26 April 2015

Novel Cemeh - Abd Razak Adam

Alhamdulillah. Inilah novel terbaru AR yang telah diterbitkan oleh ITBM. Novel ini terbit sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015. InsyaAllah esok AR akan pergi ke PBAKL 2015 di PWTC. Hasrat hendak melihat buku terbaru. Perasaan ini umpama perasaan ingin melihat anak baru dan rasanya semua penulis begitu iaitu ada rasa teruja setiap kali ingin melihat buku mereka. Novel ini merupakan buku yang kesebelas yang telah dihasilkan oleh AR secara perseorangan iaitu 10 buah novel dan sebuah kumpulan cerpen.
Cemeh? Cemeh bermaksud buta iaitu suatu bentuk sindiran terhadap mereka yang celik. Seorang buta yang sanggup bersusah payah untuk mengekalkan warisan tradisi Melayu. Berjayakah Lebai Awang mengekalkan seni warisan bangsanya? Bagaimana pula dengan usaha yang telah dibuat oleh Salahuddin yang sedang belajar di Australia? Bagaimana pula penerimaan masyarakat luar terhadap seni budaya masyarakat melayu ini? Untuk mengetahui lebih lanjut lagi maka dapatkan Novel Cemeh yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM)

23 April 2015

Tema Dan Persoalan Novel Pantai Kasih




TEMA NOVEL PANTAI KASIH

Tema novel Pantai Kasih ialah ketabahan hati seorang wanita menghadapi pelbagai rintangan dalam menempuh kehidupnya.

Antara contoh ketabahan hati wanita ini dalam menempuh ranjau kehidupannya ialah,

Tabah menghadapi kematian anak perempuannya
Doktor Raiha tabah menghadapi kematian anak perempuannya. Anak perempuan tunggalnya itu adalah seorang anak istimewa yang menghidapi ‘down sindrom’. Sejak mengetahui keadaan anaknya dalam kandungan, suaminya meminta agar kandungan itu digugurkan, namun Raiha tetap mahu melahirkan anak tersebut walaupun mendapat tentangan daripada suaminya. Selain diminta agar anak tersebut dihantar ke asrama yang mengasuh anak istimewa seperti Rohayu atau Ayu itu, namun Raiha bertegas untuk memelihara sendiri dan menghabiskan masa dengan anaknya itu menyebabkan Doktor Sadiz berada kecewa kerana isterinya itu melebihkan anaknya daripada dia. Kedegilan Raiha menyebabkan suaminya berasa marah dan membakar kereta mewah yang dibawa oleh Raiha untuk melarikan diri. Tiba-tiba kanak-kanak istimewa itu berada di tempat kejadian dan tidak semena-mena tersambar api kereta yang sedang marak itu sehingga rentung. Kematian anaknya itu amat menyiksakan jiwa Raiha yang tetap menyalahkan bahawa Doktor Sadizlah dengan sengaja membakar anaknya itu.

Tabah menghadapi kegagalan rumah tangganya
Kegagalan rumah tangga antara Raiha dan suaminya Doktor Sadiz disebabkan keenganan Raiha mendengar nasihat suaminya agar menggugurkan kandungannya yang didapati cacat atau ‘down sinDoktorom’. Raiha juga melebihkan perhatian kepada anaknya apabila sudah dilahirkan menyebabkan kemarahan suamnya berganda. Kejadian kematian anaknya akibat disambar api kereta mewah yang sedang marah merupakan kemuncak kemarahan suaminya, apatah lagi setelah bekas suaminya menang kes dalam mahkamah dalam menentukan kesalahan siapakah punca kematian anaknya itu. Akibat saksi utama tidak muncul dalam perbicaran, bekas suaminya yang menggantung perkahwinannya sehingga akhir hayat menang dalam kes tersebut dalam perbicaran di mahkamah keluarga, dengan bangga dan sinis senyum dan melafazkan dia tidak akan melepaskan Raiha melainkan meninggalkannya tergantung-gantung sepanjang hayatnya. Kegagalan dalam rumah tangga itu dihadapi dengan tabah walaupun sanak saudaranya pada peringkat awal menyokongnya tetapi semakin berkurangan selepas peristiwa itu.

