27 February 2014
Novel D.U.B.L.I.N karya Wan Nor Azriq
Alhamdulillah selesai membaca novel ini. sepanjang hampir 2 minggu AR terpaksa berdikit-dikit membacanya. Mungkin kerana tiada masa senggang yang banyak dengan hambatan tugas hakiki serta turut disumbangkan oleh kesukatan menterjemahkan apa yang ditulis oleh pengarang. Mengisahkan perjalanan Encik H yang AR bayangkan sebagai penulis itu sendiri dan bagaimana pengembaraan dan pwrjalanan yang terkait sebagai usaha untuk menulis. Menulis novel itu sendiri merupakan suatu proses dan dalam proses perjalanan dan pengembaraan inilah terhasilnya sebuah novel. Turut terkait dalam perjalanan ini ialah watak Anita yang membantu penulis menyelesaikan proses penulisannya. Novel ini agak luar biasa dan mencabar minda serta menuntut kesabaran pembaca untuk menghadamkannya.
20 February 2014
Konflik Dalam Karya Kreatif
Manusia berada di dunia ini kerana kemampuan manusia menyelesaikan konflik (gunung, bukit bukau dan segala macam makhluk yang lain menyatakan kepada Allah SWT mereka tidak mampu sebab itulah dipilih manusia). Akibat konfliklah maka manusia berkembang biak. Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi ini kerana konflik perasaannya terhadap ajakkan Hawa untuk makan buah khuldi (puncanya akibat termakan hasutan iblis).
Dalam karya kreatif, konfliklah yang membolehkan karya itu ditulis panjang lebar. Jikalau tiada konflik mana mungkin untuk karya itu berkembang. Konflik juga seringkali dikaitkan dengan pertentangan. Konflik berlaku akibat wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Memang manusia yang normal akan punya rasa tidak puas hati (sehingga dikatakan perasaan tidak puas hati itulah yang menyebabkan tamadun manusia terbentuk). Perasaan tidak puas hati ini wujud akibat,
I) pertentangan pendapat yang terjadi antara manusia itu dengan manusia yang lain. Dalam konteks karya kreatif - antara seorang watak dengan watak yang lain.
ii) pertentangan pendapat yang terjadi dalam diri watak itu sendiri.
Pertentangan Pendapat Antara Watak
Pertentangan pendapat antara watak ini dikaitkan dengan kehendak atau perangai manusia yang kebanyakannya tidak sama atau tidak sealiran. Cuba lihat pertentangan antara watak yang terjadi dalam novel Dari Lembah Ke Puncak.
Dalam karya kreatif, konfliklah yang membolehkan karya itu ditulis panjang lebar. Jikalau tiada konflik mana mungkin untuk karya itu berkembang. Konflik juga seringkali dikaitkan dengan pertentangan. Konflik berlaku akibat wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Memang manusia yang normal akan punya rasa tidak puas hati (sehingga dikatakan perasaan tidak puas hati itulah yang menyebabkan tamadun manusia terbentuk). Perasaan tidak puas hati ini wujud akibat,
I) pertentangan pendapat yang terjadi antara manusia itu dengan manusia yang lain. Dalam konteks karya kreatif - antara seorang watak dengan watak yang lain.
ii) pertentangan pendapat yang terjadi dalam diri watak itu sendiri.
Pertentangan Pendapat Antara Watak
Pertentangan pendapat antara watak ini dikaitkan dengan kehendak atau perangai manusia yang kebanyakannya tidak sama atau tidak sealiran. Cuba lihat pertentangan antara watak yang terjadi dalam novel Dari Lembah Ke Puncak.
1. Konflik di antara Jalil dengan ibunya contohnya Jalil kesal
kerana ibunya/Mak Teh telah menjual/menggadaikan tanah pusaka arwah ayahnya
kepada Pak Amat yang tinggal di Gurun tanpa pengetahuannya.
2. Konflik antara Jalil dengan Muhsin, contoh Jalil kecewa
dengan sikap abangnya Muhsin yang tinggal di Kuala Lumpur tidak
bertanggungjawab terhadap ibunya di kampung. Muhsin jarang pulang ke kampung
dan tidak pernah menghantar wang kepada ibunya/Mak Teh di kampung.
