31 December 2009

Selamat Tahun Baru 2010

AR ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua pembaca. Apa azam tahun baru? Itulah soalan yang selalu kedengaran. Bagi AR pastinya apa yang bakal mendatang hendaklah lebih cemerlang berbanding hari ini. Pembuka tirai 2010 dikejutkan dengan kehadiran satu emel.Proposal penulisan AR diterima...alhamdulillah. Belum sempat novel Kasih Seharum Manisah berada di pasaran maka perjuangan menulis sudah terpaksa dilaksanakan lagi. Kekadang terfikir juga bilalah masanya hendak berehat! Daripada AR duduk di kedai kopi sambil mengumpat sana sini adalah lebih baik AR duduk buat novel sementara kesihatan ini mengizinkan.Sekurang-kurangnya masa ini terisi juga dengan benda-benda yang berfaedah dan bermanafaat. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Apa azam tahun baru?

30 December 2009

Cover Novel Kasih Seharum Manisah



Inilah cover novel terbaru AR. Novel ini bertajuk "Kasih Seharum Manisah". Cover novel ini baru disalin dari laman web www.pts.com. Novel ini bakal masuk stor pada 15.1.2010. InsyaAllah akan berada di kedai buku tidak lama lagi. Novel Kasih Seharum Manisah ini mengandungi 400 muka surat.Sama-samalah doakan agar novel ini dapat berada di pasaran pada masa yang direncanakan.

25 December 2009

HASIL PENULISAN SEBAGAI SUATU PRODUK

Bunyinya agak janggal apabila diungkapkan hasil penulisan sebagai suatu produk. Produk biasanya dikaitkan dengan barangan kegunaan pengguna. Adakah salah jika dikatakan hasil penulisan juga dikategorikan sebagai barangan untuk pengguna? Hasil penulisan ini termasuklah rencana, komentar, kritikan, sajak, cerpen, novel, drama atau apa sahaja yang terbit dari minda penulis dan diterbitkan (media cetak atau elektronik).

Sewaktu belajar di UPM dahulu(1990-1994), ramai kawan seangkatan AR yang ambil bidang pertanian, biokimia, fizik, komputer, vaterina, makanan dan pelbagai lagi. Mereka berasa pelik apabila AR kata AR ambil kursus Bacelor Pendidikan (PBMP) iaitu pengajaran BM sebagai bahasa pertama. Kawan-kawan AR dahulu berlumba-lumba untuk mencipta produk (sebab boleh kaya jika produknya dibeli masyarakat antarabangsa). AR terfikir juga apa kata kita kategorikan bahan hasil penulisan juga sebagai suatu produk. Produk penulisan bukankah amat berguna kepada masyarakat? Hasil membaca produk bahan bacaan ini masyarakat boleh merehatkan minda, perkayakan kosa kata, mengetahui budaya sesuatu kaum, mengetahui dan mendalami sesuatu bidang yang ingin diceburi, dan pelbagai lagi mengikut tujuan membaca si pembaca. Bukankah hasrat kerajaan sekarang ini ingin memperkenalkan Malaysia di persada antarabangsa. Kak Ros kita juga beriya-iya ingin Malaysia dikenali masyarakat antarabangsa(benda baik apa salahnya disebut).

Sesungguhnya produk hasil penulisan ini akan dapat mendatangkan pendapatan lumayan kepada penulis. Semakin meluas pasaran produk penulis maka semakin banyaklah hasil keuntungan yang diperoleh. Bayangkanlah jikalau hasil penulisannya melepasi sempadan Malaysia apatah lagi sehingga dibaca oleh masyarakat dunia, pastilah lumayan pendapatan si penulis. Sebagai contohnya Sasterawan Negara ke-10 Datuk Dr Anwar Ridhwan, novelnya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa utama dunia(Naratif Ogonshoto yang disiapkan di Jepun memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa asing dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto). Soalnya bagaimanakah hendak dipastikan produk penulisan kita itu dapat menembusi pasaran antarabangsa? Bunyinya nampak hebat dan luar biasa tetapi yakinlah bahawa jika kita ingin memperoleh sesuatu yang luar biasa maka kita juga harus berfikiran luar biasa. Dalam penulisan akan datang jika diizinkan Allah S.W.T, AR ingin berkongsi idea bagaimana agaknya hendak menghasilkan produk penulisan yang luar biasa.

23 December 2009

Tahniah Buat Calon PMR.

Khamis ini keputusan PMR akan keluar. Kepada adik-adik yang berjaya dan tidak berjaya, AR ucapkan tahniah. Buat adik-adik yang keputusannya kurang memberangsangkan, adik-adik kena berusaha lebih kuat lagi. Tanamkan dalam diri adik-adik agar dapat keputusan yang cemerlang di dalam SPM nanti. Biarpun SPM lagi 2 tahun tapi kena rancangkan strategi lebih awal. Ramai pelajar yang dapat keputusan yang cemerlang dalam PMR tetapi kecundang pada peringkat SPM. Ini kerana mereka beraya sakan sewaktu berada di tingkatan 4 (tahun honey moon katanya). Keadaan sebaliknya pula berlaku kepada mereka yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan pada peringkat PMR tetapi cemerlang pada peringkat SPM. Apakah maknanya semua ini? Tidak lain dan tidak bukan diakibatkan diri kita sanggup terima atau tidak qada dan qadar Tuhan. Keputusan baik atau buruk kita tetap kena bersyukur kepada Allah S.W.T. Usah lupa diri kerana setiap keputusan yang kita peroleh itu merupakan ujian Allah S.W.T kepada kita. Bersyukurlah dengan apa yang kita peroleh. Seperkara lagi sewaktu membuat pilihan untuk memasuki aliran di tingkatan 4 kita kena bincang dengan guru dan keluarga. Pastikan kita membuat pilihan yang tepat kerana itu merupakan arah tuju dalam hidup kita nanti. Usah diikut kepada pilihan kawan. Dek salah membuat keputusan nanti kita juga yang merana!

Mencari Ketenangan Diri


Sudah lama saya menanti. Sudah lama saya tercari-cari akhirnya saat dan ketika diketemukan juga. Padi tadi jam 7.30 saya sudah bersendirian di sebuah kedai makan yang terletak 12 km dari rumah. Sudah lama saya terfikir untuk bersendirian sejenak sambil menikmati angin pagi di tepi laut. Mendengar deruan ombak sambil menikmati nasi lemak dan teh 'O' tarik. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini tiada makna apa-apa tapi bagi saya itu sesuatu yang amat bermakna. Kesempatan bersendirian sambil menenangkan fikiran akan dapat mengembalikan suatu lonjakkan dalam diri. Kita dapat mengenal Pencipta dan melihat kebesaran Ilahi dengan rasa syukur sambil cuba memperbaiki diri. Melihat kuasa ombak yang memukul pantai dapat mengingatkan kita akan kehebatan Sang Pencipta. Lalu tugas yang digalas sebagai khalifah di muka bumi ini sebenarnya masih banyak yang perlu dipikul. Membaca surat khabar yang memaparkan segala macam kecelaruan yang berlaku dalam masyarakat menyebabkan timbul suatu keazaman. Azam untuk merubah biarpun sedar bahawa ilmu dalam diri ini hanyalah ibarat setitis tinta di lautan yang maha luas. Biarpun sedar akan hakikat diri namun ada kepercayaan dalam diri ini iaitu Allah pasti akan perkenankan setiap usaha baik yang ingin dilaksanakan, InsyaAllah.

22 December 2009

Mencari Melayu Singapura




Dua minggu lepas saya sekeluarga pergi ke suatu majlis perkahwinan di Tempinis, Singapura. Tanpa membawa peta, saya memandu kereta meredah lebuh raya di Singapura (itulah pertama kali memandu kereta di Singapura dan kali kedua ke Singapura). Saya hanya berpandukan kepada petunjuk yang diberikan oleh pegawai imigresyen Singapura dan sekeping kad undangan perkahwinan. Pegawai imigresyen itu mengaku keluarganya dari Tampin( pasti dia tergelak besar kalau tahu saya dari Masjid Tanah). Kami meredah lebuh raya dengan senang hati sehingga selamat sampai ke Tempinis. Majlis perkahwinan yang gilang gemilang diadakan siap dengan marhaban/berzanji diikuti dengan nyanyian (lagu 60an). Barulah saya terasa adanya saki baki keturunan saya di sana. Sebelah petang kami ke Geylang. Melihat kedai buku yang padat dengan pengunjung Melayu sungguh menyentuh perasaan saya. Esoknya saya ke Pulau Sentosa setelah sesat barat beberapa kali. Ini gara-gara perbezaan bahasa Melayu yang digunakan oleh saya dengan orang yang ditanya. Patutlah dua hari lepas sebuah kumpulan muzik dari Singapura apabila diwawancara oleh stesyen radio menyatakan pemahaman berbeza mengenai maksud "cun" dan "jambu". Kami ikut pakej untuk melihat hiburan di Pulau Sentosa. Jangan terkejut jika di Merlion kita didendangkan dengan kisah naga dan singa serta mendengar nama Hang Nadim. Itulah tanda Melayu Singapura!