Tabah menghadapi bangkangan ayahnya untuk menjadi pakar bedah
Raiha tabah menghadapi bangkangan ayahnya terhadap cita-citanya hendak menjadi pakar bedah. Ayahnya berkeras agar Raiha tidak meneruskan niat untuk menjadi pakar bedah sepertinya kerana beranggapan bahawa tugas sebagai seorang pakar bedah hanya mampu dilakukan oleh orang lelaki sahaja yang tahan dari segi fizikal dan mental. Namun pandangan ayahnya itu dibangkang oleh Raiha dan meneruskan ketekunan belajar untuk menjadi seorang pakar bedah yang Berjaya. Selepas berkhidmat dalam bidang itu di sebuah hospital kerajaan akhirnya selepas beberapa tahun Raiha mengambil keputusan menerima pelawaan untuk bekerja di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Tabah menerima tugas membedah
Raiha tabah menerima tugas membedah Unong Siron walaupun tahu sepatutnya pembedahan tersebut dilakukan oleh Doktor Uwang tetapi atas kepercayaan yang diberikan menjadikan dia setuju untuk membedah pesakit itu buat kali keenam. Dia melakukan dengan sebaik mungkin supaya Unong Siron akan dapat mengakhiri penderitaan kesakitannya selepas itu. Raiha juga tabah dalam membuat keputusan untuk membedah Doktor Uwang yang mengalami kecederaan teruk pada pergelangan tangan dan temurung lutut doktor itu supaya dapat menyelamatkan doktor itu yang mengalami kemalangan selepas merempoh tembok Pusat Rawatan Kasih.

Tabah menghadapi penceroboh
Apabila Pantai Kasih diceroboh oleh seorang pemuda berumur dua puluhan yang merupakan bekas pelajar peubatan yang tidak menamatkan pelajarannya, Raiha tabah dan mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut. Doktor palsu tersebut memang mencarinya dan melakukan panggilan palsu sebelum ini. Dalam saat getir menenangkan penceroboh tersebut dan setelah ditenangkan oleh ibu Unong Siron yang secara kebetulah mengenali pemuda itu, Raiha memberikan pendapat bahawa pemuda tersebut diminta membantunya merawat Unong Siron yang tenat di hospital lain. Pemuda tersebut bersetuju diiringi ke hospital tempat anak ibu Unong dirawat dan akhirnya diberkas.

Tabah menerima berita punca kematian anaknya.
Setelah beberapa peristiwa hitam yang dihadapi oleh Raiha sebelum ini menjadikan dia seorang yang tabah apabila mengetahui punca sebenar kematian anaknya selepas Sister Felicia Landosi menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Raiha tabah dengan berita punca kematian anaknya itu dan menganggap mereka adalah mangsa keadaan.


PERSOALAN NOVEL PANTAI KASIH

Terdapat banyak persoalan yang terkandung dalam novel ini. Antaranya;

1.      Persoalan tentang kepentingan diri melebihi kepentingan masyarakat.  
Sikap lebih mementingkan keuntungan syarikat digambarkan melalui watak Doktor Uwang yang tidak menghiraukan kesusahan pesakitnya Unong asalkan berkemampuan mendapatkan rawatan. Doktor Uwang juga sanggup menghantar anak perempuan tunggalnya duduk di sekolah berasrama seawal usia 7 tahun semata-mata untuk tidak menggangu rutin dan statusnya. Apatah lagi anak itu adalah hasil keterlanjurannya sedangkan dia memang tidak menginginkan anak apabila berumah tangga.

2.      Persoalan tentang sikap berfoya-foya di luar walaupun sudah berumah tangga.
Sikap Doktor Uwang yang masih berfoya-foya walaupun sudah berumah tangga menggambarkan bahawa dia seorang yang suka bebas dan tidak mahu dikongkong. Walaupun sudah berumah tangga tetapi beliau tetap mengunjungi kelab-kelab malam dan minum arak bersama-sama gadis pelayan dan kemudiannya berakhir ke ranjang. Namun sikapnya yang memastikan kebersihan setiap ‘isteri tidak sah’ menjadikan dia seorang yang pemilih. 

3.      Persoalan tentang tanggungjawab yang harus dipikul.
Raiha bersetuju untuk melakukan pembedahan ke atas Unong walaupun dia berasa bahawa Dokor Uwanglah yang selayaknya melakukan pembedahan tersebut. Raiha juga berasa bahawa menjadi tanggungjawabnya melakukan pembedahan ke atas Doktor Uwang yang cedera akibat kemalangan merempuh tempoh Pusat Rawatan Pantai Kasih. Dia terpanggil untuk melakukannya demi menyelamatkan nyawa doktor tersebut.

4.      Persoalan tentang sikap berani mengaku kesalahan.
Felecia mengaku kesalahannya Walaupun pada peringkat awal Felecia berasa sangat marah dengan emak Unong yang menuduhnya bersubahat menipu namun akhirnya Felecia mengakui kesalahannya itu dihadapan Raiha. Felicia juga mengakui bahawa dia tahu kejadian sebenar peristiwa yang meragut nyawa anak peremuan Raiha. Dia meminta maaf kerana merahsiakannya kerana takut.

5.      Persoalan tentang reda dengan ketentuan tuhan.
Walaupun Raiha sudah mengetahui punca kematian anaknya disebabkan sikap amarah bekas suaminya Doktor Sadiz yang membakar kereta Porsche tanpa menyedari kehadiran anaknya di situ namun Raiha reda dengan kejadian tersebut dan menganggap semua yang berlaku sebagai ketentuan tuhan dan mereka adalah mangsa keadaan. Dia tidak menyalah sesiapa termasuk Felicia sebaliknya  reda menerima berita tersebut.

