12 April 2013

Novel ke-9 bakal muncul pada Pesta Buku Antarabangsa KL 2013

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT kerana segalanya dipermudahkan. AR baru sahaja pulang dari menunaikan ibadat umrah bersama isteri serta ibu AR. Selama 11 hari di Mekah dan Madinah, AR dapat menyaksikan pelbagai perkara yang kesemuanya AR percaya untuk diberikan petunjuk oleh Yang Maha Esa tentang kehidupan ini. Kita menyaksikan keburukan maka itu untuk dijadikan pengajaran kepada kita. Kita menyaksikan kebaikan maka itu juga untuk dijadikan pengajaran kepada kita. Apa pun AR tetap bersyukur kerana Allah mempermudahkan AR membawa ibu yang sudah berusia 75 tahun untuk melawat ke Tanah Suci umat Islam ini.
AR juga amat bersyukur kerana AR telah dihubungi oleh ITBM kerana manuskrip yang dihantar oleh AR untuk Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi telah diterima untuk diterbitkan (dalam keadaan agak tergesa-gesa kerana ingin mengejar Pesta Buku Antarabangsa KL 2013). AR sudah pun menandatangani perjanjian penerbitan tapi belum dapat melihat cover novel itu. Insya-Allah dalam masa terdekat novel itu akan siap sepenuhnya kerana pesta buku itu akan berlangsung tidak beberapa hari sahaja lagi. Cuma sekarang ini teka teki yang timbul ialah adakah novel ini akan memenangi sayembara tersebut? AR tengah menunggu dengan penuh debaran. Apa pun AR tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya novel ini berjaya diterbitkan oleh ITBM. Sama-samalah kita tunggu akan keputusan sayembara ini yang akan diumumkan pada minggu hadapan.