31 January 2010

Sinopsis Kasih Seharum Manisah

Mengisahkan seorang gadis kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Stirling, Glasgow. Pada awalnya pertunangan Manisah bersama Kelvin (saudara baru) amat direstui keluarga Manisah. Ini kerana abang Manisah juga berkahwin dengan Sue Ann. Kelvin merupakan bekas rakan karib Manisah di sekolah. Mengapakah tiba-tiba Manisah disuruh memutuskan pertunangan mereka? Manisah sendiri pada awalnya seringkali tertanya-tanya mengenai siapakah dirinya yang sebenar kerana dia seringkali bermimpi dan terbayang-bayang akan kisah silamnya. Layanan istimewa keluarganya mematikan rasa curiga Manisah. Di Stirling, Manisah terganggu dengan asakkan abang dan ibu bapanya yang mahukan dia memutuskan pertunangan dengan Kelvin biarpun tidak diberikan sebabnya. Kelvin dan Manisah sama-sama merahsiakan hal ini daripada pengetahuan masing-masing. Inilah konflik yang berlaku antara mereka. Manisah berkenalan dengan Soefjan yang banyak membantu Kelvin mengenali agama Islam. Manisah rasa serba salah dengan Kelvin kerana dia minat kepada Soefjan yang agak warak. Rakan serumahnya iaitu Maisarah juga meminati Soefjan. Manisah serba salah kerana memikirkan Kelvin saudara baru yang perlukan bimbingan. Maisarah pula mengharapkan agar Soefjan dapat memandu dirinya ke jalan kebenaran. Soefjan juga berada di dalam dilema.

Jangan lupa dapatkan novel terbaru ini di kedai buku. AR baru sahaja menerima naskah contoh "Kasih Seharum Manisah" sewaktu berkunjung ke Stadium Malawati.

Riuh-Riuh PTS Pro di Stadium Malawati





Inilah gambar sekitar majlis "Riuh-Riuh PTS PRO Bersama MPH" di Stadium Malawati. Terima kasih kepada pengunjung yang membanjiri bangunan stadium ini. Stadium padat dengan pengunjung yang membawa anak-anak mereka untuk membeli buku.Para pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk turut sama memeriahkan majlis bersama PTS di pentas utama. Hos pada petang itu dapat menghidupkan suasana dan menceriakan keadaan biarpun pengunjung sesak. AR juga ingin mengucapkan terima kasih kepada dua orang pembantu AR iaitu pengunjung bertuah bernama Alif dan Nurul (dalam gambar bersama AR). Haa jangan lupa baca buku AR o.k. Terdapat ramai penulis yang turut sama menjayakan acara ini. Ini termasuklah Ain Maisarah, Samsudin Wahab, dan ramai lagi.

27 January 2010

AR Bersama Riuh-Riuh PTS Pro Di Stadium Malawati



Kepada yang kelapangan dipersilakan bersama AR serta ramai lagi penulis lain pada ketetapan berikut,
Hari : Sabtu
Tarikh : 30 hb Januari 2010
Masa : 3.00-6.00 petang
Tempat : Gerai PTS di Stadium Malawati Shah Alam

Anda boleh juga mendapatkan buku terbaru AR bertajuk Kasih Seharum Manisah yang masih panas lagi di sana (baru keluar stor). AR pun masih ternanti-nanti novel ini. Editor maklumkan mungkin esok (khamis) atau Jumaat baru sampai ke tangan AR. Jumpa anda di sana.

23 January 2010

Penerima Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009




Malam Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 telahpun melabuhkan tirainya. Majlis yang dibuat secara gilang gemilang ini dihiasi dengan dendangan syair yang bertenaga siap dengan kumpulan muzik pengiring. Sesungguhnya ini merupakan langkah pertama dan katanya tahun hadapan lebih banyak kategori akan diperkenalkan sejajar dengan minat yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.
Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Melaka 2009 ialah Cikgu Mokhtar Yassin yang terkenal dengan sajak 'Sepasang Lembu Tua'. Beliau juga merupakan Ketua Satu, Ikatan Persuratan Melayu Melaka(IPM).
Penerima Anugerah Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 ialah Faisal Tehrani atau Mohd Faizal Bin Musa.Kampung asalnya ialah di tapak tol Simpang Empat, Alor Gajah. Terkenal dengan novel 1515 dan banyak lagi karya pelbagai genre yang diterbitkan serta dipentaskan. Kemenangan berganda juga apabila seminggu sebelum ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Penerima Anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu Negeri Melaka 2009 ialah Cikgu Joseph Selvam. Beliau diwakili oleh isterinya( dalam gambar memakai sari). Banyak menulis sajak dalam bahasa Melayu dan Tamil.
Penerima Hadiah Galakan Penulis Remaja Negeri Melaka 2009 ialah Ilya Ireeza Binti Noor Zehan dan Muhammad Hasif Bin Mohd Jelani. Ilya sekarang pelajar tingkatan 5 di SMK Tinggi Perempuan Melaka manakala Hasif bersekolah di tingkatan 3 SMK Seri Tanjong, Melaka. Ilya telah menulis beberapa novel seperti Lala Zehan dan Serangga Lintah, Lala Zehan dan Penyeluk Saku Baquio, Lala Zehan dan Cik Siti Wan Kembang serta Lala Zehan dan Feri Berasap Langkawi. Hasif pula tokoh NILAM yang menghasilkan sebuah novel bertajuk 'Bagaikan Mimpi'.

20 January 2010

Bicara Karya Sastera

Program Bicara Karya Sastera Melaka akan diadakan seperti maklumat di bawah:


BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA

Anjuran
DBP Wilayah Selatan
dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP
dengan kerjasama
Institut Pendidikan Guru (IPG)
Kampus Perempuan Melayu Melaka

22 Januari 2010 (Jumaat) , 9 pagi - 11.30 pagi,
di Dewan Tun Fatimah,
IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, Melaka.

Program Bicara Karya Sastera ini akan membicarakan tiga karya iaitu:
i. 'Meranduk Ranjau' - novel karya Mohd. Kasim Mahmud. Akan dibicarakan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP.
ii. 'Haruskah Aku Berlari' - novel karya Hanita Hassan. Akan dibicarakan oleh En. Mohamad Hj. Musip, Pensyarah IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka / Munsyi Dewan DBP.
iii. 'Simbiosis' - kumpulan puisi Borhan Md. Zain. Akan dibicarakan oleh Hj. Shamsudin Othman, Pensyarah UPM.

16 January 2010

Memotivasikan Diri Menulis

Menulis memerlukan tenaga. Tenaga untuk menulis bukan sahaja datangnya daripada makanan tetapi juga datangnya daripada motivasi diri. Persoalannya bagaimanakah cara untuk memotivasikan diri untuk menulis? Motivasi terbahagi dua iaitu intrinsik dan ekstrinsik. Bahasa yang mudahnya ialah motivasi dalaman dan motivasi luaran.
Manusia memerlukan dorongan untuk membuat sesuatu. Dorongan ini digerakkan oleh sesuatu yang datang dari luar atau dalam diri. Dengan dorongan inilah maka penulis mampu menyiapkan penulisannya. Apakah dorongan atau motivasi yang mampu menggerakkan diri penulis?
1. Sebagai umat Islam asas pertama dorongan ini boleh kita kaitkan dengan niat untuk berbuat baik. Bukankah buat baik itu dibalas pahala. Bukankah dengan pahala itu memudahkan diri untuk masuk ke syurga?
2. Dorongan untuk mengubah diri. Jika selama ini kita asyik membuang masa dengan melepak atau berborak dengan perkara yang penuh dengan fitnah maka kita berusaha untuk menghindarinya. Memanglah berbual dengan rakan itu baik tetapi jika keterlaluan maka mungkin akan mendatangkan keburukan kepada kita. Jadi cara mana hendak mengelakkan ini semua ialah dengan mengubah kebiasaan diri dengan menulis.
3. Dorongan untuk mendapatkan sumber pendapatan. Menulis boleh dilakukan oleh mereka yang ingin melibatkan diri secara sepenuh masa atau separuh masa. Dengan menulis maka kita akan dapat sumber pendapatan. Pendapatan daripada menulis boleh digunakan untuk memperbaiki taraf hidup, membantu saudara seislam yang lain serta apa jua tujuan hidup. Berapa banyak kita dapat hasil daripada penulisan kita? Sukar juga hendak menjawabnya sebab ia bergantung kepada banyak sedikitnya orang membeli hasil penulisan kita. Selain itu ia juga bergantung kepada perjanjian penerbitan kita. Sebagaimana yang disinggung dalam penulisan lepas iaitu hasil penulisan kita ini merupakan suatu produk. Produk yang dibeli oleh orang ramai. Jadi berusahalah untuk menghasilkan produk penulisan yang baik. Jika Edward DeBono boleh membeli sebuah pulau peranginan bersumberkan hasil penulisannya(banyak berkaitan Mind Mapping), Ain Maisarah boleh membeli sebuah kondo RM400,000 maka tidak bolehkah anda membeli sebuah komputer riba buat permulaannya apabila mendapat royalti pertama nanti?
4. Dorongan untuk mendapat nama. Cara ini tidak baik tetapi ada juga manusia yang menulis kerana ingin glamour. Apa salah jika ia dapat memotivasikan diri anda buat permulaannya. Lihat sahaja Zaid Akhtar, Ain Maisarah, Norhayati Ibrahim, Faizal Tehrani, A Samad Said dan ramai lagi. Ke mana sahaja mereka pergi pasti ada orang yang mengenalinya. Mungkin tidak sehebat artis tetapi sekurang-kurangnya ada mata yang melihat.
5. Dorongan agar idea kita dapat merubah sesuatu. Mungkin kita inginkan agar orang mengetahui idea kita maka kita cuba menulisnya dalam bentuk yang disukai orang. Penulisan itu boleh sahaja dalam rencana, sajak, cerpen ataupun novel. Sama ada diungkapkan secara berterus terang atau berselindung. Apabila orang membaca maka akan terbit perubahan dalam diri mereka kerana terpengaruh dengan hasil penulisan kita itu.

14 January 2010

Majlis Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009

Majlis Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 akan diadakan pada 22 hb Januari 2010. Majlis gilang gemilang ini akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam. Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka & Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Datin Seri Utama Zurina Kasim.Majlis ini akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Terdapat empat kategori pertandingan iaitu,
i) Kategori Anugerah Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka.
ii)Kategori Anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu.
iii)Kategori Hadiah Galakan Penulis Remaja (2 pemenang)
iv)Anugerah Sasterawan Negeri Melaka 2009
AR baru sahaja menerima kad undangan ke majlis ini. AR mempertaruhkan 5 novel, cerpen serta sajak. Persaingan nampaknya sengit juga (kata penganjur iaitu Institut Kajian Sejarah Dan Patriotisme Malaysia IKSEP). Adat pertandingan ada yang kalah dan ada yang menang. Bagi AR apa yang penting ialah anugerah ini sebenarnya menampakkan kesungguhan Kerajaan Negeri Melaka mengiktiraf golongan sasterawan. Dengan adanya pengiktirafan ini maka bidang sastera akan terus harum subur di negeri Melaka.

09 January 2010

Tarikan Terbaru Kuala Sungai Baru, Melaka.






Inilah tarikan terbaru yang terdapat di Kuala Sungai Baru. Bagi mereka yang ingin menikmati makanan laut, anda boleh berkunjung ke Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru. AR sebenarnya ingin merehatkan diri setelah seminggu bertungkus lumus bekerja dan melayani keperluan sekolah untuk anak-anak. Hujung minggu biasanya masa yang paling baik untuk menulis novel, untuk itu AR perlu punya rehat yang cukup. Bagi menenangkan fikiran maka AR singgah di Pekan Kuala Sungai Baru yang terletak 10 minit perjalanan dari rumah AR. Tempatnya sungguh menarik kerana dapat menikmati pemandangan laut yang mengasyikkan. Terdapat kemudahan surau (terapung di atas air), menara tinjau, padang permainan kanak-kanak, tempat letak kereta yang luas, sunyi kerana jauh daripada kesibukan kenderaan dan banyak lagi kemudahan yang terdapat di situ. Sesekali terdapat bot nelayan yang memasuki kuala sungai. Walaupun baru lima hari dibuka terdapat ramai orang yang berkunjung ke situ. Bagi mereka yang ingin bermalam, terdapat banyak chalet di kawasan kampung nelayan. Kepada kaki pancing, anda boleh mencuba nasib di sini. Bukankah ada pepatah mengatakan di mana ada air, di situ ada ikan!

04 January 2010

Novel Diulang Cetak Lagi.


Alhamdulillah novel Taman Botani Harapan diulang cetal lagi kerana sudah habis kering kontang di dalam stor penerbit. Biarpun buku ini ada yang mengkritiknya namun jika diamati kritikan itu maka yang jelas lebih panyak yang positif daripada yang negatifnya. Kritikan cuma berkisar mengenai BMT yang digunakan iaitu penggunaan kata singkatan 'tak'. Hakikatnya kritikan ini sebenarnya banyak membantu menaikkan jualan buku. AR ingin mengucapkan terima kasih kepada pengkritik. Kritikan sebenarnya amat baik untuk penulis andainya ditulis dengan penuh kejujuran bertujuan untuk memperbaiki cara penulisan seseorang penulis. Hakikatnya tiada seorang pun yang sempurna. Perjalanan untuk menjadi penulis yang benar-benar berjaya amat jauh lagi. Terimalah kritikan dengan hati yang terbuka biarpun kekadang cuping telinga terasa panas seketika. Banyakkan beristighfar dan perlu bersangka baik kerana yang selebihnya itu hak Allah S.W.T.

03 January 2010

Apa Yang Hendak Ditulis?


Sesuatu hasil penulisan yang hendak ditulis harus bertitiktolak daripada persoalan apa yang hendak ditulis. Biasanya kita kategorikan penyelesaiannya kepada dua bahagian iaitu fiksyen dan non fiksyen.
Kita mungkin ingin menulis rencana, komentar atau berita. Pastinya apa yang dituntut dalam penulisan ini ialah kebenaran. Suatu hal yang penting ialah kita haruslah faham akan cara penulisannya. Persoalan apa, bila, di mana, kenapa dan mengapa haruslah dijawab dalam menghasilkan sesebuah berita. Selain itu kita juga harus faham ke mana kita hendak hantar rencana, komentar atau berita yang telah ditulis nanti. Penerbit punya falsafah tersendiri. Cara mana penerbitan atau gaya penerbit harus diketahui oleh penulis agar penulisannya mudah diterbitkan.
Bagi menghasilkan cerpen, sajak atau novel maka penulis perlu tahu apa maksud cerpen, sajak ataupun novel terlebih dahulu. Cara mudah ialah membaca contoh cerpen. sajak atau novel bagi memahami genre tersebut. Jikalau menulis 10 halaman maka itu bukanlah novel namanya! Tapi usahlah kerana dek terlalu membaca teorinya sehingga berpuluh-puluh buku maka tidak sempat pulak menulis novel! Jikalau hendak menjadi pengkritik barulah kena baca berpuluh-puluh buku. Bacalah yang mudah-mudah dahulu mengikut kesesuaian tingkat dan minat kita. Membaca itu memanglah penting bagi persediaan menulis tetapi buat permulaan aktiviti menulis itulah yang menjadi keutamaannya. AR selalu ikuti kursus penulisan dan sering berjumpa mereka yang kata "Kursus sudah banyak diikuti, buku sudah banyak saya baca tetapi sampai sekarang satu buku pun tidak dapat tulis lagi." Hendak tahu kenapa? Sebabnya terlalu banyak membaca buku tentang teori menghasilkan buku sehingga hilang kepercayaan diri untuk menulis. Sewaktu AR di UPM dan UKM dahulu AR selalu perhatikan sindrom ini iaitu mereka yang berjaya menyiapkan tesis Master atau PhD nya cepat ialah mereka yang rajin dan berani menulis dan bukannya mereka yang rajin/berani bercakap!