25 July 2010

Kesemua Siri Usahawan Cilik Akan Dieksport Ke Indonesia!


Alhamdulillah, itulah yang AR dengar sendiri dari mulut Pengerusi PTS Sdn Bhd. Berita gembira ini AR terima sewaktu AR ikuti kursus penulisan di Taman Malawati. Kursus itu dilaksanakan sendiri oleh Puan Ainon. Mengikut perjanjiannya pihak penerbit di Indonesia bersetuju secara dasarnya untuk melesenkan kesemua Siri Usahawan Cilik ke Indonesia. Ini bermakna tiga lagi novel AR akan 'menyeberangi' selat Melaka untuk dijual di Indonesia. Novel-novel tersebut ialah Homestay Bayu, Taman Botani Harapan dan Jutawan 3R. Sebelum ini novel Kerepek AF telahpun dilesenkan dan kini telahpun berada di pasaran buku Indonesia.
Sewaktu berbincang dengan Pengerusi PTS, beliau ada mengemukakan harapannya iaitu agar buku-buku PTS dapat diterjemahkan dan dijual ke seluruh pelusuk dunia. Ini termasuklah ke Russia, Afghanistan, Afrika, China atau ke mana sahaja. AR amat optimis bahawa harapan beliau itu akan menjadi kenyataan berdasarkan pencapaian syarikat dan cara kerja yang diamalkan oleh pihak pengurusan PTS.Untuk memastikan harapan ini dapat direalisasikan maka penghasilan produk buku yang bermutu harus menjadi keutamaan (dan ini telahpun diambilkira oleh pihak PTS). Selain itu idea yang melampaui daerah geografi harus dapat diketengahkan kerana ini akan memudahkan proses penterjemahan. AR pernah mengikuti kursus Sarjana Pendidikan dan salah satu kertas kerja yang pernah dibincangkan ialah "Kurikulum Futuristik". Ini bermakna kita harus punya kebolehan untuk 'meramal' akan kehendak pasaran masa hadapan.

10 July 2010

Manuskrip Dipulangkan Oleh Editor!

Punyalah penat....punyalah banyak masa yang terbuang akhirnya manuskrip itu dipulangkan semula oleh editor! Mungkin ini pasti akan menimbulkan kemarahan pada semua penulis. Hal yang sama juga berlaku kepada AR. Manuskrip novel CBDM yang telah ditulis hampir 4 bulan telah dipulangkan semula. Mana hendak letak muka! Tapi kita kena fikir positif.
Memanglah ibarat membuat rumah, buat rumah baru lebih senang berbanding hendak mengubahsuai rumah lama. Hal yang sama berlaku kepada novel CBDM. Apabila AR cuba membuat refleksi tentang apa yang telah dilakukan oleh AR maka AR dapat mengenalpasti kenapa hal ini terjadi,
a) AR menulis dalam keadaan tergesa-gesa.
b) masa AR telah banyak habis untuk mengambil dan menghantar anak yang akan menduduki UPSR pada tahun ini (keluar rumah jam 6.40, ambil anak jam 6.15, hantar anak jam 7.40 malam dan ambil anak jam 10.00 malam) ini menjadi rutin hampir setiap hari.
c) AR terus menulis tanpa sempat menghubungkan imej di dalam minda. Kebiasaannya AR ambil masa untuk termenung sambil memikirkan hubungan antara watak dan peristiwa yang akan ditulis nanti. Apabila tiada proses untuk termenung (kerana kesuntukan masa) maka ia ibarat penulisan tanpa berfikir maka ceritanya seperti bangunan yang dibuat tanpa pelan.
d) AR juga banyak membaca novel lain sewaktu proses penulisan berjalan dan ini secara tidak langsung menyebabkan seolah-olah AR terpengaruh dengan cara penulisan pengarang novel tersebut.

Biarpun manuskrip ini perlu dirombak semula namun AR akan cuba untuk memperbaikinya semula. Banyak masa yang telah dihabiskan untuk menulis novel ini dan banyak mesej yang ingin dibawakan oleh AR melalui novel ini. Sekali kita melangkah usah kita cepat melatah dan usah cepat mengundur diri. Maju dan terus maju.

02 July 2010

Ikatan Persuratan Melayu (IPM)



(Gambar kedua Majlis Anugerah Sasterawan Melaka diambil dari blog Tuan Hj Razali Endon)
IKATAN PERSURATAN MELAYU (IPM)

IPM telah ditubuhkan pada November 1950. IPM ditubuhkan selepas penubuhan ASAS 50. Dasar atau tujuan penubuhan IPM sebagaimana di dalam perlembagaan badan ini ialah,
a) menyatukan ahli-ahli persatuan dan ahli-ahli seni Melayu.
b) meninggikan taraf persuratan dan kebudayaan Melayu.
c) mempelajari penerbitan yang membawa kepada kemajuan aliran fikiran (melalui persuratan) yang berdasar peri kemanusiaan.
d) menjaga hak dan kepentingan ahli-ahli serta mencari jalan perundingan dengan badan-badan penerbitan.
e) mengadakan perpustakaan serta menggalakkan supaya gemar dengan pembacaan yang sihat dan membina.
f) berikhtiar mengadakan penerbitan.
g) mengadakan perhubungan dengan segala pertubuhan lain yang bercorak persuratan dan kesenian.

IPM telah mengadakan Mesyuarat Agung Ke-54 pada 20 Jun 2010.
Mesyuarat ini telah diadakan di Hotel Straits Meridian. Selain mesyuarat agung, jamuan makan untuk meraikan Tuan Haji Mokhtar Md.Yasin yang telah dianugerahkan Tokoh Sasterawan Negeri Melaka 2010 serta Tuan Haji Abdul Rani Embi yang mendapat pingat PJK daripada Kerajaan Negeri Melaka turut diadakan.

Pada pandangan peribadi AR, IPM mampu bertindak sebagai suatu badan pemikir dalam bidang persuratan Melayu. Biarpun keanggotaannya masih belum ramai tetapi AR dapati ahli-ahlinya mampu memberikan idea-idea bernas dan matang dalam memajukan bidang persuratan melayu tanah air.

Jawatankuasa Pengelola Ikatan Persuratan Melayu (IPM) bagi tahun 2010/2012 adalah seperti berikut;

Ketua Satu : Haji Mokhtar Md.Yasin
Ketua Dua : Haji Razali Endun
Setiausaha Satu : Haji Husin Embi
Setiausaha Dua : Haji Abdul Rani Embi
Bendahari : Haji Osman Md Derus
AJK :Encik Ramli Abu
Encik A Razak Adam
Encik Osman Dol
Encik Aladin Mohamad
Haji Safran Ismail
Encik Othman Hashim
Haji Arif Haji Mohamad
Pemeriksa Kira-Kira : Puan Siti Khairiah Haji Jaafar
Hajah Rusiah Haji Ismail