28 March 2009

Novel Cinta Islami nampaknya semakin diterima oleh khalayak pembaca. Novel Cinta Islami merupakan pesaing kepada Novel Cinta Popular sekarang ini. Taufik Rahman yang menulis Novel Munajat Cinta (tengah ngetop sekarang ini) menyatakan Novel Cinta Popular sudah mula meresap ke dalam jiwa anak-anak di kota, bandar dan di desa. Ini amat merugikan kita kerana ia mampu merosakkan jiwa anak-anak kita. Oleh itu menjadi tanggungjawab kepada penulis islam untuk menghasilkan novel cinta yang mampu memandu remaja kita ke jalan Islam yang sebenarnya. Novel Hanya Tuhan Yang Tahu layakkah digelar Novel Cinta Islami?

27 March 2009

Peserta cilik yang masuk pertandingan lakonan. Ini skrin test untuk drama terbaru ke?
Bukan main lagi cik adik melukis... susah benar nak cari pemenang. Semuanya pelukis handalan.


Antara peserta yang menghadiri majlis book talk di Bangunan Tabung Haji, Masjid Tanah.


22 March 2009

Sesi Bicara Buku.
Alhamdulillah sesi ini telah selamat diadakan pada hari Jumaat 20/3/2009 di Literasi Desa, Bangunan Tabung Haji Masjid Tanah. Ramai yang hadir, saya minta maaf kerana ramai yang terpaksa berdiri mendengar celoteh saya. Gambar-gambarnya nanti saya akan sertakan. Bateri Kamera habis jadi terpaksa pinjam gambar Pengurus Literasi Desa iaitu Kak Azmi Talib. Kak Azmi janji hendak beri pada hari Isnin.
Antara tetamu yang hadir ialah Pengurus Rumah Anak-Anak Yatim Payasum, Pengurus Tabung Haji Masjid Tanah dan Pengurus Bank Islam Cawangan Masjid Tanah iaitu Tn Hj Kamarun Hamidy Ahmad. Tn Hj Kamarun amat menyokong kuat program ini kerana ini merupakan majlis ilmu. Beliau amat menyokong agar usaha ini diteruskan. Alhamdulillah terima kasih daun keladi, kalau ada dana kita akan buat lagi.... .
Pertandingan lakonan petikan Homestay Bayu telah dimasuki oleh peserta yang malu-malu kucing, tapi jangan tak tahu ramai adik-adik yang punya bakat terpendam.
Acara mewarna juga tidak kurang hebatnya. Di dalam acara inilah hilang malu-malu kucingnya. Ohh adik-adik kita ini kalau melukis semua hendak masuk tapi jikalau disuruh bercakap aduhhhh......... susahnya. Gambar aktiviti ini akan saya masukkan nanti.
Terima kasih kepada semua tetamu dan mereka yang hadir terutama mereka yang dari Johor Bharu yang sanggup datang sejauh itu untuk mengikuti acara bicara buku saya.

19 March 2009

Makluman
Bicara Buku oleh A Razak Adam dengan kerjasama Literasi Desa
Tarikh: 20 Mac 2009(Jumaat)
Masa: 2.30-4.00 ptg
Tempat: Bangunan Tabung Haji, Masjid Tanah, Melaka.
Acara:
1. Bicara Buku Terbaru A Razak Adam
2. Mewarna(<12 Tahun)
3. Sketsa(>12 Tahun)
4. Soal jawab
Hadiah disediakan.
Semua dijemput hadir.


Kelmarin saya baru balik dari Indonesia. Antara tempat yang disinggahi ialah Masjid Agung Demak. Masjid ini menyimpan seribu satu macam keistimewaan. Istimewanya kepada penulis hanyalah satu iaitu di Demak inilah bermulanya Kerajaan Islam terawal di Indonesia. Tiba di LCCT seorang tua dari Kota Bharu berbual dengan saya. Pakcik ini kata masjid ini keramat. Benarkah begitu?Pakcik jangan kita mewajarkan bidaah. Usah kita agungkan kesesatan. Sejarah tetap satu sejarah.

14 March 2009

Sinopsis Novel Hanya Tuhan Yang Tahu
Sazali, insan cekal yang begitu setia dengan janjinya. Tidak hairanlah dia begitu setia pada cintanya. Rahayu, cinta pertama yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat. Mereka menjalinkan hubungan cinta sejak di bangku sekolah lagi. Sazali, ibarat obor yang sentiasa membakar semangat Rahayu supaya bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, cita-cita Rahayu mahu menjadi suri rumah apabila dewasa kelak membuatkannya tidak bersungguh-sungguh dalam pelajaran, termasuk peperiksaan SPM yang bakal menjelang. Akhirnya, Rahayu mendapat keputusan yang kurang baik dalam peperiksaan. Sazali berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti manakala Rahayu hanya bekerja sebagai pembantu di kedai perabot milik sepupunya, Jazlan. Sikap Rahayu berubah sejak bekerja di kedai perabot itu. Hubungan Rahayu dengan Jazlan juga kian rapat sejak Sazali melanjutkan pelajaran di universiti. Jazlan, lelaki yang mahu dijodohkan oleh ayah Rahayu dengan kakaknya, akhirnya menjadi suami Rahayu yang sah. Lebih menyentuh perasaan, tarikh perkahwinan Rahayu dan Jazlan sama dengan hari konvokesyen Sazali di universiti. Walaupun masih ada rindu yang bersarang, Sazali tetap datang pada majlis perkahwinan Rahayu bagi mengucapkan tahniah kepada cinta pertamanya. Rahayu tetap bertahta di hati Sazali. Manusia hanya mampu merancang, Tuhan jua menentukannya... akhirnya wanita bertudung labuh yang pernah ditemui dalam mimpinya selepas melakukan solat istikharah, menjadi permaisurinya. Siapakah wanita yang berjaya membuka kembali pintu hati Sazali yang sudah terluka pada cinta pertamanya? Hanya Tuhan yang Tahu… jodoh pertemuan atas kehendak-Nya.
Soalan cepu emas: Wajarkah ditulis novel kedua untuk kesinambungan cerita ini?


Sesi dialog penulis bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia iaitu Yang Berbahagia Encik Raslin Bin Abu Bakar telah diadakan pada hari Khamis 12 Mac 2009. Kebanyakan penulis terdiri daripada mereka yang bukunya telah dibeli melalui pembelian terus PNM pada tahun 2007 atau 2008. Saya juga telah dijemput kerana novel saya iaitu Hanya Tuhan Yang Tahu terbitan PTS pada 2008 telah dibeli oleh PNM, macam dapat durian runtuh. Banyak input berguna ketika sesi dialog berlangsung. Kalau mikropon itu ada 10, kesepuluh-sepuluh mikropon akan digunakan. Pendek kata semua berebut-rebut hendak bertanya atau kemukakan pendapat tentang itu dan ini. Tapi hampir kesemua memulakan bicara dengan "Terima kasih kepada PNM kerana memilih buku saya...." Terima kasih banyak kepada barisan kepimpinan PNM yang mengadakan sesi dialog ini.
Tip berguna jikalau hendak dapatkan dana pembelian terus ini ialah,
a) buku itu untuk dibaca oleh masyarakat desa
b) bahasa yang digunakan haruslah baik
c) ilustrasi haruslah menarik
d) ada kualiti


Soalah cepu emas: Mengapakah dana pembelian terus ini penting kepada penulis?




11 March 2009

Assalamualaikum wbt.
Blog ini membicarakan dunia buku. Sebarang pendapat dan komentar boleh dikongsi bersama. Blog ini terbuka kepada mereka yang bergelar kanak-kanak, remaja, dewasa atau warga emas. Pasti anda punya pendapat atau komen. Tahukah anda pendapat anda itu amat bermakna buat tatapan semua? Mari kita berkongsi cerita. Tulisan ini hanya bersifat peribadi dan tidak mewakili sebarang institusi.