3. Konflik antara Jalil dengan Pak Lang Ali, contoh Jalil kesal
dengan sikap Pak Lang Ali yang tidak mahu ikut sama pergi ke rumah Pak Amat di
Gurun untuk membayar balik harga tanah arwah ayahnya sebanyak RM10 ribu.
4. Konflik antara Jalil dengan Pak Ngah Kadir, contoh Jalil tidak senang
hati terhadap Pak Ngah Kadir yang memandang serong terhadap diri dan
keluarganya di kampung Bukit Nibung.
5. Konflik antara Jalil dengan penduduk kampung Bukit Nibung, contoh
Jalil sedih dengan keputusan mesyuarat penduduk kampung Bukit Nibung yang mahu
menghalaunya keluar dari kampung tersebut selepas dia selesai menduduki
peperiksaan SPM.
6. Konflik Kudin dengan Jalil, contoh Kudin marah dan berdendam kepada
Jalil sehingga sanggup menabur serpihan kaca di tapak semaian sawah Jalil sehingga
kakinya luka berdarah kerana terpijak serpihan kaca tersebut.
7. Konflik Sabariah(Biah) dengan ayahnya/Pak Ngah Kadir, contoh
Biah sedih dan menangis dipukul oleh ayahnya yang memaksa dia
berkahwin dengan sepupunya.
8. Konflik Rosman dan rakan-rakannya dengan Jalil, contoh Rosman (sepupu Kudin) marah dan berdendam kepada Jalil sehingga berlaku pergaduhan di
tengah Jalan sewaktu Jalil balik dari kedai Ah Bee membeli minyak tanah.
9. Konflik Latifah dengan Jalil, contoh Latifah sedih apabila
Jalil membakar dangaunya dan membuat keputusan meninggalkan kampung Bukit
Nibung untuk pergi ke Kuala Lumpur mencari kerja.
10. Konflik antara Jalil dengan Pak
Amat, contoh Jalil kecewa dan kesal dengan sikap Pak Amat yang mungkir janji
tidak mahu memulangkan semula tanah arwah ayahnya sewaktu Jalil hendak membayar
RM10,000.
Konflik Dalaman Watak (Konflik Jiwa/Perasaan/Dalaman)
Manusia punya perasaan. Seringkali perasaan tersebut berperang kerana wujud konflik kepentingan yang berpunca daripada kesukaran membuat keputusan. Sebagai contoh dikutip konflik dalaman yang berlaku terhadap watak dalam novel Dari Lembah Ke Puncak.
a. Konflik jiwa watak Jalil
- Memendam rasa kesal, contoh Jalil memendam rasa kesal terhadap sikap ibunya/Mak Teh yang pernah mendesak arwah ayahnya/Pak Teh supaya menjual tanah kampung tanpa geran kepada Pak Jid semata-mata untuk memenuhi permintaan Muhsin yang ingin membeli motorsikal.
- Bingung, contoh Jalil bingung apabila terdengar berita angin daripada penduduk kampung Bukit Nibung yang Biah/Sabariah lari ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Muhsin/abangnya.
- Tidak tenteram, contoh Jalil menjadi tidak tenteram jiwanya apabila terdengar berita orang-orang kampung Bukit Nibung yang menuduh Biah/Sabariah lari bersama Muhsin ke Kuala Lumpur.
- Malu, contoh, Jalil merasa malu kepada rakan-rakan di kelasnya kerana dimarahi oleh Miss Ong, guru mata pelajaran Biologinya kerana sering tidak hadir ke sekolah. Miss Ong risau prestasi mata pelajaran Biologi Jalil akan jatuh jika sering tidak hadir ke sekolah.
- Bimbang, contoh Jalil bimbang dengan tindakan ibunya/Mak Teh yang hendak pergi ke rumah Pak Ngah Kadir untuk mengajaknya berbincang mengenai hubungan Biah dengan Muhsin. Jalil bimbang Pak Ngah Kadir tidak akan bersetuju kerana dia telah menanggung malu.
- Sedih, contoh Jalil sedih kerana rumah yang didiaminya semenjak lapan belas tahun yang lalu sudah tidak wujud lagi kerana dirobohkan oleh ibunya sendiri.
- Terkedu, contoh Jalil terkedu apabila diberitahu oleh ibunya bahawa tanah tapak rumah dan tanah sawah di kampung Bukit Nibung itu telah dijual.
