31 December 2009

Selamat Tahun Baru 2010

AR ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua pembaca. Apa azam tahun baru? Itulah soalan yang selalu kedengaran. Bagi AR pastinya apa yang bakal mendatang hendaklah lebih cemerlang berbanding hari ini. Pembuka tirai 2010 dikejutkan dengan kehadiran satu emel.Proposal penulisan AR diterima...alhamdulillah. Belum sempat novel Kasih Seharum Manisah berada di pasaran maka perjuangan menulis sudah terpaksa dilaksanakan lagi. Kekadang terfikir juga bilalah masanya hendak berehat! Daripada AR duduk di kedai kopi sambil mengumpat sana sini adalah lebih baik AR duduk buat novel sementara kesihatan ini mengizinkan.Sekurang-kurangnya masa ini terisi juga dengan benda-benda yang berfaedah dan bermanafaat. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Apa azam tahun baru?

30 December 2009

Cover Novel Kasih Seharum Manisah



Inilah cover novel terbaru AR. Novel ini bertajuk "Kasih Seharum Manisah". Cover novel ini baru disalin dari laman web www.pts.com. Novel ini bakal masuk stor pada 15.1.2010. InsyaAllah akan berada di kedai buku tidak lama lagi. Novel Kasih Seharum Manisah ini mengandungi 400 muka surat.Sama-samalah doakan agar novel ini dapat berada di pasaran pada masa yang direncanakan.

25 December 2009

HASIL PENULISAN SEBAGAI SUATU PRODUK

Bunyinya agak janggal apabila diungkapkan hasil penulisan sebagai suatu produk. Produk biasanya dikaitkan dengan barangan kegunaan pengguna. Adakah salah jika dikatakan hasil penulisan juga dikategorikan sebagai barangan untuk pengguna? Hasil penulisan ini termasuklah rencana, komentar, kritikan, sajak, cerpen, novel, drama atau apa sahaja yang terbit dari minda penulis dan diterbitkan (media cetak atau elektronik).

Sewaktu belajar di UPM dahulu(1990-1994), ramai kawan seangkatan AR yang ambil bidang pertanian, biokimia, fizik, komputer, vaterina, makanan dan pelbagai lagi. Mereka berasa pelik apabila AR kata AR ambil kursus Bacelor Pendidikan (PBMP) iaitu pengajaran BM sebagai bahasa pertama. Kawan-kawan AR dahulu berlumba-lumba untuk mencipta produk (sebab boleh kaya jika produknya dibeli masyarakat antarabangsa). AR terfikir juga apa kata kita kategorikan bahan hasil penulisan juga sebagai suatu produk. Produk penulisan bukankah amat berguna kepada masyarakat? Hasil membaca produk bahan bacaan ini masyarakat boleh merehatkan minda, perkayakan kosa kata, mengetahui budaya sesuatu kaum, mengetahui dan mendalami sesuatu bidang yang ingin diceburi, dan pelbagai lagi mengikut tujuan membaca si pembaca. Bukankah hasrat kerajaan sekarang ini ingin memperkenalkan Malaysia di persada antarabangsa. Kak Ros kita juga beriya-iya ingin Malaysia dikenali masyarakat antarabangsa(benda baik apa salahnya disebut).

Sesungguhnya produk hasil penulisan ini akan dapat mendatangkan pendapatan lumayan kepada penulis. Semakin meluas pasaran produk penulis maka semakin banyaklah hasil keuntungan yang diperoleh. Bayangkanlah jikalau hasil penulisannya melepasi sempadan Malaysia apatah lagi sehingga dibaca oleh masyarakat dunia, pastilah lumayan pendapatan si penulis. Sebagai contohnya Sasterawan Negara ke-10 Datuk Dr Anwar Ridhwan, novelnya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa utama dunia(Naratif Ogonshoto yang disiapkan di Jepun memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa asing dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto). Soalnya bagaimanakah hendak dipastikan produk penulisan kita itu dapat menembusi pasaran antarabangsa? Bunyinya nampak hebat dan luar biasa tetapi yakinlah bahawa jika kita ingin memperoleh sesuatu yang luar biasa maka kita juga harus berfikiran luar biasa. Dalam penulisan akan datang jika diizinkan Allah S.W.T, AR ingin berkongsi idea bagaimana agaknya hendak menghasilkan produk penulisan yang luar biasa.

23 December 2009

Tahniah Buat Calon PMR.

Khamis ini keputusan PMR akan keluar. Kepada adik-adik yang berjaya dan tidak berjaya, AR ucapkan tahniah. Buat adik-adik yang keputusannya kurang memberangsangkan, adik-adik kena berusaha lebih kuat lagi. Tanamkan dalam diri adik-adik agar dapat keputusan yang cemerlang di dalam SPM nanti. Biarpun SPM lagi 2 tahun tapi kena rancangkan strategi lebih awal. Ramai pelajar yang dapat keputusan yang cemerlang dalam PMR tetapi kecundang pada peringkat SPM. Ini kerana mereka beraya sakan sewaktu berada di tingkatan 4 (tahun honey moon katanya). Keadaan sebaliknya pula berlaku kepada mereka yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan pada peringkat PMR tetapi cemerlang pada peringkat SPM. Apakah maknanya semua ini? Tidak lain dan tidak bukan diakibatkan diri kita sanggup terima atau tidak qada dan qadar Tuhan. Keputusan baik atau buruk kita tetap kena bersyukur kepada Allah S.W.T. Usah lupa diri kerana setiap keputusan yang kita peroleh itu merupakan ujian Allah S.W.T kepada kita. Bersyukurlah dengan apa yang kita peroleh. Seperkara lagi sewaktu membuat pilihan untuk memasuki aliran di tingkatan 4 kita kena bincang dengan guru dan keluarga. Pastikan kita membuat pilihan yang tepat kerana itu merupakan arah tuju dalam hidup kita nanti. Usah diikut kepada pilihan kawan. Dek salah membuat keputusan nanti kita juga yang merana!

Mencari Ketenangan Diri


Sudah lama saya menanti. Sudah lama saya tercari-cari akhirnya saat dan ketika diketemukan juga. Padi tadi jam 7.30 saya sudah bersendirian di sebuah kedai makan yang terletak 12 km dari rumah. Sudah lama saya terfikir untuk bersendirian sejenak sambil menikmati angin pagi di tepi laut. Mendengar deruan ombak sambil menikmati nasi lemak dan teh 'O' tarik. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini tiada makna apa-apa tapi bagi saya itu sesuatu yang amat bermakna. Kesempatan bersendirian sambil menenangkan fikiran akan dapat mengembalikan suatu lonjakkan dalam diri. Kita dapat mengenal Pencipta dan melihat kebesaran Ilahi dengan rasa syukur sambil cuba memperbaiki diri. Melihat kuasa ombak yang memukul pantai dapat mengingatkan kita akan kehebatan Sang Pencipta. Lalu tugas yang digalas sebagai khalifah di muka bumi ini sebenarnya masih banyak yang perlu dipikul. Membaca surat khabar yang memaparkan segala macam kecelaruan yang berlaku dalam masyarakat menyebabkan timbul suatu keazaman. Azam untuk merubah biarpun sedar bahawa ilmu dalam diri ini hanyalah ibarat setitis tinta di lautan yang maha luas. Biarpun sedar akan hakikat diri namun ada kepercayaan dalam diri ini iaitu Allah pasti akan perkenankan setiap usaha baik yang ingin dilaksanakan, InsyaAllah.

22 December 2009

Mencari Melayu Singapura




Dua minggu lepas saya sekeluarga pergi ke suatu majlis perkahwinan di Tempinis, Singapura. Tanpa membawa peta, saya memandu kereta meredah lebuh raya di Singapura (itulah pertama kali memandu kereta di Singapura dan kali kedua ke Singapura). Saya hanya berpandukan kepada petunjuk yang diberikan oleh pegawai imigresyen Singapura dan sekeping kad undangan perkahwinan. Pegawai imigresyen itu mengaku keluarganya dari Tampin( pasti dia tergelak besar kalau tahu saya dari Masjid Tanah). Kami meredah lebuh raya dengan senang hati sehingga selamat sampai ke Tempinis. Majlis perkahwinan yang gilang gemilang diadakan siap dengan marhaban/berzanji diikuti dengan nyanyian (lagu 60an). Barulah saya terasa adanya saki baki keturunan saya di sana. Sebelah petang kami ke Geylang. Melihat kedai buku yang padat dengan pengunjung Melayu sungguh menyentuh perasaan saya. Esoknya saya ke Pulau Sentosa setelah sesat barat beberapa kali. Ini gara-gara perbezaan bahasa Melayu yang digunakan oleh saya dengan orang yang ditanya. Patutlah dua hari lepas sebuah kumpulan muzik dari Singapura apabila diwawancara oleh stesyen radio menyatakan pemahaman berbeza mengenai maksud "cun" dan "jambu". Kami ikut pakej untuk melihat hiburan di Pulau Sentosa. Jangan terkejut jika di Merlion kita didendangkan dengan kisah naga dan singa serta mendengar nama Hang Nadim. Itulah tanda Melayu Singapura!

19 December 2009

SALAM MAAL HIJRAH


Salam Maal Hijrah buat semua. Hijrah ini bersempena dengan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W. Hijrah ini tuntutan agama, perbuatan mulia. Namun apa yang sering disogokkan ialah kita masih kurang membaca dan kurang berfikir (surat khabar perdana). Tidak perlulah diterangkan lagi betapa pentingnya amalan membaca dan berfikir ini. Acapkali ungkapan ini diperkatakan saban tahun namun apakah tindakan konkrit yang telah diambil bagi mengatasi masalah ini?
Kita rasa loya dan kecewa kerana masalah ini diulang-ulang seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.
Kesempatan menjelajah beberapa buah negara ingin dikongsikan oleh saya bagi melihat senario ini. Saya baru pulang dari Indonesia. Rakyatnya hampir 280 juta berbanding 28 juta rakyat Malaysia. Dikenali juga sebagai negara Islam kerana ramai penganut Islam di negara itu. Membaca! agaknya itu mungkin perkara kesepuluh dalam kamus hidup. Ini kerana rakyatnya berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi. Benarlah kata Maslow iaitu ada keutamaan dalam hidup ini yang perlu dipenuhkan dahulu sebelum perkara lain menyusul. Bagaimana mahu membaca (apatah lagi membeli bahan bacaan) sekiranya perut lapar dan berkeroncong. Keutamaan mereka ialah untuk hidup (makan). Hakikatnya ekonomi perlulah kukuh dalam kalangan negara Islam sekiranya ingin membudayakan amalan membaca. Hanya setelah ekonomi kukuh dan mampu makan dengan cukup barulah menyusul amalan membaca ini.
Dua minggu sebelum ke Jogjakarta saya pergi ke Singapura (bolehlah dikatakan negara maju). Saya sebelum ini pernah juga merujuk beberapa bahan bacaan melalui internet dan nyatanya perpustakaan negara Singapura lebih hebat dari segi bahan dan pemprosesan datanya(pandangan saya). Apabila pergi ke Geylang, ada beberapa buah kedai buku di situ. Saya buat pemerhatian dari jauh. Nyata sekali apabila anak-anak mereka hendakkan sesebuah buku maka dengan senang hati ibu bapanya membelek sebentar dan terus membeli buku itu.
Saya singgah ke Plaza Angsana Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke Melaka. Saya perhatikan di kedai buku itu ada beberapa kategori ibu bapa. Pertama apabila hampir sahaja ke kedai buku terus sahaja ibu bapa tarik anak mereka agar ikut mereka lihat kedai lain(takut si anak hendak membeli buku). Kedua ialah di dalam kedai buku ibu bapanya sibuk membelek buku dan membeli buku untuk keperluan mereka. Walaupun si anak merayu hendak beli buku namun dimarahi oleh ibu atau bapa mereka. Ketiga ialah ibu bapa yang sama-sama membeli buku untuk mereka dan untuk anak tersayang. Lihatlah senario ini di Malaysia.
Usahlah kita saling menyalahkan orang lain dalam isu membaca dan berfikir ini. Sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan mereka, insyaAllah isu ini akan selesai. Sebagai manusia Islam kita harus sedar dan melaksanakan amalan membaca ini sebagai salah satu keperluan dan kewajipan di dalam hidup. Ibu bapa harus memperuntukkan sedikit wang untuk membeli buku untuk bacaan anak-anak mereka (lebih kurang Rm15 sebulan). Kerajaan pula harus memudahkan penulis dan industri buku dengan menurunkan harga buku bacaan serta memberikan pengurangan cukai. Penulis pula hasilkanlah bahan bacaan yang menarik.
Salam maal Hijrah.

09 December 2009

A RAZAK ADAM BERSAMA MHI TV3

Kepada anda yang berkesempatan menonton TV3, maka di sini ada pengumuman penting.
Tarikh : 16 Disember 2009(Rabu)
Masa : 7.00-7.30 pagi
Segmen: Malaysia Hari Ini (MHI)
Tetamu Jemputan : A Razak Adam
Bicara : Penulisan buku Usahawan Cilik Dan Budaya Membaca


Sama-samalah anda semua doakan semoga segmen ini dapat diadakan dengan jayanya, amin. Jangan lupa untuk bangun awal menyaksikan segmen MHI ini. Kebetulannya kapal terbang saya dari Jogjakarta akan tiba pada Selasa 15 Disember jadi insyaAllah akan sempat untuk sertai segmen ini jika tiada aral melintang.

03 December 2009

PROGRAM SAYA UNTUK MENGHABISKAN SISA CUTI SEKOLAH.

Dalam diam cuti persekolahan sudah hampir ke penghujungnya. Sisa-sisa cuti ini akan digunakan oleh saya untuk;

1. melancong ke Singapura bersama keluarga (5-8 Disember)
2.pergi ke Jogjakarta, Indonesia (10-15 Disember)
3. Membaca buku cerita dan mencari ilmu mengenai psikatris (sedang membaca Paduan Kerjaya Sebagai Psikatris terbitan PTS).

Sebagai penulis semua yang dilakukan adalah bersebab dan bersangkutan dengan cita-cita dan harapan penulis.

MENANTI HADIRNYA MANISAH

"Kasih Seharum Manisah", itulah tajuk yang dilagangkan oleh editor yang sekarang ini sedang dalam proses mengedit manuskrip. "dummy" manuskrip sebenarnya sudah dihantar pada minggu lepas dan sudah selesai disemak oleh saya. Ada beberapa kesalahan kecil dan tugas itu telah disempurnakan oleh editor. Menjelang minggu hadapan harap-harap sudah siap semuanya. Barangkali surat perjanjian penerbitan juga akan dihantar pada minggu hadapan, InsyaAllah. Berdebar juga menantikan kemunculan Manisah! Katanya akan dicetak bulan Disember ini!