28 December 2015

Pembentangan Kertas Kerja Di Batam, Indonesia Sempena Dialog Selatan

Pada 4 hingga 7 Disember, AR telah berkesempatan ke Batam. Pemergian ini atas tiket GAPENA untuk membentangkan kertas kerja sempena Hari Jadi Batam ke-186 tahun serta Dialog Selatan. Tajuk kertas kerja yang telah AR bentangkan ialah Hasil Penerbitan Ahli IPM Antara Tahun 2000-2015. Diam tak diam rupanya terdapat banyak hasil penulisan ahli IPM yang telah diterbitkan. Sukar juga untuk mengumpulkan karya ahli-ahli IPM dalam jangka masa 15 tahun namun berkat kerjasama yang telah diberikan oleh ahli IPM maka tugas sukar tersebut telah dapat dilaksanakan dengan baik. Hasilnya karya ahli IPM telah dapat diketengahkan dalam acara besar tersebut.
Sememangnya sambutan yang telah diberikan oleh warga Batam amat hebat. Rombongan ahli GAPENA serta ASAS 50 dari Singapura telah diraikan dengan gemilang. Malahan kami juga telah dibawa melawat ke sekitar kepulauan Batam seperti Perkampungan Rumah Tua Batam, Kenduri Seni Melayu (acara tarian rakyat sekitar kepulauan Sumatera selama 3 malam), Kompleks Pemakaman Nong Isa iaitu kawasan zuriat dan kerabat kerajaan Riau-Lingga serta batu besar tempat dikatakan Sang Nila Utama melihat Temasik(Singapura). Tidak dilupakan juga pusat beli belah Nagoya Hill yang amat besar sehingga rambang mata dibuatnya.
Sesungguhnya acara di Batam amat besar maknanya kepada AR sebagai penulis Melayu. Kita cuba menyusur akar bangsa Melayu. Melihat kepada ketamadunan awal bangsa Melayu sehingga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa besar yang lain di dunia ini.

06 December 2015

KURSUS PENULISAN KREATIF REMAJA

sepanjang cuti sekolah ini AR telah mengadakan ceramah penulisan kreatif kepada 2 kumpulan remaja. Pertama kursus penulisan kreatif sempena cuti sekolah di Perpustakaan Jasin. Kedua kursus penulisan kreatif dan kerjaya penulis untuk pelakat USM
 Nampaknya kerjaya sebagai penulis ini telah mula menambat hati remaja kerana dikatakan menjanjikan pulangan yang baik. Semoga ilmu yang dikongsikan itu bermanfaat untuk semua demi masa depan anda.

22 October 2015

Ulasan Buku Things Fall Apart karya Chinua Achebe



Tajuk Novel : Terlerai Dan Berkecai (Things Fall Apart)
Penterjemah : Nazel Hashim Mohamad
Terbitan : Institut Terjemahan Dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Terbitan : 2010
Bilangan Halaman : 249
“Kisah-kisah biasa yang diangkat menjadi sesuatu yang luar biasa,” itulah ungkapan yang dapat AR fikirkan apabila membaca novel Terlerai Dan Berkecai (Things Fall Apart) karya Chinua Achebe. Novel ini telah dialih bahasa ke bahasa Melayu oleh ITBM 2010. Penterjemahnya Nazel Hashim Mohamad.

Kisah kehidupan seharian sebuah puak di Afrika (mungkin Nigeria).  Okonkwo merupakan watak utama dalam novel ini punya 4 orang isteri. AR teringat sewaktu mengerjakan ibadat haji pada tahun 2011. Apabila berbual dengan sekumpulan 5 orang warga Nigeria yang mengerjakan haji, mereka dengan bangganya menyatakan setiap mereka (5 orang itu punya 3 hingga 4 orang isteri).

Okonkwo merupakan anak seorang petani biasa. Ayahnya seorang pemalas dan dianggap tiada taraf dalam kehidupan puaknya. Menyedari pandangan sinis masyarakat puaknya menyebabkan Okonkwo berusaha keras untuk membina imej yang baik dalam kehidupannya. Keberanian dan keperwiraan merupakan satu-satunya peluang yang ada lalu kelebihan ini digunakan oleh Okonkwo untuk menaikkan darjatnya pada pandangan masyarakat puaknya. Dia berjaya. Akhirnya dia beroleh kekayaan sehingga mampu punya banyak isteri. Hasil keladinya juga banyak dan makanan lebih daripada mencukupi untuk keluarganya.

Kedatangan agama kristian telah mula menyebabkan masyarakat puaknya berpecah. Masyarakat puak yang selama ini mendukung tinggi amalan nenek moyangnya telah diganggu gugat oleh orang putih yang datang menyebarkan agama kristian. Anak lelaki kesayangannya iaitu Nyowe yang diharap-harapkan untuk menggantikan kemasyurannya pada pandangan nasyarakat puak juga telah masuk kristian. Okonkwo merasakan suatu penghinaan apatah lagi darah dagingnya sendiri telah masuk kristian. Amat sukar mereka mematahkan kedatangan mubaligh kristian kerana mereka turut sama disokong oleh askar dan pemerintah orang putih. Lebih merumitkan lagi apabila ada antara pengganut kristian ini terdiri daripada pribumi yang bertindak lebih buruk daripada orang putih sendiri.

Pada akhir cerita Okonkwo membunuh orang suruhan mubaligh kristian. Menyedari akibat yang akan ditanggungnya, Okonkwo menggantung diri. Pesuruhjaya telah diminta oleh ahli puak menurunkan mayat Okonkwo (masyarakat puak tidak boleh menurunkannya kerana menyalahi peraturan puak dan hanya orang asing yang boleh berbuat begitu). Tambahan pula Okonkwo merupakan orang berdarjat dalam masyarakat puak itu jadi perlulah orang berdarjat seperti pesuruhjaya itu yang melakukannya.

Membaca novel ini seperti membaca kehidupan seharian masyarakat puak di Nigeria. Pengarang bijak menggunakan tempo yang laju sehingga pembaca rasa tidak sabar untuk mengikuti kesudahan cerita sehingga habis. Plot atau jalinan peristiwa dalam novel ini dihubungkan dengan begitu baik antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Kita dapat merasakan hubungan erat antara tema dan persoalan dalam karya ini dengan kehidupan masyarakat di Malaysia. Kita sama-sama dijajah. Penjajah menekan cara hidup dan agama yang nenek moyang kita anuti. Bezanya masyarakat kita mengamalkan ajaran Islam dan di Okonkwo mengamalkan cara hidup animisme nenek moyangnya. Di sini JWWW Birch dibunuh manakala di dalam novel  karya Chinua Achebe, dia terpaksa membunuh orang yang sebangsa dengan dia kerana bersekongkol dengan Inggeris. Begitulah sukarnya hidup di bawah kongkongan penjajah. Ini menuntut kita supaya lebih berhati-hati dalam berurusan dengan orang luar. Sekiranya pemerintah kita terjerat dengan perangkap yang sengaja dipasang maka tunggulah akibat buruk untuk anak cucu kita pada masa hadapan.

19 October 2015

Bicara Novel 7 Keturunan di KUIM

InsyaAllah jikalau tiada halangan Novel 7 Keturunan karya AR akan dibicarakan di KUIM pada 31 Oktober 2015. Novel ini akan dibicarakan oleh Tuan Nazmi Yaakub iaitu Editor Sastera Berita Harian.
Novel ini akan dibicarakan bersama 3 buah buku lain hasil karya penulis kawasan selatan. Peminat buku kreatif yang berminat dialu-alukan ke program tersebut. Program ini dijayakan oleh Ikatan Persuratan Melayu dengan kerjasama KUIM, DBP,ITBM dan PPJ sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2015.

18 October 2015

Datuk Dr Zurina Hassan- Sasterawan Negara Ke-13


 
Biodata Datuk Dr, Zurina Hassan
 
Datuk Dr. Zurinah Hassan (13 Jun 1949 - ) merupakan salah seorang penyair dan tokoh sasterawan. Beliau dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah, dan telah menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, antologi puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel.

Zurinah Hassan pada mulanya mengarang puisi secara sembilan, sebelum memutuskan bagi meletak jawatan untuk memenuhi keinginan berkarya sepenuh masa yang selama ini terganggu akibat beban kerja.

Zurinah Hassan berkarya dan menghayati keindahan alam dalam bentuk tulisan sejak berusia 12 tahun lagi. Zurinah turut cuba mengetengahkan persoalan sejagat dalam tulisannya termasuk puisi mengenai gejala melepak di kalangan remaja pada tahun 1990-an. Zurinah turut menghasilkan sebuah buku Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi, penerbitan UKM

Zurinah Hassan dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 pada 2014. Anugerah ini membawa gelaran Datuk. 

Beliau diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015. Ppemilihan Zurinah itu dibuat berdasarkan sumbangan besarnya melalui karya dan pemikirannya terhadap pengembangan sastera serta impak dalam penyebaran ilmu.

Pendidikan

Zurinah Hassan mendapat pendidikan formal awal di Sekolah Rendah Melayu Tikam Batu dan Sekolah Inggeris Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah. Beliau meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Convent Sungai Petani dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar Kedah. 

Beliau melanjutkan pengajian di USM sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Pengajiannya dilanjutkan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dan berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 2001. Beliau kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan memperolehinya pada tahun 2008.

Karya

  1. Keputusan (Sajak)
  2. Sesekali Aku Menjauhkan Diri Dari Puisi.
  3. Tanjung Dawai
  4. Sungai Tiang
  5. Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu
  6. Kuala Lumpur
  7. Pantai Remis
  8. Bas Stand Kelang

Hasil penulisan

  1. Sasterawan negara Usman Awang : DBP, 2006.
  2. Salasilah : kumpulan puisi : DBP, 2005.
  3. Menjelang pemilihan : DBP, 2004.
  4. Memoir Zurinah Hassan : menjejak puisi : UKM, 2003.
  5. Pujangga tidak bernama : DBP, 1994.
  6. Oh, bulan! Oh, bintang! : Longman Malaysia, 1992.
  7. Meneruskan perjalanan : DBP, 1987
  8. Keberangkatan : DBP, 1985.

Pencapaian dan anugerah

  • Anugerah Tokoh Sasterawan Negara 2015
  • Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Award) 2004
  • Hadiah Sastera 1984
  • Hadiah Kategori Buku
    1. Pujangga Tidak Bernama-Hadiah Sastera Perdana (1994/1995)
    2. Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi - Hadiah Buku Perpustakaan Negara (2002/2004)
    3. Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi - Hadiah Sastera Perdana (2002/203)
  • Hadiah-hadiah untuk karya-karya puisi, cerpen (eceran) Hadiah sastera Perdana
  • Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Cerpen Berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri 1984
  • Hadiah Utama Anugerah Puisi Putera, 1984

Terjemahan ke bahasa Rusia

Zurinah Hassan. Hidup dari jendela kereta api; Perkahwinan – Kata seorang perempuan. Diterjemahkan oleh Marina Eliseeva, Victor Pogadaev, Maria Boldireva. - Sumur di Ladang. Puisi Melayu Tradisional dan Moden. Penyunting B.B. Parnickel. Moscow: Persatuan Nusantara, 1996, hlm. 102-103.

  • Zurinah Hassan. Kota Melaka; Mencari Ruang; Kuala Lumpur; Menghadap ke pelabuhan. Diterjemahkan oleh Andrei Orlov. – Majalah Sastera Pereplet Rusia, 30 Mac 2004.
  • Zurinah Hassan. Catatan untuk Suami; Apabila kata-kata menjadi sebuah dosa. - Bertahta Di Atasnya. Puisi Penyair Malaysia dan Indonesia Dalam Terjemahan Victor Pogadaev. Moscow: Klyuch-C, 2009, hlm. 82-83.
  • Zurinah Hassan. Catatan untuk Suami; Apabila kata-kata menjadi sebuah dosa. Diterjamahkan oleh Victor Pogadaev. – Puisi Perempuan. Laman web Natalia Laidinen.
  • Zurinah Hassan. Menghadap Pelabuhan. Antologi dua bahasa. Diterjamahkan oleh Victor Pogadaev. Kuala Lumpur: ITBM, 2013.
                                                                                                              (Ubah suai dari wikipedia)

 

10 October 2015

Sesi Perkongsian Menulis Novel


Bengkel Penulisan Novel yang dianjurkan oleh IPM telah dijayakan oleh Maria Kajiwa. Bengkel selama 3 hari 2 Malam ini telah dihadiri oleh 19 peserta dari Johor, Melaka, Kuala Lumpur malahan dari Pulau Pinang. Para peserta yang ingin mengikuti bengkel ini disyaratkan karya novel mereka belum pernah diterbitkan.  AR telah diundang untuk berkongsi pengalaman menulis novel bersama Zamidah Hashim. Dalam sesi ini AR telah berkongsi pengalaman menulis bersama para peserta. Selain itu AR juga berkongsi nasihat yang diberikan oleh Colin Forbes.

                   Nasihat Untuk Penulis Muda: Colin Forbes

    1.   Harus ada stamina untuk menjadi penulis yang berjaya.

2.   Tulis sesuatu pada setiap hari. Mungkin setengah jam pada setiap hari tetapi amat baik jikalau dapat menulis satu jam pada setiap hari.

3.   Berhenti menulis apabila lelah. Jikalau terus menulis, mungkin tidak akan menghasilkan sesuatu yang baik.

4.   Seorang penulis haruslah pandai mengawal diri dan mempunyai motivasi dan dapat memotivasikan diri sendiri.

5.   Sentiasa membawa buku catatan. Tulis sesuatu dalam buku catatan. Seorang penulis sentiasa menulis sepanjang waktu. Anda mengajar diri anda menulis dan memaksa diri anda menulis pada setiap hari. Fikirkan apa yang hendak dibicarakan dan difikirkan apa yang sedang berlaku, dan gunakan perkataan anda sendiri.

6.   Tentang gaya: Jangan membuang waktu untuk membina gaya atau style. Tulis dan tulis, seseorang akan membina gayanya sendiri.

Bengkel Penulisan Kreatif Anjuran SMK Iskandar Shah.

AR telah diundang untuk memberikan ceramah penulisan cerpen/novel di Kem Bina Insan, Parit Penghulu, Sungai Rambai Melaka. Hampir 70 orang murid dari SMK Iskandar Shah telah menyertai bengkel penulisan ini. Daripada 70 orang peserta cuma 6 sahaja yang sanggup meneruskan perjuangan menulis cerpen tidak kurang 3000 patah perkataan kepada AR. Alhamdulillah 6/70 itu dikira normal memandangkan darjah kesukaran yang terpaksa ditempuh oleh murid yang cuma berkursus selama 2 hari 1 malam (termasuk penulisan sajak). Para peserta telah didedahkan dengan maksud cerpen serta perbezaan cerpen dengan novel. Murid juga didedahkan dengan cara menulis cerpen. Semoga mereka memanfaaatkan ilmu yang diperoleh,

26 April 2015

Novel Cemeh - Abd Razak Adam

Alhamdulillah. Inilah novel terbaru AR yang telah diterbitkan oleh ITBM. Novel ini terbit sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015. InsyaAllah esok AR akan pergi ke PBAKL 2015 di PWTC. Hasrat hendak melihat buku terbaru. Perasaan ini umpama perasaan ingin melihat anak baru dan rasanya semua penulis begitu iaitu ada rasa teruja setiap kali ingin melihat buku mereka. Novel ini merupakan buku yang kesebelas yang telah dihasilkan oleh AR secara perseorangan iaitu 10 buah novel dan sebuah kumpulan cerpen.
Cemeh? Cemeh bermaksud buta iaitu suatu bentuk sindiran terhadap mereka yang celik. Seorang buta yang sanggup bersusah payah untuk mengekalkan warisan tradisi Melayu. Berjayakah Lebai Awang mengekalkan seni warisan bangsanya? Bagaimana pula dengan usaha yang telah dibuat oleh Salahuddin yang sedang belajar di Australia? Bagaimana pula penerimaan masyarakat luar terhadap seni budaya masyarakat melayu ini? Untuk mengetahui lebih lanjut lagi maka dapatkan Novel Cemeh yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM)

23 April 2015

Tema Dan Persoalan Novel Pantai Kasih




TEMA NOVEL PANTAI KASIH

Tema novel Pantai Kasih ialah ketabahan hati seorang wanita menghadapi pelbagai rintangan dalam menempuh kehidupnya.

Antara contoh ketabahan hati wanita ini dalam menempuh ranjau kehidupannya ialah,

Tabah menghadapi kematian anak perempuannya
Doktor Raiha tabah menghadapi kematian anak perempuannya. Anak perempuan tunggalnya itu adalah seorang anak istimewa yang menghidapi ‘down sindrom’. Sejak mengetahui keadaan anaknya dalam kandungan, suaminya meminta agar kandungan itu digugurkan, namun Raiha tetap mahu melahirkan anak tersebut walaupun mendapat tentangan daripada suaminya. Selain diminta agar anak tersebut dihantar ke asrama yang mengasuh anak istimewa seperti Rohayu atau Ayu itu, namun Raiha bertegas untuk memelihara sendiri dan menghabiskan masa dengan anaknya itu menyebabkan Doktor Sadiz berada kecewa kerana isterinya itu melebihkan anaknya daripada dia. Kedegilan Raiha menyebabkan suaminya berasa marah dan membakar kereta mewah yang dibawa oleh Raiha untuk melarikan diri. Tiba-tiba kanak-kanak istimewa itu berada di tempat kejadian dan tidak semena-mena tersambar api kereta yang sedang marak itu sehingga rentung. Kematian anaknya itu amat menyiksakan jiwa Raiha yang tetap menyalahkan bahawa Doktor Sadizlah dengan sengaja membakar anaknya itu.

Tabah menghadapi kegagalan rumah tangganya
Kegagalan rumah tangga antara Raiha dan suaminya Doktor Sadiz disebabkan keenganan Raiha mendengar nasihat suaminya agar menggugurkan kandungannya yang didapati cacat atau ‘down sinDoktorom’. Raiha juga melebihkan perhatian kepada anaknya apabila sudah dilahirkan menyebabkan kemarahan suamnya berganda. Kejadian kematian anaknya akibat disambar api kereta mewah yang sedang marah merupakan kemuncak kemarahan suaminya, apatah lagi setelah bekas suaminya menang kes dalam mahkamah dalam menentukan kesalahan siapakah punca kematian anaknya itu. Akibat saksi utama tidak muncul dalam perbicaran, bekas suaminya yang menggantung perkahwinannya sehingga akhir hayat menang dalam kes tersebut dalam perbicaran di mahkamah keluarga, dengan bangga dan sinis senyum dan melafazkan dia tidak akan melepaskan Raiha melainkan meninggalkannya tergantung-gantung sepanjang hayatnya. Kegagalan dalam rumah tangga itu dihadapi dengan tabah walaupun sanak saudaranya pada peringkat awal menyokongnya tetapi semakin berkurangan selepas peristiwa itu.

Tabah menghadapi bangkangan ayahnya untuk menjadi pakar bedah
Raiha tabah menghadapi bangkangan ayahnya terhadap cita-citanya hendak menjadi pakar bedah. Ayahnya berkeras agar Raiha tidak meneruskan niat untuk menjadi pakar bedah sepertinya kerana beranggapan bahawa tugas sebagai seorang pakar bedah hanya mampu dilakukan oleh orang lelaki sahaja yang tahan dari segi fizikal dan mental. Namun pandangan ayahnya itu dibangkang oleh Raiha dan meneruskan ketekunan belajar untuk menjadi seorang pakar bedah yang Berjaya. Selepas berkhidmat dalam bidang itu di sebuah hospital kerajaan akhirnya selepas beberapa tahun Raiha mengambil keputusan menerima pelawaan untuk bekerja di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Tabah menerima tugas membedah
Raiha tabah menerima tugas membedah Unong Siron walaupun tahu sepatutnya pembedahan tersebut dilakukan oleh Doktor Uwang tetapi atas kepercayaan yang diberikan menjadikan dia setuju untuk membedah pesakit itu buat kali keenam. Dia melakukan dengan sebaik mungkin supaya Unong Siron akan dapat mengakhiri penderitaan kesakitannya selepas itu. Raiha juga tabah dalam membuat keputusan untuk membedah Doktor Uwang yang mengalami kecederaan teruk pada pergelangan tangan dan temurung lutut doktor itu supaya dapat menyelamatkan doktor itu yang mengalami kemalangan selepas merempoh tembok Pusat Rawatan Kasih.

Tabah menghadapi penceroboh
Apabila Pantai Kasih diceroboh oleh seorang pemuda berumur dua puluhan yang merupakan bekas pelajar peubatan yang tidak menamatkan pelajarannya, Raiha tabah dan mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut. Doktor palsu tersebut memang mencarinya dan melakukan panggilan palsu sebelum ini. Dalam saat getir menenangkan penceroboh tersebut dan setelah ditenangkan oleh ibu Unong Siron yang secara kebetulah mengenali pemuda itu, Raiha memberikan pendapat bahawa pemuda tersebut diminta membantunya merawat Unong Siron yang tenat di hospital lain. Pemuda tersebut bersetuju diiringi ke hospital tempat anak ibu Unong dirawat dan akhirnya diberkas.

Tabah menerima berita punca kematian anaknya.
Setelah beberapa peristiwa hitam yang dihadapi oleh Raiha sebelum ini menjadikan dia seorang yang tabah apabila mengetahui punca sebenar kematian anaknya selepas Sister Felicia Landosi menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Raiha tabah dengan berita punca kematian anaknya itu dan menganggap mereka adalah mangsa keadaan.


PERSOALAN NOVEL PANTAI KASIH

Terdapat banyak persoalan yang terkandung dalam novel ini. Antaranya;

1.      Persoalan tentang kepentingan diri melebihi kepentingan masyarakat.  
Sikap lebih mementingkan keuntungan syarikat digambarkan melalui watak Doktor Uwang yang tidak menghiraukan kesusahan pesakitnya Unong asalkan berkemampuan mendapatkan rawatan. Doktor Uwang juga sanggup menghantar anak perempuan tunggalnya duduk di sekolah berasrama seawal usia 7 tahun semata-mata untuk tidak menggangu rutin dan statusnya. Apatah lagi anak itu adalah hasil keterlanjurannya sedangkan dia memang tidak menginginkan anak apabila berumah tangga.

2.      Persoalan tentang sikap berfoya-foya di luar walaupun sudah berumah tangga.
Sikap Doktor Uwang yang masih berfoya-foya walaupun sudah berumah tangga menggambarkan bahawa dia seorang yang suka bebas dan tidak mahu dikongkong. Walaupun sudah berumah tangga tetapi beliau tetap mengunjungi kelab-kelab malam dan minum arak bersama-sama gadis pelayan dan kemudiannya berakhir ke ranjang. Namun sikapnya yang memastikan kebersihan setiap ‘isteri tidak sah’ menjadikan dia seorang yang pemilih. 

3.      Persoalan tentang tanggungjawab yang harus dipikul.
Raiha bersetuju untuk melakukan pembedahan ke atas Unong walaupun dia berasa bahawa Dokor Uwanglah yang selayaknya melakukan pembedahan tersebut. Raiha juga berasa bahawa menjadi tanggungjawabnya melakukan pembedahan ke atas Doktor Uwang yang cedera akibat kemalangan merempuh tempoh Pusat Rawatan Pantai Kasih. Dia terpanggil untuk melakukannya demi menyelamatkan nyawa doktor tersebut.

4.      Persoalan tentang sikap berani mengaku kesalahan.
Felecia mengaku kesalahannya Walaupun pada peringkat awal Felecia berasa sangat marah dengan emak Unong yang menuduhnya bersubahat menipu namun akhirnya Felecia mengakui kesalahannya itu dihadapan Raiha. Felicia juga mengakui bahawa dia tahu kejadian sebenar peristiwa yang meragut nyawa anak peremuan Raiha. Dia meminta maaf kerana merahsiakannya kerana takut.

5.      Persoalan tentang reda dengan ketentuan tuhan.
Walaupun Raiha sudah mengetahui punca kematian anaknya disebabkan sikap amarah bekas suaminya Doktor Sadiz yang membakar kereta Porsche tanpa menyedari kehadiran anaknya di situ namun Raiha reda dengan kejadian tersebut dan menganggap semua yang berlaku sebagai ketentuan tuhan dan mereka adalah mangsa keadaan. Dia tidak menyalah sesiapa termasuk Felicia sebaliknya  reda menerima berita tersebut.

6.      Persoalan tentang tabah menghadapi rintangan.
Raiha begitu tabah menerima rintangan dalam hidup. Ketabahan Raiha bermula dengan gangguan peristiwa hitam keruntuhan rumah tangganya. Walaupun dia dijadikan bahan tontonan sewaktu kes perbicaraan tersebut mendapat liputan media dan dia gagal dalam kes tersebut, namun dia meneruskan kehidupan dengan tabah. Dia juga tabah sewaktu ditempelak oleh Sister Felicia yang kurang berpuas hati dengan tindakannya menyebelahi emak Unong Siron. Walaupun Felicia tidak mengendahkan Raiha selepas kejadian itu dia tabah menghadapi Felicia kerana meraka bekerja sebumbung. Raiha juga tabah dan berhasrat untuk melupakan peristiwa dia mempersoalkan kewibawaan Doktor Uwang. Dia ingin memulakan hidup baru yang lebih selesa.

7.      Persoalan tentang keruntuhan rumah tangga.
Akibat keruntuhan institusi rumah tangga seseorang itu akan menghadapi trauma yang berpanjangan. Raiha sentiasa dibayangi kisah silam termasuk keruntuhan rumah tangganya. Sikap Doktor Sadiz yang dianggap keterlaluan memintannya menggugurkan kandungan mereka, dan juga menggantung Raiha tidak bertali selepas menang dalam kes perbicaraan menjadikan peristiwa hitam tersebut tidak luput dalam masa singkat.

8.      Persoalan tentang kasih sayang.
Raiha begitu sayang akan anaknya Rohayu walaupun didapati Rohayu cacat sebelum dilahirkan lagi. Baginya anaknya itu mempunyai hak untuk lahir dan mendapatkan kasih sayangnya. Selepas Rohayu dilahirkan, Raiha menghabiskan banyak masa melayani Rohayu berbanding bekas suaminya Doktor Sadiz yang mengharapkan agar anaknya itu dihantar ke pusat pejagaan jauh dari situ bagi mengelakkan taraf dan kewibawaannya dijadikan bahan perbincangan ramai. Raiha pula berasa kasih atas nasib yang menimpa Unong. 
 
ubahsuai daripada blog guru-guru BM

22 April 2015

Teka-Teki Keputusan Sayembara ITBM PENA BH 2 Terjawab.


KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH 2
KATEGORI NOVEL:
Hadiah Pertama (RM15,000 + medal + sijil)
Jong Chian Lai
Novel : Ah Fook
Hadiah Kedua (RM12,000 + medal + sijil)
Hasanuddin Md Isa
Novel : Sarjana Bangsa
Hadiah Ketiga (RM9,000 + medal + sijil)
Asari Ismail
Novel : Embargo
Hadiah Sagu hati (7 x RM3,000 + medal + sijil)
• Neor Razak Neor Hashim ( Berjalan di Negeri Suhad)
• Ruhaini Matdarin (Trivia)
• Amer Hmzah L. Kadir (Bedar Tanpa Laut)
• Nazri Hussein ( S.P.I.D.E.R Teori Sang Labah-Labah)
• Norhisham Mustaffa (Guran)
• Hafizah Iszahanid (Bukan Orang-Orang)
• Budiman Mahamood ( Galau)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:
Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy
Pascasejarah
Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Syahidatul Munirah Badrul Munir
Lela Rentaka
Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Jasni Matlani
Pembunuh Anarki
Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Abang Median Abang Said (Cacing di Dahi)
• Siti Salbiah Raduan (Segara Lazuardi)
• Hafizah Iszahanid ( Perempuan Berambut Merah)
• Nazri Hussein (Cahaya Pelita Nurani)
• Ruhaini Matdarin (Jenaka Si Darah Lagenda)
• Mohd Ali Salim (Kapal Perang)
• Haizir Othman (Siaran Radio Lewat Pagi)
KATEGORI KUMPULAN PUISI:
Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Muhammad Lutfi Ishak
Dondang Pembukaan
Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Mohd Rosli Nik Mat
Matahari Itu Jauh
Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Jasni Matlani
Dongeng Perkebunan
Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Ramli Selamat (Malam Hujan dan Oksimoron)
• Lim Kim Hui (Metamorfosis Kimchi)
• Zainal Abidin Suhaili (Merdeka Burung)
• Ramzah Dambul (Dari Cinta kepada CInta)
• Hamir Habeed Mohd Abdul Settar (Ceritera Dari Daerah Luruh)
• Sholihin Osman ( Sangkar Alam)
• Rahimidin Zahari (Sehelai Daun Kenangan)

Tahniah kepada semua pemenang. Semoga karya yang terhasil daripada sayembara ini akan mengayakan khazanah berharga dunia sastera Tanah air kita.

