24 July 2016

Ramadhan Syawal dan Penulis

Alhamdulillah setelah sebulan kita berpuasa pada bulan Ramadhan maka kita mengecap nikmat kejayaan dengan diberiNya Syawal. Syawal yang sinonim dengan raya. Apakah maksud raya? Raya bermaksud kemenangan. Kemenangan kerana keupayaan kita mengekang hawa nafsu pada bulan Ramadhan. Sebagai balasan atas keupayaan kita itu maka dihadiahi dengan raya. Persoalan yang timbul ialah semua orang Islam menyambut hari raya. Sama ada dia puasa cukup atau tidak atau tidak puasa langsung namun dia tetap akan merayakan Hari Raya Aidil Fitri. Jadi apakah ertinya semua ini? Ini semua bertitik tolak kepada diri kita sendiri. Jikalau kita ikhlas berpuasa kerana taat akan perintah Allah SWT maka nikmat kemenangan itu akan dapat kita nikmati sepenuhnya. Kepuasannya tentulah berbeza darjah kepuasan tersebut berbanding dengan yang puasa tidak cukup atau tidak jujur ketika  melaksanakan amalan puasa wajib tersebut.
Apakah kaitan puasa, raya dan penulisan?
Kita wajib berpuasa pada bulan Ramadhan kerana telah difardhukan kepada kita sebagai umat Islam. Ganjarannya berupa kemenangan dengan sambutan hari raya. Menulis? Menulis itu pula bukannya difardhukan kepada kita sebagai umat Islam namun menulis ini suatu tanggung jawab. Sebagai orang yang telah dikurniakan ilmu maka menjadi suatu tanggungjawab kepada mereka untuk  menyebarluaskan ilmu tersebut. Ilmu yang kita peroleh pada masa sekarang kerana adanya perasaan tanggungjawab dalam diri penulis sebelum ini. Bayangkan jikalau semua orang berilmu pada masa dahulu berpakat tidak mahu menjadi seorang yang bertanggungjawab(dengan tidak menulis) maka mana mungkin untuk kita menjadi pandai. Itulah kelebihan orang berilmu.
Untuk menulis kita perlukan ilmu. Daripada mana kita peroleh ilmu tentulah dengan membaca. Ada juga yang mengatakan mereka peroleh ilmu melalui mata (melihat/menonton) atau mendengar daripada sesuatu sumber. Pokok pangkalnya kena ada ilmu jikalau mahu menulis. Lalu apa kaitannya dengan kejayaan. Kejayaan bagi penulis bukan sekadar apabila mendapat royalti atau honorarium namun yang lebih utama kepuasan kerana ilmu tersebut mampu mengubah kehidupan ahli masyarakat kita....mungkin si pembaca terus berubah atau mengambil masa untuk berubah atau tidak berubah langsung. Hal ini kita serahkan kepada kuasa Allah SWT. Terdapat banyak surah atau ayat-ayat al Quran yang menyatakan tugas kita sebagai manusia hanya memberitahu, memandu, menyatakan atau memaklumkan tentang sesuatu namun yang berkuasa menentukan orang lain berubah hanyalah dengan kuasa Allah SWT. Kita merancang namun Allah SWT yang menentukan, insyaAllah. Laksanakan tanggungjawab kita sebagai orang yang berilmu dengan menulis insyaAllah pasti nikmat kejayaan itu akan kita kecapi.