12 February 2014

Sastera Dan Manusia


Apakah hubungan ataupun perkaitan antara ilmu sastera dengan kehidupan manusia? Ilmu sastera ialah ilmu yang mengungkapkan ungkapan atau hasil penulisan yang indah (susastera) manakala manusia itu pula ialah insan yang sememangnya bersifat pelupa. Dengan sifat manusia yang pelupa itulah maka hadirnya ilmu sastera sebagai sokongan hidup buat manusia meneruskan kehidupannya. Demikianlah hadirnya himpunan makalah atau esei yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dari tahun 1996 hingga 2005. Himpunan esei ini termuat dalam buku Sastera Dan Manusia yang diselenggarakan oleh DBP dan diterbitkan pada tahun 2011.
Jikalau diteliti esei-esei yang memenangi hadiah sastera ini terdapat pengelompokkan dalam kajian novel, cerpen, drama dan puisi. Terdapat juga kajian budaya dan keagamaan. Novel yang banyak mendapat tempat di hati penyelidik tentulah novel yang dapat menggugah rasa dan jiwa pembaca. Novel itu juga harus keluar daripada kebiasaan penulisan novelis-novelis tempatan. Dalam buku ini novel Naratif Ogonshoto telah dikritik dengan baik oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ( tajuk esei Naratif Ogonshoto : Ibarat Madu Lewat Saringan) dan Awang Azman Awang Pawi (esei bertajuk Naratif Ogonshoto: Perspektif Wacana Kuasa dan Hegemoni). Di mana letaknya keluarbiasaan Naratif Ogonshoto? Luar biasanya kerana Sasterawan Negara Anwar Ridhwan berupaya mencipta novel dengan pemikiran di luar kotak. AR sudah katam baca Naratif Ogonshoto dan memang kebijaksanaan Anwar Ridhwan terserlah lewat novel ini. Kebijaksanaannya mengkritik secara halus dengan mencipta latar tempat di luar nusantara menyerlah. Kebolehan beliau mempertemukan watak dan menghayati perwatakan watak-watak yang terlibat biarpun asing bagi kita sebagai Melayu cukup membanggakan. Anwar Ridhwan juga bijak melukis latar tempat dan tahu bagaimana latar tempat itu berkembang dengan persekitaran budaya asing. Sesungguhnya kebolehan luar biasa ini perlu dijadikan contoh oleh penulis lain dalam mendepani kekeringan idea penulisan. Penulis muda harus membaca dan mengkaji novel ini bagi mencipta kelainan dan berani bereksperimen untuk menjadi luar biasa.
Selain itu terdapat juga esei yang mengungkapkan hal drama melayu seperti A. Rahim Abdullah yang menulis soal Melihat Nilai Melayu  Melalui Dunia Mungkin. Mana Sikana pula menulis tentang Pemikiran dan Idealisme Shaharom Husain. Fatimah Ali pula menulis soal Drama: Jangan Bunuh Rama-Rama: Satu Bacaan Hermeneutiks Kerohanian. Hasil penulisan ini dapat memberikan kesedaran kepada kita akan sumbangan besar yang telah dibuat oleh Shaharom Husain dalam bidang drama. Kebijaksanaan dan kegigihan beliau dalam meningkat martabat drama Melayu sesungguhnya wajar diberikan pujian.
Memang tidak sah esei sastera jikalau tidak diungkapkan soal teori. Dengan membaca esei-esei yang disumbangkan ini akan dapat meningkatkan kefahaman kita akan kajian aspek sastera dengan berdasarkan teori-teori yang ada. Sesungguhnya kefahaman terhadap teori sastera mampu menjadi nilai tambah kepada penulis sekiranya mereka menyedarinya.
AR menyarankan agar mereka yang mahu berjinak dalam bidang kesusasteraan supaya memiliki buku ini. Buku ini dapat membantu penulis atau pengkritik mengetahui laluan sastera tanah air dan bagaimana perkembangan sastera berlaku di negara ini. Semoga buku ini mampu memberikan inspirasi kepada penulis untuk melahirkan karya agung suatu hari nanti.

No comments: