25 January 2012

Peluang Merealisasikan Impian Anda Sebagai Penulis

Anda bukan seorang penulis selagi hasil penulisan anda belum diterbitkan. Anda bukan novelis jika novel anda belum pernah diterbitkan. Inilah peluang anda untuk merealisasikan impian anda itu.

Dr. Mat Saleeh Rahamad: Kerjasama Penerbitan Buku antara ITBM-PENA-PNB

Para penulis sekitar Lembah Kelang, Negeri Sembilan yang yang sesiapa sahaja yang sanggup datang ke PENA:

Pada 5 Februari 2012 akan diadakan satu bengkel dan taklimat penerbitan untuk mengumpulkan manuskrip asli dalam pelbagai genre untuk diterbitkan pada tahun ini. Waktunya jam 9.30 pagi.

Manuskrip ini terbuka kepada genre kreatif dan nonkreatif, bacaan pelbagai peringkat umur.

Manuskrip yang diterima untuk penilaian akan diterima dan dinilai mengikut tatacara yang lazim dalam dunia pernerbitan sebelum diterima untuk penerbitan.

Penerbit (ITBM) akan bekerja secara profesional dan akan berusaha memastikan karya yang berkualiti diterbitkan agar penerbitan ini akan diiktiraf oleh pelbagai pihak.

Penulis terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira had umur tetapi karya hendaklah dalam bahasa Melayu.

Anda dipersilakan membawa manuskrip masing-masing (pastikan anda menyimpan manuskrip penduanya kerana pihak kami tidak akan memulangkan manuskrip tersebut jika tidak lulus dalam penilaian).

Pihak urus setia akan menyediakan beberapa orang perunding dan fasilitator yang akan memberikan pandangan atau melayan sebarang pertanyaan.

Para penulis juga oleh datang dengan cadangan projek penulisan masing-masing. Manuskrip yang berjaya akan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Kadar royalti dan cara pemasaran juga akan dijelaskan pada majlis tersebut. Sila sebarkan maklumat ini tanpa perlu meminta izin daripada penulis.

(Presiden PENA)

22 January 2012

Berita Kemenangan AR Tersiar Dalam Utusan,MyMetro


20 JAN. 2012: Pemenang tempat kedua dan ketiga hadiah sastera berunsur Islam kategori cerpen, Abdul Razak Adam dan Amin Minhad (kiri) bersama pemenang tempat pertama dan kedua hadiah sastera kategori lirik lagu, Marini Azahri dan Siti Raihani Mohamed Saaid (kanan) pada majlis penyampaian hadiah sastera berunsur islam di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. - Utusan

Martabatkan sastera, semua pihak diseru bekerjasama - Jamil Khir
Oleh AZHARI ZAINOODDIN
KUALA LUMPUR 20 Jan. – Kerjasama pelbagai pihak dalam memartabatkan nilai sastera Melayu amat digalakkan bagi memastikan seni warisan bangsa itu dapat terus hidup dan dihayati.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu penting agar tujuan dan segala usaha untuk meningkatkan kualiti sastera dapat dilaksanakan.
Katanya, sudah menjadi hasrat kerajaan untuk menyebarluaskan bahasa dan sastera Melayu bukan hanya di persada tanah air tetapi hingga ke peringkat antarabangsa.
"Saya yakin bahasa tidak pernah menjadi penghalang kepada pensejagatan hasil karya sastera kita, jadi diharapkan agar usaha untuk memartabatkan seni warisan ini mendapat perhatian pelbagai pihak.
"Di samping itu, kita juga harus menghasilkan sesuatu karya bernilai tinggi yang mampu menarik perhatian pembaca seterusnya mencabar pemikiran," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-13 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Shabudin Yahaya.
Pertandingan Sastera Berunsur Islam mula dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Islam sejak tahun 1987 dan bagi tahun ini dua kategori dipertandingkan iaitu cerpen dan kategori baharu iaitu penulisan lirik lagu berunsurkan Islam.
Menyentuh kategori baharu tersebut, Jamil Khir berkata, sudah sampai masanya ia diperkenalkan kerana perkembangan dan pengaruh muzik begitu dekat dengan kehidupan masyarakat tempatan sejak dari dahulu lagi.
"Lihat sahaja bagaimana irama nasyid menjadi seni muzik yang sangat diminati dan berkembang dengan begitu pesat sekali.
“Jjadi, adalah wajar untuk kita meningkatkan kualiti nilai-nilai murni melalui lirik lagu agar dapat memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau turut berharap segala usaha dan matlamat penghasilan karya yang mempunyai nilai Islam seperti itu tidak mendatangkan prasangka buruk daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, juara kategori penulisan lirik lagu, Marini Azahri berkata, kemenangan itu menyuntik semangatnya untuk terus menghasilkan karya yang terbaik dan melangkah setapak ke hadapan untuk terjun ke bidang penciptaan lagu.
Marini menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan.
"Alhamdulillah, biarpun kemenangan ini tidak disangka, usaha saya mengkaji berkenaan sirah kerajaan Islam di zaman dahulu berjaya diterjemahkan melalui lirik yang dihasilkan," jelasnya yang merupakan Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Pelajaran.
Tempat kedua dan ketiga kategori itu dimenangi Siti Raihani Mohamed Saaid dan Fauziah Abd. Ralip. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000 dan RM1,000, plak serta sijil penghargaan.
Bagi kategori cerpen pula, ia dimenangi Zulkifli Hamisan @ Khair manakala tempat kedua dan ketiga (Abd. Razak Adam dan Amin Minhad).
Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000, RM4,000 dan RM3,000 bersama dengan plak dan sijil penghargaan.

