15 February 2012

Kursus Asas Penulisan Kreatif SMK Hang Kasturi







Alhamdulillah Kursus Asas Penulisan Kreatif telah selamat dijalankan di SMK Hang Kasturi pada 15 Februari 2012. Kursus ini telah disertai seramai 40 orang ahli Kelab PSS SMK Hang Kasturi. Selama hampir 90 minit pelajar telah didedahkan dengan motivasi sebagai penulis, asas penulisan cerpen dan bagaimana menghantar karya kepada penerbit. Kursus yang dijalankan secara santai ini diharapkan dapat membekalkan ilmu kepada pelajar yang berminat untuk menyertai dunia penulisan. Semoga suatu hari nanti akan ada antara peserta kursus yang bersinar bintangnya dalam dunia penulisan, insyaAllah.

13 February 2012

Nilai Estetika Dalam Karya Sastera

KARYA sastera memang mempunyai nilai estetika, sama ada tahap tinggi atau bertaraf rendah. Nilai estetika ini seharusnya dapat dinikmati sebagai nikmat ketika membaca, menghayati dan memahami setiap hasil karya. Begitulah, bagi karya novel, cerpen, puisi, (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak), drama dan sebagainya ada terselit nilai-nilai estetika dan keindahan.

Justeru, sentuhan rasa dan fikir dapat dirasakan oleh pembaca dengan melihat kecerdasan dan jalinan keindahan bahasa seseorang pengarang. Luahan hati dan getar jiwa seni pengarang melalui kata-kata dan bayangan alam budaya kehidupan masyarakat. Ini telah diakui oleh banyak sarjana sastera. Nilai seni ini akan dapat dirasakan oleh pembaca yang cekap menangkap dengan mata akal dan mata fikir hasil seni sastera.

Istilah "keindahan" (indah) merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky (1994:16). Dia merumuskan terdapat tiga aspek yang dengan terang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan "indah" dengan kata-kata yang seerti.

Menurutnya, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh; tetapi kesan keindahan itu yang lebih penting dan lebih utama ialah faedah (manfaat) yang terkandung di dalamnya.

Faedah ini selalu dihubungkan dengan akal, manakala keindahan pula selalu dihubungkan dengan perasaan atau hati. Keindahan dengan itu menimbulkan kesan psikologi tertentu, rasa tenang dan nikmat bergantung pada keadaan atau persediaan jiwa seseorang.

Aspek pertama, bersangkut paut dengan asal usul keindahan, atau sumbernya. Pengertian "indah" di sepadan secara tertentu dengan konsep kuasa Tuhan (kekayaan Allah). Ia meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu tidak terbatas. Dan Allah juga suka kepada keindahan.

Manakala aspek kedua, estetika Islam membezakan keindahan mutlak daripada keindahan fenomena (jamal lawan husn), dengan menggunakan perkataan "elok" dan "indah" dalam karya sastera dan karangan tasawuf Melayu.

Aspek keindahan ketiga, estetik atau keindahan tersembunyi, tetapi "bentuk", iaitu susunan kata yang baik, makna yang berlapis-lapis akan menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati. Tanpa bentuk yang baik, yakni apabila dilahirkan dengan gaya ungkapan yang tidak menarik, isi kandungan akan kehilangan daya tarikannya.

Aspek teori keindahan dan estetika sangat kuat untuk dibincangkan. Dalam bidang penulisan novel, keindahan ini dapat ditemui dalam novel Keris Mas (Saudagar Besar dari Kuala Lumpur), Ishak Haji Muhammad (Putera Gunung Tahan), ,Shahnon Ahmad (Lamunan Puitis Sebuah Triogi dan Ranjau Sepanjang Jalan), Abdullah Hussain (Konserto Terakhir) A. Samad Said (Salina dan Hujan Pagi), Ibrahim Omar (Desa Pingitan), Azizi Haji Abdullah (Kawin-Kawin), Anwar Redhwan (Penyemberang Sempadan), Rahman Haji Yusof (Tak Seindah Impian), dan Khaidir Ahmad (Khuluk) serta beberapa novel lain yang memaparkan keindahan kepada alam dan kehidupan manusia dengan nilai kehidupan masyarakat, sarat dengan metafora dan gaya bahasa yang menarik serta indah. Keindahannya terletak pada tema, persoalan, watak dan perwatakan yang hidup dan lincah, plot, latar masyarakat, nilai dan pengajaran yang disampaikan.

Manakala dalam cerpen terdapat gaya keindahan ungkapan bahasa, kata-kata dan makna yang berlapis-lapis maknanya. Ini dapat diselami melalui cerpen-cerpen penulis veteran seperti A. Samad Ismail, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Usman Awang (cerpen Menonton) ( "Budak perempuan ini banyak boy friendnya, bebasnya tak ada tabik kecuali lagi." Azizi Haji Abdullah,(Tulang Pekasam Ikam Puyu), S.M. Zakir, (20 Cerita Tentang Tuhan), Pena Mutiara (Cerpen Pak Da Beristeri Muda), dan beberapa penulis lain. Kata-kata seperti "Pan Ngah Ca tersenyum. "Kau mana tau tanahnya besar dan subur. Kau dah tengok ke? Tanya Pak Ngah Ca dalam senyum...(petikan Cerpen Pak Da Beristeri Muda di Mingguan Malaysia 22 Januari 2012). Langgam penceritaan dan gaya humor dalam masyarakat ditonjolkan dalam cerpen-cerpen ini.

Pembaharuan

Begitu juga dalam bidang puisi keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata, asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting khususnya dalam karya sastera khususnya puisi iaitu sajak. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana, kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan memilih gaya baharu. Antaranya penyair Usman Awang (Pak Utih, Bunga Popi, Penjual Pisang di Kaki Lima, Balada Terbunuhnya Beringin Tua dan Pantun Moden), A.Latiff Mohidin (Rawa-Rawa dan Mangkuk Sejarah Mangkuk Berdarah). T. Alias Taib (Tukang Gunting dan Pasar Pengalaman) dan beberapa sajak penulis lain yang tidak dapat disebutkan di sini.

Jika ditinjau, hasil karya sastera iaitu pantun digunakan seluas-luasnya dalam masyarakat Melayu pada zaman lampau dan juga masih digunakan pada masa kini. Ia meliputi bentuk komunikasi harian yang formal dan juga tidak formal. Keunggulan dan keutuhan pantun kekal sampai hari ini.

Pantun yang baik , indah dan ada nilai estetika sarat serta mempunyai nilai-nilai kehidupan masyarakat. Pembayang pantun biasanya menggunakan imej alam, tumbuh-tumbuhan dan latar masyarakat Melayu. Manakala maksudnya pula mestilah menyentuh seluruh kehidupan masyarakat, memberi pedoman kepada unsur kehidupan dan alam persekitaran masa depan.

Begitu juga dengan gurindam, seloka dan lain-lain. Semuanya mempunyai nilai estetika sama ada bertaraf tinggi atau rendah. Nilai-nilai ini juga mestilah menyentuh seluruh kehidupan manusia yang mengajar, mendidik dan membentuk peribadi manusia ke arah kebaikan.

Menurut pandangan Sidi Gazalba, seni sebagai penjelmaan rasa keindahan umumnya, rasa keterharuan khususnya, untuk kesejahteraan hidup. Rasa ini disusun dan dinyatakan oleh fikiran sehingga ia menjadi bentuk yang dapat disalurkan dan dimiliki.. Dalam pengertian "menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan adalah tiap orang terlibat dengan kesenian dalam kehidupan sehari-hari".

Justeru, setiap karya yang dicipta mestilah meliputi keindahan dalaman isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman, keindahan luaran, keindahan mutlak dan keindahan rohani yang kesemuanya dapat diseimbangkan dalam karya yang dicipta.

Begitulah, sukar dan payah setiap pengkarya sastera menghasilkan karya yang baik disertai dengan nilai-nilai keindahan dan estetik yang unggul. Kekuatan bahasa dan keindahan pengarang menggunakan bahasa yang indah dan berkesan akal kekal dalam ingatan para pembaca yang akhirnya memberikan teladan yang baik kepada mereka.

Oleh Aminudin Mansor
(amimasra@gmail.com.) Utu. Online

11 February 2012

Aktiviti Ceramah Terdekat.

Tadi AR telah mengadakan ceramah di SMA Darul Falah. Para pelajar yang terlibat ialah pelajar yang mengikuti kursus kepimpinan. Seramai 62 orang pelajar terlibat dalam program ini. Sebenarnya di dalam kelompok masyarakat Melayu juga ada memperkatakan soal kepimpinan ini sebagaimana yang ditulis oleh Nordin Selat yang sempat dibaca oleh AR iaitu,

Luhak berpenghulu
Rantau beraja
Kampung bertua
Rumah bertunggu
Berjunjung naik
Bertangga naik

Jadi dalam masyarakat Melayu ada diperkatakan tatacara penghormatan kepada pemimpin. Ini berkaitan dengan adat Minangkabau.
Untuk pengetahuan pembaca blog ini pada 15/2/2012 pula AR akan memberikan ceramah penulisan kepada pelajar SMK Hang Kasturi manakala pada 5-7/3 pula AR akan memberikan ceramah kepada peserta Program Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka di Beruang Hill, Melaka.
Kepada mana-mana pihak yang ingin mengadakan aktiviti penulisan seperti ceramah penulisan atau bengkel penulisan boleh berhubung dengan AR jikalau perlukan bantuan. Nombor yang boleh dihubungi 016-2180423