28 September 2010

HADIAH BUKU CERITA MENGGANTIKAN ANGPAU



Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih lagi diadakan. Sana sini heboh orang kita mengadakan majlis rumah terbuka. Majlis rumah terbuka ini pun bukanlah salah satu daripada adat ataupun budaya turun temurun nenek moyang kita. Seingat AR, majlis rumah terbuka ini baru 13 tahun diperkenalkan. Sebelum ini kita bebas berkunjung ke rumah kenalan pada bulan Syawal dan sekarang ini kebebasan ini seakan sudah hilang. Risau jikalau pergi ke rumah kenalan takut-takut tuan rumah tidak bersedia sebab itulah kita lebih selesa berkunjung pada majlis rumah terbuka. Namun sesuatu yang harus difahami ialah baik tetamu ataupun pihak tuan rumah hendaklah menerima keadaan seadanya sahaja. Juadah pun usah diperumitkan sangat. Apa yang tuan rumah sediakan maka itulah yang dimakan oleh tetamu dan tuan rumah pula usah terlalu gusar akan hal menunya. Bukan juadah itu yang menjadi matlamat kunjungan tetapi matlamat untuk mengeratkan silaturahim itulah yang utama.
Pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, AR telah membuat suatu kelainan. Pengunjung yang berkunjung ke rumah AR diberikan sebuah buku sebagai pengganti angpau. Tetamu cilik yang berkunjung tercengang kerana mereka tidak sangka mendapat buku. Apabila ditemu bual oleh AR tentang buku-buku cerita yang ada di dalam simpanan mereka ada pula yang mengeluh. “Ayah ada buku agama yang tebal-tebal di dalam almari tapi buku cerita untuk saya tidak ada di rumah.” Sedih AR mendengar keluhan tetamu cilik ini. Inilah mentaliti orang kita.
Terukir wajah girang pada muka tetamu-tetamu cilik ini apabila mendapat buku-buku cerita daripada AR. Apabila mereka dapat sahaja buku-buku ini maka mereka terus membacanya. Harapan AR semoga amalan memberi buku ini menjadi suatu adat atau budaya dalam kalangan masyarakat kita bagi menggantikan angpau suatu hari nanti, amin.

20 September 2010

Selamat Menjawab UPSR

Esok Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan bermula untuk murid-murid Tahun 6. AR ingin mengucapkan selamat menjawab ujian penting ini buat adik-adik semua. AR doakan agar adik-adik dapat menjawab soalan dengan tenang. Usah terburu-buru ketika menjawab sebaliknya jawablah dengan bijaksana. Sudah banyak tip-tip menjawab soalan yang diberikan oleh guru-guru malahan di dalam surat khabar pun ada disediakan ruangan khas ini.
Kepada ibu bapa pula AR harapkan agar ibu bapa tidak terlalu menekan anak-anak untuk belajar pada saat-saat akhir. Sepatutnya pembelajaran itu merupakan suatu proses yang menyeronokkan buat anak-anak kita. Ingatlah bahawa anak-anak kita ini masih berada di alam kanak-kanak yang masih perlu dikembangkan sahsiah, emosi, jasmani dan inteleknya. Keperluan perkembangan JERI ini biasanya dikaitkan dengan alam persekolahan namun tekanan peperiksaan menyebabkan ibu bapa dalam dilema. Masyarakat masih melihat keputusan yang tertera di atas sijil sebagai keputusan muktamat dalam membuat penilaian diri seseorang. Itulah hakikatnya dan biarpun kerajaan berusaha memasukkan markah kegiatan kokurikulum dalam pemilihan masuk ke universiti atau sekolah berasrama namun hakikatnya usaha ini masih diragui oleh ibu bapa. Apa yang pasti ibu bapa perlu melihat anak-anak sebagai insan yang sedang melalui proses perkembangan diri. Usahlah terlalu menekan diri anak-anak kita. Sememangnya kita meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak-anak namun dalam masa yang sama harus memastikan jiwa anak-anak kita dapat berkembang dengan sihat. Berusahalah, berdoalah dan bertawakkallah agar keputusan anak-anak kita nanti akan cemerlang, insyaAllah.

10 September 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Setelah sebulan kita berpuasa maka tibalah saat dan ketikanya kita menyambut hari kemenangan.Pada bulan Ramadhan, AR jarang membuka blog sebab AR membantu isteri di kedai perabotnya. Masa yang paling kritikal ialah sepuluh hari terakhir Ramadhan. Itulah saatnya orang ramai berpusu-pusu membeli barang perabot. Setahun sekali maka itulah juga saatnya orang kita melihat segala kekurangan yang ada di rumah. Dari satu segi kelihatan juga bagaimana sikap orang kita berbelanja namun dari satu segi pula perbelanjaan ini dapat menggerakkan ekonomi negara. Lihatlah bagaimana orang kita berniaga di bazar Ramadhan. Alangkah bagusnya jikalau budaya berniaga ini dapat diteruskan sepanjang tahun. Mungkin dari sini kita dapat mengasah bakat berniaga di dalam jiwa anak-anak kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.