19 December 2009

SALAM MAAL HIJRAH


Salam Maal Hijrah buat semua. Hijrah ini bersempena dengan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W. Hijrah ini tuntutan agama, perbuatan mulia. Namun apa yang sering disogokkan ialah kita masih kurang membaca dan kurang berfikir (surat khabar perdana). Tidak perlulah diterangkan lagi betapa pentingnya amalan membaca dan berfikir ini. Acapkali ungkapan ini diperkatakan saban tahun namun apakah tindakan konkrit yang telah diambil bagi mengatasi masalah ini?
Kita rasa loya dan kecewa kerana masalah ini diulang-ulang seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.
Kesempatan menjelajah beberapa buah negara ingin dikongsikan oleh saya bagi melihat senario ini. Saya baru pulang dari Indonesia. Rakyatnya hampir 280 juta berbanding 28 juta rakyat Malaysia. Dikenali juga sebagai negara Islam kerana ramai penganut Islam di negara itu. Membaca! agaknya itu mungkin perkara kesepuluh dalam kamus hidup. Ini kerana rakyatnya berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi. Benarlah kata Maslow iaitu ada keutamaan dalam hidup ini yang perlu dipenuhkan dahulu sebelum perkara lain menyusul. Bagaimana mahu membaca (apatah lagi membeli bahan bacaan) sekiranya perut lapar dan berkeroncong. Keutamaan mereka ialah untuk hidup (makan). Hakikatnya ekonomi perlulah kukuh dalam kalangan negara Islam sekiranya ingin membudayakan amalan membaca. Hanya setelah ekonomi kukuh dan mampu makan dengan cukup barulah menyusul amalan membaca ini.
Dua minggu sebelum ke Jogjakarta saya pergi ke Singapura (bolehlah dikatakan negara maju). Saya sebelum ini pernah juga merujuk beberapa bahan bacaan melalui internet dan nyatanya perpustakaan negara Singapura lebih hebat dari segi bahan dan pemprosesan datanya(pandangan saya). Apabila pergi ke Geylang, ada beberapa buah kedai buku di situ. Saya buat pemerhatian dari jauh. Nyata sekali apabila anak-anak mereka hendakkan sesebuah buku maka dengan senang hati ibu bapanya membelek sebentar dan terus membeli buku itu.
Saya singgah ke Plaza Angsana Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke Melaka. Saya perhatikan di kedai buku itu ada beberapa kategori ibu bapa. Pertama apabila hampir sahaja ke kedai buku terus sahaja ibu bapa tarik anak mereka agar ikut mereka lihat kedai lain(takut si anak hendak membeli buku). Kedua ialah di dalam kedai buku ibu bapanya sibuk membelek buku dan membeli buku untuk keperluan mereka. Walaupun si anak merayu hendak beli buku namun dimarahi oleh ibu atau bapa mereka. Ketiga ialah ibu bapa yang sama-sama membeli buku untuk mereka dan untuk anak tersayang. Lihatlah senario ini di Malaysia.
Usahlah kita saling menyalahkan orang lain dalam isu membaca dan berfikir ini. Sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan mereka, insyaAllah isu ini akan selesai. Sebagai manusia Islam kita harus sedar dan melaksanakan amalan membaca ini sebagai salah satu keperluan dan kewajipan di dalam hidup. Ibu bapa harus memperuntukkan sedikit wang untuk membeli buku untuk bacaan anak-anak mereka (lebih kurang Rm15 sebulan). Kerajaan pula harus memudahkan penulis dan industri buku dengan menurunkan harga buku bacaan serta memberikan pengurangan cukai. Penulis pula hasilkanlah bahan bacaan yang menarik.
Salam maal Hijrah.

09 December 2009

A RAZAK ADAM BERSAMA MHI TV3

Kepada anda yang berkesempatan menonton TV3, maka di sini ada pengumuman penting.
Tarikh : 16 Disember 2009(Rabu)
Masa : 7.00-7.30 pagi
Segmen: Malaysia Hari Ini (MHI)
Tetamu Jemputan : A Razak Adam
Bicara : Penulisan buku Usahawan Cilik Dan Budaya Membaca


Sama-samalah anda semua doakan semoga segmen ini dapat diadakan dengan jayanya, amin. Jangan lupa untuk bangun awal menyaksikan segmen MHI ini. Kebetulannya kapal terbang saya dari Jogjakarta akan tiba pada Selasa 15 Disember jadi insyaAllah akan sempat untuk sertai segmen ini jika tiada aral melintang.

03 December 2009

PROGRAM SAYA UNTUK MENGHABISKAN SISA CUTI SEKOLAH.

Dalam diam cuti persekolahan sudah hampir ke penghujungnya. Sisa-sisa cuti ini akan digunakan oleh saya untuk;

1. melancong ke Singapura bersama keluarga (5-8 Disember)
2.pergi ke Jogjakarta, Indonesia (10-15 Disember)
3. Membaca buku cerita dan mencari ilmu mengenai psikatris (sedang membaca Paduan Kerjaya Sebagai Psikatris terbitan PTS).

Sebagai penulis semua yang dilakukan adalah bersebab dan bersangkutan dengan cita-cita dan harapan penulis.

MENANTI HADIRNYA MANISAH

"Kasih Seharum Manisah", itulah tajuk yang dilagangkan oleh editor yang sekarang ini sedang dalam proses mengedit manuskrip. "dummy" manuskrip sebenarnya sudah dihantar pada minggu lepas dan sudah selesai disemak oleh saya. Ada beberapa kesalahan kecil dan tugas itu telah disempurnakan oleh editor. Menjelang minggu hadapan harap-harap sudah siap semuanya. Barangkali surat perjanjian penerbitan juga akan dihantar pada minggu hadapan, InsyaAllah. Berdebar juga menantikan kemunculan Manisah! Katanya akan dicetak bulan Disember ini!

27 November 2009

SALAM AIDIL ADHA

Selamat Hari Raya Aidil Adha. Perayaan penuh barakah yang asalnya memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S ke atas anaknya Nabi Ismail. Betapa besar dan mulia pengorbanan itu. Allah S.W.T memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anak kesayangannyanya Nabi Ismail bagi membuktikan ketaqwaan Nabi Ibrahim ke atas Allah S.W.T. Wahyu ini kemudiannya diceritakan kepada anaknya Nabi Ismail. Tanpa ragu-ragu Nabi Ismail meminta bapanya Nabi Ibrahim agar melaksanakan perintah Allah S.W.T biarpun nyawanya menjadi taruhan. Hayatilah akan peristiwa besar ini. Sesungguhnya siapalah kita ini jika hendak dibandingkan dengan tarafnya seorang nabi. Sanggupkah kita berkorban? Jika tidak sebesar pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim, apakah yang telah kita korbankan untuk agama kita? Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita. Bagaimana pula kesanggupan kita untuk berkorban terhadap jalan Allah S.W.T? Semoga kita semua dapat hayati makna sebenar di sebalik Aidil Adha.

20 November 2009

ASPEK PSIKOLOGI DALAM BUKU SASTERA KANAK-KANAK

Sastera kanak-kanak difokuskan kepada pembaca berusia 9-12 tahun manakala sastera remaja untuk mereka yang berusia 13-18 tahun. Dari segi logiknya memang tiada penulis buku berusia 9-12 tahun. Mereka yang menulis buku ini pastilah remaja atau orang dewasa. Untuk memahami aspek psikologi pembaca berusia 9-12 tahun maka penulis perlu ilmu bantu psikologi. Selain ilmu bantu psikologi, penulis juga perlukan penghayatan. Terdapat banyak buku-buku psikologi kanak-kanak di dalam pasaran. Terdapat penulis tempatan dan luar. Sebagai contohnya terdapat buku Psikologi Kanak-kanak dan Remaja yang ditulis oleh Prof Dr.Rahil Mahyuddin dari UPM. Pembacaan buku-buku ini akan dapat membantu penulis mengetahui aspek psikologi kanak-kanak.
Selain itu aspek penghayatan dalam penulisan karya ini mungkin agak sukar kerana hakikatnya alam kanak-kanak sudah jauh ditinggalkan oleh penulis. Bagi mengatasi masalah ini maka penulis boleh gunakan beberapa cara. Pertama penulis boleh mengingat kembali peristiwa yang pernah dialaminya sewaktu zaman kanak-anak dahulu. Kebanyakan penulis pasti akan menggunakan cara ini. Namun kelemahan kaedah ini ialah zaman itu berbeza dengan zaman sekarang. Apa yang kita suka dahulu mungkin tidak disukai oleh kanak-kanak pada masa sekarang. Hal ini akan menyebabkan penulis itu seolah-olah dianggap sudah ketinggalan zaman.
Kaedah kedua ialah dengan melihat atau memerhatikan anak, cucu, anak murid, jiran atau kanak-kanak dalam lingkungan usia 9-12 tahun. Kaedah ini dianggap berkesan kerana kita akan mengetahui kesukaan kanak-kanak itu. Adalah dinasihatkan penulis harus meluangkan masa mendekati kanak-kanak ini. Kita mungkin boleh dekati mereka dengan memerhatikan tingkah laku mereka atau bersoal jawab secara lisan di sekolah atau taman permainan. Bagi mendekati kanak-kanak ini adalah disyorkan agar kita membaca buku-buku psikologi agar kita akan lebih mudah dapat mendekati kanak-kanak ini.
Kita juga boleh membaca buku dan menonton cerita-cerita yang ditujukan kepada kanak-kanak. Namun begitu kaedah ini tidak berapa digalakkan kerana fikiran kita akan lebih cenderung untuk meniru cerita yang kita lihat atau buku yang kita baca itu. Apabila kita menggunakan kaedah ini maka secara tidak langsung kita akan terdorong untuk menulis berdasarkan apa yang kita lihat atau baca.
Mungkin pembacaan beberapa jurnal atau buku dalam bibliografi yang disediakan di bawah ini dapat membantu.

Brian Murphy. 2004. Social interaction and language use in Irish infant classrooms in the
context of the revised Irish Primary School Curriculum. Literacy. Vol.38. No.3 p. 149-155.

Bandura, A. 1977. Self Efficacy: Toward a unifying theory of behaviour change.
Psychology Review. 84.p 191-215.

Bandura, A. 1986. Social Foundations Of Thought and action: A social cognitive theory.
Englewood Cliffs,NJ : Prentice-Hall.

Cannella G. 1993. Gender composition and conflict in dyadic sociocognitive interaction:
Effects on spatial learning in young children. Journal of Experimental Education. Vol 6 No.1, p.29-42

Carter, D. Bruce, dan Levy, Gary D. 1988. Cognitive aspects of early sex-role
development: The influence of gender schemas on preschoolars’ memories and preferences for sex-typed toys and activities. Child Development, 59, 782-792.

Hallam S, Ireson J dan Davies J. 2004. Primary pupil’s experiences of different types of
grouping in school. British Educational Research Journal. Vol.30. No.4. p 515-533.

Ingemer et al. 1991. Psychology of the classroom. New Jersey: Prentice E-Merrill.
Johan Jaafar . 2007. Penjanaan generasi kreatif, cemerlang. Dalam Berita Minggu
hal.13. 21 Januari 2007.

Marohaini Yusoff. 2001. Penyelidikan kualitatif. Pengalaman kerja lapangan kajian.
Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya.

Matnor Daim. 1993. Ke arah peningkatan disiplin sekolah. Jurnal Kementerian
Pendidikan Malaysia. Jemaah Nazir Sekolah.

Mohd Makzan Musa. 1997. Psikologi sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publication
Sdn.Bhd.

Othman Md Johan. 1995. Kesan konsep kendiri terhadap tingkah laku murid-murid.
Tesis PhD. Bangi: UKM.

Samsudin Osman. 2005. Ucapan perasmian seminar psikologi. Dalam
http://www.pmo.gov.my/WebNotes App/KSNMain.nsf/o/84c4bbc20092f9e48257042002e9b5f?

Vygotsky.L 1978. Mind in society: The development of higher psychological processes.
Cambridge, M.A: Harvard University Press.

Wolmarans, H. 1998. Behavior and misbehavior
http://hagar.up.ac.za/catts/learner/hwol/1998/a4.html tarikh 7/5/2005

19 November 2009

BUKU SASTERA UNTUK KANAK-KANAK

Terdapat dilema dalam penghasilan buku sastera kanak-kanak. Dilema ini terjadi kerana ramai beranggapan bahawa buku sastera untuk kanak-kanak mudah untuk dihasilkan. Pada anggapan mereka oleh kerana buku sastera ini ditujukan kepada kumpulan untuk kanak-kanak maka tidak perlulah ditulis secara serius. Faktanya mudah kerana tidak perlu dibuat kajian secara terperinci. Bahasanya juga tidak perlu ditulis dengan menggunakan bahasa yang sukar difahami oleh kanak-kanak menyebabkan penulis mudah menghasilkan buku untuk golongan sasaran ini. Sebenarnya tanggapan ini salah sama sekali.
Disiplin untuk menghasilkan buku sastera kanak-kanak berbeza dengan disiplin untuk menghasilkan buku sastera untuk golongan remaja dan dewasa. Seseorang penulis buku sastera untuk kanak-kanak perlu faham akan ilmu psikologi kanak-kanak. Penulis tidak boleh punya tanggapan bahawa kanak-kanak punya kesukaan yang sama dengan remaja atau orang dewasa. Latar cerita berbeza dengan latar kesukaan remaja atau dewasa.

08 November 2009

Mencari Cerita Diminati Budak Lelaki

2000 Nations

(komen ini asalnya dimasukkan ke dalam web PTS)
Novelis "Hanya Tuhan yang Tahu", A Razak Adam menulis:
Thursday, October 29, 2009
Saya fikir kunci (minat remaja lelaki) boleh dilihat kepada anak remaja kita sendiri. Ini boleh dilihat secara pemerhatian terus. Mungkin anak remaja kita tidak boleh dijadikan sampel bagi mewakili seluruh remaja namun setidak-tidaknya sebagai petunjuk.Anak-anak lelaki sekitar usia 9-15 tahun suka ‘pomen’ barang-barang yang ada. Mereka suka cipta sesuatu benda yang pelik dan sangat berminat untuk mengetahui apa yang ada di dalam barang yang dihadiahkan. Sebagai contohnya jam atau basikal. Jam itu kalau boleh dibuka maka akan dibuka dari belakang untuk lihat isinya. Basikal pula akan dibuka rodanya (sebab suka melihat cara bagaimana basikal itu boleh berfungsi). Selepas umur 15 tahun mereka mungkin ikut rentak rakan sebaya di sekeliling mereka sebab ingin mencari jati diri. Mereka meminati idola mereka atau idola kumpulan rakan sebaya mereka. Pada peringkat ini cinta sudah bertapak (cinta monyet).Pengalaman saya (mengajar) di sekolah menunjukkan pelajar lelaki tingkatan 2 sudah bercinta secara serius dengan pelajar seusia ataupun lebih rendah usianya berbanding mereka. Surat yang ditulis juga menggunakan bahasa-bahasa berbunga (dalam istilahnya 'pandai tekan ayat'). Mungkinkah ini sebahagian daripada kunci yang boleh dibincangkan?

02 November 2009

KEMPEN MEMBACA MUSIM CUTI SEKOLAH

Bersempena dengan musim cuti sekolah yang akan disambut tidak lama lagi, PTS telah menganjurkan peraduan "Saya Mahu Hadiah PTS". Peraduan ini bermula pada 1 November 2009 - 3 Januari 2010. Tidak susah untuk menyertainya. Anda cuma perlu membuat pembelian buku terbitan PTS sebanyak RM25.00 dalam satu resit dan anda layak menyertai peraduan ini. Pembelian harus dilakukan di mana-mana kedai buku terpilih (rujuk iklan di bawah). Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui web PTS.http://pts.com.my





01 November 2009

Novel : Watak Utama Nanti Lelaki.


Sekarang ini sedang duduk melongo. Biasanya jadual padat dengan aktiviti penulisan novel (sebab dihambat oleh editor). Apabila sudah banyak masa lapang maka terasa susah hati pula. Banyak benda yang boleh dikongsi dengan pembaca apabila kita menulis novel (atau apa jua bentuk penulisan). Gagasan atau idea yang ditulis mungkin dapat membantu seseorang, masyarakat atau negara. Sebenarnya ada beberapa perkara yang bermain di fikiran (benda yang ingin ditulis) tapi tersekat dek memikirkan dua novel yang sedang diedit oleh editor. Novel Manisah (bukan tajuk sebenar) itu watak utamanya wanita. Novel Hanya Tuhan Yang Tahu, watak utamanya lelaki. Novel cinta ketiga yang sudah siap sinopsis dan contoh bab empat watak utamanya lelaki. Kebetulan pula isu yang diketengahkan dalam laman web PTS mengenai hero lelaki. Harap-harap sinopsis ini diterima. Musim cuti sekolah nanti bolehlah saya menyiapkan cerita ini, insyaAllah. Gambar papan tanda itu ada kaitan dengan novel yang bakal ditulis. Sama-samalah mendoakan agar novel ini menjadi kenyataan.

28 October 2009

TESTIMONIAL PEMBACA


NOVEL : Hanya Tuhan yang Tahu
Posted by Sconov on Jan 2, '09 9:39 AM for everyone


Cinta pertama

Hadirmu tanpa dipaksa

Melekap erat pada jiwa suci

Yang mungkin akan kekal abadi.


Cinta pertama

Adalah suatu anugerah nan agung

Buat lelulur Adam

Seperti rindu akan Hawa

Buat pengubat duka lara

Pencetus semangat juang membara di sukma jiwa.


Cinta pertama

Mungkinkah kan bersemi di jiwa?

Tika dibaja dan disirami air

Sedang belumpun mentari bersinar megah

Banjir lumpur hadir membawa bencana.


Cinta pertama

Terlipat sudah dalam lipatan sejarah

Mewarnai suka duka kehidupan

Kekadang memberi sinar harapan

Buat yang mengerti erti kesyukuran

Biarpun pahit untuk dimengertikan.
(SAJAK INI DIAMBIL DARI NOVEL HANYA TUHAN YANG TAHU)


Hanya Tuhan yang tahu...(this para describes what I'm going thru now)


Kisah sebuah novel yang cukup mengajar ku betapa ku harus tabah dan sabar mengharungi dugaan hidupku ini. "Tidak semestinya percintaan harus berakhir dengan perkahwinan" adalah sepotong ayat yang amat dalam maknanya.


Kini ku akur dgn jalan hidupku. Ku akur dgn qada' dan qadar. Mungkin ku menyayanginya tetapi tak semua kasih sayang perlu dibalas dan disemai dgn rasa cinta yang setimpal.


Seumpama...kekasih yang hilang kerna kemalangan

kekasih yang pergi kerna penyakit

kekasih yang tiada kerna dipaksa mengahwini pilihan org tua

kekasih yang lari kerna takut akan tanggungjawab

kekasih bertunang dgn org lain kerna cemburu membabi buta

dan sbgnya...Ku redha dan ku terima takdirmu Ya Allah...Sesungguhnya Kau lebih mengetahui apa yg terbaik buat insanMu yang lemah dan daif ini....


Hanya Tuhan yang Tahu.... kisah ku selanjutnya

26 October 2009

Bacaan Untuk Kanak-Kanak

Sebagaimana orang dewasa, kanak-kanak juga perlukan bahan bacaan. Kanak-kanak juga perlukan bahan bacaan bermutu. Selera bacaan kanak-kanak berbeza dengan selera bacaan remaja dan orang dewasa. Buku bacaan kanak-kanak agak rumit dihasilkan. Sungguhpun proses mengarang ceritanya agak mudah (mungkin bagi sesetengah penulis) namun buku bacaan kanak-kanak perlukan banyak ilustrasi berwarna. Apabila sesebuah buku itu perlukan ilustrasi berwarna maka kos menerbitkan buku ini akan menjadi mahal. Persoalannya mampukah ibu bapa membelikan buku untuk anak-anak mereka dengan harga yang agak tinggi? Selalunya inilah dilema yang dihadapi.

Sasterawan Negara

Tahniah sekali lagi buat Sasterawan Negara Dr. Anwar Ridwan atas kurniaan anugerah berprestij ini. Sewaktu membuat ucapan sempena majlis tersebut beliau menggunakan syair atau sajak sepenuhnya untuk menyampaikan maksud yang terkandung di dalam hatinya. Banyak nasihat berguna yang tersurat dan tersirat di dalam ucapannya itu. Sememangnya setiap Sasterawan Negara kita punya kelainan dan keistimewaan yang tersendiri. Sememangnya untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik bukanlah mudah. Semoga ucapannya itu dapat menjadi pembakar semangat kepada penulis lain agar lebih giat untuk menghasilkan novel yang dapat merentas benua seterusnya mampu menggondol anugerah pada peringkat dunia.

23 October 2009

Dana Penulis dan Bajet 2010

Tadi sewaktu berurusan dengan staf Perpustakaan Negara Malaysia, beliau memaklumkan dana untuk penulis sudah habis (dana ini sebagai galakkan kepada penulis untuk menulis). Dalam perjalanan balik ke Melaka saya dengar pembentangan Bajet 2010 melalui radio. Apa yang jelas pada pendengaran saya hanyalah bantuan untuk bidang seni kreatif yang banyak ditumpukan kepada perfileman. Banyak bantuan kewangan akan diberikan kepada bidang kreatif. Namun bidang penulisan tidak pula disebutkan oleh PM sebagai yang dimaksudkan kreatif itu. Bidang penulisan tidak diiktirafkan sebagai bidang kreatif? Kesianlah sikit kepada penerbit buku di Malaysia. Jikalau penerbit buku sukar bergerak bagaimanakah pula nanti nasib penulis?

21 October 2009

Kejayaan Mentor

Hari ini seorang rakan telah menelefon dari Johor Bahru. Beliau memaklumkan tengah menunggu surat perjanjian untuk menerbitkan novel bersiri bagi cerita kanak-kanak. Alhamdulillah, hati terasa agak puas sebab sahabat itu berjaya menulis sebuah novel dan bakal diterbitkan. Kita perlu mengikis tanggapan bahawa ini suatu persaingan. Dunia buku ini terlalu luas dan sesiapa sahaja boleh menjadi penulis. Bimbingan daripada penulis yang telah berjaya(bukunya telah diterbitkan) amat penting kepada mereka yang baru ingin menulis. Saya sendiri pernah mengalami saat-saat sukar ini sebab itulah sudi menolong sahabat dari Johor Bahru ini. Biarpun pertolongan saya mungkin tidak seberapa namun ia amat penting kepada penulis baru. Kepada penulis baru, teruskan perjuangan anda.

20 October 2009

'Alahai liatnya nak menulis di blog'

Apabila menjadi penulis sambilan seperti saya maka ada beberapa pilihan di dalam hidup ini. Pilihan utama sebagai penulis sambilan ialah untuk pastikan ada masa untuk menulis (bagi saya tentulah novel). Baki masa yang ada cuma sedikit sahaja oleh itu saya harus pastikan ia diisikan dengan aktiviti utama iaitu menulis. Menulis di sini bermaksud menghasilkan manuskrip untuk dijadikan sebuah novel. Penulis sambilan seperti saya harus ada 'target'. Satu hari cuma mampu siapkan 5 muka surat. Tapi jikalau masa darurat (sebab dikejar editor) kenalah siapkan lebih banyak lagi jumlah halamannya.... mungkin sehingga 10 muka surat. Tapi jikalau sudah merdeka (sudah hantar manuskrip) maka boleh lihat blog dan kemas kini blog dengan lebih aktif lagi (blog bukan tidak aktif sebelum ini cuma kurang aktif). Tanpa novel baru maka bukanlah penulis namanya! Sebab itulah hidup ini kena rancang dengan baik.

16 October 2009

Rumah Terbuka PTS




Antara yang sempat dirakam oleh lensa kamera sewaktu saya menghadiri Majlis Rumah Terbuka PTS di Batu Caves. Ramai tetamu yang hadir biarpun saya antara yang terlewat memenuhi undangan (sempatlah lihat acara susun kerusi). Saya hadir jam 4.45 ptg setelah hampir 20 minit tersesat. Mujur juga staf PTS begitu ceria menyambut ketibaan tetamu jadi lapang sedikit perasaan ini.
Antara yang sempat ditemui ialah penulis ngetop seperti Ain Maisarah. Beliau begitu sibuk ditemuduga oleh editor. Saya juga berkesempatan berjumpa dengan editor yang terlibat menerima dan mengedit manuskrip saya seperti Puan Nur Hafizah, Puan Asma, Cik Shiela, Cik Ann dan beberapa orang editor lain. Kesempatan berjumpa ini amat besar maknanya kerana sebelum ini kami hanya berurusan melalui email. Melalui perjumpaan secara bersemuka maka banyak ilmu yang diperoleh kerana dapat berbual panjang.
Apa yang paling penting ialah sempat menimba ilmu dari Puan Ainon. Di samping menimba ilmu, dapat juga menaikkan semangat untuk 'menambah bilangan pokok getah agar estate menjadi lebih besar selain mempelajari cara mendapatkan pokok getah bermutu tinggi'.
Melihat bangunan kilang yang baru dibeli oleh PTS, hati ini begitu berbangga...alhamdulillah semoga PTS semakin sukses.


14 October 2009

KEREPEK AF MASUK CARTA LAGI!


Alhamdulillah, Kerepek AF masuk lagi dalam carta PTS. Kerepek AF merupakan buku cerita yang paling banyak dipesan oleh kedai buku pada sepanjang September 2009 (Sumber dari web PTS). Agaknya orang sudah puas makan kerepek ubi pada bulan puasa sebab itulah ramai hendak mencuba Kerepek AF pula. Terima kasih kepada semua peminat.
*Gambar menunjukkan seorang peserta cilik sedang membaca sebahagian petikan di dalam Kerepek Af. Gambar ini di ambil di Bangunan Tabung Haji, Masjid Tanah, Melaka.

Majlis Rumah Terbuka PTS



Esok ada Majlis Rumah Terbuka PTS sempena Hari Raya Aidilfitri. Khabarnya khas untuk penulis dan mereka yang terlibat dengan bidang penerbitan. Pada kesempatan ini bolehlah berjumpa dengan rakan-rakan penulis, editor dan staf PTS. Lebih bahagian sekali jika dapat berjumpa Pn.Ainon. Dalam majlis ini bolehlah saya berkongsi pengalaman (tetapi lebih kepada menimba pengalaman rakan-rakan yang lain). Bukan selalu saya dapat peluang sebegini. Setahun adalah dua atau tiga kali sahaja. Harap-harap Allah S.W.T memudahkan perjalanan saya nanti.

10 October 2009

Merdeka

Alhamdulillah kedengaran sorakkan merdeka! Jika negara ini merdeka pada 31 Ogos 1957 maka saya pula terasa bahang kemerdekaan pada hari ini. Ini dikira separuh merdeka kerana selepas ini jika diizinkan mungkin terjajah lagi. Pada hari ini saya telah siapkan dan telah email manuskrip novel Manisah kepada editor. Sudah beberapa kali editor hantar pesan suruh email. Alhamdulillah hari ini kerja sudah siap. Minggu lepas saya sudah hantar manuskrip Siri Usahawan Cilik kepada editor lain. Tajuknya juga sudah siap iaitu JUTAWAN 3-R. Sama-samalah kita tunggukan hasilnya nanti, insyaAllah.

04 October 2009

Raya Oh Raya

Apabila sebut berkenaan hari raya maka tidak sah kalau tidak dikaitkan dengan rumah terbuka. Konsep rumah terbuka merupakan suatu konsep baru bagi menyambut hari raya. Apabila ada rumah terbuka maka barulah sahabat handai berani berkunjung ke rumah rakan-rakannya. Dahulu kita bebas berkunjungke rumah sahabat handai tetapi sekarang ini bagaikan suatu dilema apabila hendak berkunjung ke rumah sahabat handai. Takut tuan rumah tidak bersedia! Sepatutnya pengunjung menikmati apa sahaja yang disediakan walaupun sekadar adanya sahaja. Pada tahun ini dek terlalu sibuk menulis maka tidak banyak rumah yang sempat dikunjungi. Satu buku sudah siap dan akan diemail kepada editor sebentar lagi manakala satu buku lagi tinggal 40 muka surat. Editor kedua sudah mula menghantar email. Nasib baik dapat editor yang begitu memahami maka dapatlah menulis dengan tenang.

20 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


Ucapan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ini ditujukan kepada semua pembaca halaman blog ini. Ucapan ini juga ditujukan kepada peminat, pembaca, sahabat handai serta kepada semua yang mengenali saya. Hari raya pada kali ini saya mendapat cuti yang agak panjang jadi kesempatan cuti ini bolehlah digunakan untuk menulis. Dua buah cerita harus disiapkan menjelang ketibaan Oktober. Satu untuk Usahawan Cilik dan satu lagi untuk novel Manisah. Semoga peminat dapat mendoakan kejayaan saya menghasilkan novel-novel ini menjelang Oktober nanti.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR DAN BATIN.

04 September 2009

Rezeki Bulan Ramadan

Kata orang rezeki bulan Ramadan ini datang bergolek-golek. Bukan sahaja peniaga pasar Ramadan yang dapat rezeki melimpah ruah, penulis juga ada kalanya begitu. Dalam waktu terdekat saya terpaksa mengejar date line untuk 2 novel. Satu novel remaja dan satu lagi untuk awal remaja. Kedua-dua editor berkehendakkan agar manuskrip dihantar sebelum Syawal. Bagaimana hendak atasi masalah ini sedangkan bulan Syawal lagi 15 hari?

30 August 2009

Selamat Menyambut Hari Merdeka

Saya baru melihat Inside di National Geografi. Cerita ini mengisahkan bagaimana tahanan di Penjara Guantanamo dilayan (kisah ini sudah banyak kali didengar). Tentera Amerika dengan rasa bangga menyatakan bahawa mereka rasa bangga melakukan keadilan dengan menahan tahanan ini. Tahanan ini ditahan tanpa dibicarakan. Ada tahanan yang sudah menjangkau 7 tahun berada di sini. Bagaimanakah agaknya jika kita tiba-tiba ditahan? Sudahlah kita tidak tahu akan kesalahan kita dan kita pula tidak diberikan peluang untuk mendapat keadilan. Bukankah itu kejam namanya. Sebagai rakyat yang merdeka adalah penting untuk kita dilayan sebagai seorang manusia. Semoga roh dan semangat kemerdekaan ini meresap jauh ke dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.
Di bawah ini sajak hasil nukilan beberapa orang pelajar tingkatan 2. Sajak ini ditulis sebagai salah satu aktiviti kumpulan sempena bulan kemerdekaan. Tema sajak yang ditulis ialah kemerdekaan. Sama-samalah kita hayati pandangan mereka tentang erti sebuah kemerdekaan.

Jasa Pejuang Kemerdekaan.
Penulis : Hiew Wei Hong

Hatiku ingin kulelong
tapi aku makan hati berulam jantung
dan jasa sebesar gunung
ingin aku tetap kendong.

Jikalau ada paku yang patah
segenggam jua dapat kuratah
kerana jasa pejuang
akan tetap aku kenang
merdeka! merdeka! merdeka!

MALAYSIA TANAH AIRKU
PENULIS : FARAH

Di tanah ini
bekas tumpah darah
begitu ramai pejuang
yang sanggup menggadaikan nyawa demi warga tercinta.

Penjajah
disebabkan engkau
ramai pejuang terkorban
Tuk Janggut, Mat Kilau, Tuk Gajah
dan sekian banyak nama tak terhingga
sehingga menimbulkan kacau bilau
menggugat keamanan negara.

Marilah
marilah sekalian rakyat Malaysia
kita bersatu menegak panji-panji negara
bagi kemajuan nusa dan bangsa.

KEMERDEKAAN HAKIKI
Penulis : Wahida

Setahun hanya sekali
sambutan merdeka akan tiba dan pergi
bulan merdeka yang aku nanti-nanti
akhirnya menjelang lagi.

Setahun hanya sekali
hari kemerdekaan adalah kenanganku
lalu ia bersemi di hati dan sanubari.

Setahun hanya sekali
aku meraikan kemerdekaan ini
dengan menyahut merdeka! merdeka! merdeka!

Di hari bersejarah ini
aku berasa bersemangat
kerna negaraku telah bebas
bebas dari penjajah
merdeka! merdeka! merdeka!


KEMERDEKAAN
Penulis : Huzaimi

Naik Basikal pergi ke pekan
pergi ke kedai beli belacan
31 Ogos merdeka
tiga kali kita laungkan
merdeka! merdeka! merdeka!

Zaman Jepun zaman penjajah
ramai terbunuh kerna membela nusa
Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan
jasamu akan aku sanjung sepanjang zaman.

ERTI KEMERDEKAAN
Penulis: Azwan

Dahulu kala kita dijajah
Kini sekarang kita merdeka
Tunku Abdul Rahman tokoh terbilang
menjadi sanjungan sepanjang zaman.

Penjajah itu sifatnya kejam
menyiksa, menafi hak warga
lahir Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan
cuba hapuskan kesengsaraan.

Sudah lama hidup dalam kegelapan
seawal abad 16 hingga tahun 57
kini api sinar mula membahang
semangat juang semakin kukuh.

Baru kini aku mengerti
mengapa hari merdeka harus dihayati
betapa bersyukur akan kebebasan ini
aku bebas membuat pilihan sendiri.

Terima kasih buat pejuang
sekalung budi buat kalian
hanya Tuhan tempat aku pohonkan
moga roh pejuang akan tetap tersimpan
syurga abadi buat kalian.

28 August 2009

Kerepek AF dibeli PNM


Alhamdulillah rezeki bulan Ramadan. Semalam dapat panggilan dari pegawai PNM. Buku cerita Kerepek AF telah terpilih untuk pembelian PNM. PNM akan membeli sebanyak 1089 buah buku cerita ini. Dana pembelian untuk penulis ini diilhamkan oleh Dato' Seri Rais Yatim. Dengan dana ini maka PNM akan membeli secara terus buku terpilih tanpa melalui penerbit. Tapi penulis kena juga berbaik dengan penerbit sebab penulis bukan ada kilang percetakan. PTS yang bertindak sebagai penerbit nampaknya begitu prihatin juga. Sama prihatinnya dengan menteri ini. PTS memberikan imbuhan yang besar bagi buku-buku yang dibeli oleh PNM. Bagi penulis, pembelian ini merupakan suatu pengiktirafan terhadap hasil penulisan. Terima kasih PTS. Terima kasih PNM. Terima kasih juga kepada pembaca semua.

22 August 2009

Selamat Menyambut Bulan Ramadan

Selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua pembaca. Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia.Bulan penuh keberkatan. Pada bulan inilah diturunkan al-Quran. Ayat pertama ialah 'Iqra' bermaksud bacalah. Dengan membaca maka ilmu dapat ditambah. Dengan membaca ilmu itu dapat diperluaskan. Bangsa membaca merupakan bangsa berjaya. Bangsa berjaya itu ialah bangsa yang dapat mengawal dunia. Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W di gua Hirak iaitu agar baginda membaca (walaupun baginda tidak tahu membaca) merupakan seruan secara langsung oleh Allah S.W.T kepada umatNya. Suatu seruan agar menjadikan aktiviti membaca itu sebagai suatu tugas yang perlu diutamakan. Boleh juga dikatakan suatu tanggungjawab kepada setiap umatNya agar membaca. Dengan membaca kita boleh mencapai matlamat diri, keluarga dan keperluan ummah kita.
Kepada rakan penulis, jadikan bulan Ramadan ini sebagai suatu bulan bonus untuk menulis. Menulis sambil beribadat atau beribadat sambil menulis. Bukankah pada bulan yang mulia ini segala amalan baik digandakan oleh Allah S.W.T. Apa yang penting ialah kita pasangkan niat kita.... kerana Allah.

19 August 2009

WS RENDRA

'Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama', itulah yang dapat diibaratkan kepada WS RENDRA atau MERAK EMAS. Beliau meninggal dunia pada 6 Ogos 2009 pada usia 74 tahun. Tokoh sastera tersohor ini punya gaya tersendiri dalam penulisannya. Banyak karya beliau yang bersifat kritikan terhadap pemerintah. Tidak hairan beliau beberapa kali dimasukkan ke dalam penjara. Namun perjuangan melalui penulisannya akhirnya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Indonesia.
Hasil penulisan WS RENDRA banyak berkisar kepada perjuangan untuk hak rakyat bawahan. Ini sebenarnya dilakukan sebagai suatu wadah untuk memberitahu pemerintah apa sebenarnya yang berlaku kepada rakyat. Pemerintah pula haruslah anggap wadah itu sebagai suatu pemberitahuan situasi sebenar yang dialami oleh rakyat biasa. Ini bukan bermaksud untuk menjatuhkan sesuatu pemerintahan. Ini harus dilihat sebagai suatu bentuk pertolongan kepada golongan pemerintah. Anggap sahaja penulis itu sebagai kawan bukannya lawan. Bukankah ada pepatah yang mengatakan mata pena itu lebih tajam berbanding mata pedang!

18 August 2009

Tahniah diucapkan kepada Dato' Dr. Anwar Ridhwan atas anugerah Sasterawan Negara ke-10. Setelah kita semua tertungu-tunggu akhirnya anugerah itu diumumkan juga. Apatah halangannya sehingga berkurun baru dapat diumumkan. Jikalau diikutkan pemilihan itu agak sengit juga kerana kita ada ramai tokoh sastera yang layak diangkat menjadi Sasterawan Negawa. Ini bermaksud tidak perlulah ditunggu berkurun baru hendak diberikan anugerah itu. Pasanglah niat 'hanyasanya hendak meningkatkan sastera tanah air dan sastera itu sendiri'. Jikalau niat itu terpasak kukuh dalam hati maka sastera di negara ini akan turut berkembang. Tidaklah kita dimomokkan oleh 'sastera untuk si dungu'.

28 July 2009

Oprah Winfrey - Penggerak Budaya Membaca?

Gambar buku ini dipetik dari KOSMO. Al kisah rancangan Oprah memang punya jumlah penonton teramai. Apa kaitannya dengan minat membaca? Satu kajian telah dilaksanakan oleh Ceclia Konchar Farr. Hasil kajiannya menunjukkan terdapat perkaitan antara novel yang diulas oleh Oprah dengan peningkatan jumlah pembaca buku yang diulas. Maksudnya apabila Oprah Winfrey mengulas sesebuah novel di dalam rancangannya maka jualan novel tersebut semakin meningkat. Seperkara lagi Oprah juga minat membaca buku/novel. Kesimpulannya faktor penarik sesebuah buku bukan hanya terletak di tangan penulis tetapi juga di tangan pengulas.

27 July 2009

Kisah Royalti Dan Pak Posmen


Hari ini hujan lebat melanda Masjid Tanah. Sudah lama juga hujan lebat tidak turun di sini. Sesudah balik dari tempat kerja terus balik ke rumah. Sampai di rumah ternampak surat di dalam peti surat. Oh Pak Posmen hantar juga surat walaupun di dalam hujan lebat. Terima kasih Pak Posmen. Apabila dibelek adalah satu yang sangkut. 'Surat dari penerbit?'. Ingatkan surat biasa rupa-rupanya penyata dan sekeping kad undangan ke bank. Alhamdulillah, royalti keluar rupa-rupanya! Sebab itulah bulan Julai diiktiraf sebagai bulan untuk penulis PTS tersenyum gembira.

Ini kisah Pak Posmen. Dahulu ada rakan saya yang bercinta. Hari-hari dia akan menunggu Pak Posmen. Pak Posmen seperti tahu-tahu sahaja, jikalau ada bau wangi sudah pasti ada surat untuk rakan saya. Apabila rakan saya yang seorang itu sudah putus cinta, takut Pak Posmen itu hendak lalu di hadapan rumah rakan saya yang seorang ini. Itulah dinamakan asam garam bercinta.....kesian Pak Posmen. Nasihat kepada adik-adik...ingat kot bercinta pun usahlah menyusahkan Pak Posmen.

25 July 2009

Program Penulis Bersama PNM


Pada hari ini akan berlangsung 'Program Jualan Buku Bersama Penulis'. Program ini akan berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia. Program bermula jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Program ini berlangsung selama dua hari iaitu 25-26/7/2009.
Sebelah paginya saya diundang memberikan ceramah di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Alor Gajah Melaka. Ceramah bertajuk 'Kajian Tindakan'. Selepas itu saya akan bergegas ke Kolej Komuniti Alor Gajah untuk satu kursus ringkas. Selepas itu saya akan bergegas ke PNM (harap-harap sempat sampai ke PNM sebelum jam 4.00 ptg).

Berita Harian 24.7.2009 - Kisah A Razak Adam

www.bharian.com.my/Current_News/BH/.../index_html -


Dunia Buku: Hanya Tuhan Yang Tahu
Oleh Hasnidarwina Hasimbhsastera@nstp.com
A RAzAk (kiri) mengetengahkan kisah cinta menurut landasan Islam melalui Hanya Tuhan Yang Tahu.
Kisah cinta alam remaja berteraskan Islam TEBAKAN awal bahawa Hanya Tuhan Yang Tahu karya A Razak Adam sebagai satu lagi klise dalam novel cinta remaja yang membanjiri pasaran buku tanah air ternyata silap terbukti silap apabila penulis membaca karya pengarang yang juga seorang guru. Novel pengarang lelaki ini, nyata berbeza apabila A Razak mengetengahkan konsep cinta remaja berteraskan Islam pada setiap watak, sekali gus mempengaruhi minda pembaca remaja bahawa tidak semua kisah cinta berlangsung dalam suasana penuh romantis.
Sazali yang menjadi penggerak utama novel ini ditampilkan sebagai lelaki yang tahu menghormati orang lain dan terkenal di kampungnya kerana budi bahasanya dan kelebihannya itu, menjadikan beliau istimewa berbanding remaja lelaki seusianya yang lazimnya kurang dalam aspek terbabit. Sungguhpun begitu, Sazali tidak pernah memandang rendah kepada rakan sebayanya seperti Rizal yang terkenal dengan sifat gopohnya, Baharuddin (kasar), Ramlan (panas baran) dan juga Ah Seng, rakan Cina, tetapi berminat dengan Islam. Segala pertanyaan mengenai Islam yang diajukan Ah Seng cuba dijawab Sazali dengan tenang sedaya mungkin selain pemuda itu sering menasihati rakan sepermainannya yang lain dengan harapan mereka akan mendekati Islam dengan penuh makna.
Perjalanan kisah menjadi semakin menarik apabila Sazali pertama kali dipertemukan dengan Rahayu ketika selesai majlis moreh di masjid, terpikat dengan raut wajah ayu gadis itu, walaupun tidak pernah bersua muka sebelum itu. Hubungan mereka bertambah erat apabila Rahayu diminta oleh ibunya membantu Sazali memilih bawang ketika mereka terserempak di pasar malam dan peluang ini direbut pemuda itu untuk terus mendekati Rahayu. Dalam diam, Rahayu yang sememangnya turut menyimpan perasaan terhadap Sazali juga sering mencari peluang agar dapat bertemu dengan pemuda dambaannya, biarpun mengetahui bapanya tidak begitu merestui hubungan mereka. Ketika Sazali dan rakan-rakannya menziarahi Rahayu pada Hari Raya Aidilfitri, pemuda itu dilayan hambar Pak Jamal hanya kerana Sazali anak petani dan perhatian lebih diberikan kepada Baharuddin kerana kedudukannya sebagai orang berharta.
Pembaca akan diburu pelbagai persoalan apabila Pak Jamal membuat kejutan dengan menyampaikan hadiah istimewa daripada seseorang di Johor Bahru kepada Rahayu, pada majlis hari jadi gadis itu, tetapi disambut dengan tangisan oleh Rahayu dan kakaknya, Rohana. Konflik memuncak apabila Rohana melarikan diri pada hari pernikahannya dengan Jazlan, anak saudara Pak Jamal dari Johor Bahru dan mengakibatkan lelaki mata duitan itu mengatur hubungan antara Jazlan dan Rahayu. Bagaimanapun, hubungan Sazali dan Rahayu menjadi renggang apabila masing-masing memilih haluan sendiri di menara gading dan walaupun ada kalanya bertemu secara tidak sengaja, tetapi hubungan mereka hakikatnya sudah lama terpisah. Sazali yang kecewa dengan berita pernikahan Rahayu dengan Jazlan, akhirnya meminta petunjuk daripada Maha Pencipta dengan menunaikan solat hajat untuk melupakan Rahayu dan solat istikharah akan jodoh sebenarnya. Berjayakah Sazali berdepan dengan konflik yang menghantui hidupnya dan apakah tindakan yang pemuda beriman itu dalam menentukan pasangan hidupnya serta apakah bahagia itu akan menjadi miliknya? Hanya Tuhan Yang Tahu meskipun agar mendatar dalam naratif, tetapi mampu menjawab segala persoalan yang meledak dalam hati pembaca selain menjamin mesej berguna kepada pembaca khususnya, pengalaman bercinta alam remaja menurut landasan Islam. INFO: Hanya Tuhan Yang Tahu
Pengarang: A Razak Adam
Tebal: 363 halaman
Penerbit: Fortuna PTS Oublications & Distributors Sdn Bhd
Harga: RM24 senaskhah
Bintang: *** (tiga bintang). Biodata Penulis: Hati guru untuk remaja ABDUL Razak Adam yang juga dikenali sebagai A Razak Adam ataupun Azam ialah seorang guru dan kini bertugas di SMK Hang Kasturi, Masjid Tanah, Melaka, bertuah menjadikan novel remaja sebagai bidang penulisan pilihannya. Kerjayanya sebagai pendidik, memungkinkan beliau didampingi remaja dan sama-sama menyelami jiwa remaja secara lebih dekat, di samping pendiriannya ‘menulis suatu ibadat’ memungkinkannya memandu pembaca ke arah kebaikan hidup di dunia dan di akhirat melalui penulisan. Beliau yang boleh dihubungi melalui arazakadam.blogspot.com, dilahirkan di Felda Air Kangkung, Selandar Melaka, pada 26 Ogos 1970, memperoleh Ijazah Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1994, sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Pendidikan dalam bidang Kurikulum dan Pedagogi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM - 1999) dengan biaya biasiswa Bank Dunia. Beliau memenangi tempat ketiga, Pertandingan Menulis Cerita Hari Guru Peringkat Negeri Melaka 2004 dan sagu hati Pertandingan Menulis Cerpen Perayaan Hari Guru 2006 Peringkat Kebangsaan dengan cerpennya, Wad Pericila dan diterbitkan dalam antologi, Menjejak Sinar oleh DBP pada 2007. Novel pertamanya, Felda Bukit Jelatang, diterbitkan pada 2004 oleh Penerbitan Matra, manakala novel keduanya, Hanya Tuhan Yang Tahu, diulang cetak dua kali oleh PTS Publications, selepas dua bulan diterbitkan buat kali pertama. Antara beberapa novelnya yang sudah berada di pasaran ialah Kerepek AF, Homestay Bayu dan Taman Botani selain sedang menantikan penerbitan novelnya, Cinta Travelog Umrah dan dalam proses menyebabkan Manisah.
Cetak artikel Hantar pada kawa

16 July 2009

pencetus perubahan US

Inilah rupanya Charles Dicksen (yang sedang duduk) iaitu penulis tersohor US. Beliau hidup sekitar 1812-1870. Beliau seorang novelis yang mencorakkan kesusasteraan Inggeris serta menghasilkan gaya penulisan novel yang dapat membawa perubahan. Beliau membuat pembaharuan dalam bidang penulisan novel sehingga mendapat pengiktirafan tinggi dalam bidang penulisan. Bagaimana dengan di Malaysia? Tidak ramai di negara ini yang berani membawa perubahan apatah lagi menjadi perintis terhadap perubahan itu.

05 July 2009


Selepas menaiki RER kami menaiki METRO menuju ke Cadet. Hotel telah ditempah melalui internet di kawasan Cadet. Ingatkan boleh masukkan seramai mungkin dalam bilik hotel (seperti yang kita buat di Malaysia) tapi pengurus hotel kenakan bayaran untuk pelanggan bawah 7 tahun. Kenalah kami tambah 50 euro. Selepas meletak barang-barang kami bergegas mendapatkan METRO ke Lafayette. Tidak jauh dari Lafayette itulah tersergamnya Eifiel Tower. Kami terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan tiket untuk naik Eifiel Tower ini. Hampir setengah jam baru dapat naik. Ramai pelancong luar yang kami jumpa tapi muka orang Melayu tidak ada pula. Jikalau hendak beli ole-ole, eloklah dibeli dari mamat Afrika atau bangla di dataran dekat Eifiel Tower ini sebab murah (siap beri salam pulak sebab mereka ini agaknya orang Islam). Kami berjalan-jalan di sana sehingga jam 9.00 malam.

22 June 2009



Dari lapangan terbang, kami menaiki RER ke pusat bandar. Sewaktu membeli tiket, perempuan itu beri salam. Dia terangkan dari A hingga Z tentang tiket. Saya cuma ada sekeping peta sahaja. Kami beli tiket visite maknanya boleh naik pengangkutan awam di situ selama satu hari (tidak perlu terkocoh kacah hendak berebut beli tiket nanti). Kami menaiki RER (keretapi). Jumpa Pak Joko yang sudah sebulan bekerja di Perancis. Pak Joko dari Balik Papan Indonesia. Mujur juga Pak Joko terangkan tentang sistem pengangkutan awam di Paris. Dengan penerangan Pak Joko maka dapatlah saya sampai ke hotel dengan selamat. Sistem pengangkutan keretapi di sini sungguh cekap tetapi kita kena arif mengenai laluan keretapi ini. Selain RER ada juga Metro.


Selepas seminggu berada di UK, kami sekeluarga bertolak ke Perancis. Untuk ke sana kami menaiki EssyJet.Com dari Glasgow ke Charles de Guleau Airport. Perjalanan lebih kurang satu jam sahaja. Pesan orang di Uk, jikalau kita tidak tahu bercakap Perancis maka cakap sahajalah menggunakan bahasa Melayu! Benarkah orang Perancis tahu berbahasa Melayu?


Jikalau di Malaysia terkenal dengan pasar malam tapi di UK terkenal dengan "carboot". Ini merupakan pemandangan di "carboot Lanarkhsire". Biasanya penjual terdiri daripada pemilik barangan. Penduduk UK biasanya membeli barangan yang berkualiti tinggi. Mereka tidak suka barangan tiruan. Setelah pakai setahun dua maka dijualnya di pasar seperti ini. Orang Malaysia jikalau tidak pergi ke carboot macam tidak sah (ada jugak yang tidak mengaku pergi ke sana konon ...low class...) puii.

21 June 2009

Pemandangan sebuah kawasan kampung di Kingross. Rumahnya sebuah-sebuah jadi jangan impikan sebuah kawasan kampung yang banyak deretan rumah seperti di Malaysia. Sebuah rumah dengan kawasan stor tempat simpan barang hasil pertanian dan jentera ladang. Kegiatan utama ialah menternak kambing biri-biri atau lembu. Tanaman utama ialah bawang dan kentang. Di sini barulah saya nampak orang menunggang kuda di tepi jalan. Inilah kampung orang Inggeris. Haii teringat cerita Little House On The Prairie masa kecil-kecil dahulu.

Bangunan di Sterling ini asalnya sebuah gereja tetapi telah dibeli oleh orang-orang Islam untuk dijadikan masjid. Masjid ini boleh memuatkan sekitar 300-4oo jamaah. Pada minggu pertama saya pergi bersembahyang Jumaat di masjid ini imamnya seorang Pakistan yang sudah lama tinggal di UK. Sewaktu bersembahyang terasa jiwa aman kerana dikelilingi oleh orang Islam daripada pelbagai bangsa. Orang Melayu adalah dalam sepuluh orang. Jumaat kedua sewaktu saya bersembahyang, khatibnya orang lain. Saya ingatkan saya tidak faham bahasa inggeris yang digunakannya rupa-rupanya khatib baca khutubah menggunakan bahasa urdu! Teringat lagu hindustan...

17 June 2009



Kesempatan di UK saya gunakan untuk ke Manchester United. Perjalanan dari Glasgow dengan menaiki keretapi selama 4 jam. Kami bernasib baik sebab tour untuk kami ialah yang terakhir untuk hari itu dan minggu itu kerana apabila perlawanan berlangsung maka tiada pelawat dibenarkan. Untuk masuk kenalah bayar berbelas pound. Bayaran itu untuk masuk ke muzium dan padang. Padangnya cuma boleh dilihat dan tidak boleh diusik. Untuk menyaksikan perlawanan maka satu empat duduk paling murah ialah 7,000 pound semusim! Jikalau 7,000 kali dengan 5.7, maka carilah sendiri jawapannya dalam ringgit Malaysia! Turut sama dalam rombongan kami itu ialah warga Russia, Rep Check, Jerman, Taiwan dan China. Di luar MU itu adalah jumpa 3 keluarga Melayu. Di MU ini mudah sedikit untuk kita dapatkan makanan halal.
Sama seperti Melaka, Glasgow juga berkembang kerana pusat perdagangannya. Sungai yang menjadi nadi urusan perniagaan telah menjadikan Glasgow sebagai tempat perdagangan utama. Apa yang lebih unik ialah Glasgow berkembang selang seratus tahun sebelum kedatangan Parameswara ke Melaka. Glasgow dibuka sekitar tahun 1400 Masehi manakala Melaka sekitar 1500 Masehi. Namun oleh kerana bandarnya dibina menggunakan batu bata maka bangunan lamanya masih utuh sehingga sekarang. Malang sekali bagi Melaka kerana datuk nenek kita menggunakan kayu untuk membuat istana maka tinggalan sejarah ini tidak dapat disaksikan sehingga sekarang.

06 June 2009


Sekarang ini saya sedang bercuti di UK bersama keluarga saya. Kami bertolak ke UK pada 30.6.09 menaiki AirAsia ke London. Selepas itu kami menaiki EasyJet.Com ke Glasgow. Kami pergi ke sini dengan duit daripada royalti Novel Hanya Tuhan Yang Tahu. Tujuan kami ke sini untuk "shooting filem" untuk novel yang berikutnya. Sama-samalah kita doakan agar novel ini berjaya disiapkan.

06 May 2009



Pada 6.5.2009, saya telah diundang ke majlis 'Sepetang Bersama Penulis'. Hmm...sayalah penulisnya. Majlis ini telah diadakan di SMK Hang Kasturi, Melaka. Di dalam majlis ini peserta telah berkongsi pengalaman dengan penulis mengenai novel-novelnya yang terkini serta proses penulisan novel itu secara sepintas lalu. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah deklamasi sajak, tayangan slaid LCD dan membaca petikan novel. Usai acara ini maka telah diadakan sesi soal jawab. Antara soalan yang diajukan peserta ialah mengenai cara-cara menulis novel, royalti dan pembahagian masa untuk menulis. Pn Hayati Mawi selaku guru PSS berharap agar satu program dapat dijalankan oleh penulis iaitu 'cara-cara menulis novel'. Ibarat kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Terima kasih kepada pihak sekolah SMKHK, peserta dan Pn Hayati Mawi.

03 May 2009



Ini dia gambar penulis ngetop dari Indonesia. Taufik Rahman namanya. Beliaulah yang menulis novel Munajat Cinta. Setakat ini beliau sudah menghasilkan 120 buah cerita. Bertugas sebagai pensyarah universiti di Indonesia. Beliau menyatakan "Usah dicari ilham itu. Ilham itu bersifat suci dan datangnya daripada Allah S.W.T. Semakin kita cari ilham itu maka semakin tidak keruan kita jadinya. Semakin banyak kita menulis maka semakin banyaklah ilham yang datang, insyaAllah. Untuk menulis maka disarankan kita berwudhu dan berdoa serta hindari diri daripada melakukan sebarang dosa kecil mahupun dosa besar." Usah kita lalai atau melambatkan sembahyang kerana itu dengan sendirinya menjarakkan diri kita dengan Allah S.W.T. Jika kita menyambillewakan sembahyang maka semakin sukar ilham itu untuk hadir ke dalam diri kita.

Benarlah kata Sasterawan Negara kita iaitu Datuk A Samad Said ketika melancarkan Novel Cinta Islami di PWTC iaitu 'semoga kehadiran Pak Taufik akan memantapkan bidang penulisan di negara ini'.

Pada 26.4.2009 saya telah diundang oleh PTS untuk mengikuti Majlis Pelancaran Novel Cinta Islami. Majlis ini telah diadakan di PWTC. Dua orang tetamu didatangkan khas dari Indonesia iaitu Pak Taufik dan Tere-Liye. Majlis ini telah dilancarkan oleh Datuk A Samad Said. Antara ucapan yang terkesan ialah semoga kehadiran tetamu ini memantapkan bidang penulisan di Malaysia. Taufik Rahman sedang popular dengan Novel Munajat Cinta manakala Tere-Liye terkenal dengan Bidadari-Bidadari Syurga. Dalam gambar di atas kelihatan Norhayati Ibrahim selaku moderator majlis sedang mewawancara Taufik Rahman dan Tere-Liye. Pak Taufik menyatakan ilham itu datang dari Pencipta dan bersifat suci. Pengarang harus menjauhkan diri dari melakukan dosa kecil mahupun besar kerana ini akan menyebabkan halangan terhadap ilham itu untuk hadir ke dalam diri pengarang. Tere-Liye pula menyatakan sebelum menulis maka disarankan untuk berwudhu. Tere-Liye sudah menulis 'terlalu banyak buku' tapi cuma 4 terbit setakat ini (itupun meletup-letup). Beliau tidak kisah sama ada buku beliau terbit atau tidak kerana tanggungjawab beliau hanya menulis. Terserah kepada penerbit untuk menerbitkannya atau tidak.

