10 December 2013

Misi Mencari Tomoyuki Yamashita, Osaka

Alhamdulillah, AR telah sampai ke Lapangan Terbang Kansai Osaka di Jepun. Kali ini AR sekeluarga pergi tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong atau agensi pelancongan (kerana nak jimat duit). Memang kebiasaannya AR pergi keluar negara begini. Sebelum ini AR pergi ke UK, Paris, Korea dan Australia juga dengan cara begini. Apabila kita pergi sendiri (tanpa melalui agensi pelancongan) kita akan berjimat (banyak) selain itu kita bebas hendak pergi ke mana sahaja arah tuju kita tanpa sekatan masa. Kita juga dapat eratkan perhubungan keluarga apabila duduk berbincang arah tujuan. Apa yang menarik ialah sewaktu AR mengadakan ceramah penulisan di sebuah sekolah, ada peserta yang tulis dalam fb (selepas ceramah itu) "wah, boleh melancong ke Paris kalau kita tulis buku!". Sebenarnya hasil daripada duit royalty buku memang kita boleh gunakan sebagai modal untuuk menjana idea penulisan kita. Pepatah mengatakan 'jauh perjalanan luas pemandangan'. Berjalanlah semoga perjalanan itu akan menginspirasikan kita untuk menulis dengan lebih banyak lagi.

05 December 2013

Teka-Teki Tarikh Penyampaian Hadiah Sayembara ITBM

Alhamdulillah akhirnya tarikh bagi penyampaian hadiah Sayembara Menulis Novel, Cerpen dan Sajak anjuran ITBM, BH dan PENA diketahui juga. AR pun tak pasti boleh maklumkan atau tidak tapi rasanya tarikh ini bukan menjadi rahsia lagi. Secara kebetulan AR ada urusan di ITBM dan dimaklumkan akan perkara ini. AR dimaklumkan tarikh penyampaian hadiah ini akan disempurnakan pada 6 Januari 2014. Khabarnya TPM akan berangkat untuk menyempurnakan majlis tersebut. Tempatnya belum dimuktamatkan lagi. Tapi AR nak maklumkan juga bahawa info ini hanyalah info awal dan tertakluk kepada pindaan. AR tak pasti menang atau tidak pertandingan ini namun hanya berserah kepada Allah SWT. Sama-samalah kita nantikan majlis ini nanti. Rasanya sudah setahun kita menunggu pengumuman rasminya. Ramai juga yang bertanya akan hal ini, nah sekarang ini sudah terjawab semoga mereka yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini akan lena tidur selepas ini.

16 November 2013

Bicara Buku Anjuran IPM

Insya-Allah Sesi Bicara Buku anjuran IPM akan diadakan lagi. Kali ini 2 buah novel terpilih iaitu Novel Kasih Seharum Manisah (terbitan PTS) yang ditulis oleh AR serta novel Tiga Enigma Cinta  oleh Zamidah Hashim(terbitan DBP) akan dibual bicarakan.

Maklumat program ini;
       Tempat : Hotel Super Cobow (dulu Hotel St Meredian) Melaka (dekat Masjid Al Azim)
       Tarikh : 17 November 2013 (Ahad)
       Masa : 9.00 pagi
      Anjuran : IPM Melaka
      Bayaran : Percuma (Minum pagi disediakan).
Semua dijemput hadir untuk sesi perkongsian ilmu. Kami mengalu-alukan kehadiran penonton atau pendengar setia ke dalam majlis ilmu ini.

26 October 2013

Dialog Editor-Penulis

Majlis yang sungguh bermakna ini telah dianjurkan bersempena Program Bulan Bahasa Kebangsaan. Rasanya majlis ini agak singkat dan banyak aspek yang perlu diketahui lagi oleh penulis. Pada majlis ini editor kanan PTS, Karangkraf dan DBP telah duduk semeja bagi memberi penjelasan tentang rumah penerbitan masing-masing. Seharusnya penulis dari Melaka wajar hadir ke dalam majlis seperti ini agar ilmu penulisan dapat ditambah. AR sering kata iaitu kadang-kala penulis hanya tahu menulis sahaja tetapi aspek lain banyak yang tidak diketahui (AR juga maksudkan diri sendiri). Sudah sampai masanya untuk penulis punya ilmu editorial atau cara-cara untuk bekerjasama dengan editor kerana pada akhirnya nanti kita pasti mahu menerbitkan karya yang terbaik.

22 October 2013

Bidadari Burung

Sibuk, itulah alasan yang kerap meniti di bibir apabila dikatakan pasal membaca. Peperangan dengan tugas yang digalas mungkin ada benarnya apabila tugas vs baca ini cuba digandingkan. Namun jikalau kita pandai mencari ruang dan peluang maka aktiviti membaca mungkin dapat dilaksanakan. Kesempatan bercuti ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidil Adha telah digunakan oleh AR untuk membaca Antologi Cerpen Bidadari Burung. Dua hari diperuntukkan untuk AR katam antologi ini. Dan sekarang ini AR cuba menghadamkan "Sajak-Sajak A.Latiff Mohidin. Kajian Estetika" yang ditulis oleh Aminudin Mansor dan diterbitkan oleh DBP.

17 October 2013

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Melaka 2013

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sembena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2013 telah diadakan di Dewan JKK Kebudayaan Ayer Keroh pada 17 Oktober 2013. Pertandingan ini diadakan bagi memilih peserta Melaka untuk ke pertandingan peringkat kebangsaan nanti. AR Nampak rata-rata peserta lelaki mendominasi pertandingan ini. Apapun tahniah kepada 'Bob' yang telah menjadi juara pertandingan ini (berbaju biru). Kepada yang kurang bernasib baik, cuba lagi pada tahun hadapan.

11 October 2013

Meraikan berita gembira

Hari ini AR ke JJ Melaka untuk meraikan berita gembira yang AR terima daripada seorang editor. Alhamdulillah buku ke-10 AR akan cuba diterbitkan. AR sebenarnya takut juga untuk maklumkan berita ini lebih awal kerana takut pisang berbuah dua kali tapi AR gagahkan juga untuk berkongsi dengan pembaca blok. Buku yang bakal terbit ini bukan novel tetapi.....(rahsia). Buku ini mungkin tidak menang sayembara (mungkin) tetapi telah dipilih untuk diterbitkan. Doakanlah semoga Allah SWT memudahkan urusan penerbitan ini.

01 October 2013

Selamat Menduduki Peperiksaan PMR

Pada kesempatan ini AR ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR kepada calon-calon PMR yang akan menduduki peperiksaan tersebut bermula 2 hb Oktober 2013. Semoga calon-calon PMR dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan baik dan seterusnya mendapat keputusan cemerlang nanti, insya-Allah.

Peserta Bengkel Penulisan Sains dan Teknologi DBP

Inilah keratan akhbar Utusan Malaysia ms 2 1 Oktober 2013. Ramai juga peserta yang hadir bengkel pertama siri ketiga ini. AR juga turut hadir dalam bengkel penulisan ini. Khabarnya bengkel ini juga akan diadakan di Melaka. Didoakan semoga semua peserta yang hadir dapat menghasilkan novel tersebut semoga hasrat kerajaan untuk.memperbanyakkan lagi karya fiksyen sains dan teknologi yang kurang di Malaysia pada masa kini akan bertambah.

24 September 2013

Bengkel Penulisan Fiksyen Sains Dan Teknologi


 
 
 
Kepada mereka yang berminat menyertai bengkel di atas bolehlah dapatkan borang penyertaan dan hantar secepat mungkin kepada penganjur melalui alamat yang ada disertakan. Penyertaan pada kali ini adalah percuma untuk mereka yang mengikuti bengkel pada 28 September 2013. Siapa tahu mungkin ini langkah pertama anda untuk mengapai kemenangan atau sebagai landasan untuk berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

10 September 2013

UPSR 2013

Pada kesempatan ini AR ingin mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR kepada pelajar tahun 6 di seluruh Malaysia. Semoga calon UPSR dapat menduduki peperiksaan dengan selamat dan menjawab dengan betul. Sebenarnya menjawab peperiksaan bukan sekadar membaca, mengingat, memaham dan menjawab. Hal yang lebih utama ialah kebolehan kita untuk menjawab soalan itu lebih banyak disumbangkan oleh kemurahan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Hal ini bermaksud kita sebagai hambaNya hanya berkebolehan untuk berusaha dan hasilnya tentulah hak mutlak Allah SWT. Ini bukan bermaksud kita berserah bulat-bulat kepada Allah tanpa berusaha tetapi kita seharusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh dan kemudian kita harus bertawakkal kepada Allah SWT.
Hal ini menuntut kita untuk belajar dan dalam masa yang sama kita sebagai pelajar harus juga menjaga adab belajar seperti menghormati rakan, menghormati guru, menghormati ibu bapa dan masyarakat sekeliling kita. Dan sebagai ibu bapa pula kita sewajarnya memaafkan kesalahan-kesalahan anak kita kerana hanya dengan kemaafan ini sahajalah si anak tadi mampu menjawab dengan penuh ketenangan (kerana adanya redha Allah SWT). InsyaAllah dengan adanya redha kedua ibu bapa maka akan adanya redha Allah SWT.

03 September 2013

Menuai Hasil Royalti

Dalam keadaan harga minyak petrol dan diesel naik RM0.20 seliter bermula hari ini terfikir juga AR tentang satu perkara. Apalah yang boleh dibuat oleh orang kecil seperti AR ini bagi mengatasi masalah harga minyak yang naik. Penyelesaian luar kotak fikir ialah kena lipat gandakan usaha menulis buku. Maknanya kena tulis buku lagi banyak dan ini secara tidak langsung boleh mendatangkan duit yang banyak. Dengan cara menulis buku yang banyak dan laku keras maka AR akan dapat duit yang banyak. Secara tidak langsung AR tidak akan terasa beban yang banyak dengan kenaikan harga minyak ini. Secara relatifnya apabila kuasa duit kita besar maka kuasa beli akan bertambah dan masalah kita akan dapat diatasi (dari segi kewangan).....hmm macam le senang sangat nak terbitkan buku hehehe
Sebenarnya semalam AR terima surat di atas. Penerbit ini memaklumkan sebelum ini AR akan terima royalty paling awal setahun selepas karya diterbitkan dan sewaktu perjumpaan penulis tempohari, editor pun kata bulan Disember ini baru akan dapat royalty pertama. Bila AR buka surat dari penerbit terkejut jugak sebab bayaran royalty bagi tiga bulan pertama telah dikreditkan ke dalam bank. Syukur Alhamdulillah. AR juga tidak sangka bahawa jumlah jualan novel Helo, bahaya! boleh mencecah angka yang sebegitu .....agak banyak (Januari-Mac 2013) tapi tak le cukup untuk beli motosikal Cagiva Mitto. Setakat beli basikal BMX tu boleh le hehehe.
Untuk makluman ada penerbit yang memberikan royalty 7%, 9%, 10% dan 12% malahan ada yang lebih daripada itu. Penerbit GBK memberikan 10% bagi bayaran royalty kepada penulis. Ini bermaksud
            Bilangan buku terjual X Harga buku X10% = Jumlah royalty yang diterima penulis.
Pembaca kena ingat iaitu apabila mencari penerbit usah dilihat kepada peratus royalty sahaja yang dibayar tetapi juga kena lihat pakej sampingan. Dan yang paling utama sekali kena lihat ADAKAH PENERBIT ITU JUJUR ATAU TIDAK MEMBUAT PEMBAYARAN ROYALTI.


31 August 2013

Majlis Sambutan Hari Raya & Pertemuan Penulis Karangkraf

 
Seputar Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pertemuan Penulis Grup Buku Karangkraf di Auditorium Karangkraf Shah Alam 31 Ogos 2013. AR dipakaikan tanda nama EMIR ADAM dalam majlis ini. Hmm Emir Adam....tersangatlah mudanya AR apabila menggunakan nama itu. Ramai juga penulis yang hadir seperti Ustaz Zahiruddin, Ramli Awang Mursid, Maria Kajiwa dan ramai lagi penulis Alaf 21, Prima dan lain-lain lagi. Kami juga diterangkan mengenai rancangan Karangkraf 2014 serta pertemuan dengan 'bos' Kumpulan Karangkraf. Isu royalty, pemilihan penulis, pemilihan manuskrip dan lain-lain isu menjadi topik utama perbincangan. AR juga sempat berjumpa dengan editor Helo, Bahaya!. Sesungguhnya perjumpaan ini amat bermakna bagi AR sebab pertemuan ini telah berjaya menaikkan mood serta motivasi AR untuk menulis. Harap-harap mood dan motivasi ini berterusan sehingga terbitnya sebuah buku bersama Karangkraf lagi, insya-Allah. Jikalau tidak terbit lagi nampaknya perjumpaan ini bolehlah diibaratkan sebagai sebuah perjumpaan yang sia-sia. Betul tak?

25 August 2013

Permintaan Pembaca Cilik

Sewaktu saya menghadiri rumah terbuka petang tadi seorang ibu menyapa saya. Katanya anak dia nak minta autograf bagi Novel Helo, bahaya!(Anak dia berlari ambil buku ini dari dalam kereta) Terkejut jugak sebab tak sangka. Apa pun saya tetap menunaikan permintaan Adi Luqman (9 tahun dari SKA Darul Falah). Semoga Adi menjadi orang berilmu dan berjaya dalam kehidupannya nanti, insya-Allah.

15 August 2013

Asal Nama Jelatang

Novel pertama saya bertajuk FELDA Bukit Jelatang yang diterbitkan oleh Studio Matra pada tahun 2004. Sebenarnya saya pun tidak tahu ada nama tempat di sekitar Alor Gajah bernama Kampung Jelatang. Sekitar tahun 2008 ada sebuah drama bertajuk Jelatang. Heboh kawan-kawan kata saya yang tulis skrip drama itu bersempena dengan tajuk novel saya. Semalam sewaktu saya pergi makan di sebuah kedai di pekan Alor Gajah saya tanya kedudukan kampung Jelatang. Pak cik itu pun tak tahu arah sebenar sehinggalah diberitahu oleh seorang pelanggan yang kebetulan makan di situ. Hakikatnya saya pilih nama jelatang bersempena dengan nama sebatang pokok di dalam hutan. Pokok itu boleh menyebabkan kita gatal jikalau dipegang batangnya dan ada juga yang kata jikalau kita lalu di bawah pokok jelatang tanpa memegang batangnya juga boleh menyebabkan gatal. Ini sebenarnya sebagai suatu kritikan kepada ahli masyarakat. Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya.

08 August 2013

Salam Aidil Fitri

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan
lautan mana yang tidak bergelora
dahan mana tidak dibuai angin
air mana tidak beriak
langit mana yang tidak mendung
angin mana yang tidak membadai.

Sesudah menghadapi ujian Yang Maha Esa pada Ramadhan yang mulia tibalah saat menyambut hari kemenangan dalam bentuk Syawal.

Ramadhan....sesungguhnya aku merinduimu.
Syawal...mampukah aku menahan godaanMu.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin.

