31 December 2010

Azam Baru Azam Lama

Selamat Menyambut Tahun Baru 2011. Kedatangan tahun baru 2011 disambut sebagai tanda berakhirnya tahun 2010. "Tahun baru maka azam pun baru juga," itulah kebiasaan ungkapan yang kita dengar. Tanpa kita sedari kita sebenarnya alpa untuk bermuhasabah diri tentang tahun 2010 yang telahpun berlalu. Adakah azam yang kita cipta bagi menyambut tahun 2010 dahulu sudah terlaksana sepenuhnya? Atau kita sudah lupa apakah azam kita pada tahun lepas? Azam itu merupakan suatu tekad yang kita tanamkan di dalam diri dalam mengejar sesuatu impian. Setiap orang punya impian dan impian itu merupakan suatu manifestasi kehendak diri dalam memperoleh sesuatu yang dihajatkan. Jikalau azam kita tidak terlaksana sepenuhnya pada tahun lepas maka cubalah kita fikirkan sebab azam itu tidak terlaksana. Mungkin tahun 2011 yang mendatang ini kita cuba lengkapkan azam 2010 disamping cuba sedaya mungkin memenuhi azam untuk tahun 2011 ini. Selamat Menyambut Tahun Baru 2011.

24 December 2010

Peminat Cilik Di Pesta Buku


Alhamdulillah semalam (23.12.2010) slot bersama AR di Booth PTS telah diadakan dengan lancar. Biarpun tergendala selama satu jam namun acara bersama AR telah dapat dijalankan dengan jayanya. AR ingin memohon maaf kepada peminat yang menunggu sejak jam 12.00, kendala ini diakibatkan oleh shooting bagi TV9 yang mengggunakan backdrop yang sama dengan AR. AR kenalah mengalah sebab mereka membawa kru yang ramai untuk pengambaran ini. Apa pun AR ingin mengucapkan terima kasih kepada adik-adik, ibu bapa, team PTS dan semua yang menjayakan acara ini. AR sungguh berbangga kerana ramai peminat cilik yang ingin mengambil bahagian namun oleh kerana ruang aktiviti yang terhad maka kita terpaksa memilih hanya 10 orang peserta sahaja. Adik-adik usah risau nanti apabila ada lagi pesta buku ini kita akan libatkan lebih ramai peserta lagi, insyaAllah.

16 December 2010

AR Di Pesta Buku Kanak-Kanak KL 2010


Pada hari Khamis 23.12.2010, AR dijemput untuk menjayakan acara Pesta Buku Kanak-Kanak KL di PWTC. AR telah dijemput oleh pihak PTS untuk menjayakannya. Dalam acara itu nanti AR akan memfokuskan kepada Siri Usahawan Cilik terutamanya Novel Jutawan 3R. Kepada anda semua yang berkesempatan dipersilakan hadir pada jam 12.00-1.00 tengahari. AR akan membuat aktiviti menguji minda mengenai 3R iaitu recycle, reused dan reduce. Hadiah juga disediakan buat peserta yang berjaya nanti. Soalannya nanti berkisar mengenai sampah oh sampah dan bagaimana sampah dapat menjana pendapatan kita. Jangan lupa ke gerai PTS nanti. Jumpa anda di sana.

10 December 2010

Borang Sayembara Menulis Sajak dan Cerpen



Pertandingan Menulis Sajak IPM & DBP




AR sebenarnya sudah menunggu hampir 5 hari untuk penyiaran iklan Sayembara Menulis Sajak Dan Cerpen Anjuran IPM dan DBP tetapi hampa. Pihak pemberita Berita Harian sudah pun datang ke majlis pelancaran sayembara ini di Melaka tetapi berita mengenai sayembara ini tidak juga kelihatan di dada akhbar. Oleh hal yang demikian AR rasa terpanggil untuk menyiarkan iklan sayembara ini. Kepada anda yang berminat apa kata ikut serta dalam pertandingan menulis ini. Manalah tahu anda juga berbakat dan tidak tahu selama ini anda ada bakat terpendam. Anda boleh ambil syarat-syarat pertandingan yang disertakan oleh AR di blog ini. Sebagai ingatan iaitu pertandingan ini hanya terbuka kepada mereka yang lahir di Melaka atau telah berkhidmat selama sekurang-kurangnya 3 tahun di Melaka.

08 December 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Sesungguhnya hijrah Rasulullah SAW itu amat besar ertinya kepada umat Islam. Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah atas dasar ingin mengembangkan syiar Islam. Baginda boleh sahaja duduk bersenang lenang di Mekah ketika itu namun demi memastikan ajaran Islam tersebar luas maka baginda berhijrah ke Madinah.Kita juga dituntut untuk berhijrah. Apakah niat kita untuk berhijrah? Berhijrahlah demi agama insyaAllah kita akan peroleh manafaat dalam hidup beragama kita. Berhijrah ini bukan sahaja bermaksud hijrah tempat tinggal atau tempat pekerjaan tetapi juga berhijrah daripada buruk kepada baik, daripada kurang kepada lebih, daripada kurang berilmu kepada banyak ilmunya, daripada tidak membaca kepada suka akan membaca dan daripada pegangan yang lemah kepada pegangan yang kuat. InsyaAllah jikalau niat kita benar-benar ikhlas maka Allah SWT akan senantiasa memudahkan untuk kita mencapainya. Salam Maal Hijrah.