30 August 2009

Selamat Menyambut Hari Merdeka

Saya baru melihat Inside di National Geografi. Cerita ini mengisahkan bagaimana tahanan di Penjara Guantanamo dilayan (kisah ini sudah banyak kali didengar). Tentera Amerika dengan rasa bangga menyatakan bahawa mereka rasa bangga melakukan keadilan dengan menahan tahanan ini. Tahanan ini ditahan tanpa dibicarakan. Ada tahanan yang sudah menjangkau 7 tahun berada di sini. Bagaimanakah agaknya jika kita tiba-tiba ditahan? Sudahlah kita tidak tahu akan kesalahan kita dan kita pula tidak diberikan peluang untuk mendapat keadilan. Bukankah itu kejam namanya. Sebagai rakyat yang merdeka adalah penting untuk kita dilayan sebagai seorang manusia. Semoga roh dan semangat kemerdekaan ini meresap jauh ke dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.
Di bawah ini sajak hasil nukilan beberapa orang pelajar tingkatan 2. Sajak ini ditulis sebagai salah satu aktiviti kumpulan sempena bulan kemerdekaan. Tema sajak yang ditulis ialah kemerdekaan. Sama-samalah kita hayati pandangan mereka tentang erti sebuah kemerdekaan.

Jasa Pejuang Kemerdekaan.
Penulis : Hiew Wei Hong

Hatiku ingin kulelong
tapi aku makan hati berulam jantung
dan jasa sebesar gunung
ingin aku tetap kendong.

Jikalau ada paku yang patah
segenggam jua dapat kuratah
kerana jasa pejuang
akan tetap aku kenang
merdeka! merdeka! merdeka!

MALAYSIA TANAH AIRKU
PENULIS : FARAH

Di tanah ini
bekas tumpah darah
begitu ramai pejuang
yang sanggup menggadaikan nyawa demi warga tercinta.

Penjajah
disebabkan engkau
ramai pejuang terkorban
Tuk Janggut, Mat Kilau, Tuk Gajah
dan sekian banyak nama tak terhingga
sehingga menimbulkan kacau bilau
menggugat keamanan negara.

Marilah
marilah sekalian rakyat Malaysia
kita bersatu menegak panji-panji negara
bagi kemajuan nusa dan bangsa.

KEMERDEKAAN HAKIKI
Penulis : Wahida

Setahun hanya sekali
sambutan merdeka akan tiba dan pergi
bulan merdeka yang aku nanti-nanti
akhirnya menjelang lagi.

Setahun hanya sekali
hari kemerdekaan adalah kenanganku
lalu ia bersemi di hati dan sanubari.

Setahun hanya sekali
aku meraikan kemerdekaan ini
dengan menyahut merdeka! merdeka! merdeka!

Di hari bersejarah ini
aku berasa bersemangat
kerna negaraku telah bebas
bebas dari penjajah
merdeka! merdeka! merdeka!


KEMERDEKAAN
Penulis : Huzaimi

Naik Basikal pergi ke pekan
pergi ke kedai beli belacan
31 Ogos merdeka
tiga kali kita laungkan
merdeka! merdeka! merdeka!

Zaman Jepun zaman penjajah
ramai terbunuh kerna membela nusa
Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan
jasamu akan aku sanjung sepanjang zaman.

ERTI KEMERDEKAAN
Penulis: Azwan

Dahulu kala kita dijajah
Kini sekarang kita merdeka
Tunku Abdul Rahman tokoh terbilang
menjadi sanjungan sepanjang zaman.

Penjajah itu sifatnya kejam
menyiksa, menafi hak warga
lahir Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan
cuba hapuskan kesengsaraan.

Sudah lama hidup dalam kegelapan
seawal abad 16 hingga tahun 57
kini api sinar mula membahang
semangat juang semakin kukuh.

Baru kini aku mengerti
mengapa hari merdeka harus dihayati
betapa bersyukur akan kebebasan ini
aku bebas membuat pilihan sendiri.

Terima kasih buat pejuang
sekalung budi buat kalian
hanya Tuhan tempat aku pohonkan
moga roh pejuang akan tetap tersimpan
syurga abadi buat kalian.

28 August 2009

Kerepek AF dibeli PNM


Alhamdulillah rezeki bulan Ramadan. Semalam dapat panggilan dari pegawai PNM. Buku cerita Kerepek AF telah terpilih untuk pembelian PNM. PNM akan membeli sebanyak 1089 buah buku cerita ini. Dana pembelian untuk penulis ini diilhamkan oleh Dato' Seri Rais Yatim. Dengan dana ini maka PNM akan membeli secara terus buku terpilih tanpa melalui penerbit. Tapi penulis kena juga berbaik dengan penerbit sebab penulis bukan ada kilang percetakan. PTS yang bertindak sebagai penerbit nampaknya begitu prihatin juga. Sama prihatinnya dengan menteri ini. PTS memberikan imbuhan yang besar bagi buku-buku yang dibeli oleh PNM. Bagi penulis, pembelian ini merupakan suatu pengiktirafan terhadap hasil penulisan. Terima kasih PTS. Terima kasih PNM. Terima kasih juga kepada pembaca semua.

22 August 2009

Selamat Menyambut Bulan Ramadan

Selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua pembaca. Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia.Bulan penuh keberkatan. Pada bulan inilah diturunkan al-Quran. Ayat pertama ialah 'Iqra' bermaksud bacalah. Dengan membaca maka ilmu dapat ditambah. Dengan membaca ilmu itu dapat diperluaskan. Bangsa membaca merupakan bangsa berjaya. Bangsa berjaya itu ialah bangsa yang dapat mengawal dunia. Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W di gua Hirak iaitu agar baginda membaca (walaupun baginda tidak tahu membaca) merupakan seruan secara langsung oleh Allah S.W.T kepada umatNya. Suatu seruan agar menjadikan aktiviti membaca itu sebagai suatu tugas yang perlu diutamakan. Boleh juga dikatakan suatu tanggungjawab kepada setiap umatNya agar membaca. Dengan membaca kita boleh mencapai matlamat diri, keluarga dan keperluan ummah kita.
Kepada rakan penulis, jadikan bulan Ramadan ini sebagai suatu bulan bonus untuk menulis. Menulis sambil beribadat atau beribadat sambil menulis. Bukankah pada bulan yang mulia ini segala amalan baik digandakan oleh Allah S.W.T. Apa yang penting ialah kita pasangkan niat kita.... kerana Allah.

19 August 2009

WS RENDRA

'Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama', itulah yang dapat diibaratkan kepada WS RENDRA atau MERAK EMAS. Beliau meninggal dunia pada 6 Ogos 2009 pada usia 74 tahun. Tokoh sastera tersohor ini punya gaya tersendiri dalam penulisannya. Banyak karya beliau yang bersifat kritikan terhadap pemerintah. Tidak hairan beliau beberapa kali dimasukkan ke dalam penjara. Namun perjuangan melalui penulisannya akhirnya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Indonesia.
Hasil penulisan WS RENDRA banyak berkisar kepada perjuangan untuk hak rakyat bawahan. Ini sebenarnya dilakukan sebagai suatu wadah untuk memberitahu pemerintah apa sebenarnya yang berlaku kepada rakyat. Pemerintah pula haruslah anggap wadah itu sebagai suatu pemberitahuan situasi sebenar yang dialami oleh rakyat biasa. Ini bukan bermaksud untuk menjatuhkan sesuatu pemerintahan. Ini harus dilihat sebagai suatu bentuk pertolongan kepada golongan pemerintah. Anggap sahaja penulis itu sebagai kawan bukannya lawan. Bukankah ada pepatah yang mengatakan mata pena itu lebih tajam berbanding mata pedang!

18 August 2009

Tahniah diucapkan kepada Dato' Dr. Anwar Ridhwan atas anugerah Sasterawan Negara ke-10. Setelah kita semua tertungu-tunggu akhirnya anugerah itu diumumkan juga. Apatah halangannya sehingga berkurun baru dapat diumumkan. Jikalau diikutkan pemilihan itu agak sengit juga kerana kita ada ramai tokoh sastera yang layak diangkat menjadi Sasterawan Negawa. Ini bermaksud tidak perlulah ditunggu berkurun baru hendak diberikan anugerah itu. Pasanglah niat 'hanyasanya hendak meningkatkan sastera tanah air dan sastera itu sendiri'. Jikalau niat itu terpasak kukuh dalam hati maka sastera di negara ini akan turut berkembang. Tidaklah kita dimomokkan oleh 'sastera untuk si dungu'.