07 March 2010
Karya Dan Mencari Imej Kita
Apakah yang ingin ditulis? Itulah yang sering bermain di fikiran penulis. Jikalau mengajar murid kita menulis karangan maka yang pasti akan ada permintaan....cikgu bagaimana hendak memulakan ayat pertama? Tapi untuk penulisan novel maka perlu ada sesuatu untuk dipersembahkan. Negara kita punya penggiat seni tetapi kita tidak sampai hatta untuk duduk di tangga penerima hadiah nobel, oskar dan penerima anugerah antarabangsa yang lain. Kenapakah hal ini terjadi? AR pernah berdebat mengenai isu ini dalam perjumpaan dengan penerbit. Memanglah alasannya ialah bisnes. Rakyat Malaysia masih lagi ingin membaca novel cinta dan tidak mahu membaca karya yang berat-berat. Karya sastera yang berat berapa orang sangatlah yang membacanya. Jikalau diterbitkan karya berat ini maka penerbit akan rugi. Itulah masalahnya. Kita ingin menulis tentang apa? Akhirnya pi mai pi mai tang tu jugak! Sebenarnya negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia punya khazanah berharga untuk dipersembahkan kepada masyarakat antarabangsa. Kita usah meniru tetapi kita bangunkan imej Malaysia. Kita pupuk rasa bangga dalam jiwa anak bangsa kita akan imej Malaysia ini. Kita masukkan dalam cerita kita akan imej-imej Malaysia yang sebenarnya. Dengan cara ini maka AR percaya kita akan dapat pengiktirafan antarabangsa. Ada juga yang mengatakan iaitu patutkah kita masukkan tentang pawang dan kepercayaan tahyul dalam karya kita? Jawapan AR ialah benda-benda ini boleh diolah dan penulis yang pandai akan dapat membawa pembaca merasai akan bahayanya kepercayaan ini dan kebenaran akhirnya akan menang.Sebenarnya itulah alam kita dan itulah yang masyarakat kita gelumangkan sekian lama maka wajarkah imej-imej ini dipadamkan atau sengaja dipadamkan? Jikalau kita padamkan imej-imej ini maka akhirnya kita juga yang akan rugi. Dan sepuluh tahun lagi kita juga akan mendengar rungutan yang sama...kenapa karya seni kita tidak dapat pengiktirafan antarabangsa?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment