31 July 2011

Selamat Menyambut Ramadhan





AR telah mengikuti LDP di Hutan Rekreasi Sungai Udang, Melaka pada hari Sabtu. Kami telah meredah laluan di hutan sejauh 2.4km. Rupanya ada beratus nama pokok kayu balak yang kekadang kita sukar percaya bahawa itu nama pokok kayu balak. Antara nama pokok itu ialah petaling, antoi, kandis, kelat, nyatuh, keruing, kelulut, sentul, merbau, balau, bintangor, seraya dan seribu satu nama lagi. Pak Ahmad Tohari (penulis terbaik Indonesia 2008) menyatakan seseorang penulis novel harus sedar bahawa manusia tidak hidup keseorangan di dunia ini. Kita berkongsi ruang dengan makhluk Allah yang lain.
Salam ceria dan Selamat Menyambut Ramadhan Yang Mulia.

09 July 2011

Bengkel Penulisan MASTERA di Bogor

Bermula esok 10.7.2011 hingga 18.7.2011, AR akan berbengkel di Bogor Indonesia. Sudah lama AR mengidam untuk mengikuti bengkel MASTERA ini. Bengkel ini menghimpunkan penulis-penulis dari Negara Malaysia, Indonesia, Brunai dan Singapura. Peserta program ini terdiri daripada mereka yang novelnya pernah diterbitkan (syarat asas). Para peserta yang ingin memohon mengikuti bengkel ini juga dikehendakki menulis sebuah manuskrip novel yang belum pernah diterbitkan untuk dinilai oleh sebuah jawatankuasa penilai. Manuskrip itulah yang menentukan layak atau tidak seseorang itu mengikuti bengkel ini. Alhamdulillah AR terpilih melalui manuskrip novel berjudul "Tujuh Keturunan". Manuskrip ini nanti juga khabarnya akan diperdebatkan di dalam bengkel itu nanti dan setelah diedit maka manuskrip ini akan diterbitkan sebagai sebuah novel. Tujuan utama AR mengikuti bengkel itu dengan nawaitu untuk menimba ilmu pengetahuan. AR rasa walaupun sudah 7 buah novel AR diterbitkan namun masih banyak lagi yang ingin AR pelajari. Ilmu ini semakin banyak digali maka semakin banyak kita jumpa dan semakin kerdil kita di sisiNya.
Antara peserta dari Malaysia yang turut sama bersama AR nanti ialah nama-nama besar dalam bidang penulisan novel seperti Nisah Haron (peguam, penceramah bidang kreatif, cerpenis dan novelis yang tidak asing lagi di tanah air kita), Kusyairi (seorang guru MRSM di utara tanah air yang novelnya pernah memenangi suatu pertandingan menulis novel), Baharuddin Bekri (Bintang besar dari PTS), Hafizah (wartawan merangkap penulis novel dari Berita Harian), Arif (pensyarah bidang pendidikan kreatif UPSI yang sedang menyambung PhD di UM, juga seorang novelis) serta seorang penulis novel dari Jejari Seni. AR berharap AR akan memperoleh ilmu yang bermanfaat yang akan membantu AR untuk menulis novel yang lebih baik pada masa hadapan.