24 April 2009


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 memberikan satu dimensi baru kepada saya. Ramai pengunjung yang hadir. Gerai PTS diserbu peminat. Mereka datang dari seluruh pelusuk negara. Tahniah juga kepada ibu bapa yang ikut serta membawa anak-anak mereka berkunjung ke pesta buku ini. 'Zaman sudah berubah', itulah ungkapan tepat. Jikalau dahulu anak-anak sukar membeli buku tetapi kini ibu bapa sudah mula ada kesedaran. Biarpun ekonomi gawat namun ramai ibu bapa masih membelikan buku untuk anak-anak. Buktinya pesta buku dibanjiri orang ramai di tengah-tengah kegawatan ekonomi negara.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 sedang berlangsung. Pada 17.4.2009 saya telah berada di Gerai PTS untuk acara 'sesi bersama penulis'. Hari pertama dan penulis pertama di gerai PTS nampaknya meriah dengan pengunjung. Tahniah kepada adik Ali Marzuki yang telah berjaya membawa pulang kotak jati ajaib. Adik Ali Marzuki telah membeli buku Taman Botani Harapan, Kerepek AF dan Homestay Bayu. Sementara lapan orang pembeli bertuah telah berjaya membawa pulang ole-ole berupa tempat letak telefon bimbit daripada kayu.

10 April 2009

Pesta Buku Antarabangsa 2009


Pesta Buku 2009

Sesi bersama penulis ( A Razak Adam) akan diadakan pada;

Tarikh : 17.4.2009(Jumaat)
Masa : 4.00-5.00 petang
Tempat : Boot PTS Publication, PWTC.
Acara : Bicara buku baru bertajuk "Taman Botani Harapan"

Hadiah misteri berupa Kotak Kayu Jati menanti anda (didatangkan khas dari Pulau Jawa, Indonesia). Gambar di atas cuma gambar hiasan. Kotak Kayu Jati sebenar dapat disaksikan pada pesta buku itu nanti.

Novel Hanya Tuhan Yang Tahu

Alhamdulillah,
novel pertama saya bersama PTS bertajuk Hanya Tuhan Yang Tahu akhirnya masuk di dalam carta. Kedudukan menunjukkan naskah paling banyak terjual dan yang menerima nilai jualan RM75 ribu(Untuk 50 buku ngetop terjual) untuk tahun 2008. Apa yang lebih membanggakan lagi ialah buku itu diterbitkan pada Julai 2008. Kiraan dibuat untuk Julai-Disember 2008. Terima kasih untuk semua. Rujuk www.universitipts.com.

28 March 2009

Novel Cinta Islami nampaknya semakin diterima oleh khalayak pembaca. Novel Cinta Islami merupakan pesaing kepada Novel Cinta Popular sekarang ini. Taufik Rahman yang menulis Novel Munajat Cinta (tengah ngetop sekarang ini) menyatakan Novel Cinta Popular sudah mula meresap ke dalam jiwa anak-anak di kota, bandar dan di desa. Ini amat merugikan kita kerana ia mampu merosakkan jiwa anak-anak kita. Oleh itu menjadi tanggungjawab kepada penulis islam untuk menghasilkan novel cinta yang mampu memandu remaja kita ke jalan Islam yang sebenarnya. Novel Hanya Tuhan Yang Tahu layakkah digelar Novel Cinta Islami?

27 March 2009

Peserta cilik yang masuk pertandingan lakonan. Ini skrin test untuk drama terbaru ke?
Bukan main lagi cik adik melukis... susah benar nak cari pemenang. Semuanya pelukis handalan.


Antara peserta yang menghadiri majlis book talk di Bangunan Tabung Haji, Masjid Tanah.


22 March 2009

Sesi Bicara Buku.
Alhamdulillah sesi ini telah selamat diadakan pada hari Jumaat 20/3/2009 di Literasi Desa, Bangunan Tabung Haji Masjid Tanah. Ramai yang hadir, saya minta maaf kerana ramai yang terpaksa berdiri mendengar celoteh saya. Gambar-gambarnya nanti saya akan sertakan. Bateri Kamera habis jadi terpaksa pinjam gambar Pengurus Literasi Desa iaitu Kak Azmi Talib. Kak Azmi janji hendak beri pada hari Isnin.
Antara tetamu yang hadir ialah Pengurus Rumah Anak-Anak Yatim Payasum, Pengurus Tabung Haji Masjid Tanah dan Pengurus Bank Islam Cawangan Masjid Tanah iaitu Tn Hj Kamarun Hamidy Ahmad. Tn Hj Kamarun amat menyokong kuat program ini kerana ini merupakan majlis ilmu. Beliau amat menyokong agar usaha ini diteruskan. Alhamdulillah terima kasih daun keladi, kalau ada dana kita akan buat lagi.... .
Pertandingan lakonan petikan Homestay Bayu telah dimasuki oleh peserta yang malu-malu kucing, tapi jangan tak tahu ramai adik-adik yang punya bakat terpendam.
Acara mewarna juga tidak kurang hebatnya. Di dalam acara inilah hilang malu-malu kucingnya. Ohh adik-adik kita ini kalau melukis semua hendak masuk tapi jikalau disuruh bercakap aduhhhh......... susahnya. Gambar aktiviti ini akan saya masukkan nanti.
Terima kasih kepada semua tetamu dan mereka yang hadir terutama mereka yang dari Johor Bharu yang sanggup datang sejauh itu untuk mengikuti acara bicara buku saya.

19 March 2009

Makluman
Bicara Buku oleh A Razak Adam dengan kerjasama Literasi Desa
Tarikh: 20 Mac 2009(Jumaat)
Masa: 2.30-4.00 ptg
Tempat: Bangunan Tabung Haji, Masjid Tanah, Melaka.
Acara:
1. Bicara Buku Terbaru A Razak Adam
2. Mewarna(<12 Tahun)
3. Sketsa(>12 Tahun)
4. Soal jawab
Hadiah disediakan.
Semua dijemput hadir.


Kelmarin saya baru balik dari Indonesia. Antara tempat yang disinggahi ialah Masjid Agung Demak. Masjid ini menyimpan seribu satu macam keistimewaan. Istimewanya kepada penulis hanyalah satu iaitu di Demak inilah bermulanya Kerajaan Islam terawal di Indonesia. Tiba di LCCT seorang tua dari Kota Bharu berbual dengan saya. Pakcik ini kata masjid ini keramat. Benarkah begitu?Pakcik jangan kita mewajarkan bidaah. Usah kita agungkan kesesatan. Sejarah tetap satu sejarah.

14 March 2009

Sinopsis Novel Hanya Tuhan Yang Tahu
Sazali, insan cekal yang begitu setia dengan janjinya. Tidak hairanlah dia begitu setia pada cintanya. Rahayu, cinta pertama yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat. Mereka menjalinkan hubungan cinta sejak di bangku sekolah lagi. Sazali, ibarat obor yang sentiasa membakar semangat Rahayu supaya bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, cita-cita Rahayu mahu menjadi suri rumah apabila dewasa kelak membuatkannya tidak bersungguh-sungguh dalam pelajaran, termasuk peperiksaan SPM yang bakal menjelang. Akhirnya, Rahayu mendapat keputusan yang kurang baik dalam peperiksaan. Sazali berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti manakala Rahayu hanya bekerja sebagai pembantu di kedai perabot milik sepupunya, Jazlan. Sikap Rahayu berubah sejak bekerja di kedai perabot itu. Hubungan Rahayu dengan Jazlan juga kian rapat sejak Sazali melanjutkan pelajaran di universiti. Jazlan, lelaki yang mahu dijodohkan oleh ayah Rahayu dengan kakaknya, akhirnya menjadi suami Rahayu yang sah. Lebih menyentuh perasaan, tarikh perkahwinan Rahayu dan Jazlan sama dengan hari konvokesyen Sazali di universiti. Walaupun masih ada rindu yang bersarang, Sazali tetap datang pada majlis perkahwinan Rahayu bagi mengucapkan tahniah kepada cinta pertamanya. Rahayu tetap bertahta di hati Sazali. Manusia hanya mampu merancang, Tuhan jua menentukannya... akhirnya wanita bertudung labuh yang pernah ditemui dalam mimpinya selepas melakukan solat istikharah, menjadi permaisurinya. Siapakah wanita yang berjaya membuka kembali pintu hati Sazali yang sudah terluka pada cinta pertamanya? Hanya Tuhan yang Tahu… jodoh pertemuan atas kehendak-Nya.
Soalan cepu emas: Wajarkah ditulis novel kedua untuk kesinambungan cerita ini?


Sesi dialog penulis bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia iaitu Yang Berbahagia Encik Raslin Bin Abu Bakar telah diadakan pada hari Khamis 12 Mac 2009. Kebanyakan penulis terdiri daripada mereka yang bukunya telah dibeli melalui pembelian terus PNM pada tahun 2007 atau 2008. Saya juga telah dijemput kerana novel saya iaitu Hanya Tuhan Yang Tahu terbitan PTS pada 2008 telah dibeli oleh PNM, macam dapat durian runtuh. Banyak input berguna ketika sesi dialog berlangsung. Kalau mikropon itu ada 10, kesepuluh-sepuluh mikropon akan digunakan. Pendek kata semua berebut-rebut hendak bertanya atau kemukakan pendapat tentang itu dan ini. Tapi hampir kesemua memulakan bicara dengan "Terima kasih kepada PNM kerana memilih buku saya...." Terima kasih banyak kepada barisan kepimpinan PNM yang mengadakan sesi dialog ini.
Tip berguna jikalau hendak dapatkan dana pembelian terus ini ialah,
a) buku itu untuk dibaca oleh masyarakat desa
b) bahasa yang digunakan haruslah baik
c) ilustrasi haruslah menarik
d) ada kualiti


Soalah cepu emas: Mengapakah dana pembelian terus ini penting kepada penulis?




11 March 2009

Assalamualaikum wbt.
Blog ini membicarakan dunia buku. Sebarang pendapat dan komentar boleh dikongsi bersama. Blog ini terbuka kepada mereka yang bergelar kanak-kanak, remaja, dewasa atau warga emas. Pasti anda punya pendapat atau komen. Tahukah anda pendapat anda itu amat bermakna buat tatapan semua? Mari kita berkongsi cerita. Tulisan ini hanya bersifat peribadi dan tidak mewakili sebarang institusi.