa. Mintalah restu ibu bapa anda kerana itulah kunci kejayaan seseorang anak. Anda telah berusaha, anda telah berdoa dan yang selebihnya bertawakallah kepada Allah. Selamat menempuh alam peperiksaan PMR.
01 October 2012
Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Tahun 2012
Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai sayembara deklamasi puisi silalah ambil borang yang AR sediakan ini. Sayembara ini hanya terbuka bagi mereka yang berumur 15 tahun ke atas, anak tempatan Melaka, pemastautin, bekerja atau belajar di Melaka. Peserta yang terpilih akan mewakili Melaka ke pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadualkan diadakan pada 20 dan 21 Oktober 2012. Tarikh tutup penyertaan pada 5 hb Oktober 2012. Saringan akan diadakan pada 9 Oktober 2012 jam 9 pagi di Auditorium RTM, Jalan Taming Sari Melaka. Sayembara ini dianjurkan oleh GAPENA dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia. Selamat mencuba.
Subscribe to:
Posts (Atom)


