Showing posts with label Tip-tip menulis. Show all posts
Showing posts with label Tip-tip menulis. Show all posts

07 February 2014

The Lord Of The Rings vs Hikayat Langlang Buana

Dalam cerita Hikayat Langlang Buana, Raja Indera Bumaya boleh bertukar menjadi burung bayan, burung nuri dan bunga. Keistimewaan Raja Indera Bumaya yang lain ialah baginda boleh mencita geliga daripada Raja Johan Syahperi dengan menyeru empat jin untuk menewaskan hulubalang Raja Bahrum Dewa. Apabila mendapat tentangan daripada Raja Bahrum Dewa maka Raja Indera Bumaya mencita pula geliga hikmat itu untuk mendapatkan bantuan empat ribu jin bagi melawan segala raja, menteri, hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Puncanya kerana rasa cinta Raja Indera Bumaya terhadap Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
     Sebenarnya kita tidak ketandusan cerita untuk dipersembahkan sama ada ke layar perak atau diolah untuk tujuan penulisan moden. Masyarakat Melayu dahulu kaya dengan khazanah alam tetapi sayang tidak dipugar dengan baik sehingga terperap di dalam buku. Masyarakat kita lebih mendewa-dewakan Lord Of The Ring biarpun ceritanya tidak masuk akal. Sebenarnya yang tidak masuk akal itulah permulaan kepada tercetusnya idea kreatif untuk masa hadapan. Masyarakat kita suka merendah-rendahkan apa yang kita ada sambil menyanjung tinggi khazanah luar negara yang dikatakan elit dan moden. Mereka menganggap segala macam dewa dan perkara karut marut itu tidak sesuai dengan budaya, agama dan negara ini (penulis bersetuju bahawa  hukum Islam tetap hukum Islam dalam penentuan akidah). Tetapi dalam masa yang sama mereka menyanjung tinggi cerita karut marut dari luar negara. Soalnya adakah perkara ini adil untuk penggiat seni di negara ini apabila berhadapan dengan isu ini?
     Apa yang AR harapkan agar kita harus bersikap terbuka (tetapi dalam masa yang sama akidah dan soal iman tidaklah dipinggirkan) dalam menangani isu ini. Kita harus menggiatkan usaha menggali khazanah cerita-cerita lama dan mengetengahkan cerita ini hingga ke peringkat antarabangsa. Inilah yang menuntut komitmen daripada penulis sama ada penulis novel, skrip atau cerpen. Kita harus bertanya mengapakah sehingga sekarang kita di rantau nusantara ini masih belum lagi meraih hadiah Nobel setelah Prem (yang pernah diwara-warakan untuk pencalonan) pergi meninggalkan kita. Adakah kita sibuk mengejar apa yang ada di barat untuk dipersembahkan kepada khalayak dan akhirnya kita gagal sedangkan permata berharga itu ada di rumah kita sendiri dan cuma menunggu masa untuk digilap lalu dipersembahkan kepada khalayak antarabangsa sehingga kita mampu memperoleh anugerah tersebut.

16 November 2013

Bicara Buku Anjuran IPM

Insya-Allah Sesi Bicara Buku anjuran IPM akan diadakan lagi. Kali ini 2 buah novel terpilih iaitu Novel Kasih Seharum Manisah (terbitan PTS) yang ditulis oleh AR serta novel Tiga Enigma Cinta  oleh Zamidah Hashim(terbitan DBP) akan dibual bicarakan.

Maklumat program ini;
       Tempat : Hotel Super Cobow (dulu Hotel St Meredian) Melaka (dekat Masjid Al Azim)
       Tarikh : 17 November 2013 (Ahad)
       Masa : 9.00 pagi
      Anjuran : IPM Melaka
      Bayaran : Percuma (Minum pagi disediakan).
Semua dijemput hadir untuk sesi perkongsian ilmu. Kami mengalu-alukan kehadiran penonton atau pendengar setia ke dalam majlis ilmu ini.

26 October 2013

Dialog Editor-Penulis

Majlis yang sungguh bermakna ini telah dianjurkan bersempena Program Bulan Bahasa Kebangsaan. Rasanya majlis ini agak singkat dan banyak aspek yang perlu diketahui lagi oleh penulis. Pada majlis ini editor kanan PTS, Karangkraf dan DBP telah duduk semeja bagi memberi penjelasan tentang rumah penerbitan masing-masing. Seharusnya penulis dari Melaka wajar hadir ke dalam majlis seperti ini agar ilmu penulisan dapat ditambah. AR sering kata iaitu kadang-kala penulis hanya tahu menulis sahaja tetapi aspek lain banyak yang tidak diketahui (AR juga maksudkan diri sendiri). Sudah sampai masanya untuk penulis punya ilmu editorial atau cara-cara untuk bekerjasama dengan editor kerana pada akhirnya nanti kita pasti mahu menerbitkan karya yang terbaik.

24 September 2013

Bengkel Penulisan Fiksyen Sains Dan Teknologi


 
 
 
Kepada mereka yang berminat menyertai bengkel di atas bolehlah dapatkan borang penyertaan dan hantar secepat mungkin kepada penganjur melalui alamat yang ada disertakan. Penyertaan pada kali ini adalah percuma untuk mereka yang mengikuti bengkel pada 28 September 2013. Siapa tahu mungkin ini langkah pertama anda untuk mengapai kemenangan atau sebagai landasan untuk berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

14 June 2013

Dapatan Kajian Penawaran Subjek Kesusasteraan Melayu Di Sekolah-Sekolah


Antara dapatan kajian yang telah diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan 2013
 
2.0 Bilangan Sekolah dan Murid Yang Mengambil Subjek Kesusasteraan Melayu Di Negeri Melaka.
Subjek Kesusasteraan Melayu merupakan subjek elektif pada peringkat SPM. Bilangan sekolah yang menawarkan serta murid yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM dalam jangka masa 10 tahun kebelakangan ini diharap dapat menunjukkan permasalahan bermakna mengenai subjek Kesusasteraan Melayu yang menjadi fokus penulisan ini.
2.1 Data sekolah dan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka (2002-2011)

JUMLAH SEKOLAH DAN MURID YANG MENGAMBIL MATA PELAJARAN

 KESUSASTERAAN MELAYU SPM DI NEGERI MELAKA (2002-2011)

TAHUN
2002
2003
2004
2005
2006
2007
2008
2009
2010
2011
BIL SEKOLAH
40
38
37
30
33
23
20
17
15
15
BILANGAN MURID
2244
1687
1532
1245
1054
760
766
686
722
537

(Sumber: Analisa Buku Laporan Keputusan SPM dan JPN Melaka)

Jadual menunjukkan jumlah sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu serta bilangan murid yang mengambil Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka dari 2002-2011.

Berdasarkan data yang terdapat dalam jadual di atas didapati berlaku penurunan yang ketara dari aspek bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu serta bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu dalam masa 10 tahun.

Pada tahun 2002, terdapat 40 buah sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM namun pada tahun 2011 cuma terdapat 15 buah sekolah sahaja yang masih menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu untuk calon SPM. Ini menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 64.5% dari segi bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka dalam jangka masa 10 tahun.

Bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM juga didapati berkurangan. Pada tahun 2002 terdapat 2,244 calon SPM yang menduduki kertas peperiksaan Kesusasteraan Melayu. Namun begitu pada tahun 2011 hanya terdapat 537 calon sahaja yang mengambil kertas Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka. Hal ini menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 76.1% dari segi bilangan calon yang menduduki kertas peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM di negeri Melaka.

Secara keseluruhannya dalam masa 10 tahun sejak  2002 berlaku penurunan bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM di negeri Melaka. Selain itu bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM juga telah berkurangan sejak tahun 2002 hingga tahun 2011. Hal ini menunjukkan bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu semakin berkurangan dan ia berkait rapat dengan bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin berkurangan di negeri Melaka.

2.2 Dapatan Kajian

Dapatan kajian berdasarkan data 2.1 menunjukkan sepanjang 10 tahun iaitu bermula 2002 hingga 2011, telah berlaku penurunan sebanyak 64.5% dari segi bilangan sekolah di negeri Melaka yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu. Akibat penurunan sebanyak 64.5% ini juga telah menyebabkan bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka telah berkurangan sebanyak 76.1% dalam tempoh yang sama.

Subjek Kesusasteraan Melayu merupakan subjek elektif pada peringkat SPM. Akibat sifatnya yang merupakan subjek elektif maka murid bebas untuk mengambil atau tidak subjek tersebut bagi tujuan peperiksaan SPM. Sebagaimana yang termaklum, murid yang mendapat keputusan cemerlang pada peringkat PMR akan dimasukkan ke dalam aliran sains manakala bakinya akan dimasukkan ke dalam aliran sastera. Ini diakibatkan oleh dasar kerajaan yang memperkenalkan nisbah 60:40. Kerajaan berhasrat menjadikan negara ini sebagai negara berteraskan sains & teknologi sebab itulah KPM dipertanggungjawabkan untuk memastikan nisbah 60 peratus murid masuk aliran sains manakala baki 40 peratus mengikuti jurusan sastera. Oleh kerana murid-murid cemerlang dikelompokkan sebagai murid sains maka bakinya dianggap sebagai murid lemah iaitu murid aliran sastera. Hal ini memberikan impak terhadap persepsi warga sekolah dan masyarakat terhadap murid dalam jurusan sastera.

Murid lemah dianggap sebagai penyumbang kepada penurunan prestasi peperiksaan sekolah. Murid yang lemah juga dianggap sebagai penyumbang terbesar masalah disiplin sekolah. Ini kerana murid lemah tidak dapat memberikan fokus terhadap pelajaran. Mereka melakukan salah laku untuk mendapatkan perhatian. Istilah ‘murid mata merah’ dilabelkan kepada murid yang mengambil jurusan sastera. Hal ini dikaitkan dengan mereka yang dimasukkan ke dalam jurusan sastera ialah murid yang tidak suka membaca, tidak suka belajar, suka tidur di dalam kelas atau suka menimbulkan masalah disiplin di dalam sekolah. Apakah implikasi label ini dan apakah kaitannya dengan bilangan sekolah menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin mengecil serta bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin berkurang?

Kuasa membuka atau menutup kelas Kesusasteraan Melayu SPM terletak di bawah bidang kuasa pengetua sekolah. Seseorang pengetua boleh menggunakan budibicaranya untuk menutup kelas Kesusasteraan Melayu di sekolahnya. Dengan kuasa yang ada ini telah memberikan kesan yang besar terhadap penurunan bilangan sekolah yang menawar subjek Kesusasteraan Melayu seterusnya menurunkan jumlah murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memberikan penegasan supaya sekolah menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu kerana kebanyakan pengetua memilih untuk tidak berbuat demikian (Mohamad Salleh : 2012).

Penutupan kelas sastera berkait dengan usaha meningkatkan prestasi akademik sekolah. Anggapan bahawa murid sastera menyumbang kepada penurunan prestasi dari segi kualiti dan kuantiti  menyebabkan penutupan kelas sastera. Selain itu usaha terdesak bagi mengurangkan masalah disiplin dilakukan dengan menutup kelas sastera. Murid yang tidak dapat memberikan fokus terhadap pelajaran dan sering menimbulkan masalah sering dikaitkan dengan murid aliran sastera. Namun ada juga yang menggunakan istilah ‘pakej’ bagi mewajarkan tindakan ini. Kelas sastera terpaksa ditutup bagi memudahkan pihak sekolah menawarkan pakej mata pelajaran kepada murid dan yang menjadi mangsa ialah kelas Kesusasteraan Melayu.

Terdapat juga tanggapan bahawa mata pelajaran sastera tidak menjanjikan masa depan yang cerah selain melahirkan murid yang suka berangan-angan dengan dibuai perasaan semata-mata. Bagi guru yang mempunyai latar belakang pendidikan sastera di universiti pula mereka tidak mahu mengajar sastera sebaliknya tugas ini terpaksa dipikul oleh mereka yang bukan opsyen sastera.

Kesimpulannya terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penutupan kelas Kesusasteraan Melayu. Biarpun belum ada kajian saintifik bagi mengenalpasti puncanya namun sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kelas Kesusasteraan Melayu tidak hilang dari negeri Melaka sebagaimana berlaku di beberapa buah negeri lain di Malaysia.

3.0  Perubahan Persepsi Terhadap Subjek Kesusasteraan Melayu

Perubahan persepsi harus dilaksanakan bagi memastikan subjek Kesusasteraan Melayu kekal ditawarkan di sekolah-sekolah. Bagi mengubah persepsi ini semua pihak bertanggungjawab untuk melaksanakannya.  Perubahan persepsi ini bertujuan menyedarkan pihak pembuat keputusan, pihak pelaksana, kaunselor, murid dan pencinta ilmu agar faham objektif  P&P Kesusasteraan Melayu di sekolah. Selain itu ia juga bertujuan memartabatkan subjek Kesusasteraan Melayu agar menjadi subjek pilihan utama murid di alam persekolahan semoga hasrat menjadikan sistem pendidikan negara gemilang akan terlaksana.

3.1  Kesusasteraan Melayu Sebagai Suatu Kesedaran Kelangsungan Peradaban Bangsa

Belajar Kesusasteraan Melayu bererti melihat rakaman sejarah hidup dan pengalaman masyarakat Melayu seusia dengan kewujudan Melayu itu sendiri. Tidak banyak yang diketahui dan diberitakan kepada masyarakat kita pada hari ini mengenai kehebatan, kekuatan, ketinggian peribadi dan keterlibatan bangsa Melayu dalam sejarah peradaban tanpa merujuk kepada khazanah kesusasteraan melayu itu sendiri. Dengan meneliti khazanah kesusasteraan yang terhasil daripada tradisi lisan dan tulisan sejak zaman berzaman, masyarakat hari ini dapat menghayati dan memahami kehebatan bangsa Melayu yang terbina daripada peradabannya (Abdul Halim Ali : 2012).

      Kesedaran peri pentingnya belajar Kesusasteraan Melayu sebagai melihat rakaman peradaban bangsa Melayu yang unggul suatu ketika dahulu akan dapat menyemai perasaan bangga akan peradaban bangsa. Penelitian teks sastera secara tidak langsung melihat khazanah bangsa dan seterusnya memberi ruang kepada murid untuk menjiwai watak yang terdapat dalam khazanah tersebut. Adnan Khamis dan F.P Chew (1998) menyatakan sastera negara ini memainkan peranan membina unsur-unsur patriotisma, membina watak kepahlawanan dan kebanggaan nasional.

3.2  Kesusasteraan  Melayu sebagai alat integrasi nasional.

Negara Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk. Perpaduan menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan negara. Penyata Razak menyatakan tujuan utama dasar pendidikan di Malaysia ialah untuk menyatukan pelajar-pelajar daripada semua bangsa dengan memakai satu sistem pendidikan yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (Penyata Razak 1956).

      Kajian yang dijalankan oleh Adnan (1990) memperlihatkan sastera kebangsaan sudah merentasi batasan yang terfokus kepada lingkungan Melayu kepada alam bukan Melayu. Seterusnya sastera kebangsaan telah melangkaui batas-batas pemikiran yang terkongkong daripada persoalan Melayu kepada persoalan nasional yang mengaitkan isu-isu hubungan kaum, toleransi dan muhibah. Malahan sastera kebangsaan menunjukkan peranan perpaduan nasional melalui sastera merentas batas-batas etnik, taraf sosial ekonomi dan lokasi.

 Kesimpulannya Kesusasteraan Melayu berperanan penting dalam memupuk integrasi nasional. Kesusasteraan Melayu bukan difokuskan kepada orang-orang Melayu semata-mata tetapi sudah merentas batas nasional.  Sifat Kesusasteraan Melayu yang merentas batas nasional ini membolehkan integrasi nasional dipupuk di dalam sistem pendidikan negara ini.

3.3  Kesedaran bahawa Kesusasteraan Melayu sebagai cara melahirkan negara bangsa.

Menurut Jurij Hj Yahya (1991) konsep negara bangsa telah diperkenalkan oleh Ibnu Khaldun sebagai suatu teori sosial yang dinamakan sebagai “assabiyyah” yang bermaksud semangat kebangsaan. Semangat ini agak mirip kepada semangat nasionalisme yang dari segi definisi politiknya adalah “perasaan cintakan bangsa dan negara sendiri iaitu kasih sayang yang tidak berbelah bahagi”. Ibnu Khaldun percaya bahawa kekuasaan dan kedaulatan sesebuah negara itu tercetus daripada semangat “assabiyyah” atau semangat nasionalisme ini (Noraini Md.Yusof, Noraza Ahmad Zabidi & Supyan Hussin, 1998)

Ghazali Shafie (1995) berpendapat pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ bermaksud seseorang yang mengenal dirinya sebagai bangsa Malaysia yang berlandaskan ‘kerakyatan Malaysia’ yakni seseorang rakyat Malaysia tanpa mengira apa keturunannya mengaku dirinya tidak lain dan tidak bukan sebagai ‘Bangsa Malaysia’ dan berasakan dia mempunyai kebudayaan Malaysia sendiri. Dalam sanubari, bukan dari segi undang-undang, “warga” dan “negara” dipersatukan.  Konsep negara bangsa dalam konteks negara Malaysia ialah masyarakat yang penyayang, bersatu, bermoral, berkeyakinan diri, beretika, bersikap adil, serta mengamalkan cara hidup yang demokratik, toleran dan progresif.

Dalam sistem pendidikan, sastera kebangsaan dapat membina peradaban bangsa melalui ilmu, kemahiran dan nilai yang diserapkan melalui kurikulum. Teks sastera merupakan bahan P&P yang menjadi cerminan kepada budaya masyarakat Malaysia pelbagai kaum. Sastera juga menjadi alat perpaduan ke arah membina bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan nilai kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dengan bakat dan nilai seni seperti yang terdapat di dalam sesebuah teks sastera . Sastera bukan sahaja bertindak sebagai pencetus kreativiti tetapi juga menjadi alat penyuburan terhadap semangat patriotisme. Semangat inilah yang akhirnya akan menjadikan murid itu insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, sekali gus membentuk peradaban bangsa Malaysia (Mohamad Nor Mohamad Taib, 2012).

Tuntasnya pihak pembuat dan pelaksana keputusan sewajarnya faham akan tanggungjawab berat yang dipikul oleh kurikulum Kesusasteraan Melayu. Usaha melahirkan negara bangsa melalui kurikulum Kesusasteraan Melayu patut digalakkan dengan menggiatkan pembukaan kelas Kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah agar usaha melahirkan  negara bangsa akan mudah tercapai.

3.4 Persepsi Terhadap P&P Kesusasteraan Melayu

Umum mengetahui terdapat banyak teks yang harus ‘dihadamkan’ oleh pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM. Mulai tahun 2011 murid harus mengkaji teks Bacalah Dalam Bahasamu Jilid A, Bacalah Dalam Bahasamu Jilid B, Hati Terkenang Mulut Menyebut dan Restu. Dalam masa dua tahun murid harus mengkaji karya-karya yang ditetapkan. Terdapat guru Kesusasteraan Melayu yang mengambil jalan mudah dengan mengajar menggunakan kaedah tradisional  melalui teknik hafalan. Akibatnya murid tidak dapat menghayati sesebuah karya sehingga menyebabkan murid mudah bosan.

Telah banyak diperkatakan oleh pengkaji-pengkaji penjurusan yang bersifat intrinsik. Kaedah pengajaran secara intrinsik menjadikan mata pelajaran sastera kebangsaan kurang daya tarikannya yang sekaligus membawa kepada kemerosotan minat guru dan murid. Lebih-lebih lagi sastera bukan mata pelajaran teras sebaliknya sebagai mata pelajaran elektif. Kaedah pengajaran yang terberat ke arah pengajaran intrinsik membawa kesan sampingan ke arah menyempitkan hala tuju sastera kebangsaan ini ( Adnan Kamis & F.P Chew, 1998).

Kajian oleh Misran Rukimin (1997) menunjukkan penumpuan pengajaran yang memberatkan kaedah intrinsik menjadikan sastera tidak terdedah kepada hal-hal luaran yang lebih penting dan bersifat global. Sastera tidak dilihat dari sudut yang boleh membangunkan negara atau membina minda insan dan kemanusiaan. Oleh yang demikian sastera yang diajarkan di sekolah oleh guru tidak dapat memenuhi keperluan-keperluan tersebut.

Punya Mishra dan Matthew J.Koehler  dalam Rozaiman Makmun et al. (2011) menggariskan lima langkah yang harus dipatuhi oleh guru Kesusasteraan Melayu untuk mengajar subjek Kesusasteraan Melayu berdasarkan Pengetahuan Teknologi Pedagogikal Kandungan. Pengetahuan Teknologi Pedagogikal Kandungan ini dikembangkan daripada idea asal yang diketengahkan oleh Shulman iaitu Pengetahuan Pedagogikal Kandungan. Punya Mishra dan Matthew J.Koehler menyatakan terdapat lima jenis pengetahuan yang saling berhubungan yang harus dimainkan peranannya oleh guru sastera. Lima jenis pengetahuan yang dimaksudkan ialah pengetahuan isi kandungan, pengetahuan aspek pedagogikal, pengetahuan latar belakang dan kesediaan murid, pengetahuan kaedah pentaksiran dan pengetahuan teknologi bagi tujuan penyampaian ilmu.

Guru Kesusasteraan Melayu harus ada pengetahuan mengenai isi kandungan subjek yang diajarkan. Guru Kesusasteraan Melayu harus peka terhadap kehendak Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Selain daripada itu guru Kesusasteraan Melayu haruslah dapat menyesuaikan diri dengan karya-karya sastera yang terpilih. 
Pengetahuan mengenai aspek pedagogi perlu dikuasai oleh guru Kesusasteraan Melayu. Selain ilmu pedagogi yang diperoleh di universiti bagi mendapatkan segulung ijazah atau diploma pendidikan, guru juga harus bersedia mempelajari kaedah pedagogi terkini melalui kursus-kursus yang dianjurkan. Guru Kesusasteraan Melayu harus bergerak seiring dengan perubahan masa. Mereka tidak harus berada di takuk lama dengan mengajar menggunakan kaedah yang lama. Guru Kesusasteraan Melayu harus bersedia menggunakan kaedah-kaedah pedagogi terkini bagi memastikan P&P yang dijalankan akan mencapai objektif yang dirancang. Menurut Juriah Long (1998), guru seharusnya menguasai kaedah pengajaran yang lebih bersistem, dinamik dan memberikan peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif. Oleh yang demikian segala pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti pembelajaran murid hendaklah diubah daripada cara tradisional kepada cara yang lebih inovatif, proaktif dan dinamik serta menggalakkan gaya pembelajaran akses kendiri, konstruktif, pembelajaran aktif, koperatif, kolaboratif, inkuiri dan seumpamanya yang lebih berfokuskan murid (Rozaiman Makmun et al, 2011)

Pengetahuan latar belakang dan kesediaan murid harus diambil berat oleh guru Kesusasteraan Melayu ketika merancang pengajaran. Perbezaan dalam kebolehan kognitif, afektif dan fizikal murid merupakan pembolehubah terpenting dalam merancang program P&P. Selain itu perbezaan yang disebabkan oleh gender, budaya, potensi kreativiti dan tahap penerimaan murid akan mempunyai kesan terhadap guru. Guru seharusnya tahu apakah stail pembelajaran, minat dan kebolehan yang diperlukan oleh murid (Paul R.Burden & David M.Byrd, 1994). Guru yang dapat menyediakan maklumat latar belakang dan kesediaan belajar murid akan dapat membantu muridnya untuk menguasai pengajaran yang akan dilaksanakan. Menurut Abd. Ghafar (2003), kesediaan belajar murid, antaranya boleh dipengaruhi oleh kematangan fizikal dan mental, pengalaman dan pengetahuan sedia ada, kemahiran asas, mengekalkan perhatian; dorongan atau motivasi, serta aspek sosial dan persekitaran. Lebih berpusatkan murid bermakna murid perlu dididik agar tidak terlalu bergantung kepada guru, nota dan buku teks. Murid digalakkan mencari maklumat di luar bilik darjah, khususnya melalui rujukan melalui bacaan tambahan, perpustakaan, rujukan lapangan dan internet.

Pengetahuan bagi kaedah pentaksiran penting sebagai cara untuk mengetahui sejauh

mana objektif pendidikan tercapai selain membantu guru mengetahui tahap kebolehan murid secara individu (Ahmann & Glock, 1981). Pentaksiran merupakan suatu cara untuk melihat kebolehan murid menguasai apa yang diajarkan oleh guru. Ia juga merupakan kaedah bagi guru merancang pengajaran yang berikutnya. Kaedah pentaksiran yang berkesan akan dapat memudahkan guru membawa kejayaan buat murid yang diajar. Sehubungan dengan itu guru harus merancang ujian diagnostik, ujian formatif dan ujian sumatif dengan baik. Ini bagi memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu dapat dicapai dengan baik.

Dalam zaman ICT, guru Kesusasteraan Melayu harus punya pengetahuan teknologi

bagi tujuan penyampaian ilmu. Biarpun ada tanggapan mengatakan guru Kesusasteraan Melayu tidak perlu menggunakan ICT sewaktu mengajar kerana Kesusasteraan Melayu hanyalah berkisar kepada manuskrip lama namun tanggapan ini harus disanggah. Ledakan teknologi maklumat memberikan implikasi dan kesan kepada dunia pendidikan khususnya dari sudut pemerolehan pembelajaran. Lazimnya maklumat yang diperoleh akan kekal sebanyak 20% daripada apa yang dilihat, 30% daripada apa yang didengar, 50% daripada apa yang dilihat dan didengar serta mencecah 80% jika dilihat, didengar dan melaksanakan aktiviti secara serentak. Berdasarkan pecahan ini bermakna pembelajaran yang dijalankan melalui internet amat berkesan kerana ia melibatkan integrasi perlakuan tersebut dalam memperoleh maklumat. Internet dapat berfungsi sebagai pusat penerbitan sumber maklumat, ruang diskusi, alat komunikasi, alat forum serta sebagai alat penyelidikan. Kepelbagaian yang ada menjadikan internet sebagai wadah lebuh raya maklumat yang wajar dimanfaatkan oleh guru Kesusasteraan Melayu. Internet juga menjadi sumber bahan pembelajaran, bahan rujukan, rancangan pelajaran, koleksi perpustakaan, perisian, maklumat projek atau aktiviti, majalah, buku, akhbar dan jurnal. Kesemuanya ini dapat dicapai oleh guru Kesusasteraan Melayu atau murid menerusi aplikasi world wide web, mel-elektronik, kumpulan diskusi elektronik, Internet Relay Chat, telesidang, telefon internet dan lain-lain lagi. Melaluinya guru Kesusasteraan Melayu dan murid berkemampuan untuk melaksanakan program untuk tujuan berkomunikasi, “browsing”, mencari maklumat, selain meningkatkan kreativiti (Mohd Sarif Abd Manaf et al, 1998).

09 February 2013

Aku Pilih Arang...


Inilah sajak AR yang telah diterima untuk Pertemuan Penyair Nusantara di Jambi yang berlangsung bulan Disember 2012. Sajak ini terpilih dari kalangan 7000 sajak yang dihantar  oleh peserta dalam kalangan alam nusantara. Sajak ini juga telah dibukukan dalam sebuah antologi. Sebenarnya jikalau kita prihatin dengan apa jua peristiwa atau permasalahan yang berlaku di sekeliling kita maka itu boleh kita jadikan sebagai suatu titik tolak untuk kita cipta sebuah sajak, cerpen atau novel. Selamat mencuba.
 
 
AKU PILIH ARANG YANG MENGHITAM
 
Aku tak tersalah pilih
pada arang yang menghitam
atau pada hempedu yang pahit
kerana aku tahu pilihanku.
 
“Arang itu hitam”
dan mukaku yang bakal sebegini berbeza
akan ditempelak sawo matang
aku tak memilih putih yang memucat
kerna
Bu Karti bisa saja duduk lenang di istana
Jose Rizal mampu lena di kerusi empuk pemerintah
Tok Janggut juga boleh membilang tasbih seupaya.
 
“Jikalau runtuh Si Gunung Ledang”
usah kau cari aku si gelandangan
aku hanya Si Kitul yang menajamkan mata lembing
aku hanya meminjam Taming Sari Si Tuah
aku hanya mengungkap kata-kata Soekarno
aku hanya menari mengikut Rentap
aku adalah aku
dan aku hanya si sawo matang yang meminjam azimat khazanah alamku.
 
“Jikalau mukaku hitam”
aku rela dipersalah
pundakku sedia memikul Karakatau yang menjulang
aku si sawo matang yang tak tahu malu
yang cuba menetak angin dengan buluh perindu
yang cuba melarik air dengan tiupan semangat juang
yang cuba melekatkan peta bangsaku dengan angan-angan tak sudah
namun aku seyakin Tok Janggut
yang rela bermandi darah
mayatku rela untuk disalai buat tatapan
kerana aku tahu
Si kitul itu bisa saja merobah sejarah bangsa
daripada berpeluk tubuh menanti bulan jatuh ke riba.
 
“Jikalau roboh Kota Melaka”
usah cucuku untuk aku dipersalah
aku tidak memilih putih yang memucat
aku bukan si tukang sorak
aku cuma ada pena yang melarik aksara
sekadar pengingat setia
pada daulat
pada wilayah yang terhormat
pada sawo matang yang menunduk sekian lama
pada si miskin yang meminta-minta
pada anak bangsaku yang resah
 meniti hari siang yang panjang
resah pada meresah yang tak kunjung padam
dan takut pada telaga mengering sebelum tiba musim hujan.
 
“Kiamat belum datang lagi”
perjalanan belum sampai ke jalan mati
dan bangsaku hanya mampu menginjak ke atas busut
sedang Apollo sudah lama menginjak bulan
lihat,  mereka masih mencakar busut
yang diinjak sesama sendiri.
 
“Biarlah aku memilih arang yang menghitam”
 
25 hb ogos 2012
 

 
 

 

 

 

31 January 2013

Kelebihan Apabila Menyertai Pertandingan Menulis.

Alhamdulillah akhirnya dapat juga AR menyiapkan manuskrip novel, sebuah antologi cerpen (mengandungi 10 buah cerpen) dan sebuah antologi puisi (mengandungi 33 buah puisi). Kesemua manuskrip ini AR hantar untuk pertandingan menulis yang dianjurkan oleh sebuah institusi. Tarikh tutup pertandingan itu jatuh pada hari ini. AR bersyukur sangat sebab dapat menyiapkan ketiga-tiga genre tersebut. AR tidak malu untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak pembaca blog kerana inilah juga tujuan kewujudan blog ini. Bagi AR kalah menang itu soal kedua namun usahanya perlu ada pada diri mereka yang ingin menjadi penulis.
Apakah kelebihan mereka yang mengikuti sesuatu pertandingan menulis?
Kelebihannya ialah mereka dapat mengetahui akan kemampuan diri dalam bidang tersebut. Ini bukan bermaksud mereka yang kalah harus mengundur diri tetapi mereka yang kalah harus berusaha bermuhasabah diri memperbaiki hasil penulisan mereka. Banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan kita dan cuba renung sejenak apakah sebab kita kalah dan kita cuba perbaiki kelemahan tersebut.
Selain itu apabila menyertai pertandingan dan menang pula maka itu dikira sebagai merit untuk mempromosi diri bagi memastikan hasil penulisan kita dapat diterbitkan. Ramai penulis yang merungut kerana manuskrip yang dihantar 'liat' sangat untuk diterbitkan. Nah, apabila kita menang manuskrip yang menang itu mempunyai potensi besar untuk diterbitkan oleh pihak penganjur. Paling tidak pun kita boleh masukkan dalam resume dan menguatkan biodata diri kita untuk mendapat kepercayaan yang lebih daripada penerbit.
Masuk pertandingan menulis juga akan mengajar kita untuk mendisiplinkan diri. Ramai penulis yang tahu menulis tetapi tidak mendisiplinkan diri untuk mengikut keperluan pihak penganjur. Apabila kita mengikuti sesuatu pertandingan maka kita tertakluk kepada apakah kehendak pihak penganjur untuk menang. Cara ini mengajar kita untuk menepati masa, mengikut keperluan penganjur dan bersedia untuk bekerjasama.
Melalui pertandingan menulis juga akan mengajar kita untuk matang dalam bidang penulisan. Sebenarnya ilmu itu amat luas ibarat setitis air di lautan tak bertepi jadi bersedialah untuk menimba ilmu tersebut.

18 October 2012

Panduan Mencari Maksud Sesebuah Sajak



Ramai peminat puisi menghadapi masalah untuk memahami sesebuah sajak. Berikut beberapa cara untuk anda memahami sajak yang anda hadapi. Anda boleh menggunakan salah satu cara atau gabungan cara-cara ini untuk mentafsir atau memahami apa yang cuba dibawakan oleh seseorang penyair melalui cara yang disarankan Prof. Dr. Mursal Esten dalam bukunya Memahami Puisi.

1.      1.  Lihat pada judul/tajuk sajak.
Lihat pada judul sajak dan itu dapat memberikan gambaran tentang apa yang cuba dibawakan oleh penyair itu.

2.     2.   Perhatikan kata-kata yang dominan (kata-kata yang sering diulang).
Kata-kata yang diulang sering menjadi kata-kata yang dominan. Kata-kata terpilih itu akan dapat menggambarkan suasana yang dominan terhadap sesebuah puisi. Dengan memerhatikan kata-kata yang dominan itu akan terbuka pula kemungkinannya untuk anda memahami makna keseluruhan puisi yang cuba anda fahami itu.

3.    3.    Hayati makna konotatif (punya makna lain selain daripada makna yang tersurat)
Bahasa puisi merupakan bahasa yang melangkaui batas maknanya yang biasa/lazim. Bahasanya juga melangkaui makna harfiah. Bahasa konotatif digunakan sebagai cara untuk membentuk imej atau citra tertentu dalam puisi itu. Makna konotatif dibentuk dengan menggunakan bahasa kiasan (figure of speech). Bahasa kiasan termasuklah kiasan perbandingan (metafofa, kiasan, personafikasi, analogi, perumpamaan), kiasan pertentangan (ironi, hiperbola, litotes), dan kiasan pertautan (metanime, sinedoke, eufemisme). Oleh kerana konotatif menjangkaui maknanya yang biasa maka berlaku kemungkinan kita memahami sesuatu perkataan di dalam puisi itu dengan bermacam-macam makna. Untuk tidak sampai menyesatkan kita maka kita kena berpegang kepada makna konotatif yang umum. Dengan yang demikian makna konotatif yang dipegang haruslah maknanya yang telah disepakati atau yang paling mungkin berdasarkan hubungannya dengan kata, frasa atau kalimatnya yang ada.

4.      4.  Cari makna yang terungkap di dalam baris atau bait.

5.      5.  Kita boleh memahami makna puisi itu melalui baris atau bait puisi.
Makna yang paling hampir adalah makna yang sesuai dengan struktur bahasa.
Cuba perhatikan sajak karya Supardi ini,

                                Perahu Kertas
Waktu masih kanak-kanak kau membuat perahu
                Kertas dan kau layarkan di tepi kali; alirnya sangat
                Tenang, dan perahumu bergoyang menuju lautan
“Ia akan singgah di bandar-bandar besar,” kata seorang
                Lelaki tua. Kau sangat gembira, pulang dengan
berbagai gambar warna-warni di kepala. Sejak itu
kau pun menunggu kalau-kalau ada kabar dari
perahu yang tak pernah lepas dari rindumu itu.
 Akhirnya kau dengar juga pesan si tua itu, Nuh,
                                katanya, “Telah kupergunakan perahumu itu
                                dalam sebuah banjir besar dan kini terdampar
                                di sebuah bukit”.

Cuba perhatikan bait 3. Mengapa Supardi menggunakan kata “itu” sesudah “Si Tua” kerana orang itu juga sudah disebutnya dalam bait 2. Siapakah “si tua” itu? Si tua itu ialah Noh.
Berdasarkan struktur yang ada maka “itu” sesudah “si tua”, dan “nuh” orangnya adalah sama. Oleh hal yang demikian maka puisi Supardi ini dapatlah kita mengerti. Puisinya bermaksud ada seorang lelaki yang arif akan alam kanak-kanak. Meskipun alam kanak-kanak dan fikiran kanak-kanak itu sering dianggap sebagai berfikiran kosong namun fikiran kanak-kanak juga harus dihargai. Jarang orang tua yang mahu hargai fikiran seorang kanak-kanak. Tapi dalam puisi ini dunia kanak-kanak dan khayalan mereka telah dihargai oleh seorang lelaki tua. Noh ialah seorang nabi. Perahu kertas yang dibuat kanak-kanak itulah katanya yang ia pakai sewaktu ada banjir besar yang melanda umat Nabi Noh dahulu. Oleh itu tanpa petunjuk daripada struktur bahasa maka orang yang satu itu harus sahaja mengatakan ada tiga orang berbeza dalam sajak itu (lelaki tua, si tua dan Nuh). Jika itulah anggapannya maka maknanya juga sudah menjadi lain (sudah salah).

6.      6.  Prosakan puisi itu terlebih dahulu jika mahu mengetahui maksudnya.
Usaha memprosakan ini hanya sekadar untuk menangkap maksudnya bukan untuk tujuan menikmati keindahan sajak itu.

7.     7.   Susur kepada siapa yang dimaksudkan kata ganti yang ada dan siapa pula yang mengucapkan ayat yang ada di dalam tanda petik ( “ ...”jika ada tanda petik).

8.      8.  Lihat antara baris dengan baris atau bait dengan bait.
Kadang kala jika kita melihat antara satu baris dengan satu baris yang lain atau antara satu bait dengan bait yang lain boleh membantu kita menemukan maksud sajak itu.  Baris atau bait itu boleh membantuk satu kesatuan makna. Cubalah lihat pertalian makna antara baris atau bait-bait tersebut.

9.       9. Perhatikan maknanya yang tersembunyi.
Sesebuah sajak yang baik selalunya mempunyai makna tambahan dari apa yang tersurat. Makna tambahan itu hanya mampu diperoleh setelah kita membaca dan memahami sajak itu. Sesudah merenung dan melalui proses konsentrasi dan intensifikasi barulah kita akan faham maksudnya.

   10. Perhatikan corak  sajak itu.
Ada sajak yang mementingkan unsur formal dan ada pula sajak yang lebih mementingkan unsur puitis. Puisi yang mementingkan unsur formal akan terlihat dari segi penonjolan rima, pola-pola baris (dengan suku kata yang relatifnya sama), dan baik. Selalunya ini dapat dilihat pada puisi tradisional atau kepada penulis yang terpengaruh dengan puisi tradisional.
Puisi yang mementingkan unsur puitis tidak terikat dengan unsur formal. Tidak ada baris malahan baitnya juga tiada. Puisi ini lebih mementingkan suasana puitis melalui imej-imej yang diciptakan.
Contohnya sajak ciptan Sitor Situmorang,

                          Gembala

Perasaan siapa tidak nyala
Melihat anak berlagu dendang
Seorang sahaja di tengah padang
Tiada berbaju buka kepala

Begini nasib anak gembala
Berteduh di bawah kayu nan rindang
Semenjak pagi meninggalkan kandang
Pulang ke rumah di senja kala

Jauh sedikit sesayup sampai
Terdengar olehku bunyi serunai
Melagukan alam nan moleh permai
Wahai gembala di segara hijau
Mendengar puputmu menurutkan kerbau
Maukah aku menurutkan dikau

                                                        (Sitor Situmorang).

111.    Setiap tafsiran yang dibuat harus berdasarkan teks sajak itu.
Ini bermaksud apapun tafsiran sajak itu  maka tafsiran maksudnya harus dapat dikembalikan kepada teks sajak itu. Kita harus dapat menunjukkan mana perkataannya atau baris mana atau bait mana yang menjadi sumber kepada tafsiran kita.

Kesimpulannya bahasa sajak memang ambiguiti namun dalam mencari maksudnya kita tidak boleh membuat sewenang-wenangnya. Dasarnya tetap dipegang kepada kata, baris ataupun bait yang ada di dalam sajak itu.