07 February 2014

The Lord Of The Rings vs Hikayat Langlang Buana

Dalam cerita Hikayat Langlang Buana, Raja Indera Bumaya boleh bertukar menjadi burung bayan, burung nuri dan bunga. Keistimewaan Raja Indera Bumaya yang lain ialah baginda boleh mencita geliga daripada Raja Johan Syahperi dengan menyeru empat jin untuk menewaskan hulubalang Raja Bahrum Dewa. Apabila mendapat tentangan daripada Raja Bahrum Dewa maka Raja Indera Bumaya mencita pula geliga hikmat itu untuk mendapatkan bantuan empat ribu jin bagi melawan segala raja, menteri, hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Puncanya kerana rasa cinta Raja Indera Bumaya terhadap Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
     Sebenarnya kita tidak ketandusan cerita untuk dipersembahkan sama ada ke layar perak atau diolah untuk tujuan penulisan moden. Masyarakat Melayu dahulu kaya dengan khazanah alam tetapi sayang tidak dipugar dengan baik sehingga terperap di dalam buku. Masyarakat kita lebih mendewa-dewakan Lord Of The Ring biarpun ceritanya tidak masuk akal. Sebenarnya yang tidak masuk akal itulah permulaan kepada tercetusnya idea kreatif untuk masa hadapan. Masyarakat kita suka merendah-rendahkan apa yang kita ada sambil menyanjung tinggi khazanah luar negara yang dikatakan elit dan moden. Mereka menganggap segala macam dewa dan perkara karut marut itu tidak sesuai dengan budaya, agama dan negara ini (penulis bersetuju bahawa  hukum Islam tetap hukum Islam dalam penentuan akidah). Tetapi dalam masa yang sama mereka menyanjung tinggi cerita karut marut dari luar negara. Soalnya adakah perkara ini adil untuk penggiat seni di negara ini apabila berhadapan dengan isu ini?
     Apa yang AR harapkan agar kita harus bersikap terbuka (tetapi dalam masa yang sama akidah dan soal iman tidaklah dipinggirkan) dalam menangani isu ini. Kita harus menggiatkan usaha menggali khazanah cerita-cerita lama dan mengetengahkan cerita ini hingga ke peringkat antarabangsa. Inilah yang menuntut komitmen daripada penulis sama ada penulis novel, skrip atau cerpen. Kita harus bertanya mengapakah sehingga sekarang kita di rantau nusantara ini masih belum lagi meraih hadiah Nobel setelah Prem (yang pernah diwara-warakan untuk pencalonan) pergi meninggalkan kita. Adakah kita sibuk mengejar apa yang ada di barat untuk dipersembahkan kepada khalayak dan akhirnya kita gagal sedangkan permata berharga itu ada di rumah kita sendiri dan cuma menunggu masa untuk digilap lalu dipersembahkan kepada khalayak antarabangsa sehingga kita mampu memperoleh anugerah tersebut.

No comments: