28 March 2010

Kenapa Jutawan 3-R?





Sewaktu berada di pentas aktiviti PTS PBKL 2010, seorang pembeli membeli buku untuk cucunya. Pembeli ini merupakan salah seorang TNC sebuah universiti. Sementara menunggu untuk mendapatkan autograf AR untuk buku cucunya sempat juga telinga AR mendengar ngomelannya iaitu bagaimana dapat idea untuk menulis kerana pelajarnya banyak yang ambil kursus sastera tetapi tidak mampu menulis. Terus terang AR mengatakan iaitu AR sendiri mengambil minor sastera di UPM dahulu tetapi mengambil masa yang lama iaitu 10 tahun sebelum AR dapat menerbitkan sebuah novel selepas bergraduat. Antara faktor yang dikenalpasti oleh AR ialah,
1. ketiadaan keyakinan untuk menulis (bolehkah novel kita diterima oleh khalayak pembaca).
2. tidak tahu ke mana hendak dihantar manuskrip.
3. bagaimana hendak mulakan proses menulis (tulis lengkapkah? Tulis sikitkah? Ilustrasi bagaimana?)
4. bayarannya bagaimana?
5. tidak kena tipukah nanti dek penerbit?

Nanti kita akan bincangkan bagaimana proses menulis itu sehingga lengkap menjadi sebuah novel.

Hendak cari idea untuk menulis? Cuba lihat gambar pemandangan yang AR ambil dari sebuah hotel di ibu kota. Apakah cetusan idea yang terbit di fikiran anda apabila melihat gambar pemandangan ini?

27 March 2010

Cit Cat PBKL 2010 Bersama AR

Alhamdulillah, diberikan ruang sekali lagi untuk AR berucap di pentas. Ahad(21.3.2010) AR telah diberikan slot oleh PTS dan semalam sekali lagi AR diberikan peluang untuk berucap. AR sebenarnya teruja untuk melihat novel Jutawan 3-R. Jutawan 3-R pagi Jumaat baru berada di booth PTS (baru keluar dari stor PTS). Petang jam 3-6, AR cuba promosikan dalam Program Cit Cat Bersama A Razak Adam di pentas PTS. AR digandingkan dengan Tuan Syarifuddin yang menulis 'Geng Genius' dan dipengerusikan oleh Tuan Syafiq. Cuba lihat cover Jutawan 3-R cantik tak? Sebenarnya jikalau lihat melalui skrin komputer mungkin tidak perasan perbezaannya. Cover itu sebenarnya ada 'die cut' yang menunjukkan fungsi warna pada tong kitar semula. Bahagian cover kulit belakang punya penanda buku bermotif 'selamatkan bumi kita'. Jikalau anda berpeluang ke pesta buku di PWTC cubalah lihat cover terbaru ini sebab di kedai buku lain masih belum dipamer lagi novel Jutawan 3-R.

25 March 2010

Sumpahan Akibat Membaca



“Saya tiada masa untuk membaca!”
Itulah ayat yang selalu diucapkan. Itulah benteng yang selalu digunakan untuk menyelamatkan diri apabila soalan itu diajukan. Sebenarnya masa yang diberikan oleh Allah S.W.T selama 24 jam khusus untuk semua manusia. Kitalah yang menjadi pengurus masa itu. Sebagai pengurus masa maka kita menentukan apakah yang perlu diisikan sepanjang 24 jam. Membaca buku tidak semestinya harus dihabiskan sekali gus. Kita boleh membaca buku secara berperingkat-peringkat sama ada mengikut bab atau mengikut kesesuaian masa kita.
Sepanjang 6 hari berada di Indonesia, AR sempat menghabiskan 2 buah novel iaitu Bidadari Paderi dan Hafazan Doa Delilah. Gambar menunjukkan AR sedang membaca buku sewaktu berada di Lapangan Terbang Adi Sugipto, Jogjakarta. Biarpun sibuk dengan tugas sepanjang berada di sana tetapi AR tetap membawa novel. Walaupun dapat membaca 2 muka surat pada satu-satu waktu tetapi itu merupakan suatu kejayaan dalam proses pembacan pada pendapat AR (terutama dalam kesibukan bekerja). Novel Bidadari Paderi mengisahkan perjuangan kaum pribumi Indonesia di Kawasan Padang menentang penjajah Belanda (kebetulan televisyen Indonesia sibuk menyiarkan berita tentang pembunuhan pengganas di kawasan Aceh) sekitar tahun 1880. Novel Hafazan Doa Delilah membawa kita menyelami kesedihan dan penderitaan seorang kanak-kanak bernama Delilah yang kematian seluruh keluarga kecuali ayahnya dalam malapetaka tsunami yang melanda Aceh. Novel ini cuba mendidik kita untuk bersikap ikhlas dalam setiap perbuatan. Amat bagus sekiranya anak-anak kita dapat membaca novel ini.
Apa kaitannya dengan sumpahan akibat membaca? Usai membaca novel ini maka AR berada di dalam kecelaruan untuk meneruskan proses menulis novel (sekarang sedang menulis novel ke-8). Ini kerana apabila kita membaca novel lain sewaktu sedang menulis novel maka secara tidak langsung ini akan menyebabkan wujud suara-suara waswas. Bagaimana untuk atasi masalah ini? Adakah anda bersetuju dengan pendapat AR ini?

22 March 2010

Gambar Sekitar Cit Cat Bersama AR Di PWTC






Alhamdulillah program AR di Pesta Buku Kuala Lumpur 2010 anjuran PTS telah berjaya mencapai matlamatnya. Sekali pegang microphone terus tidak mahu lepaskan (biasalah sebab sudah tugasnya begitu). Sempat juga AR bisik kepada Tuan Aizat iaitu tidak cukup masa sejam. Kepada adik-adik dan kakak-kakak Sofea Hanis, Abidah, Noor Fadzilah, Syazwan Wafiy, Asfarina, Nusaibah dan ramai lagi itu AR ingin ucapkan terima kasih kerana sudi mendapatkan autograf AR. Cantik tidak hadiah dari Indonesia itu? AR akan cuba menjawab beberapa pertanyaan daripada pembeli yang tidak sempat AR jawab kerana kesuntukan masa di boot serta diakibatkan oleh ramainya pembeli yang menunggu untuk mendapatkan autograf.Kepada yang lain-lain usah menunggu lagimarilah kita beramai-ramai mengunjungi Pesta Buku Kuala Lumpur 2010.

18 March 2010

Khabar Dari Jogja




"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri," itulah gambaran yang bertepatan sekali untuk catatan sepanjang perjalanan ke Pulau Jawa. Sewaktu dalam kapal terbang untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, AR sempat berbual dengan Mr Jean yang duduk di sebelah AR. Mr Jean berasal dari Perancis dan rumahnya dekat sempadan Jerman dan Swizerland. Dia menghabiskan masa 3 bulan melawat Indonesia(terpaksa ke KL untuk hidupkan visa). Negara Indonesia punya sumber alam yang banyak katanya. Ada minyak, gas, kayu balak, keindahan alam yang memukau pelancong tetapi sayang korupsi terlalu berleluasa. Dia kata tidak wajar rakyat Indonesia menjadi miskin dan ini katanya berpunca daripada sistem pendidikan yang tidak sempurna. Ibu bapa terpaksa membayar yuran untuk hantar anak ke sekolah. Untuk mendapatkan rawatan asas juga anda perlu membayar...tiada yang gratis. Akhirnya rakyat biasa menderita. AR sendiri sebenarnya sebak melihatkan pengemis yang meminta-minta. Ada yang menggunakan anak kecil, memetik gitar di tepi jalan, terpaksa menari di lampu isyarat semata-mata untuk mengemis. AR rasa inilah bahananya apabila kita menggunakan slogan bangsa untuk perjuangan. Perkara ini tidak mungkin terjadi apabila kita gunakan slogan agama. Kemunduran yang kita kecapi mungkin akibat terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh penjajah (Malaysia dijajah oleh Inggeris manakala Indonesia dijajah oleh Belanda). Kita tiada kesatuan kerana pelbagai bangsa tetapi apabila kita berjuang atas nama agama maka di situlah letaknya kekuatan kita. Syyyy nanti orang tuduh kita ekstrem (eh ekstrem itu bukankah daripada bahasa Inggeris.....laa kena jajah lagi).

12 March 2010

Gempak Pesta Buku KL Bersama AR



Inilah wajah terbaru cover Novel Jutawan 3-R (lebih kurang).InsyaAllah akan siap menjelang Pesta Buku Kuala Lumpur 2010 nanti.Hendak tahu novel ini berkenaan apa? Jumpa anda di sana nanti. Jadual untuk AR juga sudah diubah. Tarikh terbaru ialah:

Tarikh : 21 hb Mac 2010 (Ahad)
Masa : 5.00 - 6.00 petang
Tempat : Boot PTS


Jangan lupa jumpa AR pada tarikh di atas. Pelbagai hadiah menarik disediakan maklumlah AR baru balik dari Indonesia (sah untuk hari dan masa itu sahaja).

09 March 2010

Cuti Sekolah Datang Lagi





Cuti sekolah akan bermula lagi. Kali ini sekolah akan mula bercuti pada 13-21 hb Mac 2010. Pada musim cuti sekolah ini AR akan menghabiskan ¾ cuti di Indonesia. AR akan bertolak ke Jogjakarta pada 13 hb Mac 2010. Pemergian kali ini bukanlah bersama seluruh ahli keluarga kerana ada misi yang perlu dilaksanakan. AR akan menjadi seperti saudagar-saudagar Melayu abad ke-15 dahulu. Jikalau dahulu saudagar-saudagar kita menaiki kapal laut untuk berdagang dengan kerajaan Melayu Majapahit tapi kali ini AR akan naik kapal terbang Airasia(Kerajaan Majapahit pun sudah tidak ada lagi). Dari Jogjakarta, AR akan menaiki kenderaan (bas pesiaran atau kereta) menuju ke Jerpara yang letaknya lebih kurang 400 km. Perjalanannya mungkin ambil masa enam jam sebelum sampai ke kota itu. AR punya misi untuk mencari barang-barang berupa perabot jati, perabot rotan dan barang-barang antik di sana. AR akan berada di sana sehingga hari Khamis. Pengangkutan balik barang-barang itu akan diusahakan dengan menggunakan kontena. Biasanya barang-barang itu diuruskan menggunakan pelabuhan Surabaya sebelum sampai ke pelabuhan Kelang. Esoknya iaitu pada hari Jumaat 19 hb Mac 2010, AR akan membawa keluarga ke Tiara Beach Resort di PD. Biarlah ada masa bersama keluarga. Bukankah keluarga itu aset berharga kita? Dalam masa yang sama AR juga kena siapkan sebuah novel lagi. Kini sudah hampir 45% siap. Editor juga sudah beberapa kali email. Harap-harap sebelum Mei ini, novel itu akan siap. Selepas cuti ada tugas yang lebih mencabar perlu dilaksanakan oleh AR iaitu memenuhi undangan ke Pesta Buku Kuala Lumpur 2010. Jadual yang diberi oleh PTS ialah pada hari Isnin (22 hb Mac 2010) 3.00-4.00 petang. Mungkin AR terpaksa minta jadual itu diubah kepada Jumaat, Sabtu atau pun Ahad. Harap-harap pihak PTS benarkan. Kepada pembaca blog ini diharapkan dapat mengikuti perkembangan terkini aktiviti AR di gerai PTS nanti.Apa program anda pada masa cuti sekolah ini?

07 March 2010

Karya Dan Mencari Imej Kita






Apakah yang ingin ditulis? Itulah yang sering bermain di fikiran penulis. Jikalau mengajar murid kita menulis karangan maka yang pasti akan ada permintaan....cikgu bagaimana hendak memulakan ayat pertama? Tapi untuk penulisan novel maka perlu ada sesuatu untuk dipersembahkan. Negara kita punya penggiat seni tetapi kita tidak sampai hatta untuk duduk di tangga penerima hadiah nobel, oskar dan penerima anugerah antarabangsa yang lain. Kenapakah hal ini terjadi? AR pernah berdebat mengenai isu ini dalam perjumpaan dengan penerbit. Memanglah alasannya ialah bisnes. Rakyat Malaysia masih lagi ingin membaca novel cinta dan tidak mahu membaca karya yang berat-berat. Karya sastera yang berat berapa orang sangatlah yang membacanya. Jikalau diterbitkan karya berat ini maka penerbit akan rugi. Itulah masalahnya. Kita ingin menulis tentang apa? Akhirnya pi mai pi mai tang tu jugak! Sebenarnya negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia punya khazanah berharga untuk dipersembahkan kepada masyarakat antarabangsa. Kita usah meniru tetapi kita bangunkan imej Malaysia. Kita pupuk rasa bangga dalam jiwa anak bangsa kita akan imej Malaysia ini. Kita masukkan dalam cerita kita akan imej-imej Malaysia yang sebenarnya. Dengan cara ini maka AR percaya kita akan dapat pengiktirafan antarabangsa. Ada juga yang mengatakan iaitu patutkah kita masukkan tentang pawang dan kepercayaan tahyul dalam karya kita? Jawapan AR ialah benda-benda ini boleh diolah dan penulis yang pandai akan dapat membawa pembaca merasai akan bahayanya kepercayaan ini dan kebenaran akhirnya akan menang.Sebenarnya itulah alam kita dan itulah yang masyarakat kita gelumangkan sekian lama maka wajarkah imej-imej ini dipadamkan atau sengaja dipadamkan? Jikalau kita padamkan imej-imej ini maka akhirnya kita juga yang akan rugi. Dan sepuluh tahun lagi kita juga akan mendengar rungutan yang sama...kenapa karya seni kita tidak dapat pengiktirafan antarabangsa?

06 March 2010

Biawak Kg Morten Tarikan Terbaru Melaka





Pada 5 hb Mac 2010, seramai 35 orang ahli KEMUDI telah mengadakan lawatan ke negeri Melaka. Persatuan Penulis Melaka(PENAMA) telah menggalas tugas untuk menyambut kedatangan ahli KEMUDI.YB Datuk Wira Othman Mohammad iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka selaku Ketua 1 PENAMA telah menyambut kedatangan ahli KEMUDI. AR telah dipelawa untuk hadir sama memeriahkan majlis ini. Kami telah dibawa menaiki bot untuk menyusuri sungai Melaka dengan ditaja oleh Perbadanan Sungai @ Pantai Negeri Melaka (CEO nya juga turut sama memeriahkan majlis ini). Majlis berlangsung dari jam 8.30 hingga 12.00 malam. Persembahan deklamasi sajak bertemakan "Sungai Melaka" daripada ahli kedua-dua persatuan turut memeriahkan majlis ini yang diadakan di pinggiran sungai Melaka.
Apa kaitannya dengan biawak? Sebenarnya kebanyakan pelancong luar negara seperti UK, Belanda, Turki, Arab dan Singapura begitu tertarik untuk melihat biawak. Menyedari tarikan terbaru ini maka timbul idea untuk menjadikannya sebagai suatu tarikan pelancongan. Orang tempatan menganggap biawak sebagai binatang yang menjijikkan tetapi pelancong sanggup menyusuri sungai Melaka untuk melihat biawak . Biawak di sungai ini sebenarnya dibela dengan diberi makan ayam. Biawak ini kebanyakannya dapat dilihat bertentangan dengan kampung Morten (atas pokok bakau yang ditanam di tepi sungai Melaka) atau di sepanjang Sungai Melaka. AR pernah pergi ke Pulau Tioman. Alkisahnya sedang AR berjalan-jalan di tepi anak sungai di Pulau Tioman itu sekumpulan pelancong Singapura menjerit-jerit sambil menunjukkan sesuatu di dalam sungai. Jeritannya seolah-olah mereka nampak rasaksa..... rupa-rupanya seekor biawak!