17 September 2012

Novel Sebagai Medium Dakwah.

        "Saya dah lama beli novel Kasih Seharum Manisah. Kalau tak salah dah setahun setengah saya beli tapi tak pernah baca. Cuma masa bulan Ramadhan lepas saya cuba belek-belek novel ni dan cuba baca. Seronok juga bila baca maklumlah dah lama tak baca novel. Rupanya dalam tu tulisannya ada kisah cara ibadat. Maknanya novel ni boleh jadi cara untuk seru orang ke jalan kebaikan. Tak perlu kita tulis dengan cara formal cuma cara bercerita pun boleh kita sampaikan dakwah ...." 
 Itulah lebih kurang pengakuan seorang rakan AR sewaktu menghadiri jamuan majlis rumah terbuka. Beliau seorang guru berlatar belakang pendidikan sains. Hmm AR tidak hairan iaitu ramai membeli novel atau buku tetapi tiada kesempatan membacanya (banyak sangat kekangan yang dicipta). Akhirnya bila dah baca baru tahu nikmatnya. Memanglah hasil tulisan juga boleh menjadi suatu medium untuk berdakwah. Biarpun Kasih Seharum Manisah dikategorikan sebagai novel cinta islami namun kandungannya dapat menyeru ke arah kebaikan dan menghindar dari kemungkaran, amar makruf nahi mungkar. Selamat membaca.

09 September 2012

Cara Menghantar Cerpen Ke Majalah Dewan Sastera

Kepada sesiapa yang berminat untuk menghantar hasil penulisan mereka ke Majalah Dewan Sastera silalah lihat lampiran yang AR sediakan ini. Pada lampiran ini tertera syarat-syarat yang diperlukan oleh editor Dewan Sastera. Sebelum bulan Ramadhan AR berkesempatan mendengar taklimat yang disampaikan oleh editor Dewan Sastera iaitu Tuan Fadli di Melaka. Beliau sendiri yang memberikan lampiran ini. Eloklah tuan-tuan atau puan-puan cetak dan buat salinan jikalau berhasrat mahu karya diterbitkan oleh Dewan Sastera. Penuhilah syarat-syarat yang ditetapkan. Kadang kala kita memang pandai dan kreatif menulis namun dek kerana mengambil sikap sambil lewa dalam memenuhi kehendak editor maka karya kita tidak disiarkan. AR harap lampiran ini berguna buat anda semua.

06 September 2012

Bengkel Penulisan Cerpen

Pada hari Sabtu (8 September 2012), AR diundang untuk menjadi penceramah bagi sebuah bengkel penulisan. AR diminta memberikan ceramah bagi bengkel penulisan cerpen. Bengkel ini akan diadakan di SMK Ghafar Baba, Melaka.  AR dimaklumkan 10 orang pelajar tingkatan dua dan 10 orang pelajar tingkatan empat akan terlibat dalam bengkel ini. Program tersebut akan diadakan pada ketetapan berikut;

Program     : Bengkel Penulisan Cerpen
Tarikh         : 8 hb September 2012
Masa          : 9.00 - 11.00 pagi
Tempat       : Pustaka Bahasa SMK Ghafar Baba.

AR rasa seronok untuk berkongsi pengalaman dengan adik-adik. AR tidaklah pandai untuk mengajar sekadar ingin berkongsi pengalaman apa salahnya. Mungkin ada antara peserta kursus ini nanti yang bakal menjadi penulis suatu hari nanti, InsyaAllah. Apa pun AR harap mereka yang ingin mengikuti kursus penulisan harus membuat bacaan dahulu mengenai genre yang diminati agar kehadiran kursus akan menjadi lebih bermakna.

KURSUS PENULISAN SKRIP FILEM DAN TEATER

Para penulis atau bakal penulis  dipelawa untuk mengikuti Kursus Penulisan Skrip Filem dan Teater anjuran Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dengan kerjasama DBP Kuala Lumpur pada 15 September 2012 (Sabtu). Kursus tersebut akan dikendalikan oleh 2 orang pembimbing terkenal.
a) Ceramah asas Penulisan Skrip Filem
Penceramah : Puan Siti Jasminah Binti Ibrahim.
b) Ceramah asas Penulisan Skrip Teater
Penceramah : Che Shamsudin Bin Che Othman (Dinsman)

Kursus akan diadakan bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Hang Tuah City Hotel, Melaka. Peserta yang bukan ahli IPM dikenakan bayaran sebanyak RM30.00. Maklumat lanjut boleh berhubung dengan Hj Husin Embi (0176709911).