25 July 2013

Ulasan Siri Usahawan Cilik

A. Razak Adam : Bercerita Tentang Usahawan Cilik

oleh Helmi • 26 Jun 2010 4:26 PM



Mewujudkan budaya keusahawanan kepada remaja.
Umum mengetahui bahawa kerajaan sedang menerapkan budaya keusahawanan kepada rakyat Malaysia. Atas faktor ini maka lahirlah Siri Usahawan Cilik. Buku-buku keusahawanan yang berada di pasaran semuanya mensasarkan golongan dewasa. Ini nampaknya tidak adil kerana kita sebenarnya menidakkan golongan remaja yang punya semangat untuk berniaga. Semangat ingin mencuba yang ada dalam setiap diri remaja berkehendakkan suatu cabaran dan cabaran ini boleh diperoleh melalui penglibatan dalam dunia perniagaan.
Menghapuskan mitos tentang bidang perniagaan
Ramai ibu bapa yang tidak mahu anak mereka melibatkan diri dalam perniagaan terutamanya masyarakat bumiputera. Kebanyakan mereka lebih suka anak mereka bekerja makan gaji. Kini zaman sudah berubah. Masyarakat bumiputera perlu menerima hakikat anak-anak mereka tidak harus mewarisi pemikiran turun temurun kerja makan gaji. Mereka harus membuka pilihan sekiranya anak-anak mereka ingin terlibat dalam dunia perniagaan. Siri Usahawan Cilik ini ingin membuka minda masyarakat walaupun perniagaan itu punya risiko tersendiri namun sekiranya dijalankan dengan amanah, rajin dan bertangungjawab maka perniagaan mereka pasti akan mendatangkan keuntungan. Penerapan nilai-nilai baik untuk berniaga ini harus bermula dari awal lagi dan langkah penerapan ketika masih remaja dianggap membentuk usahawan yang berjaya.
Membuka minda remaja berkenaan peluang-peluang perniagaan.
Apabila dikatakan berniaga maka seringkali masyarakat kita dipertontonkan mengenai bisnes yang besar-besaran, modal yang banyak, untung berjuta-juta, bangkrap, perkelahian rakan kongsi dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung membentuk persepsi negatif masyarakat aabila dikatakan mengenai keusahawanan. Siri Usahawan Cilik ini mengajak remaja bagi menyelesaikan masalah sekeliling, mencari sumber terdekat, bekerjasama mengenal pasti potensi perniagaan, bersifat lokal, pengurusan sumber tempatan secara efektif dan berurusan dengan agensi yang terlibat secara bijaksana. Remaja tidak perlu memikirkan mengenai bisnes yang bermodal besar. Siri Usahawan Cilik mengajak pembaca remaja menghargai bakat dan kemahiran mereka untuk digilap. Mereka juga diajar untuk menghargai alam sekeliling mereka untuk dijadikan suatu landasan membangunkan masyarakat. Secara tidak langsung membentuk remaja yang sensitif akan isu-isu yang berlaku pada masyarakat sekeliling mereka.
Membentuk Model Remaja Malaysia
Remaja yang beridentiti diperlukan. Persoalannya apakah yang ingin ditunjukkan mengenai remaja Malaysia kepada masyarakat luar? Model remaja berwawasan boleh diketengahkan. Remaja berwawasan dapat dijadikan ikon sama ada oleh remaja di negara kita ataupun remaja luar. Penerimaan novel Siri Usahawan Muda untuk dilesenkan ke Indonesia menunjukkan kepada kita bahwa remaja berwawasan mampu dijadikan ikon dalam membangunkan masyarakat setempat dan seterusnya mampu merubah pemikiran remaja serantau dalam usaha membawa perubahan kepada ekonomi masyarakat sekelilingnya. Pengurangan jumlah pengangguran akan dapat membawa kesejahteraan kepada negara. Limpahan kesejahteraan ini secara tidak langsung mampu mengangkat martabat bangsa dan negara.
Mempelbagaikan Tema Novel
Novel-novel untuk remaja banyak bertemakan cinta dan penyiasatan. Seolah-olah remaja kita hanya berpaksikan cinta dan siasatan sahaja. Tanpa kita sedari kita membentuk jiwa remaja yang leka dengan bercinta dan berminat menyelesaikan masalah semata-mata. Siri Usahawan Cilik membantu remaja mencipta penyelesaian masalah, mengenalpasti masalah, membuat analisis, kreatif dalam membuat pilihan dan seterusnya mampu berfikir. Ciri-ciri remaja sebegini amat diperlukan dalam meniti era globalisasi. Remaja kita tidak boleh dibiarkan berfikir seperti dahulu. Remaja Malaysia sama-sama bersaing dengan masyarakat antarabangsa dalam dunia tanpa sempadan. Jiwa remaja yang kental dan punya ciri-ciri remaja universal akan dapat membantu remaja Malaysia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan remaja negara maju yang lain. Sekiranya ciri-ciri universal ini tidak diikuti maka remaja kita dikhuatiri akan punya pemikiran mundur. Hal ini secara tidak langsung memberikan gambaran buruk kepada kepimpinan negara pada masa depan.
Kesimpulan
Tuntasnya, dengan sambutan tinggi terhadap Siri Usahawan Cilik dapat memberi isyarat kepada kita betapa masyarakat sudah mula sedar akan keperluan pada novel bertemakan semangat keusahawanan. Biarpun persaingan dengan novel remaja yang lain agak sengit namun novel Siri Usahawan Cilik punya kelas yang tersendiri. Kemampuan mengungkapkan bidang keusahawanan serta menjanjikan pulangan dapat memastikan penerimaan berterusan oleh masyarakat pembaca.
Artikel ini pernah disiarkan dalam Majalah PTS Legasi
     

23 July 2013

Sayembara Menulis Cerpen Berunsur Islam

Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam)  Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435H. Ia terbuka kepada pegawai, guru dan  kakitangan yang berkhidmat di sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Syarat pertandingan sayembara beserta Borang Penyertaan dan Pengakuan Keaslian Karya boleh dimuat turun daripada  pautan berikut:


http://www.bpi.edu.my/v1/index.php/component/content/article/2-uncategorised/249-sayembara-penulisan-kreatif

Tarikh tutup sayembara ini ialah pada 30 September 2013.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi Urus Setia Sayembara, Ustaz Ruzain Syukur b Mansor, Penolong Pengarah Sektor Dakwah dan Kepimpinan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia:

10 July 2013

Salam Ramadhan

Pada kesempatan ini AR ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia kepada para pembaca. Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Sama-samalah kita menjaga kemuliaan Ramadhan dengan berbanyak mengerjakan amal ibadat.Pada bulan Ramadhan, amal ibadat kita akan digandakan ganjarannya. Ibadat tidak hanya bersembahyang atau berpuasa semata-mata. Sebagai penulis kita juga harus merebut peluang ini untuk melipatgandakan hasil penulisan kita. Bukankah hasil penulisan yang baik akan mendorong umat mengerjakan kebaikan?

Keputusan Sayembara Menulis Novel, Cerpen dan Sajak anjuran ITBM-BH-PENA

AR terpanggil untuk memberikan penjelasan mengenai isu yang ditulis oleh AR sekembalinya AR daripada mengerjakan ibadat umrah. Ini kerana ramai yang cuba menghubungi AR untuk mendapatkan keputusan tersebut. Ingin AR jelaskan iaitu AR cuma dihubungi untuk menandatangani perjanjian penerbitan novel bersama ITBM. AR sendiri tidak tahu akan keputusan sayembara tersebut. Keputusan sayembara tersebut khabarnya akan hanya diumumkan pada hari penyampaian hadiah yang masih lagi tidak diketahui tarikhnya. Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh orang nombor 1 atau no 2 negara. Mulanya majlis itu akan diadakan bersempena pesta buku antarabangsa KL namun PRU13 muncul menyebabkan majlis tersebut terpaksa ditunda. Kepada mereka yang ada menghantar karya novel, cerpen atau sajak untuk menyertai sayembara ini, AR harap mereka dapat bersabar. Sama-samalah kita menantikan pengumuman rasmi tersebut. Penulis yang menyertai sayembara itu diingatkan agar tidak menghantar karya mereka kepada mana-mana penerbit lain sehingga pengumuman rasmi dibuat. Ingatan ini juga untuk diri AR. Walau apa pun keputusannya sama-samalah kita nantikan bersama.

14 June 2013

Dapatan Kajian Penawaran Subjek Kesusasteraan Melayu Di Sekolah-Sekolah


Antara dapatan kajian yang telah diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan 2013
 
2.0 Bilangan Sekolah dan Murid Yang Mengambil Subjek Kesusasteraan Melayu Di Negeri Melaka.
Subjek Kesusasteraan Melayu merupakan subjek elektif pada peringkat SPM. Bilangan sekolah yang menawarkan serta murid yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM dalam jangka masa 10 tahun kebelakangan ini diharap dapat menunjukkan permasalahan bermakna mengenai subjek Kesusasteraan Melayu yang menjadi fokus penulisan ini.
2.1 Data sekolah dan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka (2002-2011)

JUMLAH SEKOLAH DAN MURID YANG MENGAMBIL MATA PELAJARAN

 KESUSASTERAAN MELAYU SPM DI NEGERI MELAKA (2002-2011)

TAHUN
2002
2003
2004
2005
2006
2007
2008
2009
2010
2011
BIL SEKOLAH
40
38
37
30
33
23
20
17
15
15
BILANGAN MURID
2244
1687
1532
1245
1054
760
766
686
722
537

(Sumber: Analisa Buku Laporan Keputusan SPM dan JPN Melaka)

Jadual menunjukkan jumlah sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu serta bilangan murid yang mengambil Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka dari 2002-2011.

Berdasarkan data yang terdapat dalam jadual di atas didapati berlaku penurunan yang ketara dari aspek bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu serta bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu dalam masa 10 tahun.

Pada tahun 2002, terdapat 40 buah sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM namun pada tahun 2011 cuma terdapat 15 buah sekolah sahaja yang masih menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu untuk calon SPM. Ini menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 64.5% dari segi bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka dalam jangka masa 10 tahun.

Bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM juga didapati berkurangan. Pada tahun 2002 terdapat 2,244 calon SPM yang menduduki kertas peperiksaan Kesusasteraan Melayu. Namun begitu pada tahun 2011 hanya terdapat 537 calon sahaja yang mengambil kertas Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka. Hal ini menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 76.1% dari segi bilangan calon yang menduduki kertas peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM di negeri Melaka.

Secara keseluruhannya dalam masa 10 tahun sejak  2002 berlaku penurunan bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM di negeri Melaka. Selain itu bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM juga telah berkurangan sejak tahun 2002 hingga tahun 2011. Hal ini menunjukkan bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu semakin berkurangan dan ia berkait rapat dengan bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin berkurangan di negeri Melaka.

2.2 Dapatan Kajian

Dapatan kajian berdasarkan data 2.1 menunjukkan sepanjang 10 tahun iaitu bermula 2002 hingga 2011, telah berlaku penurunan sebanyak 64.5% dari segi bilangan sekolah di negeri Melaka yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu. Akibat penurunan sebanyak 64.5% ini juga telah menyebabkan bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka telah berkurangan sebanyak 76.1% dalam tempoh yang sama.

Subjek Kesusasteraan Melayu merupakan subjek elektif pada peringkat SPM. Akibat sifatnya yang merupakan subjek elektif maka murid bebas untuk mengambil atau tidak subjek tersebut bagi tujuan peperiksaan SPM. Sebagaimana yang termaklum, murid yang mendapat keputusan cemerlang pada peringkat PMR akan dimasukkan ke dalam aliran sains manakala bakinya akan dimasukkan ke dalam aliran sastera. Ini diakibatkan oleh dasar kerajaan yang memperkenalkan nisbah 60:40. Kerajaan berhasrat menjadikan negara ini sebagai negara berteraskan sains & teknologi sebab itulah KPM dipertanggungjawabkan untuk memastikan nisbah 60 peratus murid masuk aliran sains manakala baki 40 peratus mengikuti jurusan sastera. Oleh kerana murid-murid cemerlang dikelompokkan sebagai murid sains maka bakinya dianggap sebagai murid lemah iaitu murid aliran sastera. Hal ini memberikan impak terhadap persepsi warga sekolah dan masyarakat terhadap murid dalam jurusan sastera.

Murid lemah dianggap sebagai penyumbang kepada penurunan prestasi peperiksaan sekolah. Murid yang lemah juga dianggap sebagai penyumbang terbesar masalah disiplin sekolah. Ini kerana murid lemah tidak dapat memberikan fokus terhadap pelajaran. Mereka melakukan salah laku untuk mendapatkan perhatian. Istilah ‘murid mata merah’ dilabelkan kepada murid yang mengambil jurusan sastera. Hal ini dikaitkan dengan mereka yang dimasukkan ke dalam jurusan sastera ialah murid yang tidak suka membaca, tidak suka belajar, suka tidur di dalam kelas atau suka menimbulkan masalah disiplin di dalam sekolah. Apakah implikasi label ini dan apakah kaitannya dengan bilangan sekolah menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin mengecil serta bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin berkurang?

Kuasa membuka atau menutup kelas Kesusasteraan Melayu SPM terletak di bawah bidang kuasa pengetua sekolah. Seseorang pengetua boleh menggunakan budibicaranya untuk menutup kelas Kesusasteraan Melayu di sekolahnya. Dengan kuasa yang ada ini telah memberikan kesan yang besar terhadap penurunan bilangan sekolah yang menawar subjek Kesusasteraan Melayu seterusnya menurunkan jumlah murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memberikan penegasan supaya sekolah menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu kerana kebanyakan pengetua memilih untuk tidak berbuat demikian (Mohamad Salleh : 2012).

Penutupan kelas sastera berkait dengan usaha meningkatkan prestasi akademik sekolah. Anggapan bahawa murid sastera menyumbang kepada penurunan prestasi dari segi kualiti dan kuantiti  menyebabkan penutupan kelas sastera. Selain itu usaha terdesak bagi mengurangkan masalah disiplin dilakukan dengan menutup kelas sastera. Murid yang tidak dapat memberikan fokus terhadap pelajaran dan sering menimbulkan masalah sering dikaitkan dengan murid aliran sastera. Namun ada juga yang menggunakan istilah ‘pakej’ bagi mewajarkan tindakan ini. Kelas sastera terpaksa ditutup bagi memudahkan pihak sekolah menawarkan pakej mata pelajaran kepada murid dan yang menjadi mangsa ialah kelas Kesusasteraan Melayu.

Terdapat juga tanggapan bahawa mata pelajaran sastera tidak menjanjikan masa depan yang cerah selain melahirkan murid yang suka berangan-angan dengan dibuai perasaan semata-mata. Bagi guru yang mempunyai latar belakang pendidikan sastera di universiti pula mereka tidak mahu mengajar sastera sebaliknya tugas ini terpaksa dipikul oleh mereka yang bukan opsyen sastera.

Kesimpulannya terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penutupan kelas Kesusasteraan Melayu. Biarpun belum ada kajian saintifik bagi mengenalpasti puncanya namun sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kelas Kesusasteraan Melayu tidak hilang dari negeri Melaka sebagaimana berlaku di beberapa buah negeri lain di Malaysia.

3.0  Perubahan Persepsi Terhadap Subjek Kesusasteraan Melayu

Perubahan persepsi harus dilaksanakan bagi memastikan subjek Kesusasteraan Melayu kekal ditawarkan di sekolah-sekolah. Bagi mengubah persepsi ini semua pihak bertanggungjawab untuk melaksanakannya.  Perubahan persepsi ini bertujuan menyedarkan pihak pembuat keputusan, pihak pelaksana, kaunselor, murid dan pencinta ilmu agar faham objektif  P&P Kesusasteraan Melayu di sekolah. Selain itu ia juga bertujuan memartabatkan subjek Kesusasteraan Melayu agar menjadi subjek pilihan utama murid di alam persekolahan semoga hasrat menjadikan sistem pendidikan negara gemilang akan terlaksana.

3.1  Kesusasteraan Melayu Sebagai Suatu Kesedaran Kelangsungan Peradaban Bangsa

Belajar Kesusasteraan Melayu bererti melihat rakaman sejarah hidup dan pengalaman masyarakat Melayu seusia dengan kewujudan Melayu itu sendiri. Tidak banyak yang diketahui dan diberitakan kepada masyarakat kita pada hari ini mengenai kehebatan, kekuatan, ketinggian peribadi dan keterlibatan bangsa Melayu dalam sejarah peradaban tanpa merujuk kepada khazanah kesusasteraan melayu itu sendiri. Dengan meneliti khazanah kesusasteraan yang terhasil daripada tradisi lisan dan tulisan sejak zaman berzaman, masyarakat hari ini dapat menghayati dan memahami kehebatan bangsa Melayu yang terbina daripada peradabannya (Abdul Halim Ali : 2012).

      Kesedaran peri pentingnya belajar Kesusasteraan Melayu sebagai melihat rakaman peradaban bangsa Melayu yang unggul suatu ketika dahulu akan dapat menyemai perasaan bangga akan peradaban bangsa. Penelitian teks sastera secara tidak langsung melihat khazanah bangsa dan seterusnya memberi ruang kepada murid untuk menjiwai watak yang terdapat dalam khazanah tersebut. Adnan Khamis dan F.P Chew (1998) menyatakan sastera negara ini memainkan peranan membina unsur-unsur patriotisma, membina watak kepahlawanan dan kebanggaan nasional.

3.2  Kesusasteraan  Melayu sebagai alat integrasi nasional.

Negara Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk. Perpaduan menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan negara. Penyata Razak menyatakan tujuan utama dasar pendidikan di Malaysia ialah untuk menyatukan pelajar-pelajar daripada semua bangsa dengan memakai satu sistem pendidikan yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (Penyata Razak 1956).

      Kajian yang dijalankan oleh Adnan (1990) memperlihatkan sastera kebangsaan sudah merentasi batasan yang terfokus kepada lingkungan Melayu kepada alam bukan Melayu. Seterusnya sastera kebangsaan telah melangkaui batas-batas pemikiran yang terkongkong daripada persoalan Melayu kepada persoalan nasional yang mengaitkan isu-isu hubungan kaum, toleransi dan muhibah. Malahan sastera kebangsaan menunjukkan peranan perpaduan nasional melalui sastera merentas batas-batas etnik, taraf sosial ekonomi dan lokasi.

 Kesimpulannya Kesusasteraan Melayu berperanan penting dalam memupuk integrasi nasional. Kesusasteraan Melayu bukan difokuskan kepada orang-orang Melayu semata-mata tetapi sudah merentas batas nasional.  Sifat Kesusasteraan Melayu yang merentas batas nasional ini membolehkan integrasi nasional dipupuk di dalam sistem pendidikan negara ini.

3.3  Kesedaran bahawa Kesusasteraan Melayu sebagai cara melahirkan negara bangsa.

Menurut Jurij Hj Yahya (1991) konsep negara bangsa telah diperkenalkan oleh Ibnu Khaldun sebagai suatu teori sosial yang dinamakan sebagai “assabiyyah” yang bermaksud semangat kebangsaan. Semangat ini agak mirip kepada semangat nasionalisme yang dari segi definisi politiknya adalah “perasaan cintakan bangsa dan negara sendiri iaitu kasih sayang yang tidak berbelah bahagi”. Ibnu Khaldun percaya bahawa kekuasaan dan kedaulatan sesebuah negara itu tercetus daripada semangat “assabiyyah” atau semangat nasionalisme ini (Noraini Md.Yusof, Noraza Ahmad Zabidi & Supyan Hussin, 1998)

Ghazali Shafie (1995) berpendapat pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ bermaksud seseorang yang mengenal dirinya sebagai bangsa Malaysia yang berlandaskan ‘kerakyatan Malaysia’ yakni seseorang rakyat Malaysia tanpa mengira apa keturunannya mengaku dirinya tidak lain dan tidak bukan sebagai ‘Bangsa Malaysia’ dan berasakan dia mempunyai kebudayaan Malaysia sendiri. Dalam sanubari, bukan dari segi undang-undang, “warga” dan “negara” dipersatukan.  Konsep negara bangsa dalam konteks negara Malaysia ialah masyarakat yang penyayang, bersatu, bermoral, berkeyakinan diri, beretika, bersikap adil, serta mengamalkan cara hidup yang demokratik, toleran dan progresif.

Dalam sistem pendidikan, sastera kebangsaan dapat membina peradaban bangsa melalui ilmu, kemahiran dan nilai yang diserapkan melalui kurikulum. Teks sastera merupakan bahan P&P yang menjadi cerminan kepada budaya masyarakat Malaysia pelbagai kaum. Sastera juga menjadi alat perpaduan ke arah membina bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan nilai kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dengan bakat dan nilai seni seperti yang terdapat di dalam sesebuah teks sastera . Sastera bukan sahaja bertindak sebagai pencetus kreativiti tetapi juga menjadi alat penyuburan terhadap semangat patriotisme. Semangat inilah yang akhirnya akan menjadikan murid itu insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, sekali gus membentuk peradaban bangsa Malaysia (Mohamad Nor Mohamad Taib, 2012).

Tuntasnya pihak pembuat dan pelaksana keputusan sewajarnya faham akan tanggungjawab berat yang dipikul oleh kurikulum Kesusasteraan Melayu. Usaha melahirkan negara bangsa melalui kurikulum Kesusasteraan Melayu patut digalakkan dengan menggiatkan pembukaan kelas Kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah agar usaha melahirkan  negara bangsa akan mudah tercapai.

3.4 Persepsi Terhadap P&P Kesusasteraan Melayu

Umum mengetahui terdapat banyak teks yang harus ‘dihadamkan’ oleh pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM. Mulai tahun 2011 murid harus mengkaji teks Bacalah Dalam Bahasamu Jilid A, Bacalah Dalam Bahasamu Jilid B, Hati Terkenang Mulut Menyebut dan Restu. Dalam masa dua tahun murid harus mengkaji karya-karya yang ditetapkan. Terdapat guru Kesusasteraan Melayu yang mengambil jalan mudah dengan mengajar menggunakan kaedah tradisional  melalui teknik hafalan. Akibatnya murid tidak dapat menghayati sesebuah karya sehingga menyebabkan murid mudah bosan.

Telah banyak diperkatakan oleh pengkaji-pengkaji penjurusan yang bersifat intrinsik. Kaedah pengajaran secara intrinsik menjadikan mata pelajaran sastera kebangsaan kurang daya tarikannya yang sekaligus membawa kepada kemerosotan minat guru dan murid. Lebih-lebih lagi sastera bukan mata pelajaran teras sebaliknya sebagai mata pelajaran elektif. Kaedah pengajaran yang terberat ke arah pengajaran intrinsik membawa kesan sampingan ke arah menyempitkan hala tuju sastera kebangsaan ini ( Adnan Kamis & F.P Chew, 1998).

Kajian oleh Misran Rukimin (1997) menunjukkan penumpuan pengajaran yang memberatkan kaedah intrinsik menjadikan sastera tidak terdedah kepada hal-hal luaran yang lebih penting dan bersifat global. Sastera tidak dilihat dari sudut yang boleh membangunkan negara atau membina minda insan dan kemanusiaan. Oleh yang demikian sastera yang diajarkan di sekolah oleh guru tidak dapat memenuhi keperluan-keperluan tersebut.

Punya Mishra dan Matthew J.Koehler  dalam Rozaiman Makmun et al. (2011) menggariskan lima langkah yang harus dipatuhi oleh guru Kesusasteraan Melayu untuk mengajar subjek Kesusasteraan Melayu berdasarkan Pengetahuan Teknologi Pedagogikal Kandungan. Pengetahuan Teknologi Pedagogikal Kandungan ini dikembangkan daripada idea asal yang diketengahkan oleh Shulman iaitu Pengetahuan Pedagogikal Kandungan. Punya Mishra dan Matthew J.Koehler menyatakan terdapat lima jenis pengetahuan yang saling berhubungan yang harus dimainkan peranannya oleh guru sastera. Lima jenis pengetahuan yang dimaksudkan ialah pengetahuan isi kandungan, pengetahuan aspek pedagogikal, pengetahuan latar belakang dan kesediaan murid, pengetahuan kaedah pentaksiran dan pengetahuan teknologi bagi tujuan penyampaian ilmu.

Guru Kesusasteraan Melayu harus ada pengetahuan mengenai isi kandungan subjek yang diajarkan. Guru Kesusasteraan Melayu harus peka terhadap kehendak Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Selain daripada itu guru Kesusasteraan Melayu haruslah dapat menyesuaikan diri dengan karya-karya sastera yang terpilih. 
Pengetahuan mengenai aspek pedagogi perlu dikuasai oleh guru Kesusasteraan Melayu. Selain ilmu pedagogi yang diperoleh di universiti bagi mendapatkan segulung ijazah atau diploma pendidikan, guru juga harus bersedia mempelajari kaedah pedagogi terkini melalui kursus-kursus yang dianjurkan. Guru Kesusasteraan Melayu harus bergerak seiring dengan perubahan masa. Mereka tidak harus berada di takuk lama dengan mengajar menggunakan kaedah yang lama. Guru Kesusasteraan Melayu harus bersedia menggunakan kaedah-kaedah pedagogi terkini bagi memastikan P&P yang dijalankan akan mencapai objektif yang dirancang. Menurut Juriah Long (1998), guru seharusnya menguasai kaedah pengajaran yang lebih bersistem, dinamik dan memberikan peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif. Oleh yang demikian segala pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti pembelajaran murid hendaklah diubah daripada cara tradisional kepada cara yang lebih inovatif, proaktif dan dinamik serta menggalakkan gaya pembelajaran akses kendiri, konstruktif, pembelajaran aktif, koperatif, kolaboratif, inkuiri dan seumpamanya yang lebih berfokuskan murid (Rozaiman Makmun et al, 2011)

