Sudah lama saya menanti. Sudah lama saya tercari-cari akhirnya saat dan ketika diketemukan juga. Padi tadi jam 7.30 saya sudah bersendirian di sebuah kedai makan yang terletak 12 km dari rumah. Sudah lama saya terfikir untuk bersendirian sejenak sambil menikmati angin pagi di tepi laut. Mendengar deruan ombak sambil menikmati nasi lemak dan teh 'O' tarik. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini tiada makna apa-apa tapi bagi saya itu sesuatu yang amat bermakna. Kesempatan bersendirian sambil menenangkan fikiran akan dapat mengembalikan suatu lonjakkan dalam diri. Kita dapat mengenal Pencipta dan melihat kebesaran Ilahi dengan rasa syukur sambil cuba memperbaiki diri. Melihat kuasa ombak yang memukul pantai dapat mengingatkan kita akan kehebatan Sang Pencipta. Lalu tugas yang digalas sebagai khalifah di muka bumi ini sebenarnya masih banyak yang perlu dipikul. Membaca surat khabar yang memaparkan segala macam kecelaruan yang berlaku dalam masyarakat menyebabkan timbul suatu keazaman. Azam untuk merubah biarpun sedar bahawa ilmu dalam diri ini hanyalah ibarat setitis tinta di lautan yang maha luas. Biarpun sedar akan hakikat diri namun ada kepercayaan dalam diri ini iaitu Allah pasti akan perkenankan setiap usaha baik yang ingin dilaksanakan, InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment