28 December 2015

Pembentangan Kertas Kerja Di Batam, Indonesia Sempena Dialog Selatan

Pada 4 hingga 7 Disember, AR telah berkesempatan ke Batam. Pemergian ini atas tiket GAPENA untuk membentangkan kertas kerja sempena Hari Jadi Batam ke-186 tahun serta Dialog Selatan. Tajuk kertas kerja yang telah AR bentangkan ialah Hasil Penerbitan Ahli IPM Antara Tahun 2000-2015. Diam tak diam rupanya terdapat banyak hasil penulisan ahli IPM yang telah diterbitkan. Sukar juga untuk mengumpulkan karya ahli-ahli IPM dalam jangka masa 15 tahun namun berkat kerjasama yang telah diberikan oleh ahli IPM maka tugas sukar tersebut telah dapat dilaksanakan dengan baik. Hasilnya karya ahli IPM telah dapat diketengahkan dalam acara besar tersebut.
Sememangnya sambutan yang telah diberikan oleh warga Batam amat hebat. Rombongan ahli GAPENA serta ASAS 50 dari Singapura telah diraikan dengan gemilang. Malahan kami juga telah dibawa melawat ke sekitar kepulauan Batam seperti Perkampungan Rumah Tua Batam, Kenduri Seni Melayu (acara tarian rakyat sekitar kepulauan Sumatera selama 3 malam), Kompleks Pemakaman Nong Isa iaitu kawasan zuriat dan kerabat kerajaan Riau-Lingga serta batu besar tempat dikatakan Sang Nila Utama melihat Temasik(Singapura). Tidak dilupakan juga pusat beli belah Nagoya Hill yang amat besar sehingga rambang mata dibuatnya.
Sesungguhnya acara di Batam amat besar maknanya kepada AR sebagai penulis Melayu. Kita cuba menyusur akar bangsa Melayu. Melihat kepada ketamadunan awal bangsa Melayu sehingga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa besar yang lain di dunia ini.

No comments: