27 November 2009

SALAM AIDIL ADHA

Selamat Hari Raya Aidil Adha. Perayaan penuh barakah yang asalnya memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S ke atas anaknya Nabi Ismail. Betapa besar dan mulia pengorbanan itu. Allah S.W.T memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anak kesayangannyanya Nabi Ismail bagi membuktikan ketaqwaan Nabi Ibrahim ke atas Allah S.W.T. Wahyu ini kemudiannya diceritakan kepada anaknya Nabi Ismail. Tanpa ragu-ragu Nabi Ismail meminta bapanya Nabi Ibrahim agar melaksanakan perintah Allah S.W.T biarpun nyawanya menjadi taruhan. Hayatilah akan peristiwa besar ini. Sesungguhnya siapalah kita ini jika hendak dibandingkan dengan tarafnya seorang nabi. Sanggupkah kita berkorban? Jika tidak sebesar pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim, apakah yang telah kita korbankan untuk agama kita? Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita. Bagaimana pula kesanggupan kita untuk berkorban terhadap jalan Allah S.W.T? Semoga kita semua dapat hayati makna sebenar di sebalik Aidil Adha.

20 November 2009

ASPEK PSIKOLOGI DALAM BUKU SASTERA KANAK-KANAK

Sastera kanak-kanak difokuskan kepada pembaca berusia 9-12 tahun manakala sastera remaja untuk mereka yang berusia 13-18 tahun. Dari segi logiknya memang tiada penulis buku berusia 9-12 tahun. Mereka yang menulis buku ini pastilah remaja atau orang dewasa. Untuk memahami aspek psikologi pembaca berusia 9-12 tahun maka penulis perlu ilmu bantu psikologi. Selain ilmu bantu psikologi, penulis juga perlukan penghayatan. Terdapat banyak buku-buku psikologi kanak-kanak di dalam pasaran. Terdapat penulis tempatan dan luar. Sebagai contohnya terdapat buku Psikologi Kanak-kanak dan Remaja yang ditulis oleh Prof Dr.Rahil Mahyuddin dari UPM. Pembacaan buku-buku ini akan dapat membantu penulis mengetahui aspek psikologi kanak-kanak.
Selain itu aspek penghayatan dalam penulisan karya ini mungkin agak sukar kerana hakikatnya alam kanak-kanak sudah jauh ditinggalkan oleh penulis. Bagi mengatasi masalah ini maka penulis boleh gunakan beberapa cara. Pertama penulis boleh mengingat kembali peristiwa yang pernah dialaminya sewaktu zaman kanak-anak dahulu. Kebanyakan penulis pasti akan menggunakan cara ini. Namun kelemahan kaedah ini ialah zaman itu berbeza dengan zaman sekarang. Apa yang kita suka dahulu mungkin tidak disukai oleh kanak-kanak pada masa sekarang. Hal ini akan menyebabkan penulis itu seolah-olah dianggap sudah ketinggalan zaman.
Kaedah kedua ialah dengan melihat atau memerhatikan anak, cucu, anak murid, jiran atau kanak-kanak dalam lingkungan usia 9-12 tahun. Kaedah ini dianggap berkesan kerana kita akan mengetahui kesukaan kanak-kanak itu. Adalah dinasihatkan penulis harus meluangkan masa mendekati kanak-kanak ini. Kita mungkin boleh dekati mereka dengan memerhatikan tingkah laku mereka atau bersoal jawab secara lisan di sekolah atau taman permainan. Bagi mendekati kanak-kanak ini adalah disyorkan agar kita membaca buku-buku psikologi agar kita akan lebih mudah dapat mendekati kanak-kanak ini.
Kita juga boleh membaca buku dan menonton cerita-cerita yang ditujukan kepada kanak-kanak. Namun begitu kaedah ini tidak berapa digalakkan kerana fikiran kita akan lebih cenderung untuk meniru cerita yang kita lihat atau buku yang kita baca itu. Apabila kita menggunakan kaedah ini maka secara tidak langsung kita akan terdorong untuk menulis berdasarkan apa yang kita lihat atau baca.
Mungkin pembacaan beberapa jurnal atau buku dalam bibliografi yang disediakan di bawah ini dapat membantu.

Brian Murphy. 2004. Social interaction and language use in Irish infant classrooms in the
context of the revised Irish Primary School Curriculum. Literacy. Vol.38. No.3 p. 149-155.

Bandura, A. 1977. Self Efficacy: Toward a unifying theory of behaviour change.
Psychology Review. 84.p 191-215.

Bandura, A. 1986. Social Foundations Of Thought and action: A social cognitive theory.
Englewood Cliffs,NJ : Prentice-Hall.

Cannella G. 1993. Gender composition and conflict in dyadic sociocognitive interaction:
Effects on spatial learning in young children. Journal of Experimental Education. Vol 6 No.1, p.29-42

Carter, D. Bruce, dan Levy, Gary D. 1988. Cognitive aspects of early sex-role
development: The influence of gender schemas on preschoolars’ memories and preferences for sex-typed toys and activities. Child Development, 59, 782-792.

Hallam S, Ireson J dan Davies J. 2004. Primary pupil’s experiences of different types of
grouping in school. British Educational Research Journal. Vol.30. No.4. p 515-533.

Ingemer et al. 1991. Psychology of the classroom. New Jersey: Prentice E-Merrill.
Johan Jaafar . 2007. Penjanaan generasi kreatif, cemerlang. Dalam Berita Minggu
hal.13. 21 Januari 2007.

Marohaini Yusoff. 2001. Penyelidikan kualitatif. Pengalaman kerja lapangan kajian.
Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya.

Matnor Daim. 1993. Ke arah peningkatan disiplin sekolah. Jurnal Kementerian
Pendidikan Malaysia. Jemaah Nazir Sekolah.

Mohd Makzan Musa. 1997. Psikologi sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publication
Sdn.Bhd.

Othman Md Johan. 1995. Kesan konsep kendiri terhadap tingkah laku murid-murid.
Tesis PhD. Bangi: UKM.

Samsudin Osman. 2005. Ucapan perasmian seminar psikologi. Dalam
http://www.pmo.gov.my/WebNotes App/KSNMain.nsf/o/84c4bbc20092f9e48257042002e9b5f?

Vygotsky.L 1978. Mind in society: The development of higher psychological processes.
Cambridge, M.A: Harvard University Press.

Wolmarans, H. 1998. Behavior and misbehavior
http://hagar.up.ac.za/catts/learner/hwol/1998/a4.html tarikh 7/5/2005

19 November 2009

BUKU SASTERA UNTUK KANAK-KANAK

Terdapat dilema dalam penghasilan buku sastera kanak-kanak. Dilema ini terjadi kerana ramai beranggapan bahawa buku sastera untuk kanak-kanak mudah untuk dihasilkan. Pada anggapan mereka oleh kerana buku sastera ini ditujukan kepada kumpulan untuk kanak-kanak maka tidak perlulah ditulis secara serius. Faktanya mudah kerana tidak perlu dibuat kajian secara terperinci. Bahasanya juga tidak perlu ditulis dengan menggunakan bahasa yang sukar difahami oleh kanak-kanak menyebabkan penulis mudah menghasilkan buku untuk golongan sasaran ini. Sebenarnya tanggapan ini salah sama sekali.
Disiplin untuk menghasilkan buku sastera kanak-kanak berbeza dengan disiplin untuk menghasilkan buku sastera untuk golongan remaja dan dewasa. Seseorang penulis buku sastera untuk kanak-kanak perlu faham akan ilmu psikologi kanak-kanak. Penulis tidak boleh punya tanggapan bahawa kanak-kanak punya kesukaan yang sama dengan remaja atau orang dewasa. Latar cerita berbeza dengan latar kesukaan remaja atau dewasa.

08 November 2009

Mencari Cerita Diminati Budak Lelaki

2000 Nations

(komen ini asalnya dimasukkan ke dalam web PTS)
Novelis "Hanya Tuhan yang Tahu", A Razak Adam menulis:
Thursday, October 29, 2009
Saya fikir kunci (minat remaja lelaki) boleh dilihat kepada anak remaja kita sendiri. Ini boleh dilihat secara pemerhatian terus. Mungkin anak remaja kita tidak boleh dijadikan sampel bagi mewakili seluruh remaja namun setidak-tidaknya sebagai petunjuk.Anak-anak lelaki sekitar usia 9-15 tahun suka ‘pomen’ barang-barang yang ada. Mereka suka cipta sesuatu benda yang pelik dan sangat berminat untuk mengetahui apa yang ada di dalam barang yang dihadiahkan. Sebagai contohnya jam atau basikal. Jam itu kalau boleh dibuka maka akan dibuka dari belakang untuk lihat isinya. Basikal pula akan dibuka rodanya (sebab suka melihat cara bagaimana basikal itu boleh berfungsi). Selepas umur 15 tahun mereka mungkin ikut rentak rakan sebaya di sekeliling mereka sebab ingin mencari jati diri. Mereka meminati idola mereka atau idola kumpulan rakan sebaya mereka. Pada peringkat ini cinta sudah bertapak (cinta monyet).Pengalaman saya (mengajar) di sekolah menunjukkan pelajar lelaki tingkatan 2 sudah bercinta secara serius dengan pelajar seusia ataupun lebih rendah usianya berbanding mereka. Surat yang ditulis juga menggunakan bahasa-bahasa berbunga (dalam istilahnya 'pandai tekan ayat'). Mungkinkah ini sebahagian daripada kunci yang boleh dibincangkan?

02 November 2009

KEMPEN MEMBACA MUSIM CUTI SEKOLAH

Bersempena dengan musim cuti sekolah yang akan disambut tidak lama lagi, PTS telah menganjurkan peraduan "Saya Mahu Hadiah PTS". Peraduan ini bermula pada 1 November 2009 - 3 Januari 2010. Tidak susah untuk menyertainya. Anda cuma perlu membuat pembelian buku terbitan PTS sebanyak RM25.00 dalam satu resit dan anda layak menyertai peraduan ini. Pembelian harus dilakukan di mana-mana kedai buku terpilih (rujuk iklan di bawah). Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui web PTS.http://pts.com.my





01 November 2009

Novel : Watak Utama Nanti Lelaki.


Sekarang ini sedang duduk melongo. Biasanya jadual padat dengan aktiviti penulisan novel (sebab dihambat oleh editor). Apabila sudah banyak masa lapang maka terasa susah hati pula. Banyak benda yang boleh dikongsi dengan pembaca apabila kita menulis novel (atau apa jua bentuk penulisan). Gagasan atau idea yang ditulis mungkin dapat membantu seseorang, masyarakat atau negara. Sebenarnya ada beberapa perkara yang bermain di fikiran (benda yang ingin ditulis) tapi tersekat dek memikirkan dua novel yang sedang diedit oleh editor. Novel Manisah (bukan tajuk sebenar) itu watak utamanya wanita. Novel Hanya Tuhan Yang Tahu, watak utamanya lelaki. Novel cinta ketiga yang sudah siap sinopsis dan contoh bab empat watak utamanya lelaki. Kebetulan pula isu yang diketengahkan dalam laman web PTS mengenai hero lelaki. Harap-harap sinopsis ini diterima. Musim cuti sekolah nanti bolehlah saya menyiapkan cerita ini, insyaAllah. Gambar papan tanda itu ada kaitan dengan novel yang bakal ditulis. Sama-samalah mendoakan agar novel ini menjadi kenyataan.