Pengetahuan latar belakang dan kesediaan murid harus diambil berat oleh guru Kesusasteraan Melayu ketika merancang pengajaran. Perbezaan dalam kebolehan kognitif, afektif dan fizikal murid merupakan pembolehubah terpenting dalam merancang program P&P. Selain itu perbezaan yang disebabkan oleh gender, budaya, potensi kreativiti dan tahap penerimaan murid akan mempunyai kesan terhadap guru. Guru seharusnya tahu apakah stail pembelajaran, minat dan kebolehan yang diperlukan oleh murid (Paul R.Burden & David M.Byrd, 1994). Guru yang dapat menyediakan maklumat latar belakang dan kesediaan belajar murid akan dapat membantu muridnya untuk menguasai pengajaran yang akan dilaksanakan. Menurut Abd. Ghafar (2003), kesediaan belajar murid, antaranya boleh dipengaruhi oleh kematangan fizikal dan mental, pengalaman dan pengetahuan sedia ada, kemahiran asas, mengekalkan perhatian; dorongan atau motivasi, serta aspek sosial dan persekitaran. Lebih berpusatkan murid bermakna murid perlu dididik agar tidak terlalu bergantung kepada guru, nota dan buku teks. Murid digalakkan mencari maklumat di luar bilik darjah, khususnya melalui rujukan melalui bacaan tambahan, perpustakaan, rujukan lapangan dan internet.

Pengetahuan bagi kaedah pentaksiran penting sebagai cara untuk mengetahui sejauh

mana objektif pendidikan tercapai selain membantu guru mengetahui tahap kebolehan murid secara individu (Ahmann & Glock, 1981). Pentaksiran merupakan suatu cara untuk melihat kebolehan murid menguasai apa yang diajarkan oleh guru. Ia juga merupakan kaedah bagi guru merancang pengajaran yang berikutnya. Kaedah pentaksiran yang berkesan akan dapat memudahkan guru membawa kejayaan buat murid yang diajar. Sehubungan dengan itu guru harus merancang ujian diagnostik, ujian formatif dan ujian sumatif dengan baik. Ini bagi memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu dapat dicapai dengan baik.

Dalam zaman ICT, guru Kesusasteraan Melayu harus punya pengetahuan teknologi

bagi tujuan penyampaian ilmu. Biarpun ada tanggapan mengatakan guru Kesusasteraan Melayu tidak perlu menggunakan ICT sewaktu mengajar kerana Kesusasteraan Melayu hanyalah berkisar kepada manuskrip lama namun tanggapan ini harus disanggah. Ledakan teknologi maklumat memberikan implikasi dan kesan kepada dunia pendidikan khususnya dari sudut pemerolehan pembelajaran. Lazimnya maklumat yang diperoleh akan kekal sebanyak 20% daripada apa yang dilihat, 30% daripada apa yang didengar, 50% daripada apa yang dilihat dan didengar serta mencecah 80% jika dilihat, didengar dan melaksanakan aktiviti secara serentak. Berdasarkan pecahan ini bermakna pembelajaran yang dijalankan melalui internet amat berkesan kerana ia melibatkan integrasi perlakuan tersebut dalam memperoleh maklumat. Internet dapat berfungsi sebagai pusat penerbitan sumber maklumat, ruang diskusi, alat komunikasi, alat forum serta sebagai alat penyelidikan. Kepelbagaian yang ada menjadikan internet sebagai wadah lebuh raya maklumat yang wajar dimanfaatkan oleh guru Kesusasteraan Melayu. Internet juga menjadi sumber bahan pembelajaran, bahan rujukan, rancangan pelajaran, koleksi perpustakaan, perisian, maklumat projek atau aktiviti, majalah, buku, akhbar dan jurnal. Kesemuanya ini dapat dicapai oleh guru Kesusasteraan Melayu atau murid menerusi aplikasi world wide web, mel-elektronik, kumpulan diskusi elektronik, Internet Relay Chat, telesidang, telefon internet dan lain-lain lagi. Melaluinya guru Kesusasteraan Melayu dan murid berkemampuan untuk melaksanakan program untuk tujuan berkomunikasi, “browsing”, mencari maklumat, selain meningkatkan kreativiti (Mohd Sarif Abd Manaf et al, 1998).

11 June 2013

Jurnal Pendidikan 2013 : Abstrak Kajian Subjek Kesusasteraan Melayu SPM



MENGUBAH PERSEPSI TERHADAP SUBJEK KESUSASTERAAN MELAYU
KE ARAH KECEMERLANGAN PENDIDIKAN NEGARA



ABSTRAK
Subjek Kesusasteraan Melayu merupakan subjek elektif pada peringkat SPM. Oleh hal yang demikian penawaran subjek Kesusasteraan Melayu kepada murid SPM tidak dibuat secara serius. Dalam masa sepuluh tahun telah berlaku penurunan sebanyak 62.5% dari segi bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka. Ekoran itu bilangan murid yang menduduki mata pelajaran Kesusasteraan Melayu SPM di negeri Melaka bagi tempoh masa yang sama turut merosot sebanyak 76.1%. Persepsi pembuat dan pelaksana keputusan, guru, murid dan masyarakat harus diubah terhadap subjek Kesusasteraan Melayu. Subjek Kesusasteraan Melayu mampu bertindak sebagai alat kelangsungan peradaban bangsa, pemupukan integrasi nasional dan melahirkan negara bangsa. Kesemuanya ini dapat dicapai dengan menggunakan Pengajaran dan Pembelajaran berkesan.