07 March 2015

Kembara Sajak Sungai Linggi Anjuran IPM
















Pada 1MAC 2015, Ikatan Persuratan Melayu (IPM) telah mengadakan program Kembara Sajak Sungai Linggi. Seramai 40 orang (Ahli IPM serta keluarga) telah mengikuti program ini. Program ini diadakan bertujuan meneroka khazanah alam yang terdapat di sepanjang Sungai Linggi yang menjadi sempadan antara Negeri Sembilan dengan Melaka. Peserta telah dibawa melawat sabak arang iaitu tempat membuat arang kayu yang diusahakan oleh Haji Daud (gambar yang nampak macam gua). Kami kemudian melawat Kota Simpang (bekas peninggalan kota lama). Kota ini merupakan kota lama (Bugis, Belanda dan Inggeris) bagi tujuan memungut hasil (tol) bagi kapal yang keluar masuk ke Seremban dan lain-lain kawasan sekitarnya. Kemudian kami melawat pelabuhan darat RTC Kuala Linggi. Sebelum balik kami singgah di Taman Cenderalokan. Di situ kami membaca sajak dengan berlatar belakangkan sungai Lingui (mengikut nama yang diberikan oleh pedagang China). Sesungguhnya program ini telah dapat memberikan suatu pengalaman baharu dan unik buat para peserta dan ahli keluarga mereka.

12 January 2015

Pengalaman Membantu Mangsa Banjir

Semua sedia maklum malapetaka banjir yang dahsyat telah melanda beberapa buah negeri di Malaysia pada akhir Disember 2014. Kejadian air pasang besar, angin kuat, ombak tinggi dan hujan turun tanpa henti telah mengakibatkan banjir besar di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Dikatakan malapetaka kerana memang kebisaan berlakunya banjir di negeri-negeri ini setiap kali tibanya musim tengkujuh namun pada akhir Disember 2014 kejadian bah itu memang luar biasa. Lihat sahaja apa yang dilaporkan oleh mangsa yang terlibat atau sukarelawan yang pergi membantu mangsa ini. Gambar rumah hilang, jalan runtuh, jambatan roboh dan keadaan mangsa semuanya menceritakan keadaan sebenar yang dialami oleh mangsa ini.
Pada 4 Januari 2015 (Ahad), AR berkesempatan pergi ke Temerloh, Pahang untuk membantu mangsa banjir di sana. Seminggu sebelum itu AR telah berpakat dengan isteri untuk membantu mangsa banjir. Alhamdulillah Syarikat Asiah Perabot sudi meminjamkan sebuah lori untuk tujuan digunakan sebagai kenderaan mengangkut bantuan ini. Lebih bersyukur lagi apabila Syarikat Perniagaan Ambah yang beroperasi di Masjid Tanah terus menghulurkan bantuan dengan menyerahkan barangan yang berharga hampir dua ribu ringgit untuk diberikan kepada mangsa banjir. Orang perseorangan yang lain juga turun membantu menghulurkan bantuan. Akhirnya setelah dikumpulkan barangan yag diperoleh....sungguh luar biasa. AR terpaksa mendapatkan sebuah lori lagi kerana terlalu banyak barang yang didermakan oleh masyarakat Masjid Tanah. Allah ingin menolong kami, Syarikat Katering & Kanopi Zali turut bermurah hati membantu usaha murni ini. Kami juga mendapat bantuan daripada IPM, UITM, HALUAN dan beberapa pertubuhan lain untuk menjayakan program ini.
Kami bertolak ke Temerloh dan mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat di Kampung Guai dan Kg Berhala Gantang. Rasa sedih amat kami rasakan apabila melihat penderitaan dan kemusnahan yang dihadapi oleh penduduk kampung yang terlibat.
Sesungguhnya sebagai seorang penulis AR dapat merasai sendiri pahit getir dan segala susah payah yang dideritai oleh penduduk Temerloh yang terlibat dengan musibah banjir ini. Namun betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Semoga pengalaman membantu mangsa banjir ini akan lebih mematangkan lagi kita dalam menempuh kehidupan yang singkat ini.