Showing posts with label bicara minda. Show all posts
Showing posts with label bicara minda. Show all posts

07 February 2014

The Lord Of The Rings vs Hikayat Langlang Buana

Dalam cerita Hikayat Langlang Buana, Raja Indera Bumaya boleh bertukar menjadi burung bayan, burung nuri dan bunga. Keistimewaan Raja Indera Bumaya yang lain ialah baginda boleh mencita geliga daripada Raja Johan Syahperi dengan menyeru empat jin untuk menewaskan hulubalang Raja Bahrum Dewa. Apabila mendapat tentangan daripada Raja Bahrum Dewa maka Raja Indera Bumaya mencita pula geliga hikmat itu untuk mendapatkan bantuan empat ribu jin bagi melawan segala raja, menteri, hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Puncanya kerana rasa cinta Raja Indera Bumaya terhadap Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
     Sebenarnya kita tidak ketandusan cerita untuk dipersembahkan sama ada ke layar perak atau diolah untuk tujuan penulisan moden. Masyarakat Melayu dahulu kaya dengan khazanah alam tetapi sayang tidak dipugar dengan baik sehingga terperap di dalam buku. Masyarakat kita lebih mendewa-dewakan Lord Of The Ring biarpun ceritanya tidak masuk akal. Sebenarnya yang tidak masuk akal itulah permulaan kepada tercetusnya idea kreatif untuk masa hadapan. Masyarakat kita suka merendah-rendahkan apa yang kita ada sambil menyanjung tinggi khazanah luar negara yang dikatakan elit dan moden. Mereka menganggap segala macam dewa dan perkara karut marut itu tidak sesuai dengan budaya, agama dan negara ini (penulis bersetuju bahawa  hukum Islam tetap hukum Islam dalam penentuan akidah). Tetapi dalam masa yang sama mereka menyanjung tinggi cerita karut marut dari luar negara. Soalnya adakah perkara ini adil untuk penggiat seni di negara ini apabila berhadapan dengan isu ini?
     Apa yang AR harapkan agar kita harus bersikap terbuka (tetapi dalam masa yang sama akidah dan soal iman tidaklah dipinggirkan) dalam menangani isu ini. Kita harus menggiatkan usaha menggali khazanah cerita-cerita lama dan mengetengahkan cerita ini hingga ke peringkat antarabangsa. Inilah yang menuntut komitmen daripada penulis sama ada penulis novel, skrip atau cerpen. Kita harus bertanya mengapakah sehingga sekarang kita di rantau nusantara ini masih belum lagi meraih hadiah Nobel setelah Prem (yang pernah diwara-warakan untuk pencalonan) pergi meninggalkan kita. Adakah kita sibuk mengejar apa yang ada di barat untuk dipersembahkan kepada khalayak dan akhirnya kita gagal sedangkan permata berharga itu ada di rumah kita sendiri dan cuma menunggu masa untuk digilap lalu dipersembahkan kepada khalayak antarabangsa sehingga kita mampu memperoleh anugerah tersebut.

14 June 2013

Dapatan Kajian Penawaran Subjek Kesusasteraan Melayu Di Sekolah-Sekolah


Antara dapatan kajian yang telah diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan 2013
 
2.0 Bilangan Sekolah dan Murid Yang Mengambil Subjek Kesusasteraan Melayu Di Negeri Melaka.
Subjek Kesusasteraan Melayu merupakan subjek elektif pada peringkat SPM. Bilangan sekolah yang menawarkan serta murid yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM dalam jangka masa 10 tahun kebelakangan ini diharap dapat menunjukkan permasalahan bermakna mengenai subjek Kesusasteraan Melayu yang menjadi fokus penulisan ini.
2.1 Data sekolah dan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka (2002-2011)

JUMLAH SEKOLAH DAN MURID YANG MENGAMBIL MATA PELAJARAN

 KESUSASTERAAN MELAYU SPM DI NEGERI MELAKA (2002-2011)

TAHUN
2002
2003
2004
2005
2006
2007
2008
2009
2010
2011
BIL SEKOLAH
40
38
37
30
33
23
20
17
15
15
BILANGAN MURID
2244
1687
1532
1245
1054
760
766
686
722
537

(Sumber: Analisa Buku Laporan Keputusan SPM dan JPN Melaka)

Jadual menunjukkan jumlah sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu serta bilangan murid yang mengambil Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka dari 2002-2011.

Berdasarkan data yang terdapat dalam jadual di atas didapati berlaku penurunan yang ketara dari aspek bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu serta bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu dalam masa 10 tahun.

Pada tahun 2002, terdapat 40 buah sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM namun pada tahun 2011 cuma terdapat 15 buah sekolah sahaja yang masih menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu untuk calon SPM. Ini menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 64.5% dari segi bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka dalam jangka masa 10 tahun.

Bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM juga didapati berkurangan. Pada tahun 2002 terdapat 2,244 calon SPM yang menduduki kertas peperiksaan Kesusasteraan Melayu. Namun begitu pada tahun 2011 hanya terdapat 537 calon sahaja yang mengambil kertas Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka. Hal ini menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 76.1% dari segi bilangan calon yang menduduki kertas peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM di negeri Melaka.

Secara keseluruhannya dalam masa 10 tahun sejak  2002 berlaku penurunan bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu SPM di negeri Melaka. Selain itu bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM juga telah berkurangan sejak tahun 2002 hingga tahun 2011. Hal ini menunjukkan bilangan calon yang menduduki kertas Kesusasteraan Melayu semakin berkurangan dan ia berkait rapat dengan bilangan sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin berkurangan di negeri Melaka.

2.2 Dapatan Kajian

Dapatan kajian berdasarkan data 2.1 menunjukkan sepanjang 10 tahun iaitu bermula 2002 hingga 2011, telah berlaku penurunan sebanyak 64.5% dari segi bilangan sekolah di negeri Melaka yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu. Akibat penurunan sebanyak 64.5% ini juga telah menyebabkan bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu di negeri Melaka telah berkurangan sebanyak 76.1% dalam tempoh yang sama.

Subjek Kesusasteraan Melayu merupakan subjek elektif pada peringkat SPM. Akibat sifatnya yang merupakan subjek elektif maka murid bebas untuk mengambil atau tidak subjek tersebut bagi tujuan peperiksaan SPM. Sebagaimana yang termaklum, murid yang mendapat keputusan cemerlang pada peringkat PMR akan dimasukkan ke dalam aliran sains manakala bakinya akan dimasukkan ke dalam aliran sastera. Ini diakibatkan oleh dasar kerajaan yang memperkenalkan nisbah 60:40. Kerajaan berhasrat menjadikan negara ini sebagai negara berteraskan sains & teknologi sebab itulah KPM dipertanggungjawabkan untuk memastikan nisbah 60 peratus murid masuk aliran sains manakala baki 40 peratus mengikuti jurusan sastera. Oleh kerana murid-murid cemerlang dikelompokkan sebagai murid sains maka bakinya dianggap sebagai murid lemah iaitu murid aliran sastera. Hal ini memberikan impak terhadap persepsi warga sekolah dan masyarakat terhadap murid dalam jurusan sastera.

Murid lemah dianggap sebagai penyumbang kepada penurunan prestasi peperiksaan sekolah. Murid yang lemah juga dianggap sebagai penyumbang terbesar masalah disiplin sekolah. Ini kerana murid lemah tidak dapat memberikan fokus terhadap pelajaran. Mereka melakukan salah laku untuk mendapatkan perhatian. Istilah ‘murid mata merah’ dilabelkan kepada murid yang mengambil jurusan sastera. Hal ini dikaitkan dengan mereka yang dimasukkan ke dalam jurusan sastera ialah murid yang tidak suka membaca, tidak suka belajar, suka tidur di dalam kelas atau suka menimbulkan masalah disiplin di dalam sekolah. Apakah implikasi label ini dan apakah kaitannya dengan bilangan sekolah menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin mengecil serta bilangan murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu yang semakin berkurang?

Kuasa membuka atau menutup kelas Kesusasteraan Melayu SPM terletak di bawah bidang kuasa pengetua sekolah. Seseorang pengetua boleh menggunakan budibicaranya untuk menutup kelas Kesusasteraan Melayu di sekolahnya. Dengan kuasa yang ada ini telah memberikan kesan yang besar terhadap penurunan bilangan sekolah yang menawar subjek Kesusasteraan Melayu seterusnya menurunkan jumlah murid yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memberikan penegasan supaya sekolah menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu kerana kebanyakan pengetua memilih untuk tidak berbuat demikian (Mohamad Salleh : 2012).

Penutupan kelas sastera berkait dengan usaha meningkatkan prestasi akademik sekolah. Anggapan bahawa murid sastera menyumbang kepada penurunan prestasi dari segi kualiti dan kuantiti  menyebabkan penutupan kelas sastera. Selain itu usaha terdesak bagi mengurangkan masalah disiplin dilakukan dengan menutup kelas sastera. Murid yang tidak dapat memberikan fokus terhadap pelajaran dan sering menimbulkan masalah sering dikaitkan dengan murid aliran sastera. Namun ada juga yang menggunakan istilah ‘pakej’ bagi mewajarkan tindakan ini. Kelas sastera terpaksa ditutup bagi memudahkan pihak sekolah menawarkan pakej mata pelajaran kepada murid dan yang menjadi mangsa ialah kelas Kesusasteraan Melayu.

Terdapat juga tanggapan bahawa mata pelajaran sastera tidak menjanjikan masa depan yang cerah selain melahirkan murid yang suka berangan-angan dengan dibuai perasaan semata-mata. Bagi guru yang mempunyai latar belakang pendidikan sastera di universiti pula mereka tidak mahu mengajar sastera sebaliknya tugas ini terpaksa dipikul oleh mereka yang bukan opsyen sastera.

Kesimpulannya terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penutupan kelas Kesusasteraan Melayu. Biarpun belum ada kajian saintifik bagi mengenalpasti puncanya namun sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kelas Kesusasteraan Melayu tidak hilang dari negeri Melaka sebagaimana berlaku di beberapa buah negeri lain di Malaysia.

3.0  Perubahan Persepsi Terhadap Subjek Kesusasteraan Melayu

Perubahan persepsi harus dilaksanakan bagi memastikan subjek Kesusasteraan Melayu kekal ditawarkan di sekolah-sekolah. Bagi mengubah persepsi ini semua pihak bertanggungjawab untuk melaksanakannya.  Perubahan persepsi ini bertujuan menyedarkan pihak pembuat keputusan, pihak pelaksana, kaunselor, murid dan pencinta ilmu agar faham objektif  P&P Kesusasteraan Melayu di sekolah. Selain itu ia juga bertujuan memartabatkan subjek Kesusasteraan Melayu agar menjadi subjek pilihan utama murid di alam persekolahan semoga hasrat menjadikan sistem pendidikan negara gemilang akan terlaksana.

3.1  Kesusasteraan Melayu Sebagai Suatu Kesedaran Kelangsungan Peradaban Bangsa

Belajar Kesusasteraan Melayu bererti melihat rakaman sejarah hidup dan pengalaman masyarakat Melayu seusia dengan kewujudan Melayu itu sendiri. Tidak banyak yang diketahui dan diberitakan kepada masyarakat kita pada hari ini mengenai kehebatan, kekuatan, ketinggian peribadi dan keterlibatan bangsa Melayu dalam sejarah peradaban tanpa merujuk kepada khazanah kesusasteraan melayu itu sendiri. Dengan meneliti khazanah kesusasteraan yang terhasil daripada tradisi lisan dan tulisan sejak zaman berzaman, masyarakat hari ini dapat menghayati dan memahami kehebatan bangsa Melayu yang terbina daripada peradabannya (Abdul Halim Ali : 2012).

      Kesedaran peri pentingnya belajar Kesusasteraan Melayu sebagai melihat rakaman peradaban bangsa Melayu yang unggul suatu ketika dahulu akan dapat menyemai perasaan bangga akan peradaban bangsa. Penelitian teks sastera secara tidak langsung melihat khazanah bangsa dan seterusnya memberi ruang kepada murid untuk menjiwai watak yang terdapat dalam khazanah tersebut. Adnan Khamis dan F.P Chew (1998) menyatakan sastera negara ini memainkan peranan membina unsur-unsur patriotisma, membina watak kepahlawanan dan kebanggaan nasional.

3.2  Kesusasteraan  Melayu sebagai alat integrasi nasional.

Negara Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk. Perpaduan menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan negara. Penyata Razak menyatakan tujuan utama dasar pendidikan di Malaysia ialah untuk menyatukan pelajar-pelajar daripada semua bangsa dengan memakai satu sistem pendidikan yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (Penyata Razak 1956).

      Kajian yang dijalankan oleh Adnan (1990) memperlihatkan sastera kebangsaan sudah merentasi batasan yang terfokus kepada lingkungan Melayu kepada alam bukan Melayu. Seterusnya sastera kebangsaan telah melangkaui batas-batas pemikiran yang terkongkong daripada persoalan Melayu kepada persoalan nasional yang mengaitkan isu-isu hubungan kaum, toleransi dan muhibah. Malahan sastera kebangsaan menunjukkan peranan perpaduan nasional melalui sastera merentas batas-batas etnik, taraf sosial ekonomi dan lokasi.

 Kesimpulannya Kesusasteraan Melayu berperanan penting dalam memupuk integrasi nasional. Kesusasteraan Melayu bukan difokuskan kepada orang-orang Melayu semata-mata tetapi sudah merentas batas nasional.  Sifat Kesusasteraan Melayu yang merentas batas nasional ini membolehkan integrasi nasional dipupuk di dalam sistem pendidikan negara ini.

3.3  Kesedaran bahawa Kesusasteraan Melayu sebagai cara melahirkan negara bangsa.

Menurut Jurij Hj Yahya (1991) konsep negara bangsa telah diperkenalkan oleh Ibnu Khaldun sebagai suatu teori sosial yang dinamakan sebagai “assabiyyah” yang bermaksud semangat kebangsaan. Semangat ini agak mirip kepada semangat nasionalisme yang dari segi definisi politiknya adalah “perasaan cintakan bangsa dan negara sendiri iaitu kasih sayang yang tidak berbelah bahagi”. Ibnu Khaldun percaya bahawa kekuasaan dan kedaulatan sesebuah negara itu tercetus daripada semangat “assabiyyah” atau semangat nasionalisme ini (Noraini Md.Yusof, Noraza Ahmad Zabidi & Supyan Hussin, 1998)

Ghazali Shafie (1995) berpendapat pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ bermaksud seseorang yang mengenal dirinya sebagai bangsa Malaysia yang berlandaskan ‘kerakyatan Malaysia’ yakni seseorang rakyat Malaysia tanpa mengira apa keturunannya mengaku dirinya tidak lain dan tidak bukan sebagai ‘Bangsa Malaysia’ dan berasakan dia mempunyai kebudayaan Malaysia sendiri. Dalam sanubari, bukan dari segi undang-undang, “warga” dan “negara” dipersatukan.  Konsep negara bangsa dalam konteks negara Malaysia ialah masyarakat yang penyayang, bersatu, bermoral, berkeyakinan diri, beretika, bersikap adil, serta mengamalkan cara hidup yang demokratik, toleran dan progresif.

Dalam sistem pendidikan, sastera kebangsaan dapat membina peradaban bangsa melalui ilmu, kemahiran dan nilai yang diserapkan melalui kurikulum. Teks sastera merupakan bahan P&P yang menjadi cerminan kepada budaya masyarakat Malaysia pelbagai kaum. Sastera juga menjadi alat perpaduan ke arah membina bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan nilai kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dengan bakat dan nilai seni seperti yang terdapat di dalam sesebuah teks sastera . Sastera bukan sahaja bertindak sebagai pencetus kreativiti tetapi juga menjadi alat penyuburan terhadap semangat patriotisme. Semangat inilah yang akhirnya akan menjadikan murid itu insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, sekali gus membentuk peradaban bangsa Malaysia (Mohamad Nor Mohamad Taib, 2012).

Tuntasnya pihak pembuat dan pelaksana keputusan sewajarnya faham akan tanggungjawab berat yang dipikul oleh kurikulum Kesusasteraan Melayu. Usaha melahirkan negara bangsa melalui kurikulum Kesusasteraan Melayu patut digalakkan dengan menggiatkan pembukaan kelas Kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah agar usaha melahirkan  negara bangsa akan mudah tercapai.

3.4 Persepsi Terhadap P&P Kesusasteraan Melayu

Umum mengetahui terdapat banyak teks yang harus ‘dihadamkan’ oleh pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat SPM. Mulai tahun 2011 murid harus mengkaji teks Bacalah Dalam Bahasamu Jilid A, Bacalah Dalam Bahasamu Jilid B, Hati Terkenang Mulut Menyebut dan Restu. Dalam masa dua tahun murid harus mengkaji karya-karya yang ditetapkan. Terdapat guru Kesusasteraan Melayu yang mengambil jalan mudah dengan mengajar menggunakan kaedah tradisional  melalui teknik hafalan. Akibatnya murid tidak dapat menghayati sesebuah karya sehingga menyebabkan murid mudah bosan.

Telah banyak diperkatakan oleh pengkaji-pengkaji penjurusan yang bersifat intrinsik. Kaedah pengajaran secara intrinsik menjadikan mata pelajaran sastera kebangsaan kurang daya tarikannya yang sekaligus membawa kepada kemerosotan minat guru dan murid. Lebih-lebih lagi sastera bukan mata pelajaran teras sebaliknya sebagai mata pelajaran elektif. Kaedah pengajaran yang terberat ke arah pengajaran intrinsik membawa kesan sampingan ke arah menyempitkan hala tuju sastera kebangsaan ini ( Adnan Kamis & F.P Chew, 1998).

Kajian oleh Misran Rukimin (1997) menunjukkan penumpuan pengajaran yang memberatkan kaedah intrinsik menjadikan sastera tidak terdedah kepada hal-hal luaran yang lebih penting dan bersifat global. Sastera tidak dilihat dari sudut yang boleh membangunkan negara atau membina minda insan dan kemanusiaan. Oleh yang demikian sastera yang diajarkan di sekolah oleh guru tidak dapat memenuhi keperluan-keperluan tersebut.

Punya Mishra dan Matthew J.Koehler  dalam Rozaiman Makmun et al. (2011) menggariskan lima langkah yang harus dipatuhi oleh guru Kesusasteraan Melayu untuk mengajar subjek Kesusasteraan Melayu berdasarkan Pengetahuan Teknologi Pedagogikal Kandungan. Pengetahuan Teknologi Pedagogikal Kandungan ini dikembangkan daripada idea asal yang diketengahkan oleh Shulman iaitu Pengetahuan Pedagogikal Kandungan. Punya Mishra dan Matthew J.Koehler menyatakan terdapat lima jenis pengetahuan yang saling berhubungan yang harus dimainkan peranannya oleh guru sastera. Lima jenis pengetahuan yang dimaksudkan ialah pengetahuan isi kandungan, pengetahuan aspek pedagogikal, pengetahuan latar belakang dan kesediaan murid, pengetahuan kaedah pentaksiran dan pengetahuan teknologi bagi tujuan penyampaian ilmu.

Guru Kesusasteraan Melayu harus ada pengetahuan mengenai isi kandungan subjek yang diajarkan. Guru Kesusasteraan Melayu harus peka terhadap kehendak Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Selain daripada itu guru Kesusasteraan Melayu haruslah dapat menyesuaikan diri dengan karya-karya sastera yang terpilih. 
Pengetahuan mengenai aspek pedagogi perlu dikuasai oleh guru Kesusasteraan Melayu. Selain ilmu pedagogi yang diperoleh di universiti bagi mendapatkan segulung ijazah atau diploma pendidikan, guru juga harus bersedia mempelajari kaedah pedagogi terkini melalui kursus-kursus yang dianjurkan. Guru Kesusasteraan Melayu harus bergerak seiring dengan perubahan masa. Mereka tidak harus berada di takuk lama dengan mengajar menggunakan kaedah yang lama. Guru Kesusasteraan Melayu harus bersedia menggunakan kaedah-kaedah pedagogi terkini bagi memastikan P&P yang dijalankan akan mencapai objektif yang dirancang. Menurut Juriah Long (1998), guru seharusnya menguasai kaedah pengajaran yang lebih bersistem, dinamik dan memberikan peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif. Oleh yang demikian segala pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti pembelajaran murid hendaklah diubah daripada cara tradisional kepada cara yang lebih inovatif, proaktif dan dinamik serta menggalakkan gaya pembelajaran akses kendiri, konstruktif, pembelajaran aktif, koperatif, kolaboratif, inkuiri dan seumpamanya yang lebih berfokuskan murid (Rozaiman Makmun et al, 2011)

Pengetahuan latar belakang dan kesediaan murid harus diambil berat oleh guru Kesusasteraan Melayu ketika merancang pengajaran. Perbezaan dalam kebolehan kognitif, afektif dan fizikal murid merupakan pembolehubah terpenting dalam merancang program P&P. Selain itu perbezaan yang disebabkan oleh gender, budaya, potensi kreativiti dan tahap penerimaan murid akan mempunyai kesan terhadap guru. Guru seharusnya tahu apakah stail pembelajaran, minat dan kebolehan yang diperlukan oleh murid (Paul R.Burden & David M.Byrd, 1994). Guru yang dapat menyediakan maklumat latar belakang dan kesediaan belajar murid akan dapat membantu muridnya untuk menguasai pengajaran yang akan dilaksanakan. Menurut Abd. Ghafar (2003), kesediaan belajar murid, antaranya boleh dipengaruhi oleh kematangan fizikal dan mental, pengalaman dan pengetahuan sedia ada, kemahiran asas, mengekalkan perhatian; dorongan atau motivasi, serta aspek sosial dan persekitaran. Lebih berpusatkan murid bermakna murid perlu dididik agar tidak terlalu bergantung kepada guru, nota dan buku teks. Murid digalakkan mencari maklumat di luar bilik darjah, khususnya melalui rujukan melalui bacaan tambahan, perpustakaan, rujukan lapangan dan internet.

Pengetahuan bagi kaedah pentaksiran penting sebagai cara untuk mengetahui sejauh

mana objektif pendidikan tercapai selain membantu guru mengetahui tahap kebolehan murid secara individu (Ahmann & Glock, 1981). Pentaksiran merupakan suatu cara untuk melihat kebolehan murid menguasai apa yang diajarkan oleh guru. Ia juga merupakan kaedah bagi guru merancang pengajaran yang berikutnya. Kaedah pentaksiran yang berkesan akan dapat memudahkan guru membawa kejayaan buat murid yang diajar. Sehubungan dengan itu guru harus merancang ujian diagnostik, ujian formatif dan ujian sumatif dengan baik. Ini bagi memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu dapat dicapai dengan baik.

Dalam zaman ICT, guru Kesusasteraan Melayu harus punya pengetahuan teknologi

bagi tujuan penyampaian ilmu. Biarpun ada tanggapan mengatakan guru Kesusasteraan Melayu tidak perlu menggunakan ICT sewaktu mengajar kerana Kesusasteraan Melayu hanyalah berkisar kepada manuskrip lama namun tanggapan ini harus disanggah. Ledakan teknologi maklumat memberikan implikasi dan kesan kepada dunia pendidikan khususnya dari sudut pemerolehan pembelajaran. Lazimnya maklumat yang diperoleh akan kekal sebanyak 20% daripada apa yang dilihat, 30% daripada apa yang didengar, 50% daripada apa yang dilihat dan didengar serta mencecah 80% jika dilihat, didengar dan melaksanakan aktiviti secara serentak. Berdasarkan pecahan ini bermakna pembelajaran yang dijalankan melalui internet amat berkesan kerana ia melibatkan integrasi perlakuan tersebut dalam memperoleh maklumat. Internet dapat berfungsi sebagai pusat penerbitan sumber maklumat, ruang diskusi, alat komunikasi, alat forum serta sebagai alat penyelidikan. Kepelbagaian yang ada menjadikan internet sebagai wadah lebuh raya maklumat yang wajar dimanfaatkan oleh guru Kesusasteraan Melayu. Internet juga menjadi sumber bahan pembelajaran, bahan rujukan, rancangan pelajaran, koleksi perpustakaan, perisian, maklumat projek atau aktiviti, majalah, buku, akhbar dan jurnal. Kesemuanya ini dapat dicapai oleh guru Kesusasteraan Melayu atau murid menerusi aplikasi world wide web, mel-elektronik, kumpulan diskusi elektronik, Internet Relay Chat, telesidang, telefon internet dan lain-lain lagi. Melaluinya guru Kesusasteraan Melayu dan murid berkemampuan untuk melaksanakan program untuk tujuan berkomunikasi, “browsing”, mencari maklumat, selain meningkatkan kreativiti (Mohd Sarif Abd Manaf et al, 1998).

04 March 2012

Kemelut Sastera Kanak-Kanak, Remaja di Malaysia

Bacaan kelompok terbabit didakwa tidak menepati piawaian pembaca

KESUSASTERAAN kanak-kanak dan remaja tempatan masih belum berada pada tahap memberangsangkan untuk membentuk jati diri dan budaya bangsa pembaca kelompok itu bagi mengharungi era globalisasi kerana judul bahan bacaan untuk mereka di pasaran hari ini kurang digemari dan tidak mampu menarik perhatian. Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Arbaie Sujud berkata, kajian mendapati ada pembaca yang menganggap bahan yang disajikan dalam genre itu tidak menepati kehendak mereka. “Kanak-kanak dan remaja pada hari ini kurang menggemari karya tempatan genre ini kerana berpendapat cerita yang disampaikan sukar difahami dan tidak menepati kehendak mereka. Ini mengakibatkan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai wadah hiburan dan pendidikan,” katanya ketika mengupas Cabaran Sastera Kanak-kanak dan Remaja Pada Era Kini pada Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja 2011.

Seminar bertema Hala Tuju Pembangunan Sastera Kanak-kanak dan Remaja di Malaysia anjuran bersama Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Malaysia dan Kementerian Pelajaran. di Perpustakaan Kuala Lumpur, baru-baru ini, membabitkan pembentangan 16 kertas kerja.

Dr Arbaie yakin hala tuju ke kesusasteraan kanak-kanak dan remaja pada hari ini boleh diperbaiki dengan menangani corak penyampaian kepada pembaca agar dapat diterima kelompok sasaran, termasuk memastikan pemilihan bahasa bertepatan dengan tahap pembacaan mereka, serentak itu menyelitkan unsur daya tarikan.

“Bahasa yang terlalu tinggi dalam genre ini akan menyukarkan pemahaman mereka. Penulis dan penerbit juga perlu bijak menyelitkan unsur yang boleh menarik perhatian mereka. Ini termasuk mewujudkan karya penuh maklumat dan ilustrasi yang menarik,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar diwujudkan pangkalan data yang mengumpulkan karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja tempatan agar lebih mudah dicapai pembaca, selain dapat menggalakkan kerjasama erat di antara penulis, penerbit dan semua pihak yang terbabit dalam untuk menghasilkan karya kategori ini.

Tidak ketinggalan, beliau turut melihat penerbitan kesusasteraan kelompok ini agak perlahan akibat persaingan daripada kesusasteraan antarabangsa serta bahan bacaan berbentuk digital, selain penerbit buku kanak-kanak Malaysia masih diselubungi isu seperti mutu karya dan penerbitan serta dihimpit dengan masalah promosi di samping pemasaran.

Seorang lagi Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr Jamayah Zakaria berkata, kajian yang dijalankan mendapati secara purata, syarikat penerbitan di negara ini menerbitkan antara lima hingga 12 tajuk setahun dengan jumlah cetakan antara 1000 hingga 3000 naskhah.

“Perangkaan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pula menunjukkan jumlah judul kesusasteraan dalam genre ini yang diterbitkan pada 1980-an adalah 188 judul dan mencapai lebih 2,000 judul pada 1990-an.

“Walaupun perangkaan menunjukkan peningkatan, ia masih kurang berbanding jumlah pembaca dalam kategori kanak-kanak dan remaja yang semakin ramai setiap tahun,” katanya ketika melapah Isu Dalam Penerbitan Buku Sastera Kanak-kanak di Malaysia.

Pandangan Dr Jamayah berhubung judul kesusasteraan kanak-kanak dan remaja di pasaran ketika ini kurang jati diri dan keaslian kerana disadur daripada karya antarabangsa disokong seorang lagi Pensyarah UPM, Shamsudin Othman, ketika membicarakan Di Mana dan Ke Mana Arahnya Masa Depan Kanak-kanak dan Remaja Malaysia?

Pada pengamatannya, setiap kali Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, banyak karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja muncul di pasaran, tetapi malangnya kurang identiti Malaysia kerana bersifat karya terjemahan cerita Cinderella, Arnab dengan Musang, Serigala yang Tamak, cerita keagamaan daripada al-Quran dan kisah nabi yang disadur dari Asia Barat atau cerita terjemahan negara lain.

“Di manakah cerita asli Melayu seperti Pak Kaduk, Lebai Malang, Sang Kancil, Hang Tuah, Sultan Alauddin Riwayat Shah, Panglima Awang, Tun Razak, Bangau Oh Bangau atau Bawang Putih Bawang Merah yang turut boleh dijadikan sastera untuk kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Shamsudin yakin karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja bermutu boleh diperoleh dengan mengolah semula sastera besar tempatan yang baik agar sesuai dibaca oleh golongan pembaca kelompok terbabit.

“Jika dilihat di barat, karya besar sasterawan mereka diolah semula, diturunkan arasnya dan dipermudah laras bahasanya agar sesuai dibaca oleh kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Dipetik dari Ruang Sastera Berita Harian

27 December 2011

Kursus Penulisan Berita & Rencana

AR ingin maklumkan Kursus Penulisan Berita Dan Rencana akan diadakan pada 30 & 31 Disember 2011. Mulanya kursus itu dijangkakan pada 24 & 25 Disember tetapi ditunda pada 30 & 31 Disember ini. Kursus ini akan diadakan di Muara Sungai Duyong. Kursus ini dianjurkan oleh PENAMA dengan kerjasama pihak DBP. Khabarnya makan minum dan penginapan adalah gratis. Eloklah kita meramaikan kursus ini sekurang-kurangnya menghadirkan diri dalam majlis ilmu beroleh pahala. Ilmu ini pula pastilah bermanafaat. AR dimaklumkan seorang Profesor akan mengendalikan kursus ini. Kepada penduduk Melaka dan sekitarnya dipersilakan hadir beramai-ramai.

13 November 2010

TAHNIAH KEPADA CALON UPSR


AR ingin mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR yang baru diumumkan. Kepada adik-adik yang kurang berjaya maka diharapkan usah berputus asa. Ingatlah bahawa hidup ini bukan berkisar kepada UPSR semata-mata. Perjalanan hidup masih jauh lagi.
Adik-adik yang berjaya mendapat keputusan 5A pasti teruja untuk masuk ke sekolah berasrama penuh. Sama ada sekolah berasrama penuh atau tidak, itu bergantung kepada adik-adik sendiri. Kelebihan sekolah berasrama penuh ialah suasana atau persekitaran belajarnya yang kondusif berbanding dengan di rumah sendiri(mungkin). Apapun alasannya tetapi yang paling penting ialah kesediaan diri kita untuk belajar. Kepada yang kurang berjaya, usah berputus asa. Jadikanlah episod duka ini sebagai suatu cabaran kepada diri adik-adik untuk berjaya dalam PMR nanti.