Showing posts with label Novel. Show all posts
Showing posts with label Novel. Show all posts

01 October 2013

Peserta Bengkel Penulisan Sains dan Teknologi DBP

Inilah keratan akhbar Utusan Malaysia ms 2 1 Oktober 2013. Ramai juga peserta yang hadir bengkel pertama siri ketiga ini. AR juga turut hadir dalam bengkel penulisan ini. Khabarnya bengkel ini juga akan diadakan di Melaka. Didoakan semoga semua peserta yang hadir dapat menghasilkan novel tersebut semoga hasrat kerajaan untuk.memperbanyakkan lagi karya fiksyen sains dan teknologi yang kurang di Malaysia pada masa kini akan bertambah.

03 September 2013

Menuai Hasil Royalti

Dalam keadaan harga minyak petrol dan diesel naik RM0.20 seliter bermula hari ini terfikir juga AR tentang satu perkara. Apalah yang boleh dibuat oleh orang kecil seperti AR ini bagi mengatasi masalah harga minyak yang naik. Penyelesaian luar kotak fikir ialah kena lipat gandakan usaha menulis buku. Maknanya kena tulis buku lagi banyak dan ini secara tidak langsung boleh mendatangkan duit yang banyak. Dengan cara menulis buku yang banyak dan laku keras maka AR akan dapat duit yang banyak. Secara tidak langsung AR tidak akan terasa beban yang banyak dengan kenaikan harga minyak ini. Secara relatifnya apabila kuasa duit kita besar maka kuasa beli akan bertambah dan masalah kita akan dapat diatasi (dari segi kewangan).....hmm macam le senang sangat nak terbitkan buku hehehe
Sebenarnya semalam AR terima surat di atas. Penerbit ini memaklumkan sebelum ini AR akan terima royalty paling awal setahun selepas karya diterbitkan dan sewaktu perjumpaan penulis tempohari, editor pun kata bulan Disember ini baru akan dapat royalty pertama. Bila AR buka surat dari penerbit terkejut jugak sebab bayaran royalty bagi tiga bulan pertama telah dikreditkan ke dalam bank. Syukur Alhamdulillah. AR juga tidak sangka bahawa jumlah jualan novel Helo, bahaya! boleh mencecah angka yang sebegitu .....agak banyak (Januari-Mac 2013) tapi tak le cukup untuk beli motosikal Cagiva Mitto. Setakat beli basikal BMX tu boleh le hehehe.
Untuk makluman ada penerbit yang memberikan royalty 7%, 9%, 10% dan 12% malahan ada yang lebih daripada itu. Penerbit GBK memberikan 10% bagi bayaran royalty kepada penulis. Ini bermaksud
            Bilangan buku terjual X Harga buku X10% = Jumlah royalty yang diterima penulis.
Pembaca kena ingat iaitu apabila mencari penerbit usah dilihat kepada peratus royalty sahaja yang dibayar tetapi juga kena lihat pakej sampingan. Dan yang paling utama sekali kena lihat ADAKAH PENERBIT ITU JUJUR ATAU TIDAK MEMBUAT PEMBAYARAN ROYALTI.


15 August 2013

Asal Nama Jelatang

Novel pertama saya bertajuk FELDA Bukit Jelatang yang diterbitkan oleh Studio Matra pada tahun 2004. Sebenarnya saya pun tidak tahu ada nama tempat di sekitar Alor Gajah bernama Kampung Jelatang. Sekitar tahun 2008 ada sebuah drama bertajuk Jelatang. Heboh kawan-kawan kata saya yang tulis skrip drama itu bersempena dengan tajuk novel saya. Semalam sewaktu saya pergi makan di sebuah kedai di pekan Alor Gajah saya tanya kedudukan kampung Jelatang. Pak cik itu pun tak tahu arah sebenar sehinggalah diberitahu oleh seorang pelanggan yang kebetulan makan di situ. Hakikatnya saya pilih nama jelatang bersempena dengan nama sebatang pokok di dalam hutan. Pokok itu boleh menyebabkan kita gatal jikalau dipegang batangnya dan ada juga yang kata jikalau kita lalu di bawah pokok jelatang tanpa memegang batangnya juga boleh menyebabkan gatal. Ini sebenarnya sebagai suatu kritikan kepada ahli masyarakat. Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya.

12 April 2013

Novel ke-9 bakal muncul pada Pesta Buku Antarabangsa KL 2013

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT kerana segalanya dipermudahkan. AR baru sahaja pulang dari menunaikan ibadat umrah bersama isteri serta ibu AR. Selama 11 hari di Mekah dan Madinah, AR dapat menyaksikan pelbagai perkara yang kesemuanya AR percaya untuk diberikan petunjuk oleh Yang Maha Esa tentang kehidupan ini. Kita menyaksikan keburukan maka itu untuk dijadikan pengajaran kepada kita. Kita menyaksikan kebaikan maka itu juga untuk dijadikan pengajaran kepada kita. Apa pun AR tetap bersyukur kerana Allah mempermudahkan AR membawa ibu yang sudah berusia 75 tahun untuk melawat ke Tanah Suci umat Islam ini.
AR juga amat bersyukur kerana AR telah dihubungi oleh ITBM kerana manuskrip yang dihantar oleh AR untuk Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi telah diterima untuk diterbitkan (dalam keadaan agak tergesa-gesa kerana ingin mengejar Pesta Buku Antarabangsa KL 2013). AR sudah pun menandatangani perjanjian penerbitan tapi belum dapat melihat cover novel itu. Insya-Allah dalam masa terdekat novel itu akan siap sepenuhnya kerana pesta buku itu akan berlangsung tidak beberapa hari sahaja lagi. Cuma sekarang ini teka teki yang timbul ialah adakah novel ini akan memenangi sayembara tersebut? AR tengah menunggu dengan penuh debaran. Apa pun AR tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya novel ini berjaya diterbitkan oleh ITBM. Sama-samalah kita tunggu akan keputusan sayembara ini yang akan diumumkan pada minggu hadapan.

13 February 2012

Nilai Estetika Dalam Karya Sastera

KARYA sastera memang mempunyai nilai estetika, sama ada tahap tinggi atau bertaraf rendah. Nilai estetika ini seharusnya dapat dinikmati sebagai nikmat ketika membaca, menghayati dan memahami setiap hasil karya. Begitulah, bagi karya novel, cerpen, puisi, (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak), drama dan sebagainya ada terselit nilai-nilai estetika dan keindahan.

Justeru, sentuhan rasa dan fikir dapat dirasakan oleh pembaca dengan melihat kecerdasan dan jalinan keindahan bahasa seseorang pengarang. Luahan hati dan getar jiwa seni pengarang melalui kata-kata dan bayangan alam budaya kehidupan masyarakat. Ini telah diakui oleh banyak sarjana sastera. Nilai seni ini akan dapat dirasakan oleh pembaca yang cekap menangkap dengan mata akal dan mata fikir hasil seni sastera.

Istilah "keindahan" (indah) merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky (1994:16). Dia merumuskan terdapat tiga aspek yang dengan terang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan "indah" dengan kata-kata yang seerti.

Menurutnya, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh; tetapi kesan keindahan itu yang lebih penting dan lebih utama ialah faedah (manfaat) yang terkandung di dalamnya.

Faedah ini selalu dihubungkan dengan akal, manakala keindahan pula selalu dihubungkan dengan perasaan atau hati. Keindahan dengan itu menimbulkan kesan psikologi tertentu, rasa tenang dan nikmat bergantung pada keadaan atau persediaan jiwa seseorang.

Aspek pertama, bersangkut paut dengan asal usul keindahan, atau sumbernya. Pengertian "indah" di sepadan secara tertentu dengan konsep kuasa Tuhan (kekayaan Allah). Ia meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu tidak terbatas. Dan Allah juga suka kepada keindahan.

Manakala aspek kedua, estetika Islam membezakan keindahan mutlak daripada keindahan fenomena (jamal lawan husn), dengan menggunakan perkataan "elok" dan "indah" dalam karya sastera dan karangan tasawuf Melayu.

Aspek keindahan ketiga, estetik atau keindahan tersembunyi, tetapi "bentuk", iaitu susunan kata yang baik, makna yang berlapis-lapis akan menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati. Tanpa bentuk yang baik, yakni apabila dilahirkan dengan gaya ungkapan yang tidak menarik, isi kandungan akan kehilangan daya tarikannya.

Aspek teori keindahan dan estetika sangat kuat untuk dibincangkan. Dalam bidang penulisan novel, keindahan ini dapat ditemui dalam novel Keris Mas (Saudagar Besar dari Kuala Lumpur), Ishak Haji Muhammad (Putera Gunung Tahan), ,Shahnon Ahmad (Lamunan Puitis Sebuah Triogi dan Ranjau Sepanjang Jalan), Abdullah Hussain (Konserto Terakhir) A. Samad Said (Salina dan Hujan Pagi), Ibrahim Omar (Desa Pingitan), Azizi Haji Abdullah (Kawin-Kawin), Anwar Redhwan (Penyemberang Sempadan), Rahman Haji Yusof (Tak Seindah Impian), dan Khaidir Ahmad (Khuluk) serta beberapa novel lain yang memaparkan keindahan kepada alam dan kehidupan manusia dengan nilai kehidupan masyarakat, sarat dengan metafora dan gaya bahasa yang menarik serta indah. Keindahannya terletak pada tema, persoalan, watak dan perwatakan yang hidup dan lincah, plot, latar masyarakat, nilai dan pengajaran yang disampaikan.

Manakala dalam cerpen terdapat gaya keindahan ungkapan bahasa, kata-kata dan makna yang berlapis-lapis maknanya. Ini dapat diselami melalui cerpen-cerpen penulis veteran seperti A. Samad Ismail, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Usman Awang (cerpen Menonton) ( "Budak perempuan ini banyak boy friendnya, bebasnya tak ada tabik kecuali lagi." Azizi Haji Abdullah,(Tulang Pekasam Ikam Puyu), S.M. Zakir, (20 Cerita Tentang Tuhan), Pena Mutiara (Cerpen Pak Da Beristeri Muda), dan beberapa penulis lain. Kata-kata seperti "Pan Ngah Ca tersenyum. "Kau mana tau tanahnya besar dan subur. Kau dah tengok ke? Tanya Pak Ngah Ca dalam senyum...(petikan Cerpen Pak Da Beristeri Muda di Mingguan Malaysia 22 Januari 2012). Langgam penceritaan dan gaya humor dalam masyarakat ditonjolkan dalam cerpen-cerpen ini.

Pembaharuan

Begitu juga dalam bidang puisi keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata, asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting khususnya dalam karya sastera khususnya puisi iaitu sajak. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana, kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan memilih gaya baharu. Antaranya penyair Usman Awang (Pak Utih, Bunga Popi, Penjual Pisang di Kaki Lima, Balada Terbunuhnya Beringin Tua dan Pantun Moden), A.Latiff Mohidin (Rawa-Rawa dan Mangkuk Sejarah Mangkuk Berdarah). T. Alias Taib (Tukang Gunting dan Pasar Pengalaman) dan beberapa sajak penulis lain yang tidak dapat disebutkan di sini.

Jika ditinjau, hasil karya sastera iaitu pantun digunakan seluas-luasnya dalam masyarakat Melayu pada zaman lampau dan juga masih digunakan pada masa kini. Ia meliputi bentuk komunikasi harian yang formal dan juga tidak formal. Keunggulan dan keutuhan pantun kekal sampai hari ini.