6.      Persoalan tentang tabah menghadapi rintangan.
Raiha begitu tabah menerima rintangan dalam hidup. Ketabahan Raiha bermula dengan gangguan peristiwa hitam keruntuhan rumah tangganya. Walaupun dia dijadikan bahan tontonan sewaktu kes perbicaraan tersebut mendapat liputan media dan dia gagal dalam kes tersebut, namun dia meneruskan kehidupan dengan tabah. Dia juga tabah sewaktu ditempelak oleh Sister Felicia yang kurang berpuas hati dengan tindakannya menyebelahi emak Unong Siron. Walaupun Felicia tidak mengendahkan Raiha selepas kejadian itu dia tabah menghadapi Felicia kerana meraka bekerja sebumbung. Raiha juga tabah dan berhasrat untuk melupakan peristiwa dia mempersoalkan kewibawaan Doktor Uwang. Dia ingin memulakan hidup baru yang lebih selesa.

7.      Persoalan tentang keruntuhan rumah tangga.
Akibat keruntuhan institusi rumah tangga seseorang itu akan menghadapi trauma yang berpanjangan. Raiha sentiasa dibayangi kisah silam termasuk keruntuhan rumah tangganya. Sikap Doktor Sadiz yang dianggap keterlaluan memintannya menggugurkan kandungan mereka, dan juga menggantung Raiha tidak bertali selepas menang dalam kes perbicaraan menjadikan peristiwa hitam tersebut tidak luput dalam masa singkat.

8.      Persoalan tentang kasih sayang.
Raiha begitu sayang akan anaknya Rohayu walaupun didapati Rohayu cacat sebelum dilahirkan lagi. Baginya anaknya itu mempunyai hak untuk lahir dan mendapatkan kasih sayangnya. Selepas Rohayu dilahirkan, Raiha menghabiskan banyak masa melayani Rohayu berbanding bekas suaminya Doktor Sadiz yang mengharapkan agar anaknya itu dihantar ke pusat pejagaan jauh dari situ bagi mengelakkan taraf dan kewibawaannya dijadikan bahan perbincangan ramai. Raiha pula berasa kasih atas nasib yang menimpa Unong. 
 
ubahsuai daripada blog guru-guru BM

22 April 2015

Teka-Teki Keputusan Sayembara ITBM PENA BH 2 Terjawab.


KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH 2
KATEGORI NOVEL:
Hadiah Pertama (RM15,000 + medal + sijil)
Jong Chian Lai
Novel : Ah Fook
Hadiah Kedua (RM12,000 + medal + sijil)
Hasanuddin Md Isa
Novel : Sarjana Bangsa
Hadiah Ketiga (RM9,000 + medal + sijil)
Asari Ismail
Novel : Embargo
Hadiah Sagu hati (7 x RM3,000 + medal + sijil)
• Neor Razak Neor Hashim ( Berjalan di Negeri Suhad)
• Ruhaini Matdarin (Trivia)
• Amer Hmzah L. Kadir (Bedar Tanpa Laut)
• Nazri Hussein ( S.P.I.D.E.R Teori Sang Labah-Labah)
• Norhisham Mustaffa (Guran)
• Hafizah Iszahanid (Bukan Orang-Orang)
• Budiman Mahamood ( Galau)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:
Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy
Pascasejarah
Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Syahidatul Munirah Badrul Munir
Lela Rentaka
Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Jasni Matlani
Pembunuh Anarki
Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Abang Median Abang Said (Cacing di Dahi)
• Siti Salbiah Raduan (Segara Lazuardi)
• Hafizah Iszahanid ( Perempuan Berambut Merah)
• Nazri Hussein (Cahaya Pelita Nurani)
• Ruhaini Matdarin (Jenaka Si Darah Lagenda)
• Mohd Ali Salim (Kapal Perang)
• Haizir Othman (Siaran Radio Lewat Pagi)
KATEGORI KUMPULAN PUISI:
Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Muhammad Lutfi Ishak
Dondang Pembukaan
Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Mohd Rosli Nik Mat
Matahari Itu Jauh
Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Jasni Matlani
Dongeng Perkebunan
Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Ramli Selamat (Malam Hujan dan Oksimoron)
• Lim Kim Hui (Metamorfosis Kimchi)
• Zainal Abidin Suhaili (Merdeka Burung)
• Ramzah Dambul (Dari Cinta kepada CInta)
• Hamir Habeed Mohd Abdul Settar (Ceritera Dari Daerah Luruh)
• Sholihin Osman ( Sangkar Alam)
• Rahimidin Zahari (Sehelai Daun Kenangan)

Tahniah kepada semua pemenang. Semoga karya yang terhasil daripada sayembara ini akan mengayakan khazanah berharga dunia sastera Tanah air kita.