- Sebak, contoh Jalil sebak mengenangkan segala peristiwa yang berlaku. Dia telah menjadi mangsa daripada kesilapan orang lain.
- Runsing, contoh Jalil amat runsing memikirkan soal tanah pusaka arwah ayahnya yang telah dijual oleh ibunya kepada Pak Amat di Gurun.
- Dilema, contoh Jalil menjadi dilema apabila Biah/Sabariah memberitahu kepadanya yang abang Muhsinnya tidak bersalah.
- Berserabut, contoh fikiran Jalil menjadi semakin berserabut memikirkan isu Biah dan Muhsin yang berlaku di kampungnya.
- Serba salah, contoh Jalil menjadi serba salah sama ada untuk menjawab atau tidak panggilan Latifah yang datang ke dangaunya untuk menghantar nasi kenduri kahwin yang disuruh oleh Biah/Sabariah.
- Menangis, contoh Jalil menangis kerana sayu selepas membakar dangaunya ketika hendak meninggalkan kampung Bukit Nibung dan Latifah untuk pergi mencari kerja di Kuala Lumpur.
Diubah suai daripada beberapa blok KM
19 February 2014
SEJARAH MELAYU / SULALAT AL-SALATIN
Hari ini AR ingin membuka sebuah Karya Agung yang tidak asing lagi iaitu buku Sejarah Melayu atau Sulalat Al-Salatin. Buku ini AR pinjam dari perpustakaan untuk membuuat sedikit kajian. AR sebenarnya telah pun habis menmbaca buku Sejarah Melayu ini beberapa kali sewaktu mengambil STPM pada tahun 1989 dahulu. Masih terbayang-baying lagi akan apa yang dibaca ketika itu namun kali ini AR ingin membaca lagi untuk dibuat sedikit kajian. AR rasa sesiapa yang bernama Melayu sungguh rugi jikalau tidak membaca karya agung ini. Kenapa dipanggil karya agung? Bacalah sendiri untuk mengetahuinya.
18 February 2014
Novel Pertemuan Musim Semi
Tajuk : Pertemuan Musim Semi
Kategori
: Novel
Penerbit
: ITBM (Tahun Terbitan, 2013)
Bilangan
Muka Surat : 463
“Pertemuan Musim Semi” itulah tajuk
novel yang ditulis oleh Cikgu Zubaidah Ishak. Novel ini telah habis AR baca
dalam masa lima hari (panjang juga masa diambil) kerana terdapat 463 halaman.
Novel ini telah memenangi tempat ke-3 Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan
Puisi anjuran ITBM, PENA dan Berita Harian. Pertemuan Musim Semi telah
diterbitkan pada 2013 oleh ITBM.
Novel ini berkisar kepada watak Malikah yang menuntut di
Universiti Yarmouk, Jordan (sama juga dengan Cikgu Zubaidah yang pernah
menuntut di Universiti Yarmouk). Kisah suka duka kehidupan Malikah yang
akhirnya bertemu jodoh dengan Nasrullah As-Sha’er ketika sedang menuntut di
universiti. Nasrullah merupakan lelaki Palestin menjadi idaman wanita kerana
ketokohannya dalam gerakan penentangan terhadap Israel sewaktu di universiti
lagi. Hidup Malikah teruji apabila Nasrullah terpaksa memberi tumpuan terhadap
tanah air tercinta berbanding cintanya terhadap Malikah. Mampukah Nasrullah
berjaya dalam gerakan penentangannya terhadap Israel dan dalam masa yang sama
memberikah kebahagiaan terhadap isterinya yang tercinta?
Cikgu Zubaidah Ishak nampaknya begitu arif akan geografi dan
sistem pendidikan serta budaya masyarakat Jordan. Kesempatan belajar di sana
telah digunakan dengan baik untuk menulis novel ini. Perjuangan rakyat Palestin
juga telah berjaya dihuraikan dengan baik dan ini mampu memberikan informasi
yang berguna buat kita yang masih tertanya-tanya akan keadaan sebenar Palestin.
Novel ini mungkin agak mendatar pada bahagiaan permulaan dan tiada unsur suspen
yang keterlaluan namun kebolehan pengarang menguasai cerita dengan baik
menyebabkan terdapat tarikan untuk AR membaca novel ini sehingga habis. Cinta
itu ada kalanya diertikan sebagai hubungan manusia vs manusia sahaja namun
pengarang ini telah berjaya mengangkat darjat cinta manusia (Nasrullah dan
Malikah) terhadap tanah air Palestin mengatasi segala-galanya. Biarpun terlalu
banyak penggunaan bahasa Arab dalam novel ini namun bijaksananya pengarang
kerana mampu menterjemah dan memberikan
daftar kata dalam novel ini telah dapat membantu pembaca. Sesungguhnya
novel ini harus dibaca oleh mereka yang ingin mengetahui pergolakan yang
berlaku di rantau Timur Tengah terutamanya di Palestin.
17 February 2014
Mudahnya Menjemput Rezeki
Semalam (16 Februari) telah berlangsung mensyuarat AJK Ikatan Persuratan Melayu. Sewaktu mesyuarat itu berlangsung sempat juga Puan Hanita Hassan mempromosikan buku mini Mudahnya Menjemput Rezeki yang dikarang oleh Fathuri Salehuddin. Bukunya agak ringkas tetapi amat bermanfaat untuk pembaca. AR sempat membaca buku ini sewaktu di dalam kereta lagi (sewaktu menunggu lampu merah hendak bertukar ke lampu hijau) dari Hotel Cowboy hingga ke rumah. Kemudian disambung lagi sewaktu perhimpunan pagi. Alhamdulillah selesai dibaca.
Buku ini menunjukkan kepada kita bahawa rezeki itu sesungguhnya daripada Allah SWT. Jikalau kita percaya akan konsep rezeki itu daripada Allah SWT maka kita sewajarnya percaya dengan apa yang disarankan dalam Al Quran serta hadis sahih. Antara cara mudah ialah dengan melakukan sembahyang Dhuha serta memperbanyakkan sedekah. Jagalah kasih dan hubungan dengan ibu kita serta jagalah hubungan dengan ahli masyarakat kita insyaAllah akan mudahlah rezeki datang. Selain itu kita jangan sempitkan rezeki itu dengan merujuk kepada wang semata-mata tetapi rezeki juga hadir melalui kesihatan, keselamatan, keharmonian hidup dan makanan yang kita peroleh.
14 February 2014
SINOPSIS NOVEL TUJUH KETURUNAN
Novel yang memenang saguhati Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi anjuran ITBM, PENA dan Berita Harian ini telah diterbitkan pada 2013. Mengisahkan
perjalanan hidup Rahmat yang dilingkari oleh pantang larang dan adat istiadat Melayu. Rahmat dilahirkan sewaktu zaman penjajahan
Inggeris yang kemudiannya dikalahkan oleh Jepun. Sewaktu zaman penjajahan,
masyarakat Melayu hidup dalam kesusahan. Kesusahan itu disumbangkan oleh
percaturan penjajah dan sebahagiannya pula disumbangkan oleh adat istiadat
Melayu. Tanah keluarga Rahmat kecil tetapi
berkedudukan strategik tergadai kepada Ah Sui yang licik. Rahmat
meneruskan kehidupannya di kampung
dengan melakukan pelbagai pekerjaan seperti menoreh, menjadi SC, menangkap ikan
di sungai dan pelbagai pekerjaan kampung namun masih tidak berupaya untuk keluar
daripada kepompong kemiskinan. Setelah berkahwin dengan Rokiah, Rahmat
mengambil keputusan untuk berhijrah ke tanah rancangan. Biarpun sudah berpindah
namun ingatan terhadap tanahnya yang tergadai tetap membara di dalam hati. Di FELDA Bukit Kayu Ara, Rahmat menghadapi
pelbagai rintangan untuk mengecap nikmat kesenangan hidup. Dia terpaksa
berhadapan dengan tekanan daripada peniaga cina dan tekanan daripada ketua
kampung untuk membuka syarikat
perkongsian. Syarikat perkongsian itu terpaksa dibubarkan apabila Raja
melarikan duit syarikat. Rahmat akhirnya berpakat dengan Ah Kaw dan Sundaraju
untuk membuka bidang ternakan lembu. Hasil kesepakatan mereka, syarikat mereka berjaya berkembang sehingga
diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk mendapatkan permit import lembu dari
luar negara. Rahmat tidak perlu menggunakan kekerasan atau wang ringgit untuk
mendapatkan semula tanahnya yang tergadai kepada Ah Sui. Berkat kerukunan dan kebaikan hidup yang
ditunjukkan akhirnya tanah nenek moyangnya kembali semula ke tangan Rahmat.
12 February 2014
Sastera Dan Manusia
Apakah hubungan ataupun perkaitan antara ilmu sastera dengan kehidupan manusia? Ilmu sastera ialah ilmu yang mengungkapkan ungkapan atau hasil penulisan yang indah (susastera) manakala manusia itu pula ialah insan yang sememangnya bersifat pelupa. Dengan sifat manusia yang pelupa itulah maka hadirnya ilmu sastera sebagai sokongan hidup buat manusia meneruskan kehidupannya. Demikianlah hadirnya himpunan makalah atau esei yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dari tahun 1996 hingga 2005. Himpunan esei ini termuat dalam buku Sastera Dan Manusia yang diselenggarakan oleh DBP dan diterbitkan pada tahun 2011.
Jikalau diteliti esei-esei yang memenangi hadiah sastera ini terdapat pengelompokkan dalam kajian novel, cerpen, drama dan puisi. Terdapat juga kajian budaya dan keagamaan. Novel yang banyak mendapat tempat di hati penyelidik tentulah novel yang dapat menggugah rasa dan jiwa pembaca. Novel itu juga harus keluar daripada kebiasaan penulisan novelis-novelis tempatan. Dalam buku ini novel Naratif Ogonshoto telah dikritik dengan baik oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ( tajuk esei Naratif Ogonshoto : Ibarat Madu Lewat Saringan) dan Awang Azman Awang Pawi (esei bertajuk Naratif Ogonshoto: Perspektif Wacana Kuasa dan Hegemoni). Di mana letaknya keluarbiasaan Naratif Ogonshoto? Luar biasanya kerana Sasterawan Negara Anwar Ridhwan berupaya mencipta novel dengan pemikiran di luar kotak. AR sudah katam baca Naratif Ogonshoto dan memang kebijaksanaan Anwar Ridhwan terserlah lewat novel ini. Kebijaksanaannya mengkritik secara halus dengan mencipta latar tempat di luar nusantara menyerlah. Kebolehan beliau mempertemukan watak dan menghayati perwatakan watak-watak yang terlibat biarpun asing bagi kita sebagai Melayu cukup membanggakan. Anwar Ridhwan juga bijak melukis latar tempat dan tahu bagaimana latar tempat itu berkembang dengan persekitaran budaya asing. Sesungguhnya kebolehan luar biasa ini perlu dijadikan contoh oleh penulis lain dalam mendepani kekeringan idea penulisan. Penulis muda harus membaca dan mengkaji novel ini bagi mencipta kelainan dan berani bereksperimen untuk menjadi luar biasa.
Selain itu terdapat juga esei yang mengungkapkan hal drama melayu seperti A. Rahim Abdullah yang menulis soal Melihat Nilai Melayu Melalui Dunia Mungkin. Mana Sikana pula menulis tentang Pemikiran dan Idealisme Shaharom Husain. Fatimah Ali pula menulis soal Drama: Jangan Bunuh Rama-Rama: Satu Bacaan Hermeneutiks Kerohanian. Hasil penulisan ini dapat memberikan kesedaran kepada kita akan sumbangan besar yang telah dibuat oleh Shaharom Husain dalam bidang drama. Kebijaksanaan dan kegigihan beliau dalam meningkat martabat drama Melayu sesungguhnya wajar diberikan pujian.
Memang tidak sah esei sastera jikalau tidak diungkapkan soal teori. Dengan membaca esei-esei yang disumbangkan ini akan dapat meningkatkan kefahaman kita akan kajian aspek sastera dengan berdasarkan teori-teori yang ada. Sesungguhnya kefahaman terhadap teori sastera mampu menjadi nilai tambah kepada penulis sekiranya mereka menyedarinya.
AR menyarankan agar mereka yang mahu berjinak dalam bidang kesusasteraan supaya memiliki buku ini. Buku ini dapat membantu penulis atau pengkritik mengetahui laluan sastera tanah air dan bagaimana perkembangan sastera berlaku di negara ini. Semoga buku ini mampu memberikan inspirasi kepada penulis untuk melahirkan karya agung suatu hari nanti.
Subscribe to:
Posts (Atom)







