07 January 2016

Antologi Sejadah Rindu (KOMSAS Tingkatan 5)

Sajak Sejadah Rindu
(Karya Mohd Haikal Bin Aminuddin)
Maksud Setiap Rangkap Sajak

Rangkap 1:


Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu

Maksud: Penyajak berdiam sambil bermunajat kepada Allah SWT sewaktu berada di atas sejadah. Beliau mengadu kepada yang Maha Esa sambil memuji kehebatan dan kebesaran Yang Maha  Agung. Dalam bermunajat itulah timbul satu persatu segala kesilapan dan kesalahan yang pernah penyajak lakukan. Sebelum ini jiwanya selalu tertutup untuk memikirkan kesalahannya yang lalu.
Rangkap 2:

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
Kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.
Maksud: Dengan menggunakan segala pancaindera yang dikurniakan Tuhan, penyajak merayu agar Tuhan menunjukkan dia jalan ke arah kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya yang ada sebagai manusia biasa. Apa yang diharapkan agar segala taubatnya diterima sebelum beliau meninggal dunia.
Rangkap 3

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Maksud: Penyajak menangis mengenangkan dosa-dosanya dan bertaubat dengan ikhlas sambil menyerahkan diri kepada Tuhan. Beliau menangis teresak-esak dalam suasana bening menyatakan keinsafan diri terhadap kesalahan lalu.
Rangkap 4:

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.

Maksud: Keegoan diri penyajak musnah dan dia berasakan dirinya kosong. Penyajak memuji keagungan Tuhan di atas sejadahnya. Beliau memohon keampunan dengan sepenuh hati dengan penuh rasa takut hanya kepada Tuhan.

Rangkap 5

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.
Maksud : Penyajak mengharapkan kepada Tuhan agar beliau menjadi hamba yang taat kepada perintahNya sepanjang hayat. Beliau juga berharap agar beliau tidak leka dengan kehidupan di dunia yang bersifat sementara.

3 comments:

Akmal Nurhilmi said...

terima kasih! sangat2 berguna kepada saya dan rakan2.

Unknown said...

tq for the information. :

Nadhrah Murad said...

minta izin cikgu ye sy nak ajar anak murid saya guna nota cikgu. terima kasih. anak murid saya ialah pelajar tahfiz yang nak ambil SPM, semoga murah rezki cikgu.