20 February 2014

Konflik Dalam Karya Kreatif

Manusia berada di dunia ini kerana kemampuan manusia menyelesaikan konflik (gunung, bukit bukau dan segala macam makhluk yang lain menyatakan kepada Allah SWT mereka tidak mampu sebab itulah dipilih manusia). Akibat konfliklah maka manusia berkembang biak. Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi ini kerana konflik perasaannya terhadap ajakkan Hawa untuk makan buah khuldi (puncanya akibat termakan hasutan iblis).
Dalam karya kreatif, konfliklah yang membolehkan karya itu ditulis panjang lebar. Jikalau tiada konflik mana mungkin untuk karya itu berkembang. Konflik juga seringkali dikaitkan dengan pertentangan. Konflik berlaku akibat wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Memang manusia yang normal akan punya rasa tidak puas hati (sehingga dikatakan perasaan tidak puas hati itulah yang menyebabkan tamadun manusia terbentuk). Perasaan tidak puas hati ini wujud akibat,
I) pertentangan pendapat yang terjadi antara manusia itu dengan manusia yang lain. Dalam konteks karya kreatif - antara seorang watak dengan watak yang lain.
ii) pertentangan pendapat yang terjadi dalam diri watak itu sendiri.


Pertentangan Pendapat Antara Watak
Pertentangan pendapat antara watak ini dikaitkan dengan kehendak atau perangai manusia yang kebanyakannya tidak sama atau tidak sealiran. Cuba lihat pertentangan antara watak yang terjadi dalam novel Dari Lembah Ke Puncak.



1.  Konflik di antara Jalil dengan ibunya contohnya Jalil kesal kerana ibunya/Mak Teh telah menjual/menggadaikan tanah pusaka arwah ayahnya kepada  Pak Amat yang tinggal di Gurun tanpa pengetahuannya. 

2.  Konflik antara Jalil dengan Muhsin, contoh Jalil kecewa dengan sikap abangnya Muhsin yang tinggal di Kuala Lumpur tidak bertanggungjawab terhadap ibunya di kampung. Muhsin jarang pulang ke kampung dan tidak pernah menghantar wang kepada ibunya/Mak Teh di kampung.

3.  Konflik antara Jalil dengan Pak Lang Ali,  contoh Jalil kesal dengan sikap Pak Lang Ali yang tidak mahu ikut sama pergi ke rumah Pak Amat di Gurun untuk membayar balik harga tanah arwah ayahnya sebanyak RM10 ribu.

4.  Konflik antara Jalil dengan Pak Ngah Kadir, contoh Jalil tidak senang hati terhadap Pak Ngah Kadir yang memandang serong terhadap diri dan keluarganya di kampung Bukit Nibung.

5.  Konflik antara Jalil dengan penduduk kampung Bukit Nibung, contoh Jalil sedih dengan keputusan mesyuarat penduduk kampung Bukit Nibung yang mahu menghalaunya keluar dari kampung tersebut selepas dia selesai menduduki peperiksaan SPM.

6.  Konflik Kudin dengan Jalil, contoh Kudin marah dan berdendam kepada Jalil sehingga sanggup menabur serpihan kaca di tapak semaian sawah Jalil sehingga kakinya luka berdarah kerana terpijak serpihan kaca tersebut.

7.  Konflik Sabariah(Biah) dengan ayahnya/Pak Ngah Kadir, contoh Biah sedih dan menangis dipukul oleh ayahnya yang memaksa dia berkahwin dengan sepupunya.

8.  Konflik Rosman dan rakan-rakannya dengan Jalil, contoh Rosman (sepupu Kudin) marah dan berdendam kepada Jalil sehingga berlaku pergaduhan di tengah Jalan sewaktu Jalil balik dari kedai Ah Bee membeli minyak tanah.

9.  Konflik Latifah dengan Jalil, contoh Latifah sedih apabila Jalil membakar dangaunya dan membuat keputusan meninggalkan kampung Bukit Nibung untuk pergi ke Kuala Lumpur mencari kerja.

10. Konflik antara Jalil dengan Pak Amat, contoh Jalil kecewa dan kesal dengan sikap Pak Amat yang mungkir janji tidak mahu memulangkan semula tanah arwah ayahnya sewaktu Jalil hendak membayar RM10,000.

Konflik Dalaman Watak (Konflik Jiwa/Perasaan/Dalaman)
Manusia punya perasaan. Seringkali perasaan tersebut berperang kerana wujud konflik kepentingan yang berpunca daripada kesukaran membuat keputusan. Sebagai contoh dikutip konflik dalaman yang berlaku terhadap watak dalam novel Dari Lembah Ke Puncak.


a. Konflik jiwa watak Jalil
  1. Memendam rasa kesal, contoh Jalil memendam rasa kesal terhadap sikap ibunya/Mak Teh yang pernah mendesak arwah ayahnya/Pak Teh supaya menjual tanah kampung tanpa geran kepada Pak Jid semata-mata untuk memenuhi permintaan Muhsin yang ingin membeli motorsikal.
  2. Bingung, contoh Jalil bingung apabila terdengar berita angin daripada penduduk kampung Bukit Nibung yang Biah/Sabariah lari ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Muhsin/abangnya.
  3. Tidak tenteram, contoh Jalil menjadi tidak tenteram jiwanya apabila terdengar berita orang-orang kampung Bukit Nibung yang menuduh Biah/Sabariah lari bersama Muhsin ke Kuala Lumpur.
  4. Malu, contoh, Jalil merasa malu kepada rakan-rakan di kelasnya kerana dimarahi oleh Miss Ong, guru mata pelajaran Biologinya kerana sering tidak hadir ke sekolah. Miss Ong risau prestasi mata pelajaran Biologi Jalil akan jatuh jika sering tidak hadir ke sekolah.
  5. Bimbang, contoh Jalil bimbang dengan tindakan ibunya/Mak Teh yang hendak pergi ke rumah Pak Ngah Kadir untuk mengajaknya berbincang mengenai hubungan Biah dengan Muhsin. Jalil bimbang Pak Ngah Kadir tidak akan bersetuju kerana dia telah menanggung malu.
  6. Sedih, contoh Jalil sedih kerana rumah yang didiaminya semenjak lapan belas tahun yang lalu sudah tidak wujud lagi kerana dirobohkan oleh ibunya sendiri.
  7. Terkedu, contoh Jalil terkedu apabila diberitahu oleh ibunya bahawa tanah tapak rumah dan tanah sawah di kampung Bukit Nibung itu telah dijual.
  8. Sebak, contoh Jalil sebak mengenangkan segala peristiwa yang berlaku. Dia telah menjadi mangsa daripada kesilapan orang lain.
  9. Runsing, contoh Jalil amat runsing memikirkan soal tanah pusaka arwah ayahnya yang telah dijual oleh ibunya kepada Pak Amat di Gurun.
  10. Dilema, contoh Jalil menjadi dilema apabila Biah/Sabariah memberitahu kepadanya yang abang Muhsinnya tidak bersalah.
  11. Berserabut, contoh fikiran Jalil menjadi semakin berserabut memikirkan isu Biah dan Muhsin yang berlaku di kampungnya.
  12. Serba salah, contoh Jalil menjadi serba salah sama ada untuk menjawab atau tidak panggilan Latifah yang datang ke dangaunya untuk menghantar nasi kenduri kahwin yang disuruh oleh Biah/Sabariah.
  13. Menangis, contoh Jalil menangis kerana sayu selepas membakar dangaunya ketika hendak meninggalkan kampung Bukit Nibung dan Latifah untuk pergi mencari kerja di Kuala Lumpur.
Diubah suai daripada beberapa blok KM







No comments: