09 February 2013

Aku Pilih Arang...


Inilah sajak AR yang telah diterima untuk Pertemuan Penyair Nusantara di Jambi yang berlangsung bulan Disember 2012. Sajak ini terpilih dari kalangan 7000 sajak yang dihantar  oleh peserta dalam kalangan alam nusantara. Sajak ini juga telah dibukukan dalam sebuah antologi. Sebenarnya jikalau kita prihatin dengan apa jua peristiwa atau permasalahan yang berlaku di sekeliling kita maka itu boleh kita jadikan sebagai suatu titik tolak untuk kita cipta sebuah sajak, cerpen atau novel. Selamat mencuba.
 
 
AKU PILIH ARANG YANG MENGHITAM
 
Aku tak tersalah pilih
pada arang yang menghitam
atau pada hempedu yang pahit
kerana aku tahu pilihanku.
 
“Arang itu hitam”
dan mukaku yang bakal sebegini berbeza
akan ditempelak sawo matang
aku tak memilih putih yang memucat
kerna
Bu Karti bisa saja duduk lenang di istana
Jose Rizal mampu lena di kerusi empuk pemerintah
Tok Janggut juga boleh membilang tasbih seupaya.
 
“Jikalau runtuh Si Gunung Ledang”
usah kau cari aku si gelandangan
aku hanya Si Kitul yang menajamkan mata lembing
aku hanya meminjam Taming Sari Si Tuah
aku hanya mengungkap kata-kata Soekarno
aku hanya menari mengikut Rentap
aku adalah aku
dan aku hanya si sawo matang yang meminjam azimat khazanah alamku.
 
“Jikalau mukaku hitam”
aku rela dipersalah
pundakku sedia memikul Karakatau yang menjulang
aku si sawo matang yang tak tahu malu
yang cuba menetak angin dengan buluh perindu
yang cuba melarik air dengan tiupan semangat juang
yang cuba melekatkan peta bangsaku dengan angan-angan tak sudah
namun aku seyakin Tok Janggut
yang rela bermandi darah
mayatku rela untuk disalai buat tatapan
kerana aku tahu
Si kitul itu bisa saja merobah sejarah bangsa
daripada berpeluk tubuh menanti bulan jatuh ke riba.
 
“Jikalau roboh Kota Melaka”
usah cucuku untuk aku dipersalah
aku tidak memilih putih yang memucat
aku bukan si tukang sorak
aku cuma ada pena yang melarik aksara
sekadar pengingat setia
pada daulat
pada wilayah yang terhormat
pada sawo matang yang menunduk sekian lama
pada si miskin yang meminta-minta
pada anak bangsaku yang resah
 meniti hari siang yang panjang
resah pada meresah yang tak kunjung padam
dan takut pada telaga mengering sebelum tiba musim hujan.
 
“Kiamat belum datang lagi”
perjalanan belum sampai ke jalan mati
dan bangsaku hanya mampu menginjak ke atas busut
sedang Apollo sudah lama menginjak bulan
lihat,  mereka masih mencakar busut
yang diinjak sesama sendiri.
 
“Biarlah aku memilih arang yang menghitam”
 
25 hb ogos 2012
 

 
 

 

 

 

06 February 2013

Peluang Keemasan Buat Penulis Muda

Tawaran Menyertai Kembara Penulis Muda ke United Kingdom

10 Mar 2013 - London, United Kingdom Tawaran Menyertai Kembara Penulis Muda ke United Kingdom

SIARAN MEDIA

TAWARAN MENYERTAI KEMBARA PENULIS MUDA KE UNITED KINGDOM

Program 
Kembara Penulis Muda Ke United Kingdom
Tarikh 
10-19 Mac 2013
Lokasi 
Sekitar Kota London, United Kingdom
Penganjur 
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Latar Belakang 
Kembara Penulis Muda Ke United Kingdom yang akan diadakan pada Mac 2013 merupakan sebuah projek nasional bagi “membuka horizon minda” penulis muda melihat perkembangan dan situasi bidang penulisan serta kesusasteraan di dunia luar. Program ini penting bagi mengembangkan bakat penulisan melalui rakaman serta catatan yang diperoleh hasil daripada pandangan tentang kaedah serta apresiasi masyarakat luar terhadap bidang kebudayaan dan kesusasteraan.

Program ini akan dikendalikan oleh fasilitator yang dilantik oleh ITBM dan PENA, iaitu Encik Wan Ahmad Hulaimi bin Wan Mohd Ali atau juga dikenal sebagai Awang Goneng. Beliau yang menetap di London mempunyai pengalaman luas dalam bidang penulisan khususnya melalui penerbitan buku, media cetak dan juga media elektronik (blog).

Dalam program kembara penulis ini, peserta akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain yang pastinya turut menggerakkan secara aktif pada fizikal dan minda. Pengembaraan ini akan menghidangkan pemandangan baharu; pemandangan baharu di hadapan peserta serta di dalam diri mereka. Secara tidak langsung, pengembaraan ini akan membuka kepada penerokaan kata-kata yang baharu – yang diharapkan akan mengubah diri peserta dari segi penglihatan, pemikiran, penulisan, dan perjalanan hidup.
Peserta Kembara 
Kaedah pemilihan peserta adalah seperti berikut:
-        Remaja warganegara Malaysia yang berusia antara 17-30 tahun.
-        Peserta terbuka kepada 10 orang penulis muda yang telah terbukti kemampuannya menghasilkan tulisan yang baik. Peserta boleh terdiri daripada penulis sastera dan penulis ilmiah atau biografi (puisi, cerpen, novel, dan umum). Tidak hanya terhad kepada penulis kreatif.
-        Pernah menghasilkan karya yang disiarkan dalam mana-mana penerbitan. Salinan karya yang tersiar itu perlu diberikan kepada pihak ITBM untuk penilaian.
-        Peserta mampu memberikan komitmen untuk menghasilkan karya penulisan dalam tempoh masa 12 bulan selepas menyertai projek kembara ini.
-        Perlu lulus ujian dan temu duga yang dijalankan oleh ITBM.
-        Terhad kepada 10 peserta yang ditanggung sepenuhnya pengangkutan (kapal terbang Kuala Lumpur-London-Kuala Lumpur), penginapan di London dan makan minum (tidak termasuk perbelanjaan duit saku).
Cara Permohonan 
-        Permohonan boleh dibuat dengan memuat turun borang permohonan di laman sesawang www.itbm.com.my. (klik format word) (klik format PDF)
-        Tarikh tutup permohonan Kembara Penulis Muda Ke United Kingdom pada 13 Februari 2013.


Sumber : ITBM