09 October 2011

Ibadat Haji

InsyaAllah AR akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini. AR akan bertolak menggunakan KT36 pada 10.10.2011 hingga 24.11.2011. Pada kesempatan ini AR ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan dan doakan semoga AR dan isteri memperoleh haji mabrur.

01 October 2011

Bicara Karya

Hari ini AR mengikuti acara bedah karya di Dewan Tun Fatimah, IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Dewan penuh sesak dengan peserta yang ingin mendengar atau mendapatkan pengalaman bagaimana acara bedah karya itu dijalankan. Terdapat dua golongan peserta iaitu orang muda yang terdiri daripada penuntut IPG dan orang lama yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan penulis iaitu IPM dan PENAMA yang agak ramai juga menghadirkan diri. Sekalung tahniah atas usaha penganjur majlis ini.
Karya pertama yang terpilih ialah Antologi Puisi Iga yang ditulis oleh Zaen Kasturi pada 2005. Karya ini telah dibicarakan oleh Pensyarah UPM iaitu Shamsuddin Othman.(maaf sebab sebelum ini berlaku kesilapan ejaan, terima kasih kepada pembaca blog yang peka dan sudi memaklumkan kepada AR)
Karya kedua yang terpilih ialah Antologi Cerpen Masitah yang ditulis oleh Mawar Shafie. Karya ini telah dibicarakan oleh bekas peguam merangkap penulis iaitu Puan Nisah Haron.
Karya ketiga ialah Novel Wajah Rahsia yang ditulis oleh Puan Hanita Hassan. Karya beliau telah dibicarakan oleh pensyarah IPG Melaka iaitu Mohamad Musip.
Secara keseluruhannya AR agak berpuas hati dengan cara bicara karya itu berjalan tambahan pula mendapat sentuhan pengerusi majlis yang berpengalaman iaitu Tn Hj Mohd Zazmi Mohd Zin iaitu Ketua Bahagian Rancangan Radio Malaysia Melaka FM. Semoga acara ilmu ini lebih kerap diadakan di Melaka.