A. Razak Adam : Bercerita Tentang Usahawan Cilik
oleh Helmi • 26 Jun 2010 4:26 PMMewujudkan budaya keusahawanan kepada remaja.
Umum mengetahui bahawa kerajaan sedang menerapkan budaya keusahawanan kepada rakyat Malaysia. Atas faktor ini maka lahirlah Siri Usahawan Cilik. Buku-buku keusahawanan yang berada di pasaran semuanya mensasarkan golongan dewasa. Ini nampaknya tidak adil kerana kita sebenarnya menidakkan golongan remaja yang punya semangat untuk berniaga. Semangat ingin mencuba yang ada dalam setiap diri remaja berkehendakkan suatu cabaran dan cabaran ini boleh diperoleh melalui penglibatan dalam dunia perniagaan.
Menghapuskan mitos tentang bidang perniagaan
Ramai ibu bapa yang tidak mahu anak mereka melibatkan diri dalam perniagaan terutamanya masyarakat bumiputera. Kebanyakan mereka lebih suka anak mereka bekerja makan gaji. Kini zaman sudah berubah. Masyarakat bumiputera perlu menerima hakikat anak-anak mereka tidak harus mewarisi pemikiran turun temurun kerja makan gaji. Mereka harus membuka pilihan sekiranya anak-anak mereka ingin terlibat dalam dunia perniagaan. Siri Usahawan Cilik ini ingin membuka minda masyarakat walaupun perniagaan itu punya risiko tersendiri namun sekiranya dijalankan dengan amanah, rajin dan bertangungjawab maka perniagaan mereka pasti akan mendatangkan keuntungan. Penerapan nilai-nilai baik untuk berniaga ini harus bermula dari awal lagi dan langkah penerapan ketika masih remaja dianggap membentuk usahawan yang berjaya.
Membuka minda remaja berkenaan peluang-peluang perniagaan.
Apabila dikatakan berniaga maka seringkali masyarakat kita dipertontonkan mengenai bisnes yang besar-besaran, modal yang banyak, untung berjuta-juta, bangkrap, perkelahian rakan kongsi dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung membentuk persepsi negatif masyarakat aabila dikatakan mengenai keusahawanan. Siri Usahawan Cilik ini mengajak remaja bagi menyelesaikan masalah sekeliling, mencari sumber terdekat, bekerjasama mengenal pasti potensi perniagaan, bersifat lokal, pengurusan sumber tempatan secara efektif dan berurusan dengan agensi yang terlibat secara bijaksana. Remaja tidak perlu memikirkan mengenai bisnes yang bermodal besar. Siri Usahawan Cilik mengajak pembaca remaja menghargai bakat dan kemahiran mereka untuk digilap. Mereka juga diajar untuk menghargai alam sekeliling mereka untuk dijadikan suatu landasan membangunkan masyarakat. Secara tidak langsung membentuk remaja yang sensitif akan isu-isu yang berlaku pada masyarakat sekeliling mereka.
Membentuk Model Remaja Malaysia
Remaja yang beridentiti diperlukan. Persoalannya apakah yang ingin ditunjukkan mengenai remaja Malaysia kepada masyarakat luar? Model remaja berwawasan boleh diketengahkan. Remaja berwawasan dapat dijadikan ikon sama ada oleh remaja di negara kita ataupun remaja luar. Penerimaan novel Siri Usahawan Muda untuk dilesenkan ke Indonesia menunjukkan kepada kita bahwa remaja berwawasan mampu dijadikan ikon dalam membangunkan masyarakat setempat dan seterusnya mampu merubah pemikiran remaja serantau dalam usaha membawa perubahan kepada ekonomi masyarakat sekelilingnya. Pengurangan jumlah pengangguran akan dapat membawa kesejahteraan kepada negara. Limpahan kesejahteraan ini secara tidak langsung mampu mengangkat martabat bangsa dan negara.
Mempelbagaikan Tema Novel
Novel-novel untuk remaja banyak bertemakan cinta dan penyiasatan. Seolah-olah remaja kita hanya berpaksikan cinta dan siasatan sahaja. Tanpa kita sedari kita membentuk jiwa remaja yang leka dengan bercinta dan berminat menyelesaikan masalah semata-mata. Siri Usahawan Cilik membantu remaja mencipta penyelesaian masalah, mengenalpasti masalah, membuat analisis, kreatif dalam membuat pilihan dan seterusnya mampu berfikir. Ciri-ciri remaja sebegini amat diperlukan dalam meniti era globalisasi. Remaja kita tidak boleh dibiarkan berfikir seperti dahulu. Remaja Malaysia sama-sama bersaing dengan masyarakat antarabangsa dalam dunia tanpa sempadan. Jiwa remaja yang kental dan punya ciri-ciri remaja universal akan dapat membantu remaja Malaysia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan remaja negara maju yang lain. Sekiranya ciri-ciri universal ini tidak diikuti maka remaja kita dikhuatiri akan punya pemikiran mundur. Hal ini secara tidak langsung memberikan gambaran buruk kepada kepimpinan negara pada masa depan.
Kesimpulan
Tuntasnya, dengan sambutan tinggi terhadap Siri Usahawan Cilik dapat memberi isyarat kepada kita betapa masyarakat sudah mula sedar akan keperluan pada novel bertemakan semangat keusahawanan. Biarpun persaingan dengan novel remaja yang lain agak sengit namun novel Siri Usahawan Cilik punya kelas yang tersendiri. Kemampuan mengungkapkan bidang keusahawanan serta menjanjikan pulangan dapat memastikan penerimaan berterusan oleh masyarakat pembaca.
Artikel ini pernah disiarkan dalam Majalah PTS Legasi
No comments:
Post a Comment