01 January 2016

Catatan Percutian Ke Bali


Alhamdulillah pada 11 hingga 17 Disember lepas AR dan keluarga telah dapat bercuti ke Bali. Kami sekeluarga ke Bali tanpa menggunakan khidmat agensi pemandu pelancong almaklumlah percutian bajet. Oleh kerana nak berjimat maka kami pergi sendiri tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan. Tahun lepas pun kami ke Perth begitu juga. Begitu juga dengan percutian kami sebelum ini ke Osaka, Seoul, Melbourne, London dan Paris. Tapi kalau pergi umrah kami terpaksa menggunakan khidmat agensi pelancongan sebab Arab Saudi ni lain dari yang lain. Pun begitu ada juga kawan-kawan AR yang pergi umrah sendiri tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan.....ada berani?
Mulanya kami bercadang untuk ke negara bahagian selatan tapi sebab nilai mata wang ringgit yang menjunam maka terpaksa fikir banyak kami yang akhirnya kami memilih Bali. Kenapa Bali? Nanti anda akan dapat jawapannya.
Mulanya cuba jugak cari kapal terbang yang murah-murah untuk ke Bali. Cuba buka web MALINDO (macam tak mesra pengguna), AIRRASIA( banyak sangat bayaran tersembunyi), Singapura Airline(Mahal), JETSTAR (tarikh tak kena), Garuda (pun agak mahal) akhirnya kami memilih MAS. Harga yang ditawarkan oleh MAS biarpun lebih sedikit tapi kami agak berpuas hati kerana tiada caj tersembunyi. Caj tersembunyi yang dikenakan oleh beberapa syarikat penerbangan seolah-olah cuba memperbodohkan pengguna. Hmm berhati-hatilah.
Dek kerana terlalu sibuk dengan tugas dan NGO maka AR tak sempat nak rancang apa-apa. Dua minggu sebelum berangkat, AR telah menempah bilik hotel menggunakan AGODA. Kami memilih Kuta. Entahlah kenapa kami memilih Kuta. Mungkin sebab biasa dengar nama Kuta sedangkan ada banyak pantai peranginan di Bali. Tapi mujur jugak kami pilih Kuta. Harga semalam yang ditawarkan melalui Agoda RM150. Kami pilih 2 bilik. Ada juga anak saya cadangkan agar kami menginap di Lovina (tempat nak tengok dolphin) tapi tak jadi. Hal dolphin ni sebab kami nak balas dendam. Tahun lepas masa ke Perth kami kempunan nak tengok ikan dolphin di pantai Mandurah).
Sampai di Lapangan Terbang Denpasar hari sudah malam. Kami mengambil teksi Bluebird Innova (kereta besar) di dalam bangunan terminal. Harga ditawarkan 150 Ribu Rupiah. Saya cuba menawar (rupanya boleh dibuat tawar menawar). Akhirnya kami dapat 130 Ribu Rupiah. Tidak sampai 1 jam kami dah sampai ke Wina Holiday Villa, Kuta.
Malam itu kami makan di hotel kerana makanannya halal. "Kalau di luar kami tidak jamin halal, pak." Itulah kata-kata petugas hotel. Malam tu kami makan nasi goreng Wina (30 ribu rupiah). Airnya pulak ada air welcome drink....percuma. Kemudian dapat diskaun 10%. Malam tu kami berjalan di pantai Kuta. Pantainya agak tenang dalam kegelapan malam. Tak ramai orang di pantai malam itu. Terdengar jugak muzik liar sewaktu kami melintas jalan. Ohh patutlah sebab kami di Kuta rupa-rupanya. Malam itu kami tidur lena.
Esoknya kami bersarapan percuma di hotel. Kami bersarapan lewat sekitar jam 10.00pg. AR nasihatkan ahli keluarga AR supaya makan kenyang-kenyang kerana mahu berjalan sekitar Kuta almaklumlah makanan halal sukar diperoleh (itu dalam fikiran AR). Sebelum berjalan kami ingin lanjutkan tempahan bilik sebab tengok Kuta ni macam bagus aje. Rupa-rupanya nasib menyebelahi kami. Lovina tu senang cerita tak banyak tarikan cuma nak melihat dolphin sahaja. Bila kami nak tempah bilik di lobi, petugas tu kata semalam USD150. Kami terkejut manusia(bukan terkejut beruk). Tengok duit pun bukannya banyak sangat cuma sekadar cukup-cukup aje kalau dicampur-campur duit syiling hihihi. Kami kata Agoda bagi RM150 semalam. Jadi dia suruh kami gunakan khidmat Agoda. Lepas kami godek Agoda dapat harga RM140 jadi terus kami sambar (fuhhh selamat). Jadi itulah antara petua nak jimat waktu melancong.
Kami menaiki van hotel dan berjalan sekitar Kuta. Kami pergi window shopping di Matahari Mall. Harganya berpatutan. Jalan-jalan perut pun lapar. Nak makan apa? Ada pulak nasi padang. Itulah tempat kami makan. Kiranya Kuta ni lebih hebat dengan pelancong luar yang terlalu-lalu ramai. Sambil berjalan AR mula rencanakan apa yang nak dibuat dengan baki 6 hari lagi, tak kan hari hari nak mandi laut? Balik ke hotel kami naik teksi. Teksi tak mahu pakai argo(meter) jadi dia mintak RM10. Ok le tu. Petang tu kami mandi di pantai Kuta. Malamnya kami berjalan di jalan utama Kuta. Terlalu-lalu banyak hiburan dengan pub dan disko yang terlalu-lalu banyak. Mat saleh, mat negro, arab, India, Rusia, Jerman penuh di sini.....sesak.
Pagi esoknya hujan dan nampak gayanya hujan berterusan sampai ke petang......nak buat apa? Lalu tengah hari tu kami berlegar sekitar hotel. Ternampak iklan di lobi tentang pakej ditawarkan lalu kami berjumpa petugas di pejabatnya. Alhamdulillah pakej 3 hari dengan 3 perjalanan jauh itu berharga RM450! Rasanya terlalu murah.
Esoknya selepas sarapan kami berangkat jam 8.30 pagi. Kami ikut Uluwatu Nusa Dua Tour. Kami naik kereta Suzuki yang boleh memuatkan 8 orang sedangkan kami berenam termasuk pemandu kami. Pemandu kami agak peramah orangnya (nama tak ingat). Dia orang Bali (Emak Cina Bali, ayahnya Jawa). Kami ke Tanjong Benoa (sebab anak lelaki saya tak sabar-sabar nak scuba). Setelah dibuat tawar menawar akhirnya kami dapat 280 Ribu Rupiah untuk scuba 2 orang dan snorkling bagi 3 orang.
Rasanya tempat scuba tu tak lah bagus sangat sebab karangnya pun dah banyak rosak, ikan pun tak banyak yang menarik. Nemo pun jumpa seekor aje. Tioman lagi bagus.
Kemudian kami menaiki van bergerak ke sekitar bantai Tanjong Benoa. Pemandu kami tunggu van manakala kami pergi berenang di tepi laut. Dia dah suruh kami ke kanan tapi kami pergi ke kiri akhirnya kami termasuk ke kawasan larangan. Kawasan pantai untuk orang yang banyak duit. Laa memang tak tahu malu betul minah saleh ni! Ada ke patut dia tak pakai.... .
Kemudian kami dibawa melawat kawasan suci orang Bali (macam kuil jugak le) tapi tempatnya macam di 12 apostle di Melbourne. Awas ye monyetnya boleh tahan ganas tapi mujur juga kami tidak diusik.
Esoknya kami melawat Livina (Morning Dolphin Tour) untuk melihat dolphin. Kami bertolak jam 2.30 pagi. Pemandu kami memandu membelah kawasan Bali mengikut kawasan berbukit bukau dan berjurang dalam. Kecut jugak perut dibuatnya. Kami akhirnya terlelap membiarkan pemandu kami memandu. Dia kelihatan agak cekap jugak. Kami sampai di Livina jam 5.30 pagi. Kalau nak lihat dolphin kena tiba awal selewat-lewatnya jam 6.15 kalau tak nanti good bye. Lepas sembahyang subuh kami bertawar harga dapatlah 300 ribu rupiah untuk 5 orang. Nasib tak baik kaki saya terkena batu karang sewaktu nak naik bot. Lepas 20 minit berlayar baru kelihatan dolphin. Pehh banyak dan memang berbaloi. Kawasan pantai itu dijaga oleh penduduknya daripada pencerobohan sebab itu dolphin itu dapat dikekalkan.
 Selepas Lovina kami pergi mandi air panas (hot spring). Seronok mandi di situ. Selepas itu kami bertolak ke air terjun Gitgit (hmmm boleh lah). Hampir petang kami sampai di hotel. Esok kami nak berehat jadi kami tangguhkan perjalanan esoknya.
Anak lelaki tak sabar pulak nak rasa Surf board. Hujan pulak lebat dan akhirnya petang baru dapat ke pantai. Bertawar harga dengan orang Medan akhirnya dapat 70 ribu rupiah tambahan 100 ribu untuk harga juru latih. Dapat jugak anak AR belajar gunakan surf board. Ombak di pantai Kuta memang sesuai untuk mereka yang baru belajar bermain surf board.
Esoknya kami pergi ikut Kintamani Tour. Kami pergi ke Gunung Berapi Batul dan Agung (nak tunjukkan anak-anak tentang kawasan geografi gunung berapi. Kemudian kami melawat Tegallalang Rice Terrance sebelum berhenti di Taman Agro untuk melihat perusahaan kopi (termasuk kopi luwak). Petangnya kami sampai di Ubud tempat berjualan lukisan. Memang menakjubkan dan rasanya AR harus bermalam di situ untuk meninjau keseluruhan tempat (mungkin lain kali). AR beli 2 buah lukisan di sini.
Esoknya tibalah masa untuk berangkat. Pagi itu kami mandi di pantai dan anak-anak bermain surf board. Dapat harga 60 ribu rupiah untuk 2 surf board dengan orang Medan tu (sebab saya cuba cakap ikut loghat minangkabau).
Itulah pengalaman ke Bali. Untuk percutian bajet rendah rasanya berbaloi. Jangan lupa di Bali ni banyak makanan padang jadi usah terlalu takut untuk makan. Seperkara lagi. Orang Bali ni memang rupanya Melayu tapi agamanya Hindu jadi usah keliru.

No comments: