25 July 2013

Ulasan Siri Usahawan Cilik

A. Razak Adam : Bercerita Tentang Usahawan Cilik

oleh Helmi • 26 Jun 2010 4:26 PM



Mewujudkan budaya keusahawanan kepada remaja.
Umum mengetahui bahawa kerajaan sedang menerapkan budaya keusahawanan kepada rakyat Malaysia. Atas faktor ini maka lahirlah Siri Usahawan Cilik. Buku-buku keusahawanan yang berada di pasaran semuanya mensasarkan golongan dewasa. Ini nampaknya tidak adil kerana kita sebenarnya menidakkan golongan remaja yang punya semangat untuk berniaga. Semangat ingin mencuba yang ada dalam setiap diri remaja berkehendakkan suatu cabaran dan cabaran ini boleh diperoleh melalui penglibatan dalam dunia perniagaan.
Menghapuskan mitos tentang bidang perniagaan
Ramai ibu bapa yang tidak mahu anak mereka melibatkan diri dalam perniagaan terutamanya masyarakat bumiputera. Kebanyakan mereka lebih suka anak mereka bekerja makan gaji. Kini zaman sudah berubah. Masyarakat bumiputera perlu menerima hakikat anak-anak mereka tidak harus mewarisi pemikiran turun temurun kerja makan gaji. Mereka harus membuka pilihan sekiranya anak-anak mereka ingin terlibat dalam dunia perniagaan. Siri Usahawan Cilik ini ingin membuka minda masyarakat walaupun perniagaan itu punya risiko tersendiri namun sekiranya dijalankan dengan amanah, rajin dan bertangungjawab maka perniagaan mereka pasti akan mendatangkan keuntungan. Penerapan nilai-nilai baik untuk berniaga ini harus bermula dari awal lagi dan langkah penerapan ketika masih remaja dianggap membentuk usahawan yang berjaya.
Membuka minda remaja berkenaan peluang-peluang perniagaan.
Apabila dikatakan berniaga maka seringkali masyarakat kita dipertontonkan mengenai bisnes yang besar-besaran, modal yang banyak, untung berjuta-juta, bangkrap, perkelahian rakan kongsi dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung membentuk persepsi negatif masyarakat aabila dikatakan mengenai keusahawanan. Siri Usahawan Cilik ini mengajak remaja bagi menyelesaikan masalah sekeliling, mencari sumber terdekat, bekerjasama mengenal pasti potensi perniagaan, bersifat lokal, pengurusan sumber tempatan secara efektif dan berurusan dengan agensi yang terlibat secara bijaksana. Remaja tidak perlu memikirkan mengenai bisnes yang bermodal besar. Siri Usahawan Cilik mengajak pembaca remaja menghargai bakat dan kemahiran mereka untuk digilap. Mereka juga diajar untuk menghargai alam sekeliling mereka untuk dijadikan suatu landasan membangunkan masyarakat. Secara tidak langsung membentuk remaja yang sensitif akan isu-isu yang berlaku pada masyarakat sekeliling mereka.
Membentuk Model Remaja Malaysia
Remaja yang beridentiti diperlukan. Persoalannya apakah yang ingin ditunjukkan mengenai remaja Malaysia kepada masyarakat luar? Model remaja berwawasan boleh diketengahkan. Remaja berwawasan dapat dijadikan ikon sama ada oleh remaja di negara kita ataupun remaja luar. Penerimaan novel Siri Usahawan Muda untuk dilesenkan ke Indonesia menunjukkan kepada kita bahwa remaja berwawasan mampu dijadikan ikon dalam membangunkan masyarakat setempat dan seterusnya mampu merubah pemikiran remaja serantau dalam usaha membawa perubahan kepada ekonomi masyarakat sekelilingnya. Pengurangan jumlah pengangguran akan dapat membawa kesejahteraan kepada negara. Limpahan kesejahteraan ini secara tidak langsung mampu mengangkat martabat bangsa dan negara.
Mempelbagaikan Tema Novel
Novel-novel untuk remaja banyak bertemakan cinta dan penyiasatan. Seolah-olah remaja kita hanya berpaksikan cinta dan siasatan sahaja. Tanpa kita sedari kita membentuk jiwa remaja yang leka dengan bercinta dan berminat menyelesaikan masalah semata-mata. Siri Usahawan Cilik membantu remaja mencipta penyelesaian masalah, mengenalpasti masalah, membuat analisis, kreatif dalam membuat pilihan dan seterusnya mampu berfikir. Ciri-ciri remaja sebegini amat diperlukan dalam meniti era globalisasi. Remaja kita tidak boleh dibiarkan berfikir seperti dahulu. Remaja Malaysia sama-sama bersaing dengan masyarakat antarabangsa dalam dunia tanpa sempadan. Jiwa remaja yang kental dan punya ciri-ciri remaja universal akan dapat membantu remaja Malaysia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan remaja negara maju yang lain. Sekiranya ciri-ciri universal ini tidak diikuti maka remaja kita dikhuatiri akan punya pemikiran mundur. Hal ini secara tidak langsung memberikan gambaran buruk kepada kepimpinan negara pada masa depan.
Kesimpulan
Tuntasnya, dengan sambutan tinggi terhadap Siri Usahawan Cilik dapat memberi isyarat kepada kita betapa masyarakat sudah mula sedar akan keperluan pada novel bertemakan semangat keusahawanan. Biarpun persaingan dengan novel remaja yang lain agak sengit namun novel Siri Usahawan Cilik punya kelas yang tersendiri. Kemampuan mengungkapkan bidang keusahawanan serta menjanjikan pulangan dapat memastikan penerimaan berterusan oleh masyarakat pembaca.
Artikel ini pernah disiarkan dalam Majalah PTS Legasi
     

23 July 2013

Sayembara Menulis Cerpen Berunsur Islam

Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam)  Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435H. Ia terbuka kepada pegawai, guru dan  kakitangan yang berkhidmat di sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Syarat pertandingan sayembara beserta Borang Penyertaan dan Pengakuan Keaslian Karya boleh dimuat turun daripada  pautan berikut:


http://www.bpi.edu.my/v1/index.php/component/content/article/2-uncategorised/249-sayembara-penulisan-kreatif

Tarikh tutup sayembara ini ialah pada 30 September 2013.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi Urus Setia Sayembara, Ustaz Ruzain Syukur b Mansor, Penolong Pengarah Sektor Dakwah dan Kepimpinan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia:

10 July 2013

Salam Ramadhan

Pada kesempatan ini AR ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia kepada para pembaca. Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Sama-samalah kita menjaga kemuliaan Ramadhan dengan berbanyak mengerjakan amal ibadat.Pada bulan Ramadhan, amal ibadat kita akan digandakan ganjarannya. Ibadat tidak hanya bersembahyang atau berpuasa semata-mata. Sebagai penulis kita juga harus merebut peluang ini untuk melipatgandakan hasil penulisan kita. Bukankah hasil penulisan yang baik akan mendorong umat mengerjakan kebaikan?

Keputusan Sayembara Menulis Novel, Cerpen dan Sajak anjuran ITBM-BH-PENA

AR terpanggil untuk memberikan penjelasan mengenai isu yang ditulis oleh AR sekembalinya AR daripada mengerjakan ibadat umrah. Ini kerana ramai yang cuba menghubungi AR untuk mendapatkan keputusan tersebut. Ingin AR jelaskan iaitu AR cuma dihubungi untuk menandatangani perjanjian penerbitan novel bersama ITBM. AR sendiri tidak tahu akan keputusan sayembara tersebut. Keputusan sayembara tersebut khabarnya akan hanya diumumkan pada hari penyampaian hadiah yang masih lagi tidak diketahui tarikhnya. Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh orang nombor 1 atau no 2 negara. Mulanya majlis itu akan diadakan bersempena pesta buku antarabangsa KL namun PRU13 muncul menyebabkan majlis tersebut terpaksa ditunda. Kepada mereka yang ada menghantar karya novel, cerpen atau sajak untuk menyertai sayembara ini, AR harap mereka dapat bersabar. Sama-samalah kita menantikan pengumuman rasmi tersebut. Penulis yang menyertai sayembara itu diingatkan agar tidak menghantar karya mereka kepada mana-mana penerbit lain sehingga pengumuman rasmi dibuat. Ingatan ini juga untuk diri AR. Walau apa pun keputusannya sama-samalah kita nantikan bersama.