17 January 2012

Sayembara Penulisan Novel, Cerpen Dan Sajak

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2012 – Sidang media ini merupakan tindakan susulan daripada ucapan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, semasa menyempurnakan perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga pada 16 Disember 2011. Dalam ucapan perasmian tersebut, Y.A.B. Dato’ Sri Najib mengumumkan peruntukan dana daripada Kerajaan sebanyak RM5 juta melalui Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi melaksanakan penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda dalam semua genre.
Susulan daripada pengumuman tersebut, ITNM sebagai sebuah institusi di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang bertanggungjawab melestarikan ilmu melalui penterjemahan, telah ditingkatluaskan peranannya untuk menerbitkan karya asli bagi membantu menggalakkan industri perbukuan negara selain dinaik taraf dengan nama dan penjenamaan baru, iaitu Institut Terjemahan & Buku Malaysia atau ITBM.
Y.A.B. Dato’ Sri Najib turut mengharapkan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dapat bertindak bersama-sama ITBM untuk menyaring serta memantau isi kandungan karya yang dihasilkan oleh penulis sebelum diterbitkan. Dalam masa yang sama, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) juga bersedia untuk membentuk kerjasama strategik bersama-sama ITBM dan PENA untuk menjayakan penerbitan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Bagi menjayakan kerjasama strategik ini, mekanisme penerbitan dan percetakan antara tiga agensi terbabit telah diatur supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik. ITBM akan bertindak sebagai penerbit yang akan turut melaksanakan proses pracetak manuskrip. Manakala pengurusan program latihan dan pembangunan penulisan, proses perolehan manuskrip baharu serta penilaian manuskrip akan dilaksanakan secara bersama ITBM dan PENA. PNMB pula akan menguruskan proses percetakan bagi memastikan tempoh masa dan proses rumit penerbitan buku dapat diatasi.
Hasil persetujuan kerjasama ketiga-tiga agensi terbabit, setiap manuskrip yang diterima dan menepati kualiti yang ditetapkan oleh panel penilai akan diproses sehingga siap diterbitkan dalam tempoh masa antara tiga hingga enam bulan – sebagaimana sasaran yang ditetapkan oleh Y.A.B. Dato’ Sri Najib. Bagi tahun 2012, sasaran sekurang-kurangnya 10 judul baru akan diterbitkan pada setiap bulan mulai bulan Jun. Manakala bermula tahun 2013, sekurang-kurangnya 20 judul baru disasarkan akan diterbitkan pada setiap bulan.
Sehubungan itu, ITBM akan meningkatkan usaha promosi dan pemasaran buku melalui media cetak dan elektronik serta laman sesawang, laman sosial Facebook dan Twitter termasuk pembelian buku di ecommerce@itnm.com.my. Penjualan buku di semua gedung buku di Malaysia akan dikembangluaskan bagi membantu pembaca yang lebih gemar membeli buku secara langsung mendapatkan buku hasil kerjasama ITBM, PENA dan PNMB ini.
Untuk penulis yang berminat menghantar manuskrip karya asli, sila kirimkan sinopsis, isi kandungan dan manuskrip ke buku@itbm.com.my atau buku@pena.com.my untuk tujuan penilaian Jawatankuasa Panel Penilai Buku.
Pengumuman Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian

Sayembara ini pertama kalinya akan dianjurkan bersama ITBM, PENA dan Berita Harian sebagai strategi pelaksanaan untuk membentuk penulis muda yang matang serta mapan, mampu menyumbang kepada pembangunan insaniah, dan membina interaksi yang bermanfaat antara penulis dengan pembaca. Terbahagi kepada tiga kategori, iaitu penulisan novel, cerpen dan puisi; sayembara ini terbuka kepada semua penulis muda tempatan di bawah umur 45 tahun, yang lahir pada tahun 1966.
Penulis yang menyertai sayembara penulisan novel dikehendaki menghasilkan karya sastera positif yang tidak ditetapkan had halaman muka surat. Tempoh masa satu (1) tahun diberikan bagi menghasilkan dan menghantar penyertaan sayembara penulisan novel ini. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Januari 2013.
Bagi kategori cerpen, setiap penulis terbuka untuk menghasilkan 10 karya dalam sebarang genre penulisan. Manakala kategori puisi pula, penulis dikehendaki menghasilkan 30 puisi yang tidak dihad jumlah panjang bagi setiap karya. Tempoh masa penghasilan dan penghantaran karya bagi kedua-dua kategori ini adalah dalam tempoh masa enam (6) bulan. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai 2012.
Peserta sayembara ini bebas menghantar seberapa banyak penyertaan. Bagaimanapun, setiap penyertaan hendaklah menggunakan judul dan isi kandungan yang berbeza. Sayembara ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM130,000 untuk pemenang, dan berikut adalah pecahannya:
Kategori Novel

Hadiah Pertama: 1 x RM15,000
Hadiah Kedua: 1 x RM12,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM9,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM3,000

Kategori Cerpen

Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000

Kategori Puisi

Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000

Dipetik dari web ITNM.

15 January 2012

Ingin Terbitkan Hasil Penulisan Anda Di DBP?

Tatacara untuk menghantar artikel, cerpen, esei, puisi atau bahan karya kreatif untuk majalah DBP
Penghantaran makalah, esei atau bahan karya kreatif boleh dihantar terus kepada editor majalah melalui e-mel.

Dewan Masyarakat: shukri_m@dbp.gov.my
Dewan Sastera: rozninah@dbp.gov.my
Dewan Ekonomi jun@dbp.gov.my
Dewan Bahasa zaidi_i@dbp.gov.my
Dewan Budaya mohidin@dbp.gov.my
Dewan Siswa yusaida@dbp.gov.my
Dewan Pelajar ghanig@dbp.gov.my
Dewan Kosmik syukri@dbp.gov.my
Pelita Bahasa armin@dbp.gov.my
Tunas Cipta arruslan@dbp.gov.my

Makalah yang bertaip bolehlah dihantar melalui faks 03-21484208 atau melalui alamat pos,

Bahagian Majalah, Tingkat 20,
Menara Dewan Bahasa,
Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur.
Untuk pos, sila sertakan surat iringan, 1 salinan manuskrip bersih – ada prakata, biodata penulis dan sertakan salinan lembut (softcopy). Karya hendaklah ditaip di atas kertas kuarto berwarna putih dan ditaip jarak langkau dua baris.
*dipetik dari laman web DBP

11 January 2012

Apakah Ramalan Pasaran Buku Malaysia


Buku kanak-kanak dan agama kekal beri keuntungan besar

BUKU kanak-kanak dan buku agama dijangka terus menjadi fenomena dalam industri penerbitan di Malaysia tahun ini, manakala novel cinta akan kekal memberi keuntungan kepada penerbit dengan manuskrip yang lebih positif pendekatannya.Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin, ketika ditemui Sastera menjelaskan, pasaran buku kanak-kanak dijangka terus berkembang meskipun dari segi jumlah penerbit yang menghasilkan buku kanak-kanak ramai, tetapi ia memberi lebih banyak pilihan kepada pembaca.
Tahun ini 11 novel yang diadaptasi ke drama dan filem dijadualkan melonjakkan jualan karya asal. Kebanyakan novel itu sebahagian besarnya sudah lama diterbitkan. Hanya beberapa naskhah saja membabitkan karya baru. - Azrina Azmi, Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu POPULAR
“Persaingan ini memastikan lebih banyak buku kanak-kanak muncul di pasaran dengan persembahan sangat menarik sehingga bukan saja memikat kelompok terbabit, tetapi juga ibu bapa yang mencari pilihan buku terbaik untuk anak mereka,” katanya.

Selain buku kanak-kanak, syarikat terbabit turut yakin bahawa buku agama akan mencatat perkembangan ekoran pasarannya yang besar dan andaian itu dibuat berdasarkan keuntungan yang dicatat buku agama di bawah jenama Karya Bestari untuk tahun lalu meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Satu daripadanya adalah faktor pendekatan dalam penghasilan buku agama yang lebih meruntun jiwa. Kita tidak lagi bercakap soal buat jahat dibalas neraka, tetapi pendekatan yang lebih dekat dengan jiwa pembaca. Misalnya keindahan syurga dan paling laris ketika ini ialah Soalan Bocor dari Kubur,” katanya.
Sri Diah berkata, buku dengan judul mendamaikan jiwa, adalah strategi yang lebih berkesan dalam memikat perhatian pembaca, bukan sekadar kulit buku menarik kerana mereka kini tidak lagi boleh dimomokkan dengan balasan neraka seperti suatu ketika dulu.

“Sungguhpun demikian, kami tidak menafikan novel pop dalam industri percetakan negara terus relevan kerana ramai pengikut dan hakikat karya sedemikian sememangnya malar zaman. Bagaimanapun, kami lebih berpilih dengan manuskrip lebih positif menjadi pilihan, selain novel dengan kisah cinta remeh-temeh akan diketepikan,” katanya sambil menegaskan buku motivasi, kerjaya dan keusahawanan juga turut berkembang pada pasaran ini.

Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu, Bahagian Perdagangan Inggeris, Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR), Azrina Azmi, berkata majikannya meramalkan novel cinta yang diadaptasi ke layar perak dan dijadikan drama bersiri akan menjadi kegilaan pada tahun ini.

“Tahun ini 11 novel yang diadaptasi ke drama dan filem dijadualkan melonjakkan jualan karya asal. Kebanyakan novel itu sebahagian besarnya sudah lama diterbitkan. Hanya beberapa naskhah saja membabitkan karya baru,” katanya.

Seperti Karangkraf, POPULAR turut meramalkan buku agama akan terus menjadi fenomena seperti karya Dr Azhar Idrus yang mempunyai ramai pengikut meskipun judul buku tidak banyak, tetapi buku yang dihasilkan mendapat sambutan hangat pembaca dan trend itu dijangka berterusan sehingga 2012.

POPULAR juga menerusi program Ekslusif POPULAR dijangka melebarkan lagi senarai penulis yang mengedarkan buku secara eksklusif dengan syarikat itu dan antara yang berkemungkinan besar menyertainya ialah Fauziah Ashari dan Ahadiat Akashah.

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Dr A'Azmi Shahri pula menyifatkan, secara umumnya tidak banyak kejutan yang akan berlaku, malahan fenomena buku remaja dan kanak-kanak yang mendapat sambutan di Malaysia ketika ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan negara lain.

“Jika dilihat pada pameran buku di Malaysia, Indonesia, China dan Thailand bagi tahun lalu, segmen buku remaja didapati masih menjadi fokus penerbit, manakala penerbitan buku agama dijangka terus popular di Malaysia sehingga beberapa tahun lagi, ”katanya.

Selain itu, syarikat penerbitan yang sama akan masih berupaya mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran buku untuk beberapa tahun akan datang dan hanya berubah jika modal insan daripada syarikat gergasi keluar dari kepompong syarikat yang didukungi dan membina syarikat baru.

“Jika ini berlaku, syarikat baru itu sudah pasti mempunyai potensi tinggi dan menjadi pesaing yang ‘menarik’ dalam pasaran di negara kita. Saya juga menjangka syarikat penerbitan tempatan akan mengkaji peluang memasarkan karya mereka melalui jualan hak cipta kepada syarikat penerbit luar negara,” katanya.
Dipetik dari:
2012 janji pasaran buku
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2012/01/11

10 January 2012

Ada Sesiapa Yang Ingin Novelnya Diterbitkan?

Ini maklumat yang baru AR petik dari FB Puan Ainon,
Kata Presiden PENA, dimaklumkan bahawa sesiapa yang memiliki manuskrip (kreatif dan bukan kreatif) bolehlah menghantarnya kepada pihak ITNM atau PENA untuk dinilai dan jika bersesuaian akan diterbitkan. Tidak ada tarikh tutup, tetapi eloklah disegerakan. Royalti akan dberikan seperti biasa. Keutamaan adalah kepada penulis muda (usia muda ditingkatkan kepada 45 tahun) tetapi penulis yang berusia lebih banyak juga dialu-alukan. Dan bersedia juga dengan manuskrip untuk meyertai sayembara penulisan cerpen, novel puisi yang akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi. Puisi mestilah dalam bentuk manuskrip tidak kurang 30 buah (karya asli yang belum diterbitkan), cerpen 10 buah, dan novel biasalah. Penulis Sabah dan sarawak sangat dialu-alukan dan sila sebarkan maklumat ini. Buku ilmiah juga diterima terutama daripada penulis muda. = Naga-Naga Len Husai
Jadi kepada para penulis dan bakal penulis, AR harap anda semua bersedia. Tulislah sesuatu yang dapat memandaikan bangsa kita. Kebiasaannya karya yang dapat memandaikan bangsa kita inilah yang akan diberi keutamaan. Pada masa sekarang terdapat ramai penulis yang sedang bersaing agar manuskrip mereka dapat diterbitkan. Para penerbit pula bukan bersikap 'tangkap muat' sahaja dalam memilih manuskrip yang akan diterbitkan. Jadi kepada para penulis dan bakal penulis, AR harap anda bukan sekadar boleh menulis tetapi tulislah sesuatu yang bermanafaat serta faham akan arah tuju yang ingin dibawakan dalam hasil penulisan anda. Selamat menulis.

07 January 2012

Hadiah Sastera Berunsur Islam


AR baru menerima sepucuk surat daripada pihak DBP. Surat ini memaklumkan AR menang Hadiah Sastera Berunsur Islam Kali Ke-13. Pertandingan ini dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Islam. Alhamdulillah, suatu lagi pengiktirafan yang AR terima. AR telah menang tempat kedua bagi kategori cerpen dengan cerpen bertajuk Jalan. Hadiah dijangka disampaikan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 20 Januari 2012 di Kuala Lumpur.
Apa yang ingin dikongsi oleh AR ialah sebelum surat ini diterima, AR telah menerima panggilan telefon daripada pegawai DBP. Pegawai itu cuma memaklumkan AR telah menang Hadiah Sastera Berunsur Islam Kali Ke-13 (itu sahaja tanpa memaklumkan tempat keberapa dan cerpen mana yang menang). AR telah menghantar 3 buah cerpen. Tajuk cerpen yang AR hantar ialah Jalan, Papa Ingin Sempurna, dan Buraq. AR fikir tentu Papa Ingin Sempurna yang akan menang pertandingan ini kerana tema dan persoalan yang dibawa serta aspek plot yang baik. Selain itu cerpen ini juga ada sentuhan di jiwa pembaca (agaknya) namun anggapan AR meleset. Rupa-rupanya cerpen Jalan yang menang. Cerpen Jalan juga agak baik dari segi plot dan persoalan yang cuba dibawakan. Kemungkinan besar (dan tak syak lagi) cerpen Jalan menang kerana pertandingan ini dianjurkan oleh DBP dan Yayasan Pendidikan Islam. Bukankah AR pernah terangkan iaitu kita harus melihat siapakah penganjurnya dan apa tema yang dikehendakki oleh penganjur dan tulislah cerpen itu mengikut dua kehendak itu jikalau mahu menang. Cerpen Jalan membawa konflik golongan tua dengan golongan muda. Konflik si anak yang cuba mengubah si ayah dengan cara yang betul. Bagaimanakah si ayah yang sudah tegal dengan pegangan agamanya yang dulu-dulu boleh berubah? Mampukah si anak mengubah si ayah tanpa menyakitkan hatinya sedangkan kita sebagai anak tidak dibenarkan untuk menyakiti si ayah. Mungkin di sini letaknya kekuatan cerpen ini. Apa pun sama-samalah kita dengarkan pandangan yang arif hakim pertandingan ini yang akan memberikan ulasannya pada majlis penyampaian hadiah tersebut.

01 January 2012

Selamat Menyambut 2012

Apa azam baru anda? Itulah yang sering ditanya apabila tahun baharu hadir. Persoalannya adakah azam kita yang dahulu sudah tercapai? Apapun AR ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2012. Azam itu ialah cabaran diri kita untuk mencapai sasaran diri. Dengan adanya azam maka kita bermotivasi untuk mendapatkan matlamat yang kita sasarkan. Elok jugalah dibuat azam setiap kali tahun baharu menjelang tiba namun fikir-fikirkanlah azam lama sama ada sudah dicapai atau tidak. Jikalau azam lama belum tercapai eloklah dibuat muasabah diri atau setidak-tidaknya jadikan azam lama itu sebagai azam baharu!Apa azam AR tahun ini? AR ingin mengadakan paling kurang 6 kursus penulisan sepanjang tahun ini dan menerbitkan sekurang-kurangnya 2 buah buku. Selamat menyambut tahun baru....