31 August 2013

Majlis Sambutan Hari Raya & Pertemuan Penulis Karangkraf

 
Seputar Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pertemuan Penulis Grup Buku Karangkraf di Auditorium Karangkraf Shah Alam 31 Ogos 2013. AR dipakaikan tanda nama EMIR ADAM dalam majlis ini. Hmm Emir Adam....tersangatlah mudanya AR apabila menggunakan nama itu. Ramai juga penulis yang hadir seperti Ustaz Zahiruddin, Ramli Awang Mursid, Maria Kajiwa dan ramai lagi penulis Alaf 21, Prima dan lain-lain lagi. Kami juga diterangkan mengenai rancangan Karangkraf 2014 serta pertemuan dengan 'bos' Kumpulan Karangkraf. Isu royalty, pemilihan penulis, pemilihan manuskrip dan lain-lain isu menjadi topik utama perbincangan. AR juga sempat berjumpa dengan editor Helo, Bahaya!. Sesungguhnya perjumpaan ini amat bermakna bagi AR sebab pertemuan ini telah berjaya menaikkan mood serta motivasi AR untuk menulis. Harap-harap mood dan motivasi ini berterusan sehingga terbitnya sebuah buku bersama Karangkraf lagi, insya-Allah. Jikalau tidak terbit lagi nampaknya perjumpaan ini bolehlah diibaratkan sebagai sebuah perjumpaan yang sia-sia. Betul tak?

25 August 2013

Permintaan Pembaca Cilik

Sewaktu saya menghadiri rumah terbuka petang tadi seorang ibu menyapa saya. Katanya anak dia nak minta autograf bagi Novel Helo, bahaya!(Anak dia berlari ambil buku ini dari dalam kereta) Terkejut jugak sebab tak sangka. Apa pun saya tetap menunaikan permintaan Adi Luqman (9 tahun dari SKA Darul Falah). Semoga Adi menjadi orang berilmu dan berjaya dalam kehidupannya nanti, insya-Allah.

15 August 2013

Asal Nama Jelatang

Novel pertama saya bertajuk FELDA Bukit Jelatang yang diterbitkan oleh Studio Matra pada tahun 2004. Sebenarnya saya pun tidak tahu ada nama tempat di sekitar Alor Gajah bernama Kampung Jelatang. Sekitar tahun 2008 ada sebuah drama bertajuk Jelatang. Heboh kawan-kawan kata saya yang tulis skrip drama itu bersempena dengan tajuk novel saya. Semalam sewaktu saya pergi makan di sebuah kedai di pekan Alor Gajah saya tanya kedudukan kampung Jelatang. Pak cik itu pun tak tahu arah sebenar sehinggalah diberitahu oleh seorang pelanggan yang kebetulan makan di situ. Hakikatnya saya pilih nama jelatang bersempena dengan nama sebatang pokok di dalam hutan. Pokok itu boleh menyebabkan kita gatal jikalau dipegang batangnya dan ada juga yang kata jikalau kita lalu di bawah pokok jelatang tanpa memegang batangnya juga boleh menyebabkan gatal. Ini sebenarnya sebagai suatu kritikan kepada ahli masyarakat. Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya.

08 August 2013

Salam Aidil Fitri

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan
lautan mana yang tidak bergelora
dahan mana tidak dibuai angin
air mana tidak beriak
langit mana yang tidak mendung
angin mana yang tidak membadai.

Sesudah menghadapi ujian Yang Maha Esa pada Ramadhan yang mulia tibalah saat menyambut hari kemenangan dalam bentuk Syawal.

Ramadhan....sesungguhnya aku merinduimu.
Syawal...mampukah aku menahan godaanMu.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin.