22 June 2009



Dari lapangan terbang, kami menaiki RER ke pusat bandar. Sewaktu membeli tiket, perempuan itu beri salam. Dia terangkan dari A hingga Z tentang tiket. Saya cuma ada sekeping peta sahaja. Kami beli tiket visite maknanya boleh naik pengangkutan awam di situ selama satu hari (tidak perlu terkocoh kacah hendak berebut beli tiket nanti). Kami menaiki RER (keretapi). Jumpa Pak Joko yang sudah sebulan bekerja di Perancis. Pak Joko dari Balik Papan Indonesia. Mujur juga Pak Joko terangkan tentang sistem pengangkutan awam di Paris. Dengan penerangan Pak Joko maka dapatlah saya sampai ke hotel dengan selamat. Sistem pengangkutan keretapi di sini sungguh cekap tetapi kita kena arif mengenai laluan keretapi ini. Selain RER ada juga Metro.


Selepas seminggu berada di UK, kami sekeluarga bertolak ke Perancis. Untuk ke sana kami menaiki EssyJet.Com dari Glasgow ke Charles de Guleau Airport. Perjalanan lebih kurang satu jam sahaja. Pesan orang di Uk, jikalau kita tidak tahu bercakap Perancis maka cakap sahajalah menggunakan bahasa Melayu! Benarkah orang Perancis tahu berbahasa Melayu?


Jikalau di Malaysia terkenal dengan pasar malam tapi di UK terkenal dengan "carboot". Ini merupakan pemandangan di "carboot Lanarkhsire". Biasanya penjual terdiri daripada pemilik barangan. Penduduk UK biasanya membeli barangan yang berkualiti tinggi. Mereka tidak suka barangan tiruan. Setelah pakai setahun dua maka dijualnya di pasar seperti ini. Orang Malaysia jikalau tidak pergi ke carboot macam tidak sah (ada jugak yang tidak mengaku pergi ke sana konon ...low class...) puii.

21 June 2009

Pemandangan sebuah kawasan kampung di Kingross. Rumahnya sebuah-sebuah jadi jangan impikan sebuah kawasan kampung yang banyak deretan rumah seperti di Malaysia. Sebuah rumah dengan kawasan stor tempat simpan barang hasil pertanian dan jentera ladang. Kegiatan utama ialah menternak kambing biri-biri atau lembu. Tanaman utama ialah bawang dan kentang. Di sini barulah saya nampak orang menunggang kuda di tepi jalan. Inilah kampung orang Inggeris. Haii teringat cerita Little House On The Prairie masa kecil-kecil dahulu.

Bangunan di Sterling ini asalnya sebuah gereja tetapi telah dibeli oleh orang-orang Islam untuk dijadikan masjid. Masjid ini boleh memuatkan sekitar 300-4oo jamaah. Pada minggu pertama saya pergi bersembahyang Jumaat di masjid ini imamnya seorang Pakistan yang sudah lama tinggal di UK. Sewaktu bersembahyang terasa jiwa aman kerana dikelilingi oleh orang Islam daripada pelbagai bangsa. Orang Melayu adalah dalam sepuluh orang. Jumaat kedua sewaktu saya bersembahyang, khatibnya orang lain. Saya ingatkan saya tidak faham bahasa inggeris yang digunakannya rupa-rupanya khatib baca khutubah menggunakan bahasa urdu! Teringat lagu hindustan...

17 June 2009



Kesempatan di UK saya gunakan untuk ke Manchester United. Perjalanan dari Glasgow dengan menaiki keretapi selama 4 jam. Kami bernasib baik sebab tour untuk kami ialah yang terakhir untuk hari itu dan minggu itu kerana apabila perlawanan berlangsung maka tiada pelawat dibenarkan. Untuk masuk kenalah bayar berbelas pound. Bayaran itu untuk masuk ke muzium dan padang. Padangnya cuma boleh dilihat dan tidak boleh diusik. Untuk menyaksikan perlawanan maka satu empat duduk paling murah ialah 7,000 pound semusim! Jikalau 7,000 kali dengan 5.7, maka carilah sendiri jawapannya dalam ringgit Malaysia! Turut sama dalam rombongan kami itu ialah warga Russia, Rep Check, Jerman, Taiwan dan China. Di luar MU itu adalah jumpa 3 keluarga Melayu. Di MU ini mudah sedikit untuk kita dapatkan makanan halal.
Sama seperti Melaka, Glasgow juga berkembang kerana pusat perdagangannya. Sungai yang menjadi nadi urusan perniagaan telah menjadikan Glasgow sebagai tempat perdagangan utama. Apa yang lebih unik ialah Glasgow berkembang selang seratus tahun sebelum kedatangan Parameswara ke Melaka. Glasgow dibuka sekitar tahun 1400 Masehi manakala Melaka sekitar 1500 Masehi. Namun oleh kerana bandarnya dibina menggunakan batu bata maka bangunan lamanya masih utuh sehingga sekarang. Malang sekali bagi Melaka kerana datuk nenek kita menggunakan kayu untuk membuat istana maka tinggalan sejarah ini tidak dapat disaksikan sehingga sekarang.

06 June 2009


Sekarang ini saya sedang bercuti di UK bersama keluarga saya. Kami bertolak ke UK pada 30.6.09 menaiki AirAsia ke London. Selepas itu kami menaiki EasyJet.Com ke Glasgow. Kami pergi ke sini dengan duit daripada royalti Novel Hanya Tuhan Yang Tahu. Tujuan kami ke sini untuk "shooting filem" untuk novel yang berikutnya. Sama-samalah kita doakan agar novel ini berjaya disiapkan.