27 March 2020

Covid-19 dan PKP di Malaysia

Tiada sesiapa menyangka bahawa hal yang pada mulanya berlaku di Wuhan, Hubei China kini merebak dengan pantas ke seluruh dunia. Penyakit yang disangkakan terpencil yang berlaku waktu sambutan tahun baru cina pada bulan Februari kini dengan sekelip mata menular ke setiap ceruk rantau planet ini. Inilah dia kesan hebat globalisasi dan kesan daripada kecanggihan teknologi pengangkutan. Virus yang dipercayai bermula dari pasar makanan binatang eksotik di Wuhan dapat dibawa dengan mudah untuk disebarkan melalui sistem pengangkutan darat yang serba maju dengan keretapi lajunya, kapal terbang dan kapal laut. Usaha kerajaan China mengenakan perintah berkurung di Wuhan sebenarnya sudah agak terlambat kerana virus itu telah berjaya menyusup keluar akibat pergerakan warga China ke luar sempadan negara.
         Sehingga saat ini Malaysia mencatatkan 24 kematian dengan 2,031 sah positif, 1,792 dalam rawatan, 215 sembuh. Manakala di seluruh dunia terdapat setengah juta manusia yang positif jangkitan Covid-19.  Itali menunjukkan kes kematian paling tinggi iaitu 8,125 mangsa diikuti Sepanyol 4,154 kematian diikuti China 3, 169. AS juga terkesan dengan 1,178 kes kematian akibat Covid-19 setakat ini. Jumlah ini dijangkakan akan menjadi berganda dalam tempoh beberapa minggu jikalau usaha yang berkesan tidak dapat dilakukan.

       Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 14 April.  Usaha ini dilaksanakan untuk memutuskan rantaian penyebaran virus yang dilihat begitu sukar untuk dihapuskan. Cara yang agak berkesan ini dilaksanakan dengan memastikan semua penduduk Malaysia berada di rumah/kediaman masing-masing sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Kejayaan  kerajaan dalam menghapuskan Virus Covic 19 ini terletak sepenuhnya atas kerjasama penduduk Malaysia dalam mematuhi perintah PKP ini. Hari ini hari Jumaat...sekali lagi AR tidak dapat melaksanakan sembahyang Jumaat di masjid gara-gara Covid 19. Tidak mustahil sambutan hari raya aidilfitri juga tidak dapat dilaksanakan tahun ini sekiranya Covid-19 masih mengganas lagi. Sama-samalah kita menyokong usaha kerajaan ini dengan terus berada di rumah sewaktu PKP ini dilaksanakan.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.

05 February 2020

Taiwan

Pada cuti bulan Disember 2019, AR telah berkunjung ke Taiwan selama 9 hari. Ada apa di Taiwan? Mungkin Taiwan agak asing pada kebanyakan orang Malaysia, Taiwan dikaitkan dengan China dan pastinya kebanyakan yang melancong ke Taiwan ialah orang cina. Ternyata apabila AR ke sana ada beberapa perkara yang menarik perhatian AR. Biarpun Taiwan tidak semaju Korea atau Jepun namun Taiwan ada kelasnya yang tersendiri. Di Taiwan, AR berkesempatan menaiki paragliding....Malaysia pun ada juga aktiviti paragliding ini. Tapi Taiwan agak luarbiasa sedikit kerana mungkin faktor pemandangannya. Biarpun Taiwan agak maju berbanding Malaysia namun jarang kita boleh jumpa rakyatnya yang boleh bertutur bahasa Inggeris. Jadi fikir-fikirkanlah soal kita hendak menyanjung tinggi bahasa Inggeris sedangkan sudah terbukti itu bukan penentu ke arah negara maju. Bagi pencinta seni, Taiwan adalah tempat yang wajib dikunjungi.
Mercu tanda Taiwan di Taipei iaitu Taipei 101. Jikalau Kuala Lumpur yang megah dengan Menara Berkembar Petronas, di Taiwan pula kemegahannya ialah bangunan Taipei 101.
Taiwan dikelilingi oleh lautan. Gambar ini diambil sewaktu AR dalam perjalanan ke kawasan hutan simpan yang terdapat di Taiwan.
Huashan 1904 & Creative Park. Kawasan ini diselenggarakan oleh Taiwan Cultural & Creativity Development Foundation. Bayangkan kawasan bangunan merah di Banda Hilir Melaka dan setiap bangunan itu diusaha oleh anak muda yang mencipta pelbagai hasil seni yang kreatif dan mampu dijual ke serata dunia. Konvensyen dan perkumpulan seni juga dibuat di sini.
Shakadang River  di Taroko National Park. Kawasan hutan simpan yang wajib dikunjungi jikalau ke Taiwan.
Tempat AR duduk minum kopi sambil menikmati pemandangan di kawasan Taipei. Boleh bebas berfikir tanpa gangguan. 
Kawasan Taipei lama. Bangunannya pun sudah menggambarkan betapa lamanya kawasan ini.
Taiwan terkenal dengan kopinya. Pemandangan sebuah kedai kopi dengan deko yang sungguh menarik. Terasa nak buka sebuah kedai kopi macam ni di Malaysia. Jikalau kita dapat mengopi sekali ok tak?