Pantun yang baik , indah dan ada nilai estetika sarat serta mempunyai nilai-nilai kehidupan masyarakat. Pembayang pantun biasanya menggunakan imej alam, tumbuh-tumbuhan dan latar masyarakat Melayu. Manakala maksudnya pula mestilah menyentuh seluruh kehidupan masyarakat, memberi pedoman kepada unsur kehidupan dan alam persekitaran masa depan.

Begitu juga dengan gurindam, seloka dan lain-lain. Semuanya mempunyai nilai estetika sama ada bertaraf tinggi atau rendah. Nilai-nilai ini juga mestilah menyentuh seluruh kehidupan manusia yang mengajar, mendidik dan membentuk peribadi manusia ke arah kebaikan.

Menurut pandangan Sidi Gazalba, seni sebagai penjelmaan rasa keindahan umumnya, rasa keterharuan khususnya, untuk kesejahteraan hidup. Rasa ini disusun dan dinyatakan oleh fikiran sehingga ia menjadi bentuk yang dapat disalurkan dan dimiliki.. Dalam pengertian "menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan adalah tiap orang terlibat dengan kesenian dalam kehidupan sehari-hari".

Justeru, setiap karya yang dicipta mestilah meliputi keindahan dalaman isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman, keindahan luaran, keindahan mutlak dan keindahan rohani yang kesemuanya dapat diseimbangkan dalam karya yang dicipta.

Begitulah, sukar dan payah setiap pengkarya sastera menghasilkan karya yang baik disertai dengan nilai-nilai keindahan dan estetik yang unggul. Kekuatan bahasa dan keindahan pengarang menggunakan bahasa yang indah dan berkesan akal kekal dalam ingatan para pembaca yang akhirnya memberikan teladan yang baik kepada mereka.

Oleh Aminudin Mansor
(amimasra@gmail.com.) Utu. Online

10 January 2011

Novel AR Tersenarai TOP 500 Jumlah Naskah Terjual sepanjang 2010.




Sebanyak 5 buah novel hasil tulisan AR telah termasuk dalam senarai TOP 500 berdasarkan jumlah naskah yang terjual bagi sepanjang tahun 2010 (1 Januari-31 Disember) iaitu,
i) Novel Usahawan Cilik: Jutawan 3R (tempat ke-119)
ii) Novel Kasih Seharum Manisah (tempat ke-203)
iii)Novel Usahawan Cilik: Homestay Bayu (tempat ke-369)
iv) Novel Usahawan Cilik: Taman Botani Harapan (tempat ke-411)
v) Novel Usahawan Cilik: Kerepek AF (tempat ke-473)

11 February 2010

Novel Terbaru Jutawan 3R

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah S.W.T kerana jika diizinkanNya maka akan terbitlah satu lagi novel terbaru. Novel dalam Siri Usahawan Cilik ini mungkin akan berada di pasaran menjelang Pesta Buku Kuala Lumpur 2010 nanti. AR ingin berkongsi pengalaman ketika bertemu peminat. Cuba lihat dialog ini ketika AR berada di Dataran MPMB Ayer Keroh bersempena Pameran 1Malaysia tempohari.

Seorang ayah bersama anaknya menghampiri gerai PNM.
Ayah : Ina hendak beli novel ini?
Ina : (menggeleng kepala)
Ayah : Kenapa? Ayah bayarkan nanti. Pilih sahaja novel yang mana satu.
Ina : Novel Kerepek AF, Homestay Bayu dan Taman Botani, ini semua Ina sudah beli di kedai buku.
Ayah : (memandang AR) Novel yang lain ada?

Inilah yang menyemarakkan lagi hasrat AR untuk menghasilkan novel yang lain. Bukannya apa sebab rasa seronok melihat orang membaca dan menghayati novel kita. Sekurang-kurangnya kita memberikan sumbangan bermakna kepada pembaca. Untuk Novel Jutawan 3R nanti maka AR ingin membuat suatu kelainan. Tunggu dan lihat nanti apa kelainannya.