22 January 2012
Berita Kemenangan AR Tersiar Dalam Utusan,MyMetro
20 JAN. 2012: Pemenang tempat kedua dan ketiga hadiah sastera berunsur Islam kategori cerpen, Abdul Razak Adam dan Amin Minhad (kiri) bersama pemenang tempat pertama dan kedua hadiah sastera kategori lirik lagu, Marini Azahri dan Siti Raihani Mohamed Saaid (kanan) pada majlis penyampaian hadiah sastera berunsur islam di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. - Utusan
Martabatkan sastera, semua pihak diseru bekerjasama - Jamil Khir
Oleh AZHARI ZAINOODDIN
KUALA LUMPUR 20 Jan. – Kerjasama pelbagai pihak dalam memartabatkan nilai sastera Melayu amat digalakkan bagi memastikan seni warisan bangsa itu dapat terus hidup dan dihayati.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu penting agar tujuan dan segala usaha untuk meningkatkan kualiti sastera dapat dilaksanakan.
Katanya, sudah menjadi hasrat kerajaan untuk menyebarluaskan bahasa dan sastera Melayu bukan hanya di persada tanah air tetapi hingga ke peringkat antarabangsa.
"Saya yakin bahasa tidak pernah menjadi penghalang kepada pensejagatan hasil karya sastera kita, jadi diharapkan agar usaha untuk memartabatkan seni warisan ini mendapat perhatian pelbagai pihak.
"Di samping itu, kita juga harus menghasilkan sesuatu karya bernilai tinggi yang mampu menarik perhatian pembaca seterusnya mencabar pemikiran," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-13 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Shabudin Yahaya.
Pertandingan Sastera Berunsur Islam mula dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Islam sejak tahun 1987 dan bagi tahun ini dua kategori dipertandingkan iaitu cerpen dan kategori baharu iaitu penulisan lirik lagu berunsurkan Islam.
Menyentuh kategori baharu tersebut, Jamil Khir berkata, sudah sampai masanya ia diperkenalkan kerana perkembangan dan pengaruh muzik begitu dekat dengan kehidupan masyarakat tempatan sejak dari dahulu lagi.
"Lihat sahaja bagaimana irama nasyid menjadi seni muzik yang sangat diminati dan berkembang dengan begitu pesat sekali.
“Jjadi, adalah wajar untuk kita meningkatkan kualiti nilai-nilai murni melalui lirik lagu agar dapat memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau turut berharap segala usaha dan matlamat penghasilan karya yang mempunyai nilai Islam seperti itu tidak mendatangkan prasangka buruk daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, juara kategori penulisan lirik lagu, Marini Azahri berkata, kemenangan itu menyuntik semangatnya untuk terus menghasilkan karya yang terbaik dan melangkah setapak ke hadapan untuk terjun ke bidang penciptaan lagu.
Marini menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan.
"Alhamdulillah, biarpun kemenangan ini tidak disangka, usaha saya mengkaji berkenaan sirah kerajaan Islam di zaman dahulu berjaya diterjemahkan melalui lirik yang dihasilkan," jelasnya yang merupakan Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Pelajaran.
Tempat kedua dan ketiga kategori itu dimenangi Siti Raihani Mohamed Saaid dan Fauziah Abd. Ralip. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000 dan RM1,000, plak serta sijil penghargaan.
Bagi kategori cerpen pula, ia dimenangi Zulkifli Hamisan @ Khair manakala tempat kedua dan ketiga (Abd. Razak Adam dan Amin Minhad).
Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000, RM4,000 dan RM3,000 bersama dengan plak dan sijil penghargaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment