11 February 2014

Novel Semenanjung Menangis



Novel Semenanjung Menangis yang ditulis oleh Ariff Mohamad mengambil latar seputar reformasi  1998 yang pernah menggegarkan negara. Mengisahkan seorang pensyarah di USJ bernama Rizal. Rizal dalam dilema antara mengikut jejak rakan serumah  iaitu Sabri,  Azreel dan Zainuddin yang  terbabit secara langsung dengan perjuangan reformasi atau memilih untuk berdiam diri. Rizal kemudiannya mengambil pendekatan untuk menulis kisah perjuangan dan politik serta budaya secara serius melalui penerbitan artikel di majalah dan surat khabar. Bagi Rizal perjuangan tidak semestinya dengan berarak di jalan raya tetapi boleh menggunakan pendekatan secara aman melalui penulisan. Malangnya beliau telah difitnah oleh rakan sendiri lalu telah dipanggil oleh SB untuk disiasat. Rentetan itu pihak USJ telah memecat beliau. Kekasihnya bernama Nur Ain turut merasa tempiasnya apabila keluarganya meminta beliau memutuskan perhubungan dan memilih sepupunya untuk ditunangkan. Atas inisiatif Dr. Raja Firdaus, Rizal diterima semula oleh pihak USJ dan ditawarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Kingston London. Jiwa Rizal juga terbuai dengan apa yang keluarganya alami selama ini. Biarpun ibunya tiada pendidikan tinggi namun semangatnya kental menghadapi kerenah suami  iaitu Mahmud Pendekar yang berkahwin dengan Leni iaitu perempuan kelab malam di Singapura. Rizal sewaktu kecil sering didendangkan dengan kisah kepahlawanan negara oleh ibunya. Rizal juga bertekad untuk menulis kisah seorang pejuang negara yang dilupakan oleh massa iaitu Mansor Jumaat yang ada kaitannya juga dengan ayahnya. Akhirnya Rizal dapat menggenggam PhD. Beliau juga mendapat kembali kekasihnya Nur Ain dan menyiapkan Biografi Mansor Jumaat.

*Alhamdulillah AR baru sahaja selesai membaca novel ini. Novel yang mendapat saguhati dalam Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi anjuran ITBM, PENA dan BH telah diterbitkan oleh ITBM 2013. Novel ini harus dibaca bagi mendapatkan gambaran mengenai reformasi yang pernah menggegarkan Negara sekitar tahun 1998.

No comments: