10 December 2013

Misi Mencari Tomoyuki Yamashita, Osaka

Alhamdulillah, AR telah sampai ke Lapangan Terbang Kansai Osaka di Jepun. Kali ini AR sekeluarga pergi tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong atau agensi pelancongan (kerana nak jimat duit). Memang kebiasaannya AR pergi keluar negara begini. Sebelum ini AR pergi ke UK, Paris, Korea dan Australia juga dengan cara begini. Apabila kita pergi sendiri (tanpa melalui agensi pelancongan) kita akan berjimat (banyak) selain itu kita bebas hendak pergi ke mana sahaja arah tuju kita tanpa sekatan masa. Kita juga dapat eratkan perhubungan keluarga apabila duduk berbincang arah tujuan. Apa yang menarik ialah sewaktu AR mengadakan ceramah penulisan di sebuah sekolah, ada peserta yang tulis dalam fb (selepas ceramah itu) "wah, boleh melancong ke Paris kalau kita tulis buku!". Sebenarnya hasil daripada duit royalty buku memang kita boleh gunakan sebagai modal untuuk menjana idea penulisan kita. Pepatah mengatakan 'jauh perjalanan luas pemandangan'. Berjalanlah semoga perjalanan itu akan menginspirasikan kita untuk menulis dengan lebih banyak lagi.

05 December 2013

Teka-Teki Tarikh Penyampaian Hadiah Sayembara ITBM

Alhamdulillah akhirnya tarikh bagi penyampaian hadiah Sayembara Menulis Novel, Cerpen dan Sajak anjuran ITBM, BH dan PENA diketahui juga. AR pun tak pasti boleh maklumkan atau tidak tapi rasanya tarikh ini bukan menjadi rahsia lagi. Secara kebetulan AR ada urusan di ITBM dan dimaklumkan akan perkara ini. AR dimaklumkan tarikh penyampaian hadiah ini akan disempurnakan pada 6 Januari 2014. Khabarnya TPM akan berangkat untuk menyempurnakan majlis tersebut. Tempatnya belum dimuktamatkan lagi. Tapi AR nak maklumkan juga bahawa info ini hanyalah info awal dan tertakluk kepada pindaan. AR tak pasti menang atau tidak pertandingan ini namun hanya berserah kepada Allah SWT. Sama-samalah kita nantikan majlis ini nanti. Rasanya sudah setahun kita menunggu pengumuman rasminya. Ramai juga yang bertanya akan hal ini, nah sekarang ini sudah terjawab semoga mereka yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini akan lena